Tuesday, March 29, 2016

al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami


Kitab al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami  (الوجيز في الفقه الإسلامي ) merupakan sebuah karya fiqh perbandingan mazhab yang diusahakan penyusunan oleh al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah bin Musthafa al-Zuhaili  r.h (1932-2015).  Seorang tokoh ulama terkenal di dunia Islam.

Kitab ini bagaikan sebuah ringkasan kepada karya fiqh terbesar Dr. Wahbah al-Zuhaili, iaitu kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (الفقه الإسلامي وأدلته) yang pernah diterbitkan sebanyak 11 jilid. Namun begitu, perlu dimaklumkan bahawa kitab ini bukanlah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai ringkasan kepada al-Fiqh al-Islami wa AdillatuhBahkan ia adalah sebuah karya yang tersendiri, disusun sebagai ringkasan kepada pembendaharaan fiqh secara umumnya. Kedua-dua kitab ini mempunyai ciri-ciri dan kelebihan tersendiri. 

Penyusunan kitab ini berdasarkan konsep fiqh al-nash yang memaparkan sesuatu permasalahan hukum yang berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Kemudian setiap tajuk dan perbincangan fiqh akan dikaitkan dengan maqasid dan kaedah-kaedah fiqh yang muktabar sesuai dengan konsep yang ingin diterapkan oleh penyusunnya, iaitu fiqh al-mabadi’ wal maqasid. Kitab ini sesuai dijadikan sandaran dan rujukan umum dalam masalah-masalah fiqh tanpa terikat dengan perbincangan furu’ yang berjela-jela.

Secara umumnya kandungan kitab ini dapat dibahagikan kepada empat perbahasan hukum syarak, iaitu; 

Pembahasan mengenai hukum hakam yang berkaitan dengan ibadat, yang dimulai dengan bab bersuci (taharah), solat, zakat, puasa, haji dan beberapa permasalahan ibadat yang lain seperti sumpah, nazar, akikah, korban, perburuan dan sembelihan.

- Perbahasan mengenai muamalat dan hubungan kemasyarakatan.

Perbahasan mengenai beberapa hukum-hukum yang umum seperti hukum jenayah, hudud dan qisas, hukum kenegaraan seperti yang berkaitan dengan jihad dan peperangan. Juga diterangkan permasalahan kehakiman seperti pendakwaan dan penyaksian.

- Perbahasan permasalahan hukum kekeluargaan dan diakhiri dengan permasalahan wasiat, wakaf dan pusaka (mirath).

Berdasarkan edisi yang  diterbitkan oleh Dar al-Fikr, Dimasyq, dengan cetakan keduanya pada tahun 2007, kitab telah diterbitkan sebanyak 3 jilid. Kitab ini boleh dibaca dengan memuat turun file PDF nya  melalui   pautan berikut;  CoverJilid 1Jilid 2Jilid 3

Semoga bermanfaat

No comments:

Post a Comment