Friday, December 30, 2016

QURRAH AL-'AIN (قرة العين)

      a)     Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (قرة العين بمهمات الدين)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-‘Allamah Syaikh Zaynuddin bin Abdul Aziz bin Zaynuddin al-Malibari al-Fannani (987H). Kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab Manhaj al-Thullab Manhaj al-Thullab karya Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H). Syaikh Zainuddin al-Malibari kemudiannya telah menyusun sebuah karya lain sebagai huraian (syarah) bagi kitab ini melalui karyanya yang berjudul Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-'Ain[1]. Selain huraian (syarah) oleh penyusunnya, kitab ini juga telah disyarah oleh al-‘Allamah Muhammad Nawawi al-Banteni (1230H/1813M) dengan karyanya Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in Syarh Qurrah al-‘Ain.
  
b)  Qurrah al-‘Ain li man Wa’a fi Istihbab Raf’i al-Yadayn fi al-Du’a (قرة العين لمن وعى في استحباب رفع اليدين في الدعاء).
Sebuah kitab yang mengemukakan dalil-dalil daripada hadis Nabi saw yang menerangkan sunat (mustahab) mengangkat tangan ketika berdoa. Kitab ini adalah karya al-Muhaddis Ahmad bin Ali al-Syafi’i al-Azhari al-Ghazzi (1179H)[2].

c)   Qurrah al-‘Ain fi Dhabt Asma’ Rijal al-Shahihain[1] (قرة العين في ضبط أسماء رجال الصحيحين)
Kitab ini menerangkan mengenai nama-nama periwayat kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Ia merupakan sebuah karya al-‘Allamah Abdul Ghani bin Ahmad al-Bahrani. Beliau masih hidup pada tahun 1174H.




[1] Kitab ini telah diberi  komentarnya (hasyiah) oleh al-‘Allamah Abu Bakr Syatha al-Diyamthi melalui karyanya I’anah al-Thalibin.
[2] Baca biadatanya di pautan http://shamela.ws/index.php/author/2802 (Bahasa Arab)

Tuesday, December 6, 2016

al-Iqna’ (الإقناع)


a)  al-Iqna’ fi al-Fiqh al-Syafi’i (الإقناع في الفقه الشافعي)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri al-Baghdadi (364-450H). Baca maklumat lanjut di http://abusyahmin.blogspot.my/2016/02/al-iqna-fi-al-fiqh-al-syafii.html

b)  al-Iqna’ fi Masail al-Ijma’ (الإقناع في مسائل الإجماع)
Sebuah kitab yang memhimpun beberapa permasalahan hukum yang dianggap menjadi ijmak para ulama. Kitab ini disusun oleh al-Imam Ibn al-Qaththan Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Abdul Malik al-Katami al-Hamiri al-Fasi (). Kitab ini boleh dimuat turun di pautan berikut;

c)  al-Iqna’ fi Hal Alfazh Abi Syuja’  (الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-‘Allamah Muhammad Al-Khathib al-Syarbini (977H). Baca maklumat lanjut mengenai kitab ini di pautan http://abusyahmin.blogspot.my/2013/09/kitab-al-iqna-fi-hall-alfaz-abi-syuja.html

d)  al-Iqna’ li Thalib al-Intifa’ (الإقناع لطالب الانتفاع
Sebuah kitab fiqh mazhab Hanbali karya Syarafuddin Abu al-Naja Musa bin Ahmad al-Hijjawi al-Maqdisi, al-Dimasyqi al-Hanbali (895-968H). Maklumat maklumat lanjut mengenai kitab ini, boleh dibaca sebuah artikel (dalam bahasa Arab) di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t3139.html. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  http://waqfeya.com/book.php?bid=4999.

