Showing posts with label Tuan Minal. Show all posts
Showing posts with label Tuan Minal. Show all posts

Tuesday, July 17, 2018

AQIDAH AL-NAJIN FI 'ILMU USHUL AL-DIN (عقيدة الناجين في علم أصولالدين)


Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Ushul al-Din (عقيدة الناجين في علم أصولالدين) merupakan sebuah karya dalam bidang aqidah dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini ditulis oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal.

Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani menulis kitab ‘Aqidah al-Najin ini sebagai huraian bagi kitab Umm al-Barahin (أم البراهين), iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab 'Aqidah al-Najin adalah sebuah kitab yang boleh dikategorikan sebagai “muktabar” dalam bidang aqidah, khususnya di Nusantara. Kepentingan dan kedudukan kitab 'Aqidah al-Najin ini sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan dan reputasi teks induknya iaitu kitab Umm al-Barahin di Nusantara.

Tujuan karya ini ditulis, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani, adalah sebagai mengemukakan suatu terjemahan Melayu bagi kitab Umm al-Barahin karya Shaykh Sanusi untuk bacaan dan panduan pelajar dan umat Islam umumnya. Dalam hal ini Syaikh Zayn al-`Abidin al-Fathani menyebut dalam muqaddimah kitabnya;

Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian itu sekali pun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[1].

Dari sini, jelas bahawa 'Aqidah al-Najin bukan sekadar terjemahan Umm al-Barahin, bahkan lebih dari itu, ia boleh dikategorikan sebagai suatu komentari dan olahan peribadi Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani. Sumber olahan dan komentari ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani di atas, diambil dari syarah dan hashiyah Umm al-Barahin itu sendiri, sama ada yang dikarang oleh Syaikh Sanusi sendiri ataupun karya ulama lain seperti Syaikh Hudhudi dan sebagainya.

Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah.

Kitab 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din ini boleh dimuat turun di pautan عقيدة الناجين في علم أصولالدين atau  عقيدة الناجين في علم أصولالدين.

Catatan ringkas di atas dipetik dan diubahsuai dari artikel “ Beberapa Aspek Epistemologi al-Shaykh Zayn al-'Abidin B. Muhammad al-Fatani: Suatu Penelitian Awal Terhadap Karyanya 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din”, karya Wan Suhaimi Wan Abdullah. Semoga bermanfaat.



[1] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 2.

Friday, September 21, 2012

Kitab Kasyf al-Litham 'an As-ilah al-Anam


Kitab Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam (كشف اللثام عن أسئلة الأنام) merupakan sebuah kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang penting dan menjadi rujukan ulama di Nusantara. Kitab “Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam” atau dikenali dengan “Kasyf al-Litham”ini adalah karya seorang ulama Melayu Patani yang bermastautin di Makkah, iaitu;  Syeikh Zainul ‘Abdidin bin Muhammad al-Fathani , yang terkenal dengan gelarannya ‘ Tuan Minal ’. Kitab Kasyf al-Litham ini, sama judulnya dengan sebuah kitab fiqh dalam bahasa ‘Arab yang dikarang oleh al-Syeikh Husain bin Muhammad al-Mahalli (1170H) iaitu Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam dikenali juga dengan “Kitab al-Furu’’. Bahkan ia adalah salah satu rujukan penting kitab Kasyf al-Litham karangan Tuan Minal.

Kandungan Kitab;

Kitab Kasyf al-Litham membincangkan hukum fiqh yang mengandungi 4 bahagian hukum fiqh iaitu bahagian ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat.

