Showing posts with label al-Rafi'i. Show all posts
Showing posts with label al-Rafi'i. Show all posts

Saturday, January 21, 2023

al-Syarh al-Shaghir ‘ala al-Wajiz

Kitab al-Syarh al-Shaghir ‘ala al-Wajiz (الشرح الصغير على الوجيز) adalah sebuah karya Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H).

Kitab al-Syarh al-Shaghir ini disusun oleh al-Imam Abu al-Qasim al-Rafi’i sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Di samping kitab al-Syarh al-Shaghir ini, Imam al-Rafi’i juga menyusun dua lagi kitab syarah yang lebih besar bagi kitab al-Wajiz, iaitu;

a)    al-‘Aziz fi Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز). 

b)    al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز) .

Sekadar pencarian penulis, kitab ini belum lagi ditemui dalam bentuk cetakan. Manakala dalam bentuk manuskrip boleh dimuat turun di pautan  الشرح الصغير على الوجيز

Semoga bermanfaat.

Saturday, November 29, 2014

KHADIM AL-RAWDHAH WA AL-RAFI'I


Kitab al-Khadim li al-Rawdhah atau judul lengkapnya Khadim al-Rafi’i wa al-Rawdhah fi al-Furu’  ( خادم الرافعي والروضة في الفروع) adalah sebuah kitab susunan al-Imam Syaikh al-Islam Badruddin Abu  Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Bahadur al-Zarkasyi[1] (745-794H/1344-1392M). Kitab ini merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang disusun kembali oleh al-Zarkasyi berdasarkan himpunan kandungan empat buah kitab ‘Hawasyi’ (komentar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin[2] karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).


Empat buah hawasyi tersebut disusun  oleh  empat[3] orang tokoh terkenal dalam mazhab al-Syafi’i, iaitu;

1)  Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Asnawi al-Mishri[4] (704-772H), dengan karya beliau yang berjudul al-Muhimmat fi Syarh al-Rafi'i wa al-Rawdhah[5]

2)  Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamdan al-Azra’i[6]  (708-783H), dengan karya beliau al-Tawassuth Baina al-Rawdhah wa al-Syarh dalam 20 jilid.

3)  Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Ruslan bin Nashir bin Shalih bin Abdul Khaliq bin Abdul Haq al-Bulqini (724-805H).

4) Syihabuddin Ahmad bin ‘Imad bin Muhammad bin Yusuf al-Aqfahsi, yang terkenal dengan gelaran Ibn al-‘Imad al-Syafi’i[7] (750-808H).

Nisbah kitab ini kepada al-Zarkasyi ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab al-Durar al-Kaminah, al-Sayuthi dalam kitab Husn al-Muhadharah, dan Ibn al-‘Imad al-Hanbali dalam kitab al-Syazarat.

Haji Khalifah ada menyebutkan dalam kitab Kasyf al-Zunun; “ Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustafid bahawa kitab al-Khadim ini di ditulis dalam empat belas jilid, setiap jilid mengandungi 25 lembaran. Kemudian saya pernah melihat jilid pertamanya, yang dimulai dengan; الحمد لله الذى امدنا بنعمائه.... Dan disebutkan bahawa dalam kitab ini dihuraikan perkataan yang susah difahami dalam kitab al-Rawdhah (karya al-Nawawi) dan kitab al-Fath al-‘Aziz (karya al-Rafi’i)…….”.

al-Hafiz  Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyatakan;  “Kitab al-Khadim disusun berdasarkan kitab al-Muhimmat (karya al-Asnawi) dan kitab al-Tawassuth karya al-Azra’i, tetapi ia juga ditambah dengan beberapa faedah dari kitab al-Mathlab dan selainnya ”.

Kitab al-Khadim ini telah diringkaskan oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi dengan kitab beliau yang berjudul “ Tahsin al-Khadim ”. Menurut Haji Khalifah, kitab al-Suyuthi menyusun kitab Tahsin al-Khadim ini bermula bab zakat hingga akhir bab Haji, namun ia tidak sempat menyelesaikannya.

Sekadar maklumat yang saya perolehi, kitab ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan di Timur Tengah. Ia masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan oleh beberapa penyalin kitab terdahulu. Manuskrip kitab al-Khadim ini ada tersimpan di beberapa buah perpustakaan di dunia Islam dan di barat. Namun, kebanyakan manuskrip itu tidak lengkap kandungannya.

Catatan ringkas mengenai kitab al-Khadim karya al-Zarkasyi ini saya susun berdasarkan beberapa maklumat yang saya perolehi dari laman maya, antaranya dari laman al-Multaqa al-Fiqhi di http://www.feqhweb.com/vb/t15099.html. Jika ada kesilapan maklumat sila maklumkan. Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu pengarang kitab al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, sebuah kitab yang membicarakan ilmu-ilmu al-Quran yang terkenal sebagai rujukan para ulama. Lihat ringkasan  riwayat hidup beliau di pautan http://ibnuzayyin.blogspot.com/2009/11/biografi-imam-badr-al-din-al-zarkasyi.html

[2] Kitab Rawdhah al-Thalibin adalah ringkasan bagi kitab al-Syarh al-Kabir (Fath al-‘Aziz) karya Imam Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H). lihat maklumat ringkas kitab Rawdhah al-Thalibin di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/04/rawdhah-al-thalibin.html.

[3] Tiga orang daripada mereka merupakan guru kepada al-Zarkasyi, iaitu Jamaluddin al-Asnawi, Sirajuddin al-Bulqini dan Syihabuddin al-‘Azra’i.


[5] Kitab ini telah diberikan huraian ringkas oleh beberapa ulama, antaranya murid al-Asnawi sendiri iaitu Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi dan Zainuddin al-‘Iraqi. Imam al-Azra’i juga ada menyusun kitab yang mengandungi beberapa kritikan ilmiah terhadap kitab ini melalui kitabnya al-Tanbihat ‘ala Awham al-Muhimmat .

[6] Lihat riwayat hidup beliau di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t11512.html


[7] Beliau merupakan murid kepada Imam Sirajuddin al-Bulqini dan Jamaluddin al-Asnawi. Beliau ada menyusun kitab al-Ta’liq  ‘ala al-Muhimmat  , iaitu sebuah kitab yang mengandungi huraian bagi kitab al-Muhimmat karya al-Asnawi.


Thursday, September 5, 2013

al-'Aziz Syarh al-Wajiz


Kitab al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز  فتح ) atau al-Syarh al-Kabir (الشرح الكبير) merupakan antara karya fiqh  terkenal yang menjadi rujukan utama dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini adalah antara karya fiqh  yang disusun oleh Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i  (623H).

Kitab al-‘Aziz  Syarh al-Wajiz ini disusun oleh al-Rafi’i sebagai huraian (syarah) kepada al-Wajiz fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i karya Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H), iaitu sebuah kitab ringkas dan padat yang menghimpunkan rumusan al-Ghazali terhadap pendapat-pendapat tokoh fuqaha al-Syafi’i sebelumnya dalam beberapa masalah fiqh.

Kitab al-‘Aziz, kemudiannya telah diringkaskan oleh Imam al-Nawawi (676H) dalam kitabnya Rawdhah al-Thalibin  dan Abdul Ghaffar al-Qazwaini (665H) dalam kitabnya al-Hawi al-Shaghir.

Metode Huraian al-Rafi’i…

Ketika membuat huraian terhadap kitab al-Wajiz, Imam al-Rafi’i melalui Kitab al-‘Aziz-nya  terlebih dahulu mengemukakan teks (nash) Imam al-Ghazali mengenai sesuatu masalah  fiqh, kemudian membuat penghuraiannya di bawah teks tersebut. Huraiannya dibuat secara terperinci dengan hujah dan dalil-dalil yang melatar belakangi teks yang menjadi pegangan mazhab al-Syafi’i yang telah dirumuskan Imam al-Ghazali tersebut.

Selain itu, al-Rafi’i juga turut mengemukakan beberapa perbezaan pendapat ulama terhadap sesuatu masalah fiqh yang dibincangkan sekiranya ada. al-Rafi’i kemudiannya membuat pentarjihan (pemilihan) pendapat yang kuat dan menjadi pegangan dalam ulama mazhab al-Syafi’i.