Wednesday, November 30, 2016

Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Thahawi


Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Imam ‘Allamah al-Hafiz al-Muhaddis Abu Ja’far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Azdi al-Thahawi al-Hanafi (239-321H) merupakan sebuah karya dalam bidang tafsir yang menbincangkan secara khusus mengenai ayat-ayat hukum yang terdapat al-Quran. Perbincangan dalam kitab ini diolah dalam bentuk fiqh perbandingan (fiqh al-muqaran) oleh Imam Abu Ja’far al-Thahawi. Kitab ini telah disusun oleh Imam al-Thahawi dalam 4 juzuz. 

Kitab ini termasuk antara kitab-kitab lama telah hilang dan tidak ditemui oleh para penyelidik dan pembaca. Namun begitu dengan takdir Allah SWT, beberapa tahun yang lalu, satu juzuk daripadanya, iaitu juzuk yang pertama yang dari 4 juzuk tersebut telah ditemui oleh para penyelidik. Juzuk pertama yang ditemui ini telah ditahqiq oleh Dr Sa’aduddin Unal dan diterbitkan untuk pertama kali pada tahun 1995 oleh Pusat Penyelidikan Islam (ISAM), iaitu sebuah organisasi di bawah Kementerian Agama Turki. Juzuz pertama  ini telah dicetak dalam 2 jilid. 

Kandungan kitab ini disusun berdasarkan bab-bab fiqh sebagaimana kaedah yang digunakan oleh para fuqaha dalam penyusunan kitab-kitab fiqh yang terkenal. Ketika hendak mentafsir sesuatu ayat, penyusun terlebih dahulu  menyebutkan  “ Takwil Qawl Allah …”dan disusuli potongan ayat yang ingin diterangkan maknanya, kemudian diterangkan beberapa wajah qiraat dan sebab turun sesuatu ayat, jika ada.

Berikut adalah sumber tafsir yang digunakan oleh al-Thahawi dalam penyusunan kitab Ahkam al-Quran mengikut tertibnya, iaitu;

-          Al-Quran 
-          al-Sunnah,
-          Kata-kata dan Perbuatan Sahabat
-          Pendapat para Tabi’in dan para Imam Mujtahid.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini,  sila baca kedua-dua jilid kitab Ahkam al-Quran ini, di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Tuesday, November 1, 2016

Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya ...


Buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya…” merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Sebagaimana judulnya, penulis telah menerangkan tujuan buku ini disusun  “ agar ia menjadi  sebuah rujukan yang menghimpunkan penjelasan para ulama’ muktabar dalam menjawab persoalan khilafiyyah ”.

Kandungan buku ini menerangkan persoalan-persoalan mengenai khilafiyyah beserta dengan penjelasan yang kukuh daripada ulama'-ulama' Islam dalam masyarakat yang mencakupi bidang-bidang akidah, syariah dan akhlak, mencakupi 179 persoalan semuanya. Kaedah huraiannya ialah berdasarkan kaedah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah.

Menurut penyusunnya “ Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain ”.

Dari maklumat yang saya perolehi, terdapat dua edisi terbitan buku ini. Di mana ia diterbitkan oleh dua syarikat penerbitan yang berbeza - dengan  sedikit perbezaan judulnya;



a)  Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’. Inilah Jawapannya… Ia diterbitkan oleh Mawleed Publishing Sdn. Bhd, dengan cetakan pertama pada Januari 2011 dan cetakan keduanya pada November 2011. Buku ini pada cetakan keduanya setebal 915 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan, muqaddimah penyusun dan kata-kata aluan para ulama.
  

   

    b)     Khilafiah: Persoalan & Penjelasan. Diterbitkan oleh  Inteam Publishing Sdn Bhd, dengan cetakan pertamanya pada  April 2013 dan cetakan keduanya pada Februari 2014. Buku ini pada cetakan keduanya setebal  737 halaman.


Penyusunnya telah menghasilkan sebuah karya yang lain sebagai ringkasan bagi buku ini. Buku ringkasan ini diberikan judul  “ Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya ”. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Semoga bermanfaat.

