Saturday, January 26, 2013

Tafsir Juz 'Amma


Kitab Tafsir Juz 'Amma Bahasa Melayu[1] merupakan karya  al-'Alamah al-Adib Jama'in 'Abdul Murad seorang tokoh tafsir di Alam Melayu berasal dari Sumatera Barat. Walaupun karya beliau ini tidak merangkumi 30 juzuk al-Quran tetapi Tafsir Juz 'Amma (juzuk yang ke-30) yang mengandungi 38 buah surah termasuk surah al-Fatihah sangat memberi manfaat kepada pembaca tafsir beliau. Huraian yang mudah dan menggunakan bahasa yang sederhana mudah difahami menyebabkan kita tidak jemu untuk menelitinya.
Kitab yang berukuran 26½ x 9cm mengandungi 196 halaman merupakan kitab yang sederhana dan sangat sesuai dibaca bagi penuntut tahap menengah dan masyarakat awam. Sangat sesuai digunakan sebagai teks untuk pengajian dan kuliah di masjid-masjid.

Tafsir Juz 'Amma sangat memberi faedah kepada masyarakat Islam kerana juz 'Amma terkenal dengan gelaran ayat-ayat lazim kerana ianya selalu dibaca didalam sembahyang. Masyarakat Islam khasnya masyarakat Melayu dapat melaksanakan solat dengan sempurna jika mereka dapat memahami dan menghayati apa yang dibaca.

Pengarang telah menyelesaikan Tafsir Juz 'Amma ini di Pulau Pinang pada pukul 10.50 waktu tempatan pada hari Ahad 16 Rabi' al-Awal 1357H bersamaan 4 haribulan Jun 1939. Kitab ini mula dicetak pada 19 syawal 1377H bersamaan 8 Mei 1958M. Justeru itu, kitab tafsir ini perlu dikaji dan diteliti dari segi penulisannya dan metolodologinya yang diguna pakai oleh al-'Alamah al-Adib Jama'in 'Abdul Murad.


Metodologi

Tanpa sebarang mukaddimah atau pengenalan kitab pengarang memulakan karyanya dengan penafsiran surah al-Naba' sehingga sampai kepada surah al-Nas dan diakhiri dengan surah al-Fatihah. Ditulis nama surah beserta tempat turun ayat ditengah bahagian atas pada tiap permulaan surah. Contoh "Surah al-Naba' Makiyah". Di penjuru sebelah kanan ditulis nombor kedudukan surah dan di penjuru sebelah kiri ditulis nombor ayat bagi tiap-tiap surah. Cara ini dapat memudahkan pembaca untuk mengenalpasti jumlah ayat serta kedudukan bilangan surah, cuma surah al-Fatihah tidak mengikut format ini.

Setelah selesai mentafsirkan sesuatu surah, pengarang menyebutkan perkataan "Wa Allahu A’lam bi Muradihi - tamat  tafsir surah…………(dinyatakan nama surah). Ini menunjukkan sifat tawaduk dan warak yang ada pada pengarang.

Apa yang membuat pembaca agak keliru dengan tafsir ini ialah nombor ayat diletakkan pada permulaan ayat tidak sebagaimana yang terdapat dalam mashaf biasa yang nombor ayatnya ditulis dihujung tiap ayat, walaubagaimanapun format tersebut bukanlah menjadi alasan untuk kita tidak membacanya.

Bagi memudahkan pembaca untuk merujuk surah-surah tertentu dengan cepat judul tajuk atau fihris diletakkan pada halaman akhir sekali lengkap dengan muka surat dan kandungan tafsir. Satu format yang agak baik dan memudahkan pembaca ialah terjemahan ayat diletakan bersebelahan dengan ayat-ayat yang akan ditafsirkan. Pembaca akan mudah memahami ayat dan terjemahan secara serentak dan cepat,lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang mahir bahasa Arab. 

Terdapat juga surah-surah tertentu pengarang memulakan pentafsiran dengan menyebut latarbelakang ayat dan sebab turun ayat. Metod yang biasa digunakan oleh kebanyakan ahli tafsir iaitu dengan mentafsirkan beberapa ayat kemudian disambung dengan ayat –ayat yang lain hingga selesai keseluruhan surah diikuti juga oleh pengarang dalam mentafsir surah-surah juzuk 'Amma melainkan surah-surah yang pendek ditafsir secara keseluruhannya.