Berdasar kitab edisi Arab yang diterbitkan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lubnan pada tahun  1417H/1997, kitab ini dicetakkan sebanyak 13 jilid dan satu jilid tambahan yang memuatkan halaman isi kandungan tajuk, hadis-hadis dan sebagainya yang berkaitan dengan kitab ini. Edisi ini telah ditahqiq (edit) oleh Ali Muhammad Mu’awwadh dan Adil Ahmad ‘Abdul Maujud. Ia dilengkapi dengan semakan status hadis dan pentakhrijan periwayat hadis, serta beberapa huraian dan penjelasan bagi membantu dan memudahkan para pembaca dalam membuat semakkan dan rujukan lanjutan.

Terjemahan kitab ini…

Saya belum mendapat maklumat mengenai terjemahan lengkap kitab ini dalam bahasa Melayu, namun begitu saya ada memiliki buku terjemahan bab Solat  yang terdapat dalam Kitab al-Aziz ini. Buku edisi terjemahan ini diterbitkan oleh Pustaka ‘Azzam Indonesia dengan judul “Fikih Shalat Madzhab Syafi’i”. Ia dterbitkan dalam dua jilid. Walaupun hanya terbit sebahagian sahaja, namun bab solat ini bukanlah bab yang remeh, sebaliknya bab yang termasuk menjadi rujukan dan amalan kita seharian. Maka bagi yang benar-benar mahu mengkaji dan meneliti perbahasan fiqh solat dalam kalangan mazhab al-Syafi’i, ini adalah antara kitab besarnya selain kitab-kitab seumpama al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab, Fathul Bari, al-Minhaj, Raudhah al-Thalibin, dan yang lainnya.

Kitab edisi Arab yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di atas boleh didownload di pautan berikut; http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1450

Semoga bermanfaat.

Tuesday, September 11, 2012

Kitab al-Muharrar Fi al-Fiqh al-Syafi'i


Kitab al-Muharrar atau judul penuhnya al-Muharrar Fi al-Fiqh al-Syafi’i merupakan kitab fiqh yang menjadi rujukan utama dalam mazhab al-Syafi’i. Ia adalah karya Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwini (555-624H).  Imam al-Rafi-‘iy menyusun kitab al-Muharrar dengan membuat ringkasan (mukhtashar) kitab al-Wajiz karya Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali (505H). 
Di kalangan ulama madzhab Syafi’i nama Imam al-Rafi’i sudah tidak asing lagi, kerana beliau merupakan adalah salah satu tokohnya. Penguasaan al-Rafi’i  dalam ilmu fiqh, tafsir, dan hadits telah melayakkan menjadi pakar (imâm) dalam ketiga-tiga bidang tersebut. Menurut Imam Muhyiddin Abu Zakariyya al-Nawawi (676H), Imam al-Rafi’i merupakan orang yang terkenal dengan kesolehan dan memiliki karamah yang nyata. Beliau juga termasuk intelektual Muslim yang sangat produktif melahirkan karya-karya dalam keilmuan Islam.

Di antara karyanya ialah kitab Fath al-‘Azîz fi Syarh al-Wajîz, sebuah kitab syarah yang sangat baik. Dipuji oleh kalangan ulama, sehingga ada yang berpendapat, “ hampir tiada kitab fiqh dalam Mazhab al-Syafi’i yang menyamainya ”. Di samping itu al-Râfi’i juga menyusun kitab Syarh Musnad al-Syâfi’i, al-Tadwîn fi Dzikr Akhbâr Qazwînî, al-Îjâz fi Akhthâr al-Hijâz, Kitab al-Muharrar dan lainnya.


Kitab al-Muharrar Fi al-Fiqh al-Syafi’i

Kitab al-Muharrar yang ingin diperkenalkan dalam artikel ini adalah salah satu kitab yang terkenal di kalangan mazhab Syafi’i. Ia merupakan salah satu sumber atau asal kepada lahirnya kitab-kitab lain yang ditulis oleh para ulama generasi selepasnya dari kalangan mazhab Syafi’i. Hal ini menunjukkan pengaruh Imam al-Rafi’i sangat besar bagi generasi selepasnya.

Ironisnya, meski pun pengaruh al-Rafi’i sangat besar tetapi pandangannya mengenai fiqh yang tertuang di dalam kitab al-Muharrar jarang dikutip dari kitab asalnya. Terutama kalangan ulama dari nusantara ini. Mereka biasanya mengambil atau mengetahui pandangan Imam al-Rafi’i dalam sesuatu masalah melalui karya-karya ulama yang muncul selepas Imam al-Rafi’i, seperti al-Nawawi dalam Minhaj al-Thalibinnya, Jalaluddin al-Mahalli dalam Kanz al-Gharibinnya, Muhammad Syatha al-Bakri dalam al-I’anahnya dan lain-lainnya.

Padahal kitab al-Muharrar adalah salah satu rujukan utama  di kalangan ulama madzhab Syafi’i terdahulu. Mereka banyak memasukkan pandangan-pandangan Imam al-Rafi’i dalam kitab-kitab mereka. Bahkan pandangan beliau sentiasa digandingkan dengan pandangan Imam al-Nawawi. Jika pandangan mereka berdua sama dalam sesuatu masalah fiqh, maka pandangan itu dianggap satu persepakatan yang diistilahkan oleh ulama Syafi’i sebagai pendapat al-Syaikhan (dua Syaikh), iaitu satu pendapat yang dianggap paling kuat dalam mazhab.

Setakat maklumat yang diperolehi, belum ada pusat pengajian agama, pondok dan pasantren di nusantara ini yang menjadikan kitab al-Muharrar sebagai silibus/ sukatan pelajaran. Padahal dalam beberapa permasalah fiqh, mereka sering juga merujuk -secara tidak langsung- kepada pendapat Imam al-Rafi’i.

Gaya penyusunan kitab al-Muharrar memang sama dengan kitab-kitab fiqh lainnya yang ditulis ulama dari kalangan madzhab Syafi'i. Di awali dengan pembahasan tentang Thahârah dan diakhiri dengan pembahasan mengenai ‘Itq al-Ummahât. Meski al-Rafi’i, juga termasuk ahli tafsir dan hadits tetapi jarang sekali kita menemukan ayat al-Qur`an atau hadits Nabi saw yang dijadikan sebagai landasan hukum suatu persoalan fiqh yang dikemukakan. Kemungkinan beliau ingin menjadikan kitab al-Muharrar ini sebagai kitab mukhtashar yang berbentuk matan fiqh yang memudahkan para pelajar mengingatinya.


Sebagai salah satu rujukan utama di kalangan mazhab Syafi'i, maka sewajarnya jika kitab al-Muharrar banyak menarik perhatian para ulama generasi setelah al-Rafi’i. Di antara mereka adalah al-Qâdhî Syihâbuddin Ahmad bin Yusof al-Sanadi (wafat 895H). Ia adalah salah seorang intelektual dari kalangan mazhab Syafi'i yang banyak menguasai beberapa bidang ilmu pengetahuan. Salah satu karyanya adalah kitab berjudul ‘Kasyf al-Durar fi Syarh al-Muharrar. Iaitu sebuah kitab syarah (anotasi) bagi kitab al-Muharrar.

Di samping itu juga kita akan menemukan ringkasan kitab al-Muharrar, yang berjudul al-Minhâj atau yang lebih dikenali dengan nama Minhâj ath-Thâlibîn yang ditulis Syaikh al-Islam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi (676H). Dari kitab Minhâj ath-Thâlibîn kemudiannya lahir pula kitab ‘Kanz al-Râghibîn’  yang ditulis oleh Imam Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli sebagai syarah bagi kitab al-Minhâj.


Syaikh Jalaluddin al-Mahalli adalah salah seorang tokoh dari kalangan madzhab Syafi'i. Ia lahir pada tahun 791 H dan wafat tahun 864 di Kaherah. Kemudian, kitab Kanz ar-Râghibîn diberi Hâsyiyah (komentar) oleh al-Qalyûbî, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad (1069H)  dan ‘Amîrah (‘Umairah) Syihabuddin Ahmad al-Burullusy (957H). Kedua-dua Hâsyiyah tersebut biasanya menjadi silibus di pondok pesantren dan dikenali dengan nama Hâsyiyah al-Qalyûbî wa ‘Umairah.