Saturday, October 22, 2016

UMMU AL-BARAHIN (أم البراهين)


Kitab Umm al-Barahin (أم البراهين) adalah sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Tokoh yang terkenal dengan gelaran Imam al-Sanusi ini, merupakan seorang tokoh terkenal Ahli Sunnah wa Jama’ah, yang mendokong fahaman akidah dari aliran al-Asya’irah. Beliau merupakan seorang ilmuan Islam yang disegani pada kurun ke 9 Hijrah. Beliau mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan disiplin ilmu akidah semasa hayat dan selepas kewafatannya. Beliau mempunyai pendekatan yang tersendiri, mudah dan ringkas dalam menyebarkan disiplin ini merupakan asas kepada penerimaan generasi berikutnya terhadap hasil karya al-Sanusi. Asas yang dibentuk oleh al-Sanusi menjadi acuan dalam perbincangan dan penulisan disiplin pengajian akidah selepasnya.

Kitab Umm al-Barahin yang juga dikenali dengan nama al-‘Aqidah al-Sughra dan Dhat al-Barahin adalah intipati dari kitab `Aqidah Ahl al-Tawhid, iaitu sebuah karya al-Sanusi sendiri yang juga dikenali dengan nama al-‘Aqidah al-Kubra. Penghasilan karya ini adalah kesinambungan dari usaha-usaha penghasilan karya ilmiah dalam bidang akidah sejak kurun kedua Hijrah lagi. Ia dihasilkan bagi memenuhi tuntutan semasa masyarakat Islam yang amat memerlukan kepada satu karya akidah yang kemas dan mantap untuk digunakan bagi menghadapi suasana semasa umat Islam yang amat mencabar, berikutan penularan pengaruh ilmu falsafah dalam perbahasan ilmu akidah, sehingga masyarakat tidak dapat membezakan di antara unsur agama iaitu akidah dengan unsur falsafah

Oleh yang demikian, sudah tentulah penulisan beliau dalam Umm al-Barahin ini berasaskan metode al-Asya`irah yang menggunakan metode mantik atau logik dan ilmu wahyu dalam proses pendalilan bagi mengisbatkan doktrin-doktrin akidah Islam.

Kandungan kitab Umm al-Barahin

Kebiasaan kandung kitab dalam bidang akidah perbahasan akidah akan meliputi  apa yang terkandung dalam Rukun Iman yang enam. Namun begitu, kitab kecil ini hanya membincangkan permasalahan akidah yang berkaitan dengan ketuhanan dan kenabian sahaja. Secara kasarnya kitab ini mengandungi empat bahagian utama iaitu:

Pertama : Penjelasan hukum akal. Dalam bahagian ini beliau menjelaskan bahawa ada tiga hukum akal iaitu al-wujub (wajib), al istihalah (mustahil) dan al-jawaz (harus).

Kedua : al-Ilahiyyat. Dalam bahagian ini al-Sanusi menetapkan dua puluh sifat yang wajib dan mustahil bagi Allah yang wajib diketahui oleh mukallaf dan satu sifat yang harus bagi Allah S.W.T. yang wajib diketahui oleh mukallaf.

Ketiga : al-Nubuwwat, Dalam bahagian ini al-Sanusi menetapkan hanya tiga sifat sahaja yang wajib dan mustahil dan satu sifat harus bagi rasul yang wajib atas setiap mukallaf mengetahuinya.

Keempat: Huraian dua kalimah al-Syahadah. Dalam bahagian ini al-Sanusi menghuraikan dua kalimah syahadah berasaskan sifat sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah S.W.T. dan Rasul a.s. di sini juga beliau menjelaskan dua sifat ketuhanan iaitu al-istighna’ dan al-iftiqar.