  1. Bahagian ibadat bermula dengan hukum bersuci, solat, janazah, zakat, puasa, iktikaf, haji, umrah, udhiah, hukum makanan dan di akhiri dengan hukum perburuan.  
  2. Di bahagian muamalat mengadungi hukum jual beli, jual salam, gadai, muflis, bersekutu, wakil, iqrar, ariah, merampas dan sebagainya.
  3. Selepas itu diikuti dengan bahagian yang berhubung dengan munakahat, membicarakan hukum pesaka, wasiat, nikah kahwin, cerai, rujuk, iddah dan diakhiri dengan hukum nafkah.
  4. Terdapat juga hukum jinayat, di antaranya pencurian, pembunuhan, qisas, diat, perzinaan, minuman arak, jihad, qadi, dan lainnya sehingga sampai akhir kitab ini pada jilid kedua.
Manakala bentuk susunan isi pembicaraan, kitab Kasyf al-Litham dibahagikan kepada 4 peringkat yang terdiri daripada: kitab, bab, fasal dan masalah atau furu’. Pada setiap kitab, bab dan fasal mengandungi masalah atau furu’ yang membicarakan hukuman.

Kitab Kasyf al-Litham selesai dikarang oleh Tuan Minal pada bulan Rajab 1307 H. bersamaan dengan tahun 1890 M.  

Cetakan kitab kasyf al-Litham;

Cetakan pertama yang terdiri daripada empat jilid, di terbitkan pada pertengahan Syawal 1308 H. (1891 M.) oleh Mathba’ah al-Miriah, Makkah. Cetakan yang kedua terdiri daripada 2 jilid, iaitu 4 jilid yang menjadikan 2 jilid sahaja, sedangkan kandungannya tidak berubah. Ia diterbitkan oleh Mathba’ah al-Taqaddum al-Ilmiah, Mesir. Jilid pertama di terbitkan pada tahun 1344 H(1925 M.) dan jilid kedua pada tahun 1345 H (1926 M). Terdapat pelbagai cetakan yang lain diterbitkan dalam bentuk 2 jilid juga bersama pada bahagian tepinya kitab Wisaya al-Afrad, karangan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Dawudi al-Fatani (Nik Mat Kecik).

Manhaj Penulisan Kitab Kasyf al-Litham:

Di sana terdapat beberapa perbezaaan yang berlebih kurang di kalangan ulama Fatani dari segi karangan mereka, baik  dari sudut huraian, model penulisan, susunan topik dan sumber rujukan. Di sini, akan dikemukakan manhaj penulisan kitab Kasyf al-Litham yang mempunyai model tersendiri dalam membentangkan hukum fiqh dalam bahasa Melayu beredisi Jawi.

  1. Naqal, Terjemah dan Susun: Gerakan penterjemahan ini demi untuk memenuhi keperluan orang Melayu yang tidak dapat menguasai bahasa Arab, sama ada di kalangan orang awam atau pelajar. Terjemahan ini sering dilakukan oleh para ulama sendiri atau oleh pelajar-pelajar yang sudah mahir. Sebahagian ulama membuat syarahan untuk huraian yang lebih mendalam daripada apa yang terdapat dalam karangan asalnya. Berdasarkan kajian di dapati Tuan Minal mengarang kitab Kasyf al-Litham dengan menaqal dan terjemah isi hukuman atau permasalahan daripada beberapa buah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i berbahasa Arab kemudian menyusun atau meletak pada satu kitab atau bab. Dalam penterjemahan, beliau menterjemahkan secara keseluruhannya dan secara ringkas. Gaya dalam penterjemahannya adalah mengikut gaya dan struktur dalam bahasa Arab. Beberapa peristilahan dalam bahasa Arab dikekalkan tanpa diterjemahksn. Di samping menterjemah, beliau juga memberi penjelasan ringkas terhadab terjemahan itu. Selain daripada naqal dan terjemah daripada kitab bahasa Arab beliau juga menaqalkan daripada kitab Melayu Jawi. Hal ini disebut oleh beliau pada muqaddimah kitabnya: “ Bahawa aku surat baginya akan beberapa masalah yang tiada terkaya daripada mengetahui akan dia dengan bahasa Jawi dan aku himpunkan akan beberapa aqwal al-fuqaha al-kiram pada hal aku naqalkan daripada beberapa yang muktabar pada mazhab alafham seperti Manhaj li Syeikh al-Islam dan Furu’ al-Mahalli dan Fathu al-Muin dan lainnya dari kitab Jawi atas qadar yang sedikit-sedikit ” .