Dalam menjelaskan satu-satu perkara yang agak penting atau yang perlu diambil perhatian pengarang menggunakan istilah-istilah tertentu bagi tajuk-tajuk kecil seperti:

i.   Ya Ma'syara al-Muslimim
ii.  Keterangan ringkas
iii. Faedah
iv. mempercayai dan mengimani
v.  Lebih penting dan lebih utama
vi. Beramal Salih
vii. Wasiat mewasiati dengan hak
viii. Wasiat mewasiati dengan sabar
ix. Duduknya kejadian itu
x. Masalah yang perlu diterangkan disini

Sepuluh tajuk kecil itu jelas menunjukan bahawa pengarang merupakan seorang yang mahir dalam bidang tafsir dan dapat menentukan dalam tafsiran perlu kepada keterangan lanjut, huraian yang lebih mendalam, cerita latarbelakang ayat dan beberapa faedah yang perlu diambil perhatian.  Format pentafsiran ayat dengan ayat ,ayat dengan hadis nabi saw dan ayat denga kata-kata sahabat digunakan juga oleh pengarang bagi menjelaskan pengertian satu-satu perkataan atau istilah. Pengarang juga mengambil kata-kata al-Imam al-Syafi’i untuk menjelaskan kepentingan sesuatu surah.

Semasa mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan keimanan lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan sam'iyat, pengarang tidak berlebihan dalam pentafsirannya. Sebagai contoh ketika menjelaskan tentang malaikat Hafazah dalam menafsir surah al-Infitar ayat 10,11 dan 12 pengarang mengatakan;

"Kita benarkan dan kita yakini kerana adanya Hafazah itu dikhabarkan oleh Allah kepada kita.Tidak wajib kita memeriksa lebih jauh daripada apakah kejadian Hafazah itu. Bagaimanakah cara dan menulis perbuatan kita,dimanakan mereka tuliskan, dengan apakah mereka menulis dan lain-lain sebagainya, kerana itu urusan dan pekerjaan ghaib kepada kita manusia".

Apa yang istimewanya dalam tafsir ini ialah tidak sedikitpun terdapat kesah-kesah israilliat walaupun pengarang mentafsirkan ayat-ayat yang ada hubungkait dengan cerita atau qisah seperti surah al-Fill yang ceritanya ada hubungan dengan cerita tentera bergajah, surah al-Falaq yang ada hubungan dengan kesah nabi disihir dan surah al-Nas yang ada kaitan dengan gangguan syaitan. Dalam masalah ini pengarang banyak menggunakan ayat-ayat yang lain dan hadis nabi bagi menjelaskan perkara yang sebenar .

Kemahiran pengarang dalam bidang ilmu Falaq jelas dapat dilihat apabila beliau mentafsir surah al-Buruj yang menceritakan tentang cakerawala bintang-bintang buruj. Beliau dapat menamakan bintang-bintang yang berada disebelah utara dan disebelah selatan. Beliau juga dapat mempastikan peredaran matahari pada tarikh tertentu dan bulan tertentu . Sebagai contoh beliau menyebut disebelah utara terdapat tiga buruj, ketiga-tiga biruj itu dilalui oleh matahari dalam masa tiga bulan mulai 20 dan 21 Mach sampai 20 atau 21 Jun. Tiga buruj lagi yang berada disebelah selatan, matahari akan melalui tiga buruj itu pada 23 atau 24 September sampai 21 atau 22 Disember

Pentafsiran yang demikian rupa akan menarik minat pembaca lebih-lebih lagi bagi yang meminati ilmu Falaq atau ilmu Astronomi.

Pengarang ada juga menyentuh tentang sujud tilawah apabila mentafsir surah al-Insyiqaq dengan katanya " Sampai disini, iaitu sampai kepada ayat  ini, si pembaca dan si pendengar surah al-Insyiqaq ini hendaklah sujud tilawah,baik dalam sembahyang kalau imam sujud tilawah atau di luar sembahyang.