Dari ulasan ringkas kitab Umm al-Barahin di atas, dapatlah dirumuskan bahawa walaupun kitab ini adalah sebuah karya akidah yang kecil, ringkas dan padat, namun isi kandungannya mencakupi sebahagian besar asas akidah Islam iaitu al-ilahiyyat dan al-nubuwwat. Gaya bahasa yang digunakan oleh al-Sanusi mudah difahami dan ciri ini merupakan antara keistimewaan karya ini.

Syarah-Syarah kitab Umm al-Barahin

Berikut disebutkan beberapa karya akidah berbahasa Arab yang menghuraikan atau mensyarahkan kitab Umm al-Barahin. Kewujudan pelbagai versi kitab syarahan terhadap kitab Umm al-Barahin ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh Umm al-Barahin dalam kalangan para ulama’ yang menyusul selepas al-Sanusi, di antaranya : 

1.       Kitab Syarh al-‘Aqidah al-Sughra, karya Imam al-Sanusi sendiri[1]
2.      Kitab Hashiyah al-Bayjuri ‘ala Umm al-Barahin, karya al-`Allamah Ibrahim al-Bayjuri (1198H/1784M -1277H/1860.). 
3.      Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Muhammad al-Makki bin Muhammad bin ‘Ali Ibn ‘Abd al-Rahman al-Syarsyali, Abu Hamid al-Batawari (1355H/ 1936M). 
4.      Kitab Tali’ al-Busyra `ala al-`Aqidah al-Sanusiyyah al-Sughra, karya Ibrahim bin Ahmad al-Marighani al-Tunisi (1349H). 
5.      Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Ahmad bin `Isa al-Anshari (). 
6.      Kitab Tahdhib Syarh al-Sanusiyyah[2], karya Syaikh Sa’id ‘Abd al-Lathif Fawdah. 
7.      Kitab al-‘Aqa’id al-Durriyyah Syarh Matn al-Sanusiyyah, karya al-Shaykh Muhammad al-Hashimi dan dicetak di Matba`ah Mustafa al-Babi  al-Halabi, Mesir.
8.     Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Muhammad bin Mansur al-Hudhudi[3].

Karya-karya dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan kitab Umm al-Barahin

1.       Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din. Kitab ini dikarang oleh al-Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani. Ia dicetak di Matba‘ah bin Halabi, Thailand. Kata al-Syaikh Zayn al-`Abidin:

Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian itu sekalipun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[4].

Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah. Baca lagi...

2.       Kitab Bidayah al-Hidayah Syarh Matn Umm al-Barahin. Kitab yang dikarang oleh al-Syaikh Muhammad Zayn Ibn al-Faqih Jalal al-Din ini dicetak di Matba`ah bin Halabi, Fatani, Thailand. Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan terhadap kitab Umm al-Barahin di dalam bahasa Melayu (Jawi). Ia dikhususkan untuk golongan yang baru mendekati ilmu akidah[5]

3. Kitab Siraj al-Huda Pada Menyatakan `Aqidah Ahl al-Taqwa. Kitab ini dikarang oleh al-Syaikh Muhammad bin Zayn al-Din bin Muhammad Badawi al-Sambawi. Kitab ini adalah huraian kitab Umm al-Barahin dalam bahasa Melayu. Kata al-Syaikh Muhammad bin Zayn: 

Dan kemudian daripada itu maka sungguhnya telah meminta akan hamba oleh setengah daripada orang yang tiada meluaskan akan hamba oleh menyalahi akan dia bahawa hamba surat akan risalah yang yang indah dengan bahasa jawi hal keadaannya menjadi Syarah atas matan Umm al-Barahin [6].


