Wednesday, November 30, 2016

Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Thahawi


Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Imam ‘Allamah al-Hafiz al-Muhaddis Abu Ja’far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Azdi al-Thahawi al-Hanafi (239-321H) merupakan sebuah karya dalam bidang tafsir yang menbincangkan secara khusus mengenai ayat-ayat hukum yang terdapat al-Quran. Perbincangan dalam kitab ini diolah dalam bentuk fiqh perbandingan (fiqh al-muqaran) oleh Imam Abu Ja’far al-Thahawi. Kitab ini telah disusun oleh Imam al-Thahawi dalam 4 juzuz. 

Kitab ini termasuk antara kitab-kitab lama telah hilang dan tidak ditemui oleh para penyelidik dan pembaca. Namun begitu dengan takdir Allah SWT, beberapa tahun yang lalu, satu juzuk daripadanya, iaitu juzuk yang pertama yang dari 4 juzuk tersebut telah ditemui oleh para penyelidik. Juzuk pertama yang ditemui ini telah ditahqiq oleh Dr Sa’aduddin Unal dan diterbitkan untuk pertama kali pada tahun 1995 oleh Pusat Penyelidikan Islam (ISAM), iaitu sebuah organisasi di bawah Kementerian Agama Turki. Juzuz pertama  ini telah dicetak dalam 2 jilid. 

Kandungan kitab ini disusun berdasarkan bab-bab fiqh sebagaimana kaedah yang digunakan oleh para fuqaha dalam penyusunan kitab-kitab fiqh yang terkenal. Ketika hendak mentafsir sesuatu ayat, penyusun terlebih dahulu  menyebutkan  “ Takwil Qawl Allah …”dan disusuli potongan ayat yang ingin diterangkan maknanya, kemudian diterangkan beberapa wajah qiraat dan sebab turun sesuatu ayat, jika ada.

Berikut adalah sumber tafsir yang digunakan oleh al-Thahawi dalam penyusunan kitab Ahkam al-Quran mengikut tertibnya, iaitu;

-          Al-Quran 
-          al-Sunnah,
-          Kata-kata dan Perbuatan Sahabat
-          Pendapat para Tabi’in dan para Imam Mujtahid.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini,  sila baca kedua-dua jilid kitab Ahkam al-Quran ini, di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Tuesday, November 1, 2016

Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya ...


Buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya…” merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Sebagaimana judulnya, penulis telah menerangkan tujuan buku ini disusun  “ agar ia menjadi  sebuah rujukan yang menghimpunkan penjelasan para ulama’ muktabar dalam menjawab persoalan khilafiyyah ”.

Kandungan buku ini menerangkan persoalan-persoalan mengenai khilafiyyah beserta dengan penjelasan yang kukuh daripada ulama'-ulama' Islam dalam masyarakat yang mencakupi bidang-bidang akidah, syariah dan akhlak, mencakupi 179 persoalan semuanya. Kaedah huraiannya ialah berdasarkan kaedah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah.

Menurut penyusunnya “ Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain ”.

Dari maklumat yang saya perolehi, terdapat dua edisi terbitan buku ini. Di mana ia diterbitkan oleh dua syarikat penerbitan yang berbeza - dengan  sedikit perbezaan judulnya;



a)  Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’. Inilah Jawapannya… Ia diterbitkan oleh Mawleed Publishing Sdn. Bhd, dengan cetakan pertama pada Januari 2011 dan cetakan keduanya pada November 2011. Buku ini pada cetakan keduanya setebal 915 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan, muqaddimah penyusun dan kata-kata aluan para ulama.
  

   

    b)     Khilafiah: Persoalan & Penjelasan. Diterbitkan oleh  Inteam Publishing Sdn Bhd, dengan cetakan pertamanya pada  April 2013 dan cetakan keduanya pada Februari 2014. Buku ini pada cetakan keduanya setebal  737 halaman.


Penyusunnya telah menghasilkan sebuah karya yang lain sebagai ringkasan bagi buku ini. Buku ringkasan ini diberikan judul  “ Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya ”. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Semoga bermanfaat.