Monday, April 30, 2018

AL-TAHRIR FI FURU' AL-FIQH AL-SYAFI'I


Kitab al-Tahrir fi Furu’ al-Fiqh al-Syafi’i (التحرير في فروع الفقه الشافعي) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Qadhi Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad al-Jurjani al-Syafi’i (482H).

Kitab al-Tahrir ini merupakan sebuah kitab yang sederhana ukurannya. Di mana penyusunnya menghasilkan kitab ini sebagai ringkasan fiqh Syafi’i bagi rujukan para penuntut ilmu.

Kitab ini dianggapkan sebagai sebuah karya tersendiri, yang tidak berkaitan dengan kitab-kitab fiqh sebelumnya. Di mana, ia bukannya disusun sebagai ringkasan, syarah atau takliq bagi kitab-kitab karya ulama yang lain.

Kandungan kitab ini dibahagikan kepada 16 buah kitab. Setiap kitab pula dipecahkan kepada beberapa bab. Manakala setiap bab pula dipecahkan kepada bebarapa fasal. Bagaimanapun, ada juga kitab yang tidak disebutkan babnya, seperti Kitab Ahli al-Baghy (pemberontak), kitab al-Riddah  dan kitab Had Qitha’ al-Thariq (perompak). Begitu juga ada bab tertentu yang tidak disebutkan fasal.

Perbincangan permasalahan fiqh dalam kitab ini juga disebutkan tanpa membawakan dalil dari al-Quran atau Hadis. Penyusun juga tidak menyebutkan rujukan beliau dalam penyusunan kitab al-Tahrir ini, sama ada nama kitab atau nama ulama fiqh yang menjadi rujukan beliau. Bagaimanapun, berdasarkan kandungan kitab ini, dapat diketahui bahawa rujukan utama al-Qadhi Abu al-‘Abbas al-Jurjani dalam menghasilkan kitab ini adalah karya-karya guru beliau al-Imam Abu Ishaq  Ibrahim al-Syairazi (393-476H), khusus kitab al-Muhazzab (المهذب) . Ini terbukti adanya kemiripan permasalahan yang dibincangkan dalam kitab al-Tahrir dan kitab al-Muhazzab.

Berdasarkan kitab al-Tahrir yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah - Beyrut pada tahun 2008, ia telah dicetak dalam dua jilid (936 halaman).

Kitab ini boleh dibaca secara online  di sini
Muat turun kitab al-Tahrir  
2.  Kitab al-Muamalat     


Semoga bemanfaat.

Friday, April 27, 2018

AL-RASA-IL AL-ZAHABIYYAH FI MASA-IL AL-DAQIQAH


Kitab  al-Rasa-il al-Zahabiyyah fi al-Masa-il al-Daqiqah al-Manhajiyyah (الرسائل الذهبيه في المسائل الدقيقه المنهجية)  sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-‘Allamah al-Sayyid Mushthafa bin Hanafi al-Zahabi al-Mishri al-Syafi’i (1280H).

Kandungan kitab ini menampilkan beberapa huraian terhadap sebahagian isi kandungan kitab Manhaj al-Thullab karya Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (826-926H). Di antara permasalahan fiqh yang dibincangkan dalam kitab ini ialah mengenai bab taharah (bersuci), hukum janabah, jual beli, iktikaf dan musafir.

Kitab al-Rasa-il al-Zahabiyyah ini telah diterbitkan dan dicetakkan bersama kitab  Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