4.  Kitab al-Muqaddimah al-Kubra allati Tafara`at Minha al-Natijah al-Suhgra. Kitab ini dikarang oleh al-Syaikh Isma’il Ibn al-Fadil ‘Abdullah al-Khalidi al-Naqshabandi. Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan kitab Umm al-Barahin. Kata Syaikh Isma’il:

Dan kemudian daripada itu maka inilah suatu risalah yang dipindahkan akan dari segala kitab usul al-din ertinya segala pohon agama daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, iaitu dipindahkan daripada Syarh Umm al-Barahin, karangan imam al-Sanusi dan mengait syarahnya itu jua al-Hudhudi Syarh Umm al-Barahin itu juga dan Tilimsani Sharh Umm al-Barahin itu jua dan Syarh Umm al-Barahin itu jua bagi al-Sanusi itu dan lainnya daripada segala kitab yang diambil faqir sedikit-sedikit sekadarkan dapat difahamkan oleh yang baharu belajar ilmu usul al-din yang berkehendak ia kepada menuntut perkataan-perkataan matan kitab yang bernama Umm al-Barahin karangan Imam al-Sanusi[7]

Kitab ini selesai dikarang oleh Syaikh Isma`il pada 15 Jamad al-Akhir, tahun 1304 Hijrah. Isi kandungan kitab ini dipersembahkan oleh Syaikh Isma`il dalam bentuk soal jawab.       

5.  Kitab Miftah al-Jannah. Kitab ini dikarang oleh Muhammad Tayyib Ibn Mas`ud al-Banjari. Kitab ini juga merupakan himpunan huraian kitab Umm al-Barahin yang disusun kembali oleh pengarang mengikut kesesuaian sasaran pembaca. Pengarang juga menambah beberapa keterangan untuk menjelaskan lagi maksud ungkapan ungkapan perkataan yang terkandung di dalam kitab Umm al-Barahin. Kata al- Syaikh Muhammad Tayyib;

Maka aku pungut bagi mereka itu segala simpulan iman daripada kitab Umm al-Barahin dengan bahasa mereka dan aku datangkan dengan dalil pada sisi madlulnya dan aku nyatakan segala makna tiap-tiap ‘aqa’id itu dengan barang yang aku tilik akan dia daripada segala syarah dan segala hashiyah atas jalan memendekkan kerana memudahkan mereka itu[8].

Ringkasan kitab Umm al-Barahin

Kitab Umm al-Barahin telah dibuatkan ringkasan oleh Imam al-Sanusi sendiri melalui karyanya yang berjudul `Aqidah Sughra al-Sughra. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab `Aqidah al-Sughra. al-Sanusi hanya menyenaraikan isi-isi penting kandungan akidah dengan huraian yang amat ringkas. Ia bolehlah diklasifikasikan sebagai nota ilmu akidah.

al-Sanusi sendiri, kemudiannya telah menghuraikan kitab ‘Aqidah Shughra al-Shughra melalui karyanya Syarh Shughra al-Shughra. Di samping itu, al-Sanusi juga ada menyusun sebuah ringkasan bagi kitab `Aqidah Sughra Sughra  dengan karyanya `Aqidah Sughra Sughra al-Sughra.


Catatan: Artikel di atas disusun kembali berdasarkan beberapa petikan dari  artikel yang berjudul PENGARUH UMM AL-BARAHIN KARANGAN AL-SANUSI DALAM PENULISAN KARYA AKIDAH DI ALAM MELAYU, oleh Engku Ku Hassan Engku Wok Zin dan Mohd Fauzi Hamat.  Sila klik pautan berikut untuk membaca dan memuat turun artikel tersebut.

Semoga bermanfaat.




[1] Kitab ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh Syaikh Muhammad bin Ahmad bin ‘Irfah al-Dusuqi melalui karyanya Hasyiyah ‘ala Syarh Umm al-Barahin.

[2] Ia dicetak di Dar-al-Razi, Jordan. Kitab ini adalah hasil pemurnian pengarang terhadap kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Ahmad bin `Isa al-Anshari. Beliau melakukan pemurnian dari aspek mempermudahkan mana-mana ungkapan yang sukar difahami oleh pembaca. Di samping itu, beliau sedaya upaya mengekalkan struktur asal kandungan kitab karangan al-Anshari. `Abd al-Lathif Fawdah juga membuat pembetulan terhadap kesilapan cetakan supaya ia menepati apa yang dikehendaki oleh Syaikh al-Anshari.

