Wednesday, July 11, 2018

HIDAYATUSH SHIBYAN (هداية الصبيان)


Kitab Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (هِدَايَةُ الصِّبْيَانِ فِى مَعْرِفَةِ اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيــْمَانِ) merupakan sebuah karya mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun Syaikh Abu ‘Abdullah Husain Nashir bin Muhammad Thayyib al-Mas’udi al-Banjari (1863-1936M), yang mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.  

Sebagaimana judulnya Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (Petunjuk Kanak-Kanak Pada Mengenal Islam dan Iman) kitab ini ditulis oleh penulisnya sebagai panduan umat Islam, khususnya bagi kanak-kanak atau mereka baharu mula ingin mempelajari ajaran Islam, sama ada dari aspek akidah atau syariatnya. Kitab banyak diajar di pondok-pondok pengajian Islam bagi mereka yang baru memasuki alam pondok.

Dan kitab ini telah selesai penulisannya oleh pengarang pada hari Isnin, 18hb. Muharram 1330 Hijrah bersamaan 08hb. Januari 1912 Masihi.

Secara umumnya kandungannya kitab ini dibahagikan kepada  7 bahagian, iaitu;

1)     Kata Pengantar penulis.
2)    Muqaddimah Fil Iman wal Islam. (Makna iman dan Islam,rukun Iman dan Islam dan sifat wajib bagi Allah SWT dab para Rasul).
3)    Kitab al-Shalah (Sembahyang), yang terbahagi kepada 11 fasal. (mengenai bersuci dan syarat sah dan perkara membatalkan  sembahyang serta  bang [azan] dan iqamat).
4)  Bab fi Arkan al-Shalah (Rukun-rukun Sembahyang). Terbahagi kepada 16 fasal. Fasal 1- 8, berkaitan dengan rukun sembahyang. Fasal seterusnya berkaitan dengan perkara sunat sembahyang, sembahyang sunat, qasar dan jamak, sembahyang berjamaah, berkaitan dengan sembahyang Jumaat, dan berkaitan dengan orang sakit dan jenazah.
5)  Bab al-Zakat. Terbahagi kepada 2 fasal. Fasal pertama berkaitan dengan pembahagian zakat dan fasal kedua mengenai beberapa masalah berkaitan dengan zakat.
6)    Bab al-Shiyam (Puasa).
7)    Bab al-Haj wal ‘Umrah. Berkaitan ibadat haji dan umrah.

Pada masa kini, kitab Hidayatush Shibyan ini telah disalin kembali dengan tulisan Rumi dan telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan generasi sekarang membaca dan memahami isi kandungannya.

Kitab Hidayatul Shibyan (edisi Jawi) ini boleh dibaca secara on line di pautan https://sites.google.com/site/kitabhidayatussibyan/.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment