Thursday, March 31, 2016

Mukhtashar Fiqh al-Sunnah


Kitab Mukhtashar Fiqh al-Sunnah (مختصر فقه السنة ) adalah sebuah buku yang disusun oleh Syaikh Sulaiman bin Ahmad al-Faifi  sebagai ringkasan bagi kitab Fiqh al-Sunnah, iaitu sebuah karya utama al-Allamah Syaikh Sayyid Sabiq (1915-2000).

Sebagaimana yang diketahui bahawa kitab Fiqh al-Sunnah sangat terkenal di kalangan masyarakat Islam dan menjadi rujukan para ulama masa kini, khususnya mengenai masalah perbandingan mazhab. Penyusunannya dengan bahasa yang mudah, tanpa memuatkan istilah-istilah fiqh yang berat membuatkan kitab Fiqh al-Sunnah sangat popular dan menjadi rujukan masyarakat. Sehingga kini, kitab Fiqh al-Sunnah telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Indonesia.

Dalam kata pengantar bagi kitab Mukhtashar Fiqh Sunnah ini, seorang pengarang Islam yang terkenal masa kini iaitu Syaikh Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni telah memperihalkan mengenai kitab ini, katanya;

Kitab ringkasan ini selain lebih mudah dibawa juga dapat dijadikan rujukan oleh seorang muslim di setiap waktu sehingga ia pun boleh selalu memperbaharui pengetahuan tentang fiqh al-‘amal (fiqih praktikal) dan sentiasa mengingatnya”.

Usaha penyusunan kitab Mukhtashar Fiqh al-Sunnah ini dilakukan oleh peringkasnya dengan teliti agar ia tetap menjaga kesamaan dan ketersampaian isi pembahasan yang terkandung di dalam kitab induknya. Penyajiannya yang cukup dalam satu jilid saja tentu memberi nilai kepraktisan tersendiri dibandingkan naskah asalnya yang telah dicetak dalam 3 jilid.

Sebagaimana kitab asalnya, kelebihan kitab ini adalah dalam setiap pembahasan selalu disertakan dalil dari al-Quran, hadis, dan ijmak para ulama. Bahkan beberapa hadis yang belum ditakhrij di kitab induknya kini telah dilengkapi. Selain itu, peringkas juga telah meringkas seluruh tema pembahasan dan masalah fiqh yang ada dalam kitab aslinya sehingga pembaca dapat dengan mudah memahami inti dari setiap pembahasan.

Kitab ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2011 oleh Dar al-Hadharah, Riyadh Arab Sa’udi. Ketebalan edisi ini merangkumi 702 halaman.

Sekadar pencarian di laman maya, saya dapati kitab Mukhtashar Fiqh Sunnah ini telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, March 29, 2016

al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami


Kitab al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami  (الوجيز في الفقه الإسلامي ) merupakan sebuah karya fiqh perbandingan mazhab yang diusahakan penyusunan oleh al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah bin Musthafa al-Zuhaili  r.h (1932-2015).  Seorang tokoh ulama terkenal di dunia Islam.

Kitab ini bagaikan sebuah ringkasan kepada karya fiqh terbesar Dr. Wahbah al-Zuhaili, iaitu kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (الفقه الإسلامي وأدلته) yang pernah diterbitkan sebanyak 11 jilid. Namun begitu, perlu dimaklumkan bahawa kitab ini bukanlah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai ringkasan kepada al-Fiqh al-Islami wa AdillatuhBahkan ia adalah sebuah karya yang tersendiri, disusun sebagai ringkasan kepada pembendaharaan fiqh secara umumnya. Kedua-dua kitab ini mempunyai ciri-ciri dan kelebihan tersendiri. 

Penyusunan kitab ini berdasarkan konsep fiqh al-nash yang memaparkan sesuatu permasalahan hukum yang berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Kemudian setiap tajuk dan perbincangan fiqh akan dikaitkan dengan maqasid dan kaedah-kaedah fiqh yang muktabar sesuai dengan konsep yang ingin diterapkan oleh penyusunnya, iaitu fiqh al-mabadi’ wal maqasid. Kitab ini sesuai dijadikan sandaran dan rujukan umum dalam masalah-masalah fiqh tanpa terikat dengan perbincangan furu’ yang berjela-jela.