Metod Surah al-Fatihah

Cara susunan penulisan surah al-Fatihah agak berlainan sedikit dari penulisan surah-surah yang lain.Pengarang tidak lagi meletakan nombor bilangan ayat disebelah kiri dan nombor turutan surah disebelah kanan. Pengarang meletakakan nama surah al-Fatihah ditengah-tengah sebelah atas halaman dan terus menyatakan dibawah nama surah tersebut dengan "Makiyah ayatnya tujuh". 

Tidak dapat dipastikan mengapa pengarang menulis cara yang berlainan dari segi susunannya. Kalau dikatakan surah ini terlebih dahulu ditafsirkan tidak mungkin kerana diakhir tafsiran surah al-Fatihah ditulis dengan kata-kata;

"Sampai disini selesailah saya mengusahakan Tafsir Juzuk 'Amma ini. Saya ucapkan syukur dan pujian kepada Allah, dan saya harap Allah jadikan karangan ini manafaat untuk umum dan jadi amal salleh untuk saya. Amin". 

Memulakan penafsiran surah al-Fatihah ini dengan menjelaskan latar belakang surah dengan mendatangkan beberapa nama surah tersebut. Terdapat juga dalam surah tersebut tentang janji bahagia dan janji sengsara.

Pengarang dengan jelas mentafsirkan surah ini satu ayat demi satu ayat mengikut urutan. Pentafsirannya menggunakan pendekatan yang mudah contoh-contoh yang  dikemukakan dapat membuka minda dan sesuai pada mana-mana zaman pun. Huraian yang panjang lebar ketika mentafsirkan ayat kedua dari surah tersebut pembaca dapat merasakan bahawa terdapat hubungan antara manusia dengan Khaliq.  Pengarang membahagikan Hidayah kepada lima bahagian ketika mentafsirkan ayat yang keenam dari surah tersebut. Antaranya ialah:

a. Hidayah al-Wijdan al-Thabi’in
b. Hidayah al-Hawas
c. Hidayah akal
d. Hidayah al-Din
e. Hidayah Taufiq

Dengan penerangan serta huraian yang begitu lengkap pembaca akan dapat sesuatu yang sangat berharga apabila membaca tafsir tersebut.


Kesimpulan

Secara keseluruhan Tafsir Juzuk 'Amma ini sangat memberi faedah kepada sesiapa saja yang menelitinya. Pengarangnya merupakan seorang yang mahir dalam berbagai ilmu. Kitab ini sangat sesuai dijadikan teks untuk kajian tafsir khususnya ayat-ayat yang terkandung dalam juzuk 'Amma yang mana surah-surahnya selalu dibaca ketika solat terutamanya bagi masyarakat Melayu[2]


Sumber: 

http://disertasi.blogspot.com/2007/06/disertasi-ilmiah-5-tafsir-juzuk-amma.html


[1] Catatan mengenai kitab Tafsir Juz ‘Amma ini, berdasarkan kitab edisi Jawinya, yang diulang cetak beberapa kali oleh beberapa penerbitan berdasarkan cetakan pertamanya pada tahun 1958. Naskhah rujukan catatan ini, adalah cetakan Matba'ah Bin Halabi, Thailand (tanpa tarikh).
[2] Kitab Tafsir Juz ‘Amma ini telah diterbitkan dengan edisi ruminya, yang telah usahakan oleh Ustazah Noraine Abu.

Friday, January 25, 2013

Tafsir al-Bayan


Kitab Tafsir al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir dalam bahasa Melayu/ Indonesia yang unggul di rantau ini. Ia dikarang oleh tokoh ulama Indonesia yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy (1904-1975M).

Tafsir al-Bayan merupakan hasil karya ke dua yang dikarang oleh Prof. T.M Hasbi ash- Shiddieqy dalam bidang pentafsiran al-Qur’an selepas karyanya yang pertama iaitu Tafsir An-Nur yang diterbitkan pada tahun 1956.
Pada Muqaddimah tafsir ini, yang bertarikh Yokyakarta: 21 Mei 1966, pengarang menulis:
“Dengan inayah Allah Taala dan taufiq-Nya, setelah saya selesai dari menyusun Tafsir An-Nur yang menterjemahkan ayat dan menafsirkannya, tertarik pula hati saya kepada menyusun al-Bayan”[1]

Pengarang menyatakan sebab-sebab penulisan tafsir ini adalah untuk menyempurnakan sistem penterjemahan yang terdapat dalam Tafsir An-Nur karya pertamanya dalam bidang ini. Di samping itu, pengarang mendapati bahawa terjemahan-terjemahan al-Qur’an yang beredar di tengah-tengah masyarakat perlu dikaji dan ditinjau semula. Pengarang berkata di dalam kitab tafsirnya:
“Maka setelah saya memerhatikan perkembangan terjemahan al-Qur’an akhir-akhir ini, serta meneliti secara tekun terjemahan-terjemahan itu, nyatalah bahawa banyak terjemahan kalimat yang perlu ditinjau dan disempurnakan. Oleh karananya, dengan memohon taufiq daripada Allah Taala, saya menyusun sebuah terjemah yang lain dari yang sudah-sudah”[2]

Karyanya yang kedua ini juga merupakan terjemahan dan tafsir al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang diperkirakan dihasilkan oleh pengarang pada awal tahun 60-an lagi. Cetakan pertama kitab tafsir ini ialah pada tahun 1971 melalui terbitan PT. Alma’arif Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Kitab tafsir ini dinamakan oleh pengarang dengan ‘al-Bayan’ , yang bererti;  “ Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an ”, diambil sempena ayat al-Qur’an, dalam surah Ali ‘Imran ayat 138. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud;
“al-Qur’an adalah penerangan (bayan) bagi seluruh manusia dan nasihat bagi mereka yang bertakwa”

Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy menggunakan metode tersendiri dalam menyusun dan mengolah Tafsir al-Bayan dan mempunyai kelainan dengan karya yang pertamanya. Kitab ini juga mempunyai keistimewaan dan perbezaan yang tersendiri berbanding dengan kitab-kitab tafsir lain.

Kitab ini terdiri dari dua jilid. Jilid pertama mengandungi nas-nas ayat al-Qur’an bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan ayat 74 surah al-Kahf. Kesemua terjemahan dan tafsiran bagi jilid pertama mengandungi 789 muka surat. Manakala jilid ke dua Tafsir al-Bayan ini, dimulai dari surah al-Kahf ayat ke 75 dan berakhir dengan surah al-Nas bersama terjemahan dan tafsirannya, yang kesemuanya terkandung dalam muka surat 789 sehingga muka surat 1604.

Artikel di atas merupakan nukilan ringkas dari buku yang berjudul, “Data-Data Terbitan Awal Penterjemahan & Penafsiran Al-Qur’an Di Alam Melayu[3], karya Muhammad Nur Lubis. Terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur, cetakan pertama 2002. Hal. 99-111. Sila baca buku tersebut untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kitab ini.


[1] Lihat Tafsir al-Bayan, terbitan Sakun Book Servise, Singapura, jil. 1, hal. 7
[2] Ibid.
[3] Mereka yang berminat dengan maklumat perkembangan penterjemahan dan pentafsiran al-Quran dalam di Alam Melayu  patut membaca buku ini. Penyusun buku ini telah memaparkan maklumat penting mengenai 30 buah buku terjemahan dan tafsir yang disusun oleh para ulama di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Tuesday, January 22, 2013

'Aqidah al-'Awam (عقيدة العوام)


Kitab Aqidah al-‘Awam (عقيدة ا لعوام ) merupakan kitab yang berisi bait-bait syair (nadzam) mengenai ilmu tauhidKitab ini dikarang oleh Syaikh al-Sayyid al-Marzuqiy. Nama lengkap beliau adalah al-Sayyid al-Syarif al-Syaikh Abu al-Fawzi Ahmad bin Muhammad bin al-Sayyid Ramadhan al-Marzuqiy al-Hasaniy wal Husainiy al-Malikiy, al-Mishriy al-Makkiy. Perkataan al-Marzuqiy di akhir nama beliau merupakan nisbah kepada al-‘Arif biLlah Marzuq al-Kafafi. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1205 H di Mesir. Sepanjang waktu beliau bertugas mengajar di Masjid Mekkah. Kerana kepandaian dan kecerdasannya, beliau kemudian diangkat menjadi Mufti Mazhab Maliki di Mekkah menggantikan Sayyid Muhammad yang wafat sekitar tahun 1261 H.  Kitab 'Aqidah al-'Awam berisikan asas-asas keimanan ajaran Islam yang dijadikan pegangan bagi umat Islam. Kandungan menjelaskan mengenai ilmu tauhid dan sumber-sumbernya. Ilmu tauhid ini menjelaskan mengenai keesaan Allah dan pembuktiannya.
 