  1. Sumber Rujukan Kitab Fiqh al-Syafi’iyyah yang kebelakangan: Rujukan kitab Kasyf al-Litham karangan Tuan Minal ialah beberapa buah kitab fiqh bermazhab al-Syafi’i berbahasa Arab khususnya karangan mereka yang hidup pada zaman kebelakangan, antaranya kitab al-Furu’ atau Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam karya al-‘Allamah Husain bin Muhammad al-Mahalli, kitab Manhaj al-Thullab serta syarahannya Fathu al-Wahhab karya Syeikh al-Islam Zakariya al-Anshari, kitab Fathu al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain karya Syeikh Zainul ‘Abidin bin Abdul Aziz al-Malibari, al-Iqna’ Fi Halli Alfazh Abi Syuja’ karya Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syarbini al-Khatib, Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj karangan Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya Syeikh Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli. Di samping itu juga beliau menaqalkan daripada kitab Jawi iaitu kita Furu’ al-Masa-il karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Perbandingan Kitab Kasyf al-Litham dengan Kitab Fiqh Lain:

Untuk menjelas dan menggambarkan sejauh mana perbezaan dan keistimewaan dalam mahaj penulisan ilmu fiqh oleh ulama Fatani yang berhampiran semasa dengan Tuan Minal dalam mengarang kitab mereka khususnya kitab fiqh yang meliputi setiap jurusan perbincangan, maka di sini dikemukan perbandingan di antara kitab Kasyf al-Litham dengan kitab fiqh yang lain supaya dapat membantu dalam menjelas dan menyatakan manhaj Tuan Minal dalam kitab ini yang dianggap sebagai rekaan sendiri. Kitab yang akan dibuat perbandingan dengannya ialah Hidayah al-Mutaallim, Fathu al-Mannan, al-Jawahir al-Sunniah, Sullam al-Mubtadi, Furu’ al-Masa-il, semuanya adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Mathla’ al-Badrain karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik).

Setelah membuat perbandingan, kita dapati terdapatnya beberapa titik persamaan dan titik perbezaan dengan kitab-kitab yang dikarang oleh ulama semasa atau berhampiran zaman dengan Tuan Minal. Kitab-kitab yang dibuat perbandingan itu adalah pada asasnya adalah berbentuk naqalan dan terjemahan dari karangan fiqh mazhab al-Syafi’i berbahasa Arab kepada bahasa Melayu edisi Jawi demi membantu umat Islam yang tidak menguasai bahasa Arab dalam memahami ajaran Islam di Nusantara. Manakala titik berbezaannya, antara lain ialah kitab-kitab tersebut (kitab yang dibuat perbandingan di ata) bukan hanya membicarakan hukum fiqh sahaja bahkan dimulai dengan pembicaraan tentang akidah, ilmu pengetahuan dan di akhiri dengan pembicaraan akhlak dan tasauf, sedangkan kitab Kasyf al-Litham adalah membicarakan permasalahan fiqh sahaja.

Keistimewaan kitab Kasf al-Litham juga ialah Tuan Minal telah menceraikan sesuatu masalah dengan menggunakan istilah “masalah” dan “furu’”, samping menyebutkan sumber rujukan di akhir pembicaraan sesuatu masalah.

Sumber: Artikel ringkas ini dipetik dan diubahsuai dari artikel yang bertajuk “ Manhaj Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal) dalam Penulisan Fiqh: Suatu Kajian terhadap Kitab Kasyf al-Litham  yang boleh didownload di pautan berikut; 

Semoga bermanfaat