Kitab Minhâj al-Thâlibîn - merupakan mukhtashar (ringkasan) dari kitab al Muharrar- juga diberi syarah oleh beberapa ulama lain, antaranya Ibnu Hajar al-Haitamî (909-973H) dengan kitabnya yang bernama ‘Tuhfah al-Muhtâj’, Muhammad al-Khathîb al-Syarbînî (977H) dengan kitabnya yang bejudul ‘Mughnî al-Muhtâj’, sedangkan Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H) dengan kitabnya yang berjudul ‘Nihâyah al-Muhtâj’.

Berdasarkan, catatan di atas, boleh dikatakan bahawa kitab-kitab fiqh dari kalangan ulama mazhab Syafi'i pasca al-Rafi’i itu bersumber dari kitab al-Muharrar-nya. Tetapi ironisnya, kitab tersebut jarang disentuh untuk dijadikan rujukan oleh kalangan ulama mazhab Syafi'i belakangan ini. Hal ini mungkin, kerana di kalangan ulama mazhab Syafi'i, al-Rafi’i dianggap kedudukannya di bawah darjat al-Nawawi. Akibatnya, pandangan al-Rafi’i sendiri kurang diperhitungkan bahkan nyaris dipinggirkan.


Padahal Imam al-Rafi’i dengan kitab al-Muharrar-nya telah memberikan inspirasi agung bagi generasi ulama madzhab Syafi'i setelahnya. Tetapi dalam perjalannya kitab tersebut, malah nyaris terlupakan dan nyaris tak disebut-sebut oleh kalangan ulama sekarang. Mereka malah lebih sering merujuk pandangan al-Râfi’i melalui generasi setelahnya. Ertinya, mereka hanya mengemukakan pandangan al-Rafi’i melalui karya ulama lain, tanpa mahu merujuk kepada kitab asalnya, sedangan kitab asalnya masih ada dicetak dan diterbitkan di pasaran.

Di kalangan mazhab Syafi'i memang tak ada yang menyangsikan kebesaran nama al-Rafi’i, bahkan kitab-kitab fiqh rujukan Syafi’ telah lahir berkat kitab al-Muharrar-nya. Dengan kata lain kedudukan kitab tersebut sangat penting dan tidak selayaknya kita mengabaikannya.


Namun, sekarang ini kitab al-Muharrar telah menjadi legenda yang dilupakan. Kerana itu, tibalah saatnya kita untuk mengikuti jejak para ulama yang terdahulu yang telah memberikan penghargaan yang tinggi kepada karya pendahulu mereka. Sebab, generasi yang baik adalah generasi yang tidak melupakan akar tradisinya atau tidak seperti kacang yang lupa pada kulitnya.

Sebagai tambahan, berikut disenaraikan beberapa buah kitab karya ulama yang berbentuk syarah dan mukhtashar bagi kitab al-Muharrar termasuk kitab yang telah disebut di atas.

Kitab Syarah al-Muharrar;

1.    Kasyf al-Durar fi Syarh al-Muharrar, oleh al-Qâdhî Syihâbuddin Ahmad bin Yusof al-Sanadi (wafat 895H)
2.      Syarh al-Muharrar oleh Syaikh Nuruddin ‘Ali bin Yahya al-Ziyadi al-Mishri (1024H)

Kitab Mukhtashar al-Muharrar;

1.   Minhaj al-Thalibin, oleh Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H),
2.     Mukhtashar al-Muharrar, oleh Ala’uddin Ali bin Muhammad al-Naji (714H)
3.    al-Iyjaz mukhtashar al-Muharrar oleh Taj Mahmud bin Muhammad al-Asfahidani al-Karmani (807H)

Rujukan utama artikel ini dari pautan di bawah, dengan beberapa tambahan.
http://www.pondokpesantren.net/ponpren/index2.php?option=com_content&task=view&id=169&pop=1&page=0