Dalam kitab ini, diterangkan mengenai sifat-sifat Allah SWT dan rasul-rasulnya, atau yang lebih dikenali sebagai 'aqa-id lima puluh.  'Aqa-id lima puluh itu terdiri dari 20 sifat yang wajib bagi  Allah, 20 sifat mustahil bagi Allah, 1 sifat jaiz bagi Allah, serta 4 sifat wajib bagi para rasul, 4 sifat mustahil bagi para rasul dan 1 sifat jaiz bagi para rasul. Semuanya merupakan isi dari ajaran yang terangkum dalam kitab 'Aqidatul Awam.  Kewajiban mengetahui 50 keyakinan tersebut diperuntukkan, baik bagi laki-laki mahupun perempuan yang telah mukallaf. Kewajiban mengetahui 50 keyakinan tersebut tak hanya untuk diketahui tapi juga dimengerti, sehingga umat Islam boleh mewujudkan kebahagiaan dunia dan akhirat, yang hanya akan didapatkan oleh orang-orang yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan benar.
 
Kitab 'Aqidah al-'Awam banyak diajarkan di pondok pesantren dan majlis ta'lim dan merupakan dasar-dasar ketauhidan yang harus difahami oleh setiap Muslim. Bahkan Syeikh Muhammad Nawawi al-Banteni al-Syafi’i (1316H) memandang penting untuk mempelajari Kitab 'Aqidatul 'Awam kerana setiap mukallaf wajib mengetahui sifat-sifat Allah, dengan mengenal Sifat Allah maka dia akan mengenal dirinya begitu juga sebaliknya. Jika sudah mengenal Allah, maka dia akan sentiasa taat dalam menjalankan semua perintah Allah dan Rasulnya dan menjauhi segala larangannnya.
 
al-Syaikh al-Sayyid al-Marzuqi telah merincikan (menghuraikan) Kitab ‘Aqidah al-‘Awam dalam sebuah kitab syarah yang diberi nama Tahshil Nail al-Maram li Bayani Manzhumah ‘Aqidah al-‘Awam (تحصيل نيل المرام لبيان منظومة عقيدة العوام). 
 
Selain beliau, antara ulama lain yang turut memberikan syarah atas kitab ‘Aqidah al-‘Awam ialah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantaniy al-Jawiy al-Syafi’i dengan nama kitab Nur al-Zhalam ‘ala Manzhumah ‘Aqidah al-‘Awam (نور الظلام على منظومة عقيدة العوام)  dan Syaikh Ahmad al-Qaththa’aniy al-‘Aysawiy dengan nama kitab “Tashil al-Maram li Daaris Aqidah al-‘ Awam (تسهيل المرام لدارس عقيدة العوام).
 
Sekadar maklumat tambahan, di sini saya lampirkan “ Asal Usul Penyusunan Kitab ‘Aqidah al-‘AwamDalam kitab Nur al-Zhalam, al-Syaikh Muhammad al-Nawawi al-Bantani al-Jawiy menuturkan bahawa alasan Syaikh al-Marzuqiy menulis kitab tersebut adalah kerana beliau mimpi berjumpa dengan Rasulullah dan para sahabatnya Pada malam Juma'at pertama dalam bulan Rajab tahun 1258 H, al-Marzuqiy telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah saw dan para sahabatnya. Dalam mimpi tersebut Rasulullah saw berkata kepada Sayyid Ahmad al-Marzuki "Bacalah Manzhumah Tauhid " barang siapa yang menghafalnya dia akan masuk ke dalam syurga dan mendapatkan segala macam kebaikan, yang sesuai dengan maksud al-Qur'an dan Sunnah . Sayyid Ahmad Marzuqi pun bingung dan bertanya kepada Rasululloh saw "Nadzham apa ya Rasulullah..? Para sahabat menjawab " Dengarkan saja apa yang akan Rasulullah saw ucapkan " . Nabi Muhammad saw berkata " Ucapkan..     
أبـْـدَأُ بِـاسْمِ اللهِ والـرَّحْـمَنِ
Maka Sayyid Ahmad Marzuqi pun mengucapkan;       أبـْـدَأُ بِـاسْمِ اللهِ والـرَّحْـمَنِ
Sampai dengan akhir Nazham iaitu          وَصُحُـفُ الـخَـلِيلِ وَالكَلِيمْ
فِيهَـا كَلامُ الْعَلِيمْ الْـحَـكَم
 
