Kitab al-Azkar al-Muntakhabah min Kalaam Sayyid al-Abraar (الأذكار المنتخب من كلام سيد الأبرار) merupakan sebuah kitab yang terkenal karya al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) atau terkenal dengan julukan Imam al-Nawawi. Di kalangan masyarakat Islam kitab ini lebih dikenali dengan nama Kitab al-Azkar al-Nawawiyyah (الأذكار النووية).
Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi rahimahullah menghimpunkan hadis-hadis yang menyebutkan doa-doa dan zikir-zikir daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Maka, kitab ini sangatlah bermanfaat bagi sesiapa yang mahu mengetahui dan mendalami doa-doa harian dan zikir-zikir harian yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berserta adab-adab dan etikanya.
Imam al-Nawawi mengatakan di dalam mukaddimah kitab al-Azkar-nya;
“ Bahawa sebaik-baik keadaan seorang hamba
adalah di saat dia berzikir kepada Rabb-Nya, iaitu Rabb sekalian alam. Dia
menyibukkan dirinya dengan zikir-zikir yang diriwayatkan dari Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa Sallam, pemimpin seluruh Rasul. Para ulama telah menulis
banyak kitab yang berkaitan dengan amalan seharian, doa-doa, dan zikir-zikir
yang diketahui oleh mereka yang telah mengenal Allah Subhanahu wa Ta'ala. Namun
semua itu terlalu panjang dengan banyaknya sanad dan pengulangan sehingga
menjadikan orang yang ingin mempelajarinya merasa jemu. Maka di sini, saya berhasrat untuk memudahkan
hal tersebut bagi yang menginginkan. Kemudian saya menghimpunkan kitab ini
sebagai suatu ringkasan terhadap tujuan-tujuan yang saya sebutkan di atas, dan
bukan untuk mengetahui sanad-sanadnya, kerana kebanyakan mereka tidak menyukainya
kecuali sedikit. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk mengetahui zikir-zikir
tersebut, lalu mengamalkannya. Kemudian saya menjelaskan hal-hal yang kelihatan
samar bagi mereka yang ingin mencari petunjuk, dan insya-Allah sebagai ganti
dari sanad-sanad yang tidak saya sertakan tersebut, saya akan menyertakan hal
yang lebih penting lagi, iaitu menjelaskan status hadis tersebut sama ada
sahih, hasan, dha'if, atau mungkar. Ini adalah yang lebih diperlukan oleh semua
orang kecuali sedikit dari kalangan ahli hadis. Ini adalah suatu hal penting
yang wajib untuk dipegang teguh, lagi diperlukan oleh para pelajar dari
kalangan penghafaz, demikian juga dengan para imam, saya juga menyertakannya
dengan beberapa dasar penting ilmu hadis, perincian hukum-hakam fiqh,
kaedah-kaedah penting, galakkan, dan etika atau adab-adab yang penting yang
peru diketahui oleh mereka yang mendalami tasawuf. Saya akan menjelaskan semua
itu dengan bahasa yang mudah difahami oleh kalangan awam dan kaum terpelajar ”.
Isi
Kandungan al-Azkar;
Kitab ini secara umumnya, dibahagikan mengikut
bab-bab tertentu mengenai doa-doa, zikir-zikir, dan adab-adab tertentu dalam
Islam. Di antara bab-bab tersebut adalah seperti:
1. Mukaddimah, keutamaan dan
kedudukan zikir, serta adab-adab asas tentang zikir dan doa.
2. Keutamaan dzikir.
3. Doa-doa seharian.
4. Adab-adab terhadap al-Qur'an.
5. Bab Pujian terhadap
Allah.
6. Selawat ke Atas Nabi.
7. Zikir-zikir dan Doa-doa
untuk hal-hal khusus tertentu.
8. Zikir-zikir yang dibaca
ketika solat, baik solat wajib ataupun yang sunnah.
9. Zikir-zikir tentang
Ramadhan, dan bulan-bulan tertentu.
10. Zikir-zikir yang
berkaitan dengan haji.
11. Zikir-zikir yang
berkaitan dengan jihad.
12. Zikir-zikir ketika makan
dan minum.
13. Zikir dan adab-adab
ketika bersin, serta sunnah mendoakan keselamatan.
14. Zikir-zikir yang
berkaitan dengan pernikahan.
15. Bab nama dan kun-yah
(gelaran).
16. Pelbagai zikir-zikir yang
bersifat umum.
17. Bab menjaga lisan.
18. Adab-adab berdoa.
19. Bab Istighfar.
Dan banyak lagi sub-perbahasan
yang lainnya yang mana di dalamnya menghimpunkan berbagai jenis doa dan zikir-zikir
yang diambil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.
Kitab-kitab yang berkaitan dengan
kitab al-Azkar;
Berikut dilampirkan beberapa buah yang
menghuraikan, memberi catatan ringkas dan mentakhrij hadis-hadis dalam kitab al-Azkar
al-Nawawiyyah;
1.
Nata-ij al-Afkar fi Takhrij Ahadits al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar
al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini al-‘Asqalani telah memberi komentar dan
mentakhrij terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Kitab ini
boleh didownload di pautan berikut: http://read.kitabklasik.net/2010/07/nataij-al-afkar-fi-takhrij-ahaditsi-al.html
2.
Amali al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar
al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini juga al-‘Asqalani telah mentakhrij dan memberi komentar
mengenai kedudukan hadis-hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar.
3. Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar, karya al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Sayuthi
(911H). Dalam kitab ini al-Sayuthi memberikan beberapa catatan ringkas mengenai
sebahagian hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Catatan-catatan
tersebut diambil oleh al-Sayuthi dari kitab Amali al-Azkar, iaitu
sebuah karya al-Hafizh Ibn hajar al-‘Asqalani. Oleh itu kitab Tuhfah al-Abrar
ini boleh dianggap sebagai ringkasan kitab al-Amali tersebut. Kitab ini boleh
didownload di pautan berikut: http://ia600604.us.archive.org/17/items/waq8797/8797.pdf
4. al-Futuhat
al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, karya al-Allamah
Syeikh Muhammad bin ‘Allan al-Siddiqi al-Syafi’i (1057H). Kitab ini merupakan kitab yang menghuraikan
kandungan kitab al-Azkar agak terperinci. Ibn ‘Allan telah mentakhrij
hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar dan menghuraikan maksud hadis-hadis
di dalamnya. Kitab ini dianggap sebagai kitab pertama yang menghuraikan
(mensyarah) isi kandungan kitab al-Azkar. Kitab ini telah dicetak oleh
kebanyakan penerbit sebanyak 7 jilid. Kitab ini boleh dibaca dan didownload di
pautan berikut: http://archive.org/details/futohat
Terjemahan kitab al-Azkar al-Nawawiyyah;
Kitab al-Azkar telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau Indonesia oleh beberapa syarikat
penerbitan, antaranya;
1. Terjemahan
al-Azkar Imam an-Nawawi; Jadikan
Zikir Sebagai Amalan dan penyuluh
Hidup. Diterjemahkan oleh Panel penterjemah dari kitab yang ditahqiq
Muhammad Abdul Qadir Syahin. Diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication (C-2,
2010), dengan ketebalannya 699 halaman.
2. الأذكار terjemah al-Azkar:
pilihan dari kalimat-kalimat Rasulullah s.a.w. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (C-?, 2000)
dengan ketebalan 837 halaman.
3. Al-Adzkar: kumpulan doa dan zikir. Diterjemahkan
oleh Syed Ahmad Semait dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura
(2000). Buku ini telah diterbitkan
dalam dua edisi, iaitu edisi Rumi dan Jawi.
4. Tarjamah al-Adzkar an-Nawawi
(mutiara ibadah, dzikir, doa). Telah diterjemahkan oleh Alhamid dan Zaid Husein dan diterbitkan oleh Alharamain, Kuala Lumpur (1985).
5. Al-Adzkar :
ensiklopedi do'a dan dzikir dalam al-Quran dan as-Sunnah as-Shahihah. Diterjemahkan oleh Ghafur Saub, dan Irfanuddin Rafiuddin.
Diterbitkan oleh Pustaka as-Sunnah,
Jakarta (2007)
6. Ensiklopedi mutiara doa,
dzikir & amalan harian Nabi. Diterbitkan oleh Rabitha Press, Jakarta (2009)
7. Tarjamahan al-Adzkar. Diterbitkan oleh PT AlMa'arif,
Bandung (1984).
Semoga bermanfaat.
kitab ni ada terjemahan bahasa melayu? mana boleh beli?
ReplyDeletesalam.
ReplyDeleteSetahu saya, dua buah buku terjemahan al-Azkar berikut masih ada dijual di beberapa kedai buku di Malaysia;
1. al-Azkar: Kumpulan Doa dan Zikir, terjemahan Sayed Ahmad Semait. Terbitan: Pustaka Nasional Singapura.
2. Terjemahan al-Azkar Imam an-Nawawi, Terbitan al-Hidayah Publication.
Mengenai buku bernombor 1 di atas -saya hanya tunjuk satu kedai sahaja di kota bharu Kelantan, iaitu Syarikat Ja’afar Rawas , boleh juga beli secara online di pautan berikut: http://www.sjr.com.my/index.php?cPath=1. Sebenarnya banyak lagi kedai lain.
Sebenarnya, saya sekarang ni berada di Sandakan, Sabah, saya pernah tengok ada juga buku di atas dijual di sebuah kedai buku di bandar Sandakan. Kalau sahabat mahu beli secara online buku bernombor 2 di atas, boleh juga melalui pautan berikut http://www.telagailmu.com/terjemahan-al-azkar-imam-an-nawawi/132/.
https://www.youtube.com/watch?v=Kc3TkBrks_s
ReplyDeleteDaurah Kitab Al Azkar ( TG Baba Mashadi Masyuti ) Siri 1
ReplyDeleteAssalamualaikum, mohon izinkan saya mengambil manfaat terjemahan mukadimah al azkar dar blog ini dan saya masukkan ke dalam blog saya. Juga saya nyatakan terjemahan tersebut diambil dari laman blog ini sebagai penghargaan.
ReplyDeleteAda kitab terjemahan dan tahqiq; Shahih dan Dha'if Kitab al-Adzkar ditahqiq oleh Syaikh Salim bin'Ied al-Hilali. Penerbit Pustaka Imam Asy-Syafie, tahun 2009 M.
ReplyDeleteIzin tanya..klo maksud dari fasl dalam kitab ini qpa yah?🙏
ReplyDelete