[3] Kitab ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh Syaikh ‘Abdullah bin Hijazi al-Syarqawi al-Syafi’i (1227H), melalui karyanya Hasyiyah`ala Syarh Umm al-Barahin li al-Hudhudi.

[4] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 2.

[5] al-Syaikh Muhammad Zayn Ibn al-Faqih Jalal al-Din (t.t.), Bidayah al-Hidayah Sharh Matn Umm al-Barahin. Thailand: Matba`ah bin Halabi, Fatani, h. 2.

[6] al-Syaikh Muhammad bin Zayn al-Din bin Muhammad Badawi al-Sambawi (t.t), Siraj al-Huda Pada Menyatakan `Aqidah Ahl al-Taqwa. Singapura: al-Haramayn li al-Tiba`ah wa al-Nashr, h. 2.

[7] al-Syaikh Isma`il Ibn al-Fadil `Abdullah (1309), al-Muqaddimah al-Kubra allati Tafara`at Minha al-Natijah al-Suhgra. Kaherah: Matba`ah al-Amirah, h. 2.

[8] Muhammad Tayyib Ibn Mas`ud al-Banjari (t.t), Miftah al-Jannah. Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 3.

Sunday, October 2, 2016

al-Khilafiyyat (الخلافيات)


Kitab al-Khilafiyyat (الخلافيات) adalah sebuah karya fiqh perbandingan (fiqh al-Muqarin) yang susun oleh al-Imam al-Hafiz Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn bin `Ali bin `Abdullah bin Musa al-Bayhaqi al-Naysaburi al-Khusrawjirdi al-Syafi`i al-Asy`ari (384-458H).

Dalam kitab ini al-Bayhaqi membicarakan perbezaan pendapat di antara Imam al-Syafi’i dan Imam Abu Hanifah mengenai beberapa permasalahan fiqh. Perbincangan dalam kitab ini disusun berdasarkan kaedah ilmu hadis. Di mana setiap hadis yang disebutkan dalam kitab ini diterangkan kesahihan dan kecacatannya, kaedah pengumpulan antara beberapa hadis yang bercanggah, Diterangkan aspek fiqh dan usulnya, serta dihuraikan juga beberapa aspek yang berkaitan dengan bahasa Arab berdasarkan nukilan daripada para imam-imam terdahulu.

Ibn al-Subki berkata; “ Tidak ada yang mendahuluinya dalam menulis kitab seperti ini, dan tidak ada orang selepas beliau yang menyusun kitab sepertinya. Ia adalah satu kaedah yang bebas  yang disusun berdasarkan ilmu hadith yang hanya dihargai dan dikagumi oleh pakar-pakar dalam kedua-dua bidang, iaitu fiqh dan hadith. Isi kandungannya sangat bernilai  dan bermutu ”.     

Berdasarkan kitab al-Khilafiyyat yang diterbitkan Dar al-Shumai’i, Jordan (1994), kitab ini telah ditakikkan oleh Syaikh Masyhur bin Hasan Alu Salman dan dicetak dalam 3 jilid. Kitab ini dalam bentuk fail PDF boleh dimuat turun melalui pautan http://www.archive.org/details/khela, atau secara terus di pautan;


Kitab al-Khilafiyyat ini, kemudiannnya telah diringkaskan al-Imam Ahmad ibn Farah al-Lakhmi al-Isybili al-Syafi’i (699H) dengan karyanya yang berjudul Mukhtashar al-Khilafiyyat. Kitab Mukhtashar al-Khilafiyyat ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=1350.

Semoga bermanfaat.

Saturday, September 17, 2016

Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin


Kitab Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin (كنز الراغبين شرح منهاج الطالبين) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hasyim al-Mahalli al-Mishri al-Syafi’i (791-864H), seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal.