Secara umumnya kandungan kitab ini dapat dibahagikan kepada empat perbahasan hukum syarak, iaitu; 

Pembahasan mengenai hukum hakam yang berkaitan dengan ibadat, yang dimulai dengan bab bersuci (taharah), solat, zakat, puasa, haji dan beberapa permasalahan ibadat yang lain seperti sumpah, nazar, akikah, korban, perburuan dan sembelihan.

- Perbahasan mengenai muamalat dan hubungan kemasyarakatan.

Perbahasan mengenai beberapa hukum-hukum yang umum seperti hukum jenayah, hudud dan qisas, hukum kenegaraan seperti yang berkaitan dengan jihad dan peperangan. Juga diterangkan permasalahan kehakiman seperti pendakwaan dan penyaksian.

- Perbahasan permasalahan hukum kekeluargaan dan diakhiri dengan permasalahan wasiat, wakaf dan pusaka (mirath).

Berdasarkan edisi yang  diterbitkan oleh Dar al-Fikr, Dimasyq, dengan cetakan keduanya pada tahun 2007, kitab telah diterbitkan sebanyak 3 jilid. Kitab ini boleh dibaca dengan memuat turun file PDF nya  melalui   pautan berikut;  CoverJilid 1Jilid 2Jilid 3

Semoga bermanfaat

Monday, March 21, 2016

Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’


Kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’  (فقه السنة للنساء) atau judul lengkapnya Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ wa Ma yajibu an Ta’rifahu kullu Muslimah min Ahkam (فقه السنة للنساء وما يجب أن تعرفه كل مسلمة من أحكام) adalah sebuah karya fiqh susunan Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim.

Kandungannya memuatkan penjelasan mengenai fiqh wanita secara lengkap, dengan bahasa yang mudah difahami. Ia disusun dalam bentuk yang amat padat dan ringkas tetapi penuh dengan nilai-nilai yang ilmiah. Sebuah buku yang baik untuk para wanita khususnya dan umat Islam umumnya. Permasalahan fiqh dalam kitab ini dibentangkan tanpa mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi mengikut pendapat yang dianggap sahih oleh penyusunnya berdasarkan penelitian beliau terhadap dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam pendahuluan kitab ini, Syaikh Abu Malik Kamal menerangkan kaedah penyusunan karya beliau ini;

Kami telah berusaha semaksimal mungkin untuk menyajikan buku ini dengan metod yang sesuai dengan para muslimah masa kini. Saya mudahkan gaya bahasanya dan saya perjelaskan pelbagai permasalahan mengikut kemampuan saya dengan tetap menjaga kedalaman fiqh serta pelbagai kaedah yang berlaku dalamnya. Saya cukupkan hanya dengan menyebutkan dalil dari al-Quran dan al-Sunnah untuk setiap permasalahan dan di kebanyakan kesempatan saya tidak menyebutkan perbezaan pendapat yang berlaku, dan merasa cukup dengan pendapat yang memiliki dalil yang lebih kuat…… Namun begitu, terkadang kami menyebutkan juga beberapa perbezaan yang berlaku  dengan tujuan agar paa pelajar dapat mengetahui bahawa dalam masalah tertentu ada pendapat lain selain pendapat yang saya anggap kuat.. …”

Antara tajuk-tajuk utama yang terlibat di dalam perbahasan dalam buku ini adalah sekitar isu-isu asas seperti thaharah (bersuci), solat, pengurusan jenazah, zakat, puasa, umrah dan haji, sehinggalah kepada persoalan-persoalan fiqh yang lainnya termasuk persoalan nazar & sumpah, makanan & minuman, udhiyah (korban), pakaian & perhiasan, pernikahan, penceraian dan perwarisan.

Kitab ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2001 oleh Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah dalam satu jilid.


Terjemahan kitab ini

Di sini, saya hanya ingin menyebutkan dua versi terjemahan kitab ini yang ada dalam koleksi saya, iaitu satu dalam bahasa Indonesia dan satu lagi dalam bahasa Malaysia.


      a)     Ensiklopedi Fiqih Wanita

Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta dengan cetakan pertamanya pada tahun 2006. Manakala edisi yang saya miliki adalah dari cetakan ke enam pada tahun 2012. Buku ini merupakan terjemahan lengkap daripada kitab asalnya, iaitu terbitan Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah pada tahun 2001. Edisi terjemahan ini merangkumi keseluruhan kandungan kitab asalnya, termasuk kata pengantar dari beberapa orang ulama mengenai kandungan buku dan muqaddimah pengarangnya. Buku ini diterbitkan dalam dua jilid. Jilid pertama setebal 528 halaman, manakala jilid kedua setebal 518 halaman.


      b)     Indahnya Hidup Wanita Bersyariat

Buku ini diterbitkan oleh Crescent News, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2013. Ia diterbitkan dalam satu jilid setebal 1199 halaman. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam buku ini, penyusunnya adalah Fatimah Hj Omar dan Syawana Aziz. Ia tidak menyebutkan buku ini sebagai edisi terjemahan dan tidak menyertakan nama pengarang asalnya.

Saya telah membuat perbandingan isi kandungannya dengan kitab asal  yang berbahasa Arab dan terjemahannya dalam bahasa Indonesia, saya dapati  kandungannya adalah sama dan dipastikan ia adalah terjemahan bagi kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ karya Abu Malik Kamal ini. Isi kandungannya meliputi hampir semua kandungan kitab asalnya, hanya bab pewarisan, iaitu bab terakhir dan muqaddimah pengarang serta kata penutup pengarang kitab asalnya tidak lampirkan. Pengubahsuaian bab juga dilakukan, dengan memecahkan sebahagian bab asalnya kepada beberapa bab yang baru. Beberapa nota kaki yang disediakan oleh pengarang yang terdapat dalam kitab asalnya juga dikekalkan dalam buku ini.

Semoga catatan ini bermanfaat.

Friday, March 18, 2016

al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar


Kitab al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar (الفقه الشافعي الميسر) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i semasa yang disusun oleh seorang ulama dan tokoh fiqh terkenal masa kini, iaitu al-'Allamah Prof. Dr Wahbah al-Zuhaili (1932-2015)

Kitab ini memuatkan perbincangan hukum hakam Islam dalam berbagai aspek kehidupan berdasarkan hasil ijtihad Imam al-Syafi’i dan para tokoh ulama mazhab Syafi’i terdahulu.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, kandungan karya beliau ini disusun berdasarkan berbagai pendapat mazhab Syafi’i yang dianggap muktamad sebagaimanan yang terdapat dalam dua kitab karya Imam al-Nawawi r.h (676H), iaitu kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan Minhaj al-Thalibin, tanpa merujuk kepada karya Imam al-Nawawi yang lain atau kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i yang lain.

Secara umumnya, kandungan kitab ini disusun dalam lima bab, yang didahului dengan sebuah pendahuluannya yang memuatkan biografi Imam Syafi’i dan keistimewaan Mazhab Syafi’i. Berikut adalah ringkasan kandungan kitab al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar;

Bab 1: Thaharah dan Ibadat
Bab 2: Muamalat
Bab 3: Kekeluargaan Islam
Bab 4: Jinayah, Hudud dan Jihad
Bab 5: Kaedah Pembuktian dan Keputusan Hukum

Berdasarkan cetakan pertama tahun 2008 oleh Dar al-Fikr, Syria kitab ini diterbitkan dalam dua jilid (juzuk). Untuk membaca kitab ini dalam bentuk fail PDF, sila klik pautan CoverJilid 1Jilid 2.

Terjemahan  kitab ini..

Sekadar perkongsian maklumat, terjemahan kitab ini dalam bahasa Indonesia ada diterbitkan oleh Almahira, Jakarta dengan cetakan pertamanya pada tahun 2010. Buku terjemahan dengan judul Fiqih Imam Syafi’i ini diterbitkan dalam 3 jilid.

Semoga bermanfaat.

Thursday, March 17, 2016

Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfazh al-Minhaj


Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfazh al-Minhaj (مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i. Ia adalah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Thalibin karya al-Imam Abu Zakariyya al-Nawawi (676H).

Kitab yang dikenali dengan judul ringkas Mughni al-Muhtaj ini disusun oleh seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafi’i pada zamannya, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syirbini al-Qahiri (977H). Di kalangan ulama mazhab Syafi’i beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khathib al-Syirbini.

Kitab Mughni al-Muhtaj ini dianggap  antara tiga buah kitab huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Thalibin yang utama menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i, selain kitab Tuhfah al-Muhtaj karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H)  dan kitab Nihayah al-Muhtaj karya Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah bin Syihabuddin al-Ramli al-Manufi al-Mishri al-Anshari (919-1004H).

Imam al-Khathib al-Syirbini menyusun syarah (huraian) kitab al-Minhaj ini sebagai memenuhi permintaan para sahabatnya, yang memerlukan sebuah karya yang dapat memperjelaskan maksud kitab al-Minhaj. Ketika pertama kali menerima permintaan dari para sahabatnya itu, beliau merasa ragu-ragu untuk memenuhi permintaan tersebut. Apabila beliau diberikan kesempatan oleh Allah SWT menziarahi Masjid Nabawi dan solat dua raka’at di Raudhah, tergerak hati beliau untuk merealisasikan permintaan para sahabatnya untuk menulis syarah bagi kitab al-Minhaj.

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, al-Khathib al-Syirbini cuba menjelaskan kata-kata yang susah difahami yang terdapat dalam kitab al-Minhaj. Beliau juga berusaha menjelaskan kitab al-Minhaj dengan penjelasan yang ringkas, tetapi jelas sehingga karya beliau ini tidak terlalu tebal. Kitab yang telah diterbitkan sebanyak 4 jilid ini sangat besar manfaat dan patut dimiliki dan dikaji oleh mereka yang ingin mendalami mazhab Syafi’i.

Untuk men‘download’ kitab Mughni al-Muhtaj dalam bentuk fail PDF sila klik Cover depan, Jilid 1, Jilid 2, Jilid 3, Jilid 4.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, March 15, 2016

Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj


Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal dan dianggap antara kitab rujukan utama di kalangan ulama mazhab Syafi’i yang mutaakhirin. Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah bin Syihabuddin al-Ramli al-Manufi al-Mishri al-Anshari (919-1004H), atau yang biasa dikenali dengan nama Imam al-Ramli. Beliau terkenal dengan julukan “al-Syafi’i al-Shaghir” (Imam Syafi’i kecil).

Sebagaimana judulnya, kitab Nihayah al-Muhtaj disusun  oleh Imam al-Ramli sebagai sebuah kitab syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, iaitu sebuah kitab fiqh karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab Nihayatul Muhtaj adalah salah satu kitab syarah terbaik di antara sekian banyak kitab syarah Minhaj al-Thalibin. Bahkan menurut sebahagian ulama kitab ini menempati urutan kedua terbaik syarah al-Minhaj setelah kitab Tuhfatul Muhtaj karya Imam Ibnu Hajar al-Haytami (973H).

Kitab ini mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi’i. Ramai para ulama Syafi’iyah setelah masa Imam al-Ramli yang memuji kehebatan dan keunggulan kitab ini bersama kitab al-Tuhfah, sehingga kebanyakan ulama Syafi’iyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa.

Kitab Nihayah al-Muhtaj ini pernah disodorkan, dibacakan, diminta kritik serta diminta betulkan oleh pengarangnya sendiri di hadapan lebih dari 400 ulama dan setelah mereka mengkaji secara saksama, mereka menyatakan shahih tanpa meragukan sedikitpun terhadap keabsahannya.

Selain menghuraikan isi kandungan kitab al-Minhaj dan menjelaskan maknanya, Imam al-Ramli juga memperjelas permasalahannya, serta menambahkan dalil-dalil syar’iyah dari al Qur’an, al-Sunnah dan pendapat-pendapat para ulama mazhab Syafi’i yang muktabar, sama ada di kalangan tokoh ulama generasi terdahulu (mutaqqimin) atau terkemudiaan (mutaakhirin).

Sistematik penyusunan kitab ini adalah sama dengan kaedah penyusunan kitab al-Minhaj dari segi susunan bab perbahasannya, iaitu dimulai dengan kitab al-Thaharah (bersuci) dan diakhiri dengan kitab Ummahatil Aulad.

Mengikut versi kitab yang diterbitkan Darul Kutub al-Ilmiyah, kitab ini dicetak dengan 8 jilid berserta dua hasyiyahnya, iaitu Hasyiyah Abu al-Dhiya’ Nuruddin Ali bin Ali al-Syibramalisi (977-1087H) dan Hasyiyah Ahmad bin Abdur Razaq bin Muhammad atau yang dikenal dengan sebutan al-Maghribi al-Rasyidi (1087H).

Untuk membaca dan memuat turun kitab Nihayah al-Muhtaj dalam bentuk fail PDF, sila klik Cover, Jilid 1, Jilid 2, Jilid 3, Jilid 4, Jilid 5, Jilid 6, Jilid 7, Jilid 8.  Semoga bermanfaat.

Sunday, March 13, 2016

al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah


Kitab al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyah (المفصل في أحكام المرأة و البيت المسلم في الشريعة الإسلامية) merupakan sebuah kitab fiqh semasa yang disusun oleh seorang tokoh ulama fiqh dan pemikir Islam terkenal yang berasal dari negara Iraq, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan (1917-2014). Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan telah meninggal dunia pada 27 Januari 2014 di bandar San’aa’, ibu negara Yaman.

