Tuesday, November 1, 2016

Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya ...


Buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya…” merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Sebagaimana judulnya, penulis telah menerangkan tujuan buku ini disusun  “ agar ia menjadi  sebuah rujukan yang menghimpunkan penjelasan para ulama’ muktabar dalam menjawab persoalan khilafiyyah ”.

Kandungan buku ini menerangkan persoalan-persoalan mengenai khilafiyyah beserta dengan penjelasan yang kukuh daripada ulama'-ulama' Islam dalam masyarakat yang mencakupi bidang-bidang akidah, syariah dan akhlak, mencakupi 179 persoalan semuanya. Kaedah huraiannya ialah berdasarkan kaedah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah.

Menurut penyusunnya “ Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain ”.

Dari maklumat yang saya perolehi, terdapat dua edisi terbitan buku ini. Di mana ia diterbitkan oleh dua syarikat penerbitan yang berbeza - dengan  sedikit perbezaan judulnya;



a)  Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’. Inilah Jawapannya… Ia diterbitkan oleh Mawleed Publishing Sdn. Bhd, dengan cetakan pertama pada Januari 2011 dan cetakan keduanya pada November 2011. Buku ini pada cetakan keduanya setebal 915 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan, muqaddimah penyusun dan kata-kata aluan para ulama.
  

   

    b)     Khilafiah: Persoalan & Penjelasan. Diterbitkan oleh  Inteam Publishing Sdn Bhd, dengan cetakan pertamanya pada  April 2013 dan cetakan keduanya pada Februari 2014. Buku ini pada cetakan keduanya setebal  737 halaman.


Penyusunnya telah menghasilkan sebuah karya yang lain sebagai ringkasan bagi buku ini. Buku ringkasan ini diberikan judul  “ Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya ”. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment