Saturday, February 27, 2021

Fiqh Bersuci & Solat

Buku Fiqh Bersuci & Solat, Kupasan dan Soal Jawab merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i  yang disusun oleh al-Ustaz Muhammad Ramzi Omar. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ilmuan, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2017. Halaman buku ini merangkumi 266 muka surat. 

Perbincangan dalam buku ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Fiqh Taharah (bersuci) dan Fiqh Solat. Bagi setiap bahagian perbincangan adalah menurut urutan tajuk-tajuk ilmu fiqh seperti yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh, di samping emuatkan soalan dan jawapan berkaitan tajuk yang dibincangkan supaya pembaca dapat menghayati isi kandungan terbabit dengan lebih jelas. 

Dalam membincangakan tajuk bersuci dan solat penyusun memanfaatkan banyak kitab-kitab ulama silam, di samping turut mengolah semula beberapa manuskrip yang pernah dihasilkan sendiri oleh penyusun dalam pelbagai judul buku yang pernah dihasilkan sebelum ini. 

Buku ini sangat bermanfaat sebagai rujukan dan perlu dimiliki oleh umat Islam, khusus para pelajar kerana bahasa dan pengolahannya yang mudah difahami.

Friday, February 26, 2021

Jawharah al-Tawhid (جـوهـرة الـتـوحـيـد)

Kitab atau matan Jauharatul Tauhid (جـوهـرة الـتـوحـيـد) adalah sebuah karya dalam bidang akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang disusun oleh al-Syeikh al-Imam Burhanuddin Ibrahim bin Ibrahim al-Laqqani al-Makki (1041H/1632H). Matan Jauharatul Tauhid ini disusun dalam bentuk puisi (nazam) yang  merangkumi 144 bait.

Matan Jauharatul Tauhid merupakan antara matan ilmu akidah (usuluddin) yang terkenal dan mendapat perhatian di kalangan para ulama dan diajarkan kepada para penuntut dan masyarakat awam.  

Imam Ibrahim al-Laqqani sendiri telah menyusun kitab huraian (syarah) bagi matan Jauharatul Tawhid ini melalui 3 buah karyanya, iaitu; 


1.   ‘Umdah al-Murid li Jawharah al-Tawhid (عمدة المريد لجوهرة التوحيد) / al-Syarh al-Kabir.

2.  Talhish al-Tajrid li ‘Umdah al-‘Murid (تلخيص التجريد لعمدة المريد). Ia merupakan ringkasan kitab sebelumnya.

3.      Hidayah al-Murid li-Jawharah al-Tawhid (هداية المريد الي شرح جوهرة التوحيد)[1].


Kitab ini juga telah diberikan huraian (syarah) oleh para ulama terkemudian, antaranya; 


1.     Fath al-Qarib al-Majid bi Syarh Jawharah al-Tawhid (فتح القريب المجيد بشرح جوهرة التوحيد), karya Abdul Barr bin Abdullah bin Muhammad al-Ajhuri (1070H).

 

2.     Ithaf al-Murid bi Jawharah al-Tawhid (اتـحـاف الـمـريـد بـجـوهـرة الـتـوحـيـد)[2] dan Irsyad al-Murid (إرشاد المريد), karya Syeikh Abdul Salam bin Ibrahim al-Laqqani (1078H). Beliau merupakan anak kepada Imam Ibrahim al-Laqqani sendiri. 

 

3.    Hasyiah ‘ala Jawharah Tawhid (Tuhfah al-Murid `ala Jawharah al-Tawhid )[3], karya Syaikh Ibrahim al-Bayjuri –Shaykh al-Azhar (1234H.)

 

4.   Hashiyah al-Shawi ‘ala Jawharah al-Tawhid fi Ilm al-Kalam, karya Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Shawi al-Maliki (1241H).

 

5.      al-Mukhtasar al-Mufid Fi Syarh Jawharah al-Tawhid (المختصر المفيد شرح جوهرة التوحيد -), karya Sheikh Nuh Ali Sulaiman al-Ghuddoh (bekas Qodhi Al-Qudho di Jordan).

 

6.  ‘Aun al-Murid li Syarh Jawharah al-Tawhid (عون المريد لشرح جوهرة التوحيد), karya Abdul Karim Tatan, Muhammad Adib al-Kailani 


7.  Bughyah al-Murid li Jawharah al-Tawhid (بغية المريد لجوهرة التوحيد), karya Ibrahim al-Marghani().

 

8.   Tashil al-Ma’ani ila Jawharah al-Laqqaani (تسهيل المعاني إلى جوهرة اللقاني), karya Syaikh Jamil Halim al-Asy’ari.

 

9.   al-Qawl al-Sadid Syarh Jawharah al-Tawhid (القول السديد شرح جوهرة التوحيد), ‫ ‫ karya Syeikh Ali Utsman Jaradi 

Menariknya Matan Jawharah al-Tawhid yang penting ini turut disyarah di dalam bahasa Melayu (Jawi) dengan judul “ Syarh Bagi Matan Jauharah al-Tauhid ”. Tetapi pensyarah di dalam bahasa Melayu tidak diketahui nama pengarangnya (pensyarah). Pada kulit luar dan dalam kitab ini sekadar diberi maklumat ringkas:

Inilah Kitab Syarah Bagi Matan Jauharat al-Tauhid bagi al-Imam al-Syaikh  Ibrahim al-Laqqani telah diterjemahkandia  oleh seorang `ulama` Jawi dengan Bahasa Melayu. Jaza Allah Muallafaiha khairan ”. 