Nabi Muhammad saw pada saat itu mendengarkan bacaan Sayyid Ahmad al-Marzuqi, maka saat itu pula Sayyid Ahmad al-Marzuqi terbangun dari tidurnya dan beliau baca apa apa yang terjadi dalam mimpinya, dan ternyata Nazham tersebut telah dihafaz dari awal sampai akhir nazham. Nazham tauhid yang telah diberikan Rasulullah kepada Sayyid Ahmad al-Marzuqi , beliau tuangkan dalam sebuah kitab yang diberi nama ‘'Aqidatul Awam" ( Aqidah untuk orang awam ) . Selang beberapa waktu lamanya Sayyid Ahmad Al-Marzuqi bermimpi kembali bertemu dengan Rasululloh saw , dan Rasulullah saw berkata " Bacalah apa yang telah kau kumpulkan di hatimu ( fikiranmu)", lalu Sayyid Ahmad Marzuqi berdiri membacanya dari awal sampai akhir Nadzham dan para Sahabat Rasulullah di samping Nabi Muhammad saw mengucapkan "Amiin" pada setiap bait bait nadzham ini dibacakan. Setelah selesai Sayyid Ahmad Marzuqi menyelesaikan bacaannya, Nabi Muhammad saw berkata kepadanya dan mendoakannnya:" Semoga Allah memberimu taufiq kepada hal-hal yang menjadi Ridha-Nya dan menerimanya itu darimu dan memberkahi kamu dan segenap orang mukmin dan menjadikannya berguna kepada hamba-hamba Allah swt amiinn". Kitab  'Aqidatul awam pada mulanya hanya berisi 26 bait, namun kerana rasa cinta dan rindunya Sayyid Ahmad Marzuqi kepada Nabi Muhammad saw maka beliau menambahkan hingga mencapai 57 Bait.  Wallahu a’lam. 
 
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini sila layari pautan berikut; 

Download Kitab Aqidatul_Awam_al-Marzuqiy.zip   (Arab) 
atau http://www.ziddu.com/download/20993195/TerjemahAqidatulAwam.pdf.html (terjemahan)

Monday, January 21, 2013

al-Asybah wa al-Nazhair karya Tajuddin al-Subki


Kitab al-Asybah wa al-Nazhair merupakan sebuah kitab dalam bidang kaedah fiqh (al-Qawa’id al-Fiqhiyyah) yang disusun oleh Imam Tajuddin Abu Nasr ‘Abdul Wahhab bin Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi bin ‘Ali bin Tamam al-Subki (727-771H).

Imam Tajuddin al-Subki mempelajari hadis di Mesir, kemudian berpindah ke Damsyik bersama bapanya Taqiyyuddin al-Subki. Di Mesir, beliau meriwayatkan hadis dari al-Hafiz al-Mizzi dan kemudiannya sentiasa mengikuti majlis ilmu al-Hafiz al-Zahabi.

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Beliau bersungguh-sungguh mempelajari hadis, menulis catatan-catatan, bersungguh dalam mempelajari fiqh, usul dan bahasa ‘Arab sehingga mahir dalam usia yang masih muda. Beliau mempunyai ilmu balaghah yang hebat dan pemidato yang baik. Karya-karyanya tersebar ketika hidupnya.”

Di Syam, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara (Qadhi al-Qudha)’ dan beberapa musibah menimpanya sepanjang menyandang jawatan tersebut, namun beliau tetap bersabar terhadap musibah tersebut. Beliau meninggal kerana sakit taun ketika umurnya 44 tahun.

Di antara karyanya yang besar ialah Jam’u al-Jawami’ fi Usul al-Fiqh, kitab Qawa’id Fiqhiyyah iaitu al-Asybah wan-Nazha-ir, Thabaqat Syafiiyyah al-Kubra (dalam beberapa jilid) dan 2 jilid Syarah Mukhtasar ibn al-Hajib al-Usuli.

Kandungan Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir;

Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Tajuddin al-Subki dianggap di antara karya terbaik dalam bidang kaedah fiqh. Dalam kitab ini, Tajuddin al-Subki menyebut kaedah usul dan fiqh dan menghuraikannya  dengan cukup baik. Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau adalah seorang yang mendalam ilmunya dalam kedua-dua bidang - fiqh dan usul. Kehebatan ilmu beliau dimanifestasikan dalam kitab al-Asybah wa al-Nazha-irnya. Walaupun kitab ini tidak membincangkan masalah fiqh, namun ia adalah antara kitab terbaik dalam bidang kaedah fiqh kerana susunan bahasanya yang baik dan kemantapan idea yang dilontarkan ketika membincangkan sesuatu kaedah. Justru itu, ada ulama lain juga menurut metod penulisan Tajuddin al-Subki. Di antaranya Ibn Nujaim dan al-Sayuthi (911H) yang juga menulis kitab kaedah fiqh dengan menggunakan nama al-Asybah wa al-Nazha-ir.

Tajuddin al-Subki juga menyebut antara faktor yang mendorong beliau menulis kitabnya ialah melihat kepada kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Ibn al-Wakil atau sebenarnya Abdullah bin al-Murahili (716H) yang memerlukan kepada penjelasan yang lebih mendalam. Beliau telah  menyusun kembali karya Ibn al-Wakil tersebut dengan penyusunan yang lebih baik dari awal kitab hingga akhirnya kerana Ibn Wakil meninggal dalam keadaan isi karyanya itu bertebaran di sana-sini.

Tajuddin al-Subki telah menggunakan metod berikut dalam penulisannya kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir, iaitu;

1.      Memulakan kitab dengan 5 kaedah asas dan menghuraikannya dengan cukup baik.

2.      Menyebutkan kaedah-kaedah fiqh yang penting yang dinamakan ‘al-Qawaid al-‘Ammah’ kerana ia tidak khusus kepada sesuatu bab sahaja.

3.      Menyebutkan dhawabit fiqhiyyah dan menamakannya sebagai ‘al-Qawaid al-Khashshah’.

4.      Menyebutkan beberapa masalah Aqidah yang lahir darinya beberapa cabang fiqh yang diperlukan oleh seorang ulama fiqh.

5.      Membincangkan kaedah-kaedah usul dan masalah-masalahnya.

6.      Meletakkan satu bab yang membincangkan beberapa kalimah bahasa Arab dari aspek Balaghah dan Nahu yang muncul darinya beberapa cabang fiqh.

7.      Meletakkan satu bab membicarakan perselisihan pandangan di antara Abu Hanifah dan Imam Shafie.

8.      Beliau mengakhiri kitabnya dengan beberapa perbahasan yang penting dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.

Tajuddinal-Subki menggunakan metod yang cukup baik dalam penulisannya. Setiap kali beliau memulakan sesuatu bab, beliau akan menyebutkan satu pendahuluan ringkas memberikan gambaran perbincangannya. Dalam metodologi penulisan masakini, mungkin boleh disebut sebagai sinopsis. tajuddin
al-Subki menyebut hampir 60 kaedah dengan huraian yang berbeza panjang dan ringkasnya.

Jika diteliti penulisan al-Subki dalam al-Asybah wa al-Nazha-irnya ini, didapati ciri-ciri berikut:

1.      Pembentangan kaedah dengan ibarat tersendiri yang tidak ada pada orang lain.

2.      Membersihkan beberapa kaedah yang diterima dari ulama terdahulu dan memberikan warna baru dari segi sighah dan ibarat dengan cara yang lebih mantap.

3.      Menyebut sighah berbeza bagi sebahagian kaedah serta merujukkannya kepada mereka yang berkata demikian. Ini dapat membantu memahami perkembangan ilmu kaedah fiqh.

Kesimpulannya, Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Tajuddin as-Subki adalah karya besar yang cukup hebat dalam bidang kaedah fiqh yang memberikan sumbangan cukup berharga kepada khazanah ilmu Islam ketika itu dan zaman selepasnya.

Sunday, January 20, 2013

Fatawa al-Imam al-Nawawi


Kitab Fatawa al-Imam al-Nawawi yang juga dikenali sebagai  al-Masaa-il Mantsurah" ( المسائل المنثورة ), merupakan kumpulan fatwa Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) yang disusun oleh salah seorang murid beliau, iaitu Imam al-Hafizh 'Alauddin 'Ali bin Ibrahim Ibn al-'Aththar al-Dimasyqi (654-724H).
 
Kitab ini merupakan sumber rujukan penting dalam bidang fiqh mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqh seperti ibadat, jual beli dan sebagainya. Di samping bidang fiqh, terdapat juga beberapa masalah lain yang tidak berkaitan dengan fiqh, yang dimasukkan di akhir kitab ini.
 
 Kandungan kitab ini juga agak unik, kerana terdapat beberapa masalah fiqh yang disebutkan dalam kitab ini yang tidak terdapat dalam mana-mana kitab karya al-Nawawi yang lain. Bilangan fatwa Imam al-Nawawi yang terdapat dalam kitab ini sebanyak 363 buah.
 

Semoga bermanfaat.

Saturday, January 19, 2013

al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi'i


[kitabklasik324.jpg]Kitab al-Lubab fi  al-Fiqh al-Syafi'iللباب في الفقه الشافعي) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ). Kitab al-Lubab merupakan antara kitab yang menjadi rujukan utama para ulama terdahulu dalam fiqh al-Syafi'i. Isi kandungan kitab ini telah disebutkan oleh beberapa ulama terkemudian dalam beberapa karya mereka ketika menghuraikan masalah fiqh.

Para ulama mutaakhir di kalangan mazhab al-Syafi'i begitu mengambi berat terhadap kitab al-Lubab. al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ) merupakan ulama pertama yang telah meringkaskan kitab al-Lubab dengan karyanya yang berjudul “ Tanqih al-Lubab ”.
`
Kitab Tanqih al-Lubab ini, kemudiannya telah dihuraikan (disyarah) oleh beberapa ulama, antara;

1. Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Karki al-Syafi'i (853H)
2. Jalaluddin Muhammad bin Abdul Rahman al-Shiddiqi al-Syafi'i (891H)

Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H) telah meringkaskan kitab Tanqih al-Lubab melalui karyanya “ Tahrir Tanqih al-Lubab ”. Beliau, kemudiannya telah menghuraikan kitabnya tersebut dengan karyanya yang lain, iaitu Kitab Syarh al-Tahrir atau judul sebenarnya  Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab ”.

Selain beliau, kitab Tuhfah al-Thullab ini telah disyarahkan pula oleh beberapa ulama, antaranya;

1. al-Imam Syamsuddin, Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad     Syihabuddin al-Ramli al-Munufi, yang terkenal sebagai al-Syafi’i al-Shaghir (919-1004 H).

2. al-Imam Zaynuddin 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Munawi al-Syafi'i (1031H)  dengan karyanya yang berjudul "Ihsan al-Taqrir bi Syarh al-Tahrir"

Manakala Kitab Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab, karya Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari di atas, telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa ulama, antaranya;

1. Syihabuddin bin Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (1069H).
2. Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Syawbari al-Syafi'i (1069H).
3. 'Abdul Bar binAbdullah al-Ajhuri (1072H), dengan karyanya "Manhah al-Ahbab bi    Syarh Tuhfah al-Thullab"
4. Syamsuddin Muhammad bin Dawud bin Sulaiman al-'Inani (1098H), dengan karyanya "Fath al-Karim al-Wahhab 'ala Syarh Tanqih al-Lubab"
5. Hasan bin 'Ali bin Ahmad al-Manthawi al-Mudabighi al-Syafi'i (1170H).
6. ‘Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1227H), dengan kitabnya "Hasyiah 'ala Tuhfah al-Thullab bi Syarh. Tanqih al-Lubab".

Download Kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi’i di pautan berikut; 
http://www.almeshkat.net/books/archive/books/lubab2.zip

Semoga bermanfaat.