Sebagaimana judulnya, kitab fiqh ini membincangkan permasalahan hukum yang khusus tentang fiqh wanita. Kalau kita telurusi lebih mendalam, sebenarnya kitab ini merupakan karya ilmu fiqh yang cukup lengkap, mulai dari urusan thaharah (bersuci) sampai urusan yang paling luas seperti pentadiran negara, jihad dan seterusnya.

Uniknya, berbeza dengan kaedah penyusunan  buku-buku  pada umumnya, kandungan buku ini dibuat dengan sistem nombor yang berurutan pada setiap sub judul atau sub pembahasan. Mulai dari jilid satu sampai jilid terakhir iaitu jilid 11, nombor-nombor itu terus disusun berurutan.

Pada jilid terakhir, kita akan menemukan nombor itu berjumlah 13,009. Hal itu bererti ada tiga belas ribuan nombor sub pembahasan dalam 11 jilid kitab ini. Yang sedikit berbeza lainnya adalah setiap memulai sub pembahasan baru, penulis tidak memulai dari definisi secara etimologi dan terminologi seperti umumnya tulisan ilmiyah, melainkan justru memulai dari ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang terkait dengan tema pembahasan. Kemudian dilanjutkan dengan mencantumkan kutipan dari kitab-kitab tafsir yang muktamad, dan diikuti dengan pendapat-pendapat para ulama fiqh yang muktamad yang dikutip dari kitab-kitab mereka.

Kitab al-Mufashshal ini yang diterbitkan oleh Muassasah al-Risalah dengan cetakan pertamanya pada tahun 1993 boleh dimuat turun melalui pautan berikut; http://waqfeya.com/book.php?bid=2676. Semoga bermanfaat.

Friday, March 4, 2016

Mukhtashar Ihya Ulumuddin


Kitab Mukhtashar Ihya Ulumuddin (مختصر إحياء علوم الدين) ini merupakan ringkasan dari kitab Ihya Ulumuddin, iaitu  sebuah karya agung susunan al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhamad al-Ghazali (505H). Sebuah karya agama yang dianggap sebagai sebuah ensikopedia yang menggabungkan tiga asas agama iaitu bidang akidah, ibadat (syariat) dan akhlak (tasawuf).

Sebagaimana yang diketahui bahawa kitab Ihya ‘Ulumiddin mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam, khususnya dalam bidang kerohanian Islam yang dikenali dengan istilah tasawuf. Melalui usaha beliau yang murni, ramai mulai sedar bahawa aspek sufistik juga mempunyai peranan yang besar dalam mengharmonikan kehidupan dan memberikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat.

Kendati sudah banyak ringkasan kitab Ihya ‘Ulumiddin yang telah disusun oleh para ulama, ringkasan Ihya Ulumuddin yang disebutkan dalam catatan ini memiliki keistimewaan kerana proses penyusunannya dilakukan sendiri oleh Imam al-Ghazali, dengan memelihara dan mengekalkan intisari serta tujuan kitab asalnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kata pengantarnya, “Saya telah meringkaskan kitab ini disebabkan sulitnya membawa buku Ihya’ dalam perjalanan”.

Kitab ringkasan Ihya ‘Ulumiddin juga dikenali dengan judul “ Lubab Ihya ‘Ulumiddin ” ( لباب إحياء علوم الدين ) di kalangan para ulama dan disebutkan dalam karya-karya mereka. Sekadar catatan, kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu dan Indonesia. Sehingga kini karya-karya terjemahan kitab ini telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di negara ini.

Selain buku-buku terjemahan moden ini, sebenarnya terdapat sebuah karya dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin ini telah disusun oleh seorang ulama Nusantara terdahulu. Karya tersebut adalah kitab yang berjudul “ Siyar al-Salikin ila ‘Ibadah Rabb al-‘Alamin” karya ‘al-‘Allamah Syaikh Abdul Shamad bin Abdullah al-Jawi al-Palembani (1704-1832H). Seorang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera. Sebagaimana yang dijelaskan oleh penyusunnya Kitab Siyar al-Salikin ini merupakan sebuah kitab terjemahan dan huraian bagi kitab Lubab Ihya ‘Ulumiddin karya Imam al-Ghazali tersebut.

Kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan http://www.ghazali.org/books/lubab.pdf.

Semoga bermanfaat.