Walau bagaimana terdapat sedikit maklumat pada akhir penulisan syarah di dalam bahasa Melayu ini bahawa kitab ini telah selesai dikarang pada hari Rabu, pada bulan Ramadhan 1292H. bertempat di Sambas, Kampung Parit Dalam, Hampir Sultan Muhammad Safiyy al-Din. Sambas terletak pada bahagian Kalimantan Indonesia. 

Matan Jawharah al-Tawhid boleh dibaca di pautan جـوهـرة الـتـوحـيـد.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab ini telah diberikan huraian pula oleh Syeikh Bakri Rajab melalui karyanya Tawdhih Hidayah al-Murid Ila Syarh Jawharah al-Tawhid ( توضيح هداية المريد إلى شرح جوهرة التوحيد)

[2]  Karya yang berkaitan dengan kitab Ithaf al-Murid Syarh Jawharah al-Tawhid;

a)   Hashiyah Ibn al-Amir 'ala Ithaf al-Murid Syarh Jawharah al-Tawhid, karya Ibn al-Amir  al-Imam Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Abd al-Qadir bin Abd al-Aziz (1232H).

b)     al-Mazid ‘ala Ithaf al-Murid bi Syarh Jawharah al-Tawhid (المزيد على إتحاف المريد بشرح جوهرة التوحيد), karya Ahmad bin Muhammad bi Ali al-Hasani al-Suhaimi (1178H).

c)    Hasyiah al-Syinwani ‘ala Ithaf al-Murid Syarh Jawharah al-Tawhid (), karya Imam Muhammad bin Ali al-Syinwani ()

[3] Kitab ini telah diringkaskan oleh Dr. Umar Abdullah Kamil melalui karyanya yang berjudul al-Mujiz al-Mufid min Tuhfah al-Murid ‘ala Jawharah al-Tawhid (الموجز المفيد من تحفة المريد على جوهرة التوحيد).


Monday, February 22, 2021

Mukhtashar al-Majmu' Syarh al-Muhazzab

Kitab Mukhtashar al-Majmu' Syarh al-Muhazzab (مختصر المجموع شرح المهذب) merupakan sebuah karya fiqh yang disusun oleh Dr Syeikh Salim bin Abdul Ghani al-Rafi’i sebagai ringkasan bagi kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Di mana kitab al-Majmu ’Syarh al-Muhazzab pula merupakan karya agung al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab Mukhtashar al-Majmu’ ini telah disusun dalam 8 jilid dan dicetak dalam 4 buah buku. Kandungan kitab ringkasan ini tidak merangkumi keseluruhan isi  kandungan atau bab-bab yang terdapat dalam kitab asalnya yang merangkumi sebanyak 23 jilid itu. Ringkasan ini hanya melibatkan bahagian ibadat sahaja, iaitu kitab al-Thaharah (bersuci), kitab al-Sholah Sembahyang), kitab al-Zakat, kitab al-Shiyam (puasa)  dan  kitab al-Haj.

Dalam penyusunan ringkasan ini, peringkasnya juga turut mentakhrijkan hadis-hadis dan memberikan beberapa penjelasan (ta’liq) bagi perkataan yang terdapat dalam kitab ini.

Kitab ini boleh dimuat turun di  pautan https://archive.org/compress/mmshm/formats=IMAGE%20CONTAINER%20PDF&file=/mmshm.zip

Semoga bermanfaat.

 

Friday, February 19, 2021

al-Hawasyi al-Bughawiyyah 'Ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah

Kitab al-Hawasyi al-Bughawiyyah 'Ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (الحواشي البغوية على المقدمة الحضرمية) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’I yang disusun oleh al-Syeikh al-'Allamah al-Ustaz Dr. Musthofa Dieb al-Bugha Hafizahullahu Taala. Kitab ini diterbitkan oleh Darul Mustofa, Dimasq, Syria.

Kitab ini disusun sebagai huraian bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah (المقدمة الحضرمية), iaitu sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H).

Huraian ini adalah merupakan huraian yang ringkas dan sangat sesuai bagi para pemula atau mubtadi dalam mempelajari matan al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah dan juga sangat sesuai dijadikan rujukan bagi para asatizah yang mengajarkan kitab ini kepada penuntut ilmu dan juga orang awam.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, February 3, 2021

al-Zubad Fi al-Fiqh

Kitab al-Zubad Fi al-Fiqh (الزبد في الفقه) yang ingin diperkenal di sini ialah sebuah matan fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam  al-‘Allamah al-Qadhi Syarafuddin Abu al-Qasim HibatuLlah bin Abd al-Rahim bin Ibrahim bin Hibatullah al-Hamawi al-Barizi (645-738H).

Kitab ini telah disusun kembali dalam bentuk nazam oleh al-Imam Ibn Ruslan atau nama penuhnya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H), dengan beberapa tambahan permasalahan. Dalam penyusunan nazam ini juga, Ibn Ruslan telah menambah di muqaddimahnya dengan perbicaraan mengenai akidah (al-Muqaddimah fi ‘Ilm al-Ushul) dan ditutup dengan sebuah sebuah ringkasan mengenai tasawuf (al-Khatimah fi ‘Ilm al-Tashawwuf). 

Karya Ibnu Ruslan ini terkenal dengan judul Shafwah al-Zubad, Manzhumah al-Zubad dan Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i. Nazam susunan Ibn Ruslan ini sangat terkenal di kalangan para ulama, sehingga kitab asalnya dilupakan. Bahkan jika disebutkan kitab al-Zubad atau Matan al-Zubad, nescaya akan merujuk kepada kitab Shahwah al-Zubad yang disusun Ibn Ruslan ini.

Saya belum menemui kitab al-Zubad karya al-Imam al-Barizi ini dalam versi cetakan. Namun begitu dalam koleksi saya ada kitab ini dalam bentuk fail PDF.

Semoga bermanfaat.