Kitab yang terkenal di kalangan ulama mazhab sebagai Syarh al-Mahalli ‘ala al-Minhaj ini, adalah sebuah kitab huraian yang agak ringkas bagi kitab Minhaj al-Thalibin karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Berdasarkan edisi yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj (2013), isi kandungan kitab ini di bahagikan kepada 4 juzuz, yang dicetakkan dalam dua jilid.

Kitab ini telah mendapat perhatian para ulama dan telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama, antaranya;

1)        Syaikh Jalaluddin Abu al-Baqa’ Muhammad bin Abdul Rahman al-Bakri al-Shiddiqi al-Mishri (891H), melalui karyanya al-Ibtihaj bi Hawasyi al-Minhaj ‘ala  Syarh al-Mahalli.

2)          Syaikh Hasan bin Ali bin Yusuf al-Haskafi al-Halabi (Ibn al-Suyufi) (925H)       

3)            Syaikh Abu al-Hasan Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahman al-Bakri al-Shiddiqi (952H).

4)      al-Imam ‘Amirah (‘Umairah), Syihabuddin Ahmad al-Burullusy (957H), melalui karyanya  Hasyiah ‘Amirah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin.

5)            al-Imam Ahmad bi Ahmad bin Abdul Haqq al-Sunbathi (995H).

6)        al-Imam Badruddin Abu al-Fadhl Abu al-Barakat Muhammad bin Muhammad bin Ahmad (984H) –terkenal dengan nama Ibn Radiyuddin al-Ghazzi al-‘Amiri al-Qurasyi. Beliau menyusun dua buah hasyiah bagi kitab Syarh al-Mahalli ini.

7)      Syaikh Badruddin Muhammad bin Muhammad al-Kurkhi al-Bakri al-Syafi’i (1006H).

8)         Syaikh Ali al-Muniri (1014H) melalui karyanya al-Kasyf al-Mujalla fi al-Kalam ‘ala al-Minhaj  wa al-Syarih al-Mahalli.

9)           Syaikh Zainul ’Abidin bin Abdul Rauf al-Munawi (1022H).

10)    Syaikh Nuruddin Ali bin Yahya al-Zayyadi al-Mishri (1024H)  

11)     Syaikh Muhammad bin Abdullah, Ibn al-Naqib al-Beiruti al-Syafi’i (1064H), melalui karyanya Fath  al-Tajalli ‘ala al-Minhaj wa al-Mahalli.

12)       al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi al-Mishri (1069H), melalui karyanya Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin.

13)    Syaikh Abdul al-Barr bin Abdullah bin Muhammad bin Ali al-Mishri al-Ajhuri (1070H).

14)         Syaikh Muhammad bin Khalaf al-Mishri al-Syazali al-Syafi’i.

Di antara hasyiah-hasyiah yang disebutkan di atas, ada dua hasyiah yang paling terkenal dan menjadi rujukan para ulama, khususnya di kalangan ulama terkemudian (mutakhir), iaitu;
      
      a) Hasyiah ‘Amirah (‘Umairah) ‘Ala Syarh al-Mahalli, karya al-Imam ‘Amirah, Syihabuddin Ahmad al-Burullusy (957H).

   b) Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi al-Mishri (1069H).

Berdasarkan beberapa cetakan mutakhir, kedua-dua hasyiah ini telah diterbitkan bersama dalam sebuah kitab, seolah-olah kedua-duanya hanyalah satu kitab sahaja. Dalam beberapa cetakan kedudukan Hasyiah al-Qalyubi biasanya diletakkan di atas Hasyiah ‘Amirah. Oleh itu, ia telah diterbitkan dengan judul gabungan dua kitab, iaitu “Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin” (حاشيتا قليوبي وعميرة على شرح المحلى على منهاج الطالبين). 

Kitab Kanz al-Raghibin ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui pautan berikut;

       1.       http://waqfeya.com/book.php?bid=10894
       2.      http://feqhweb.com/vb/t21626.html   

       Semoga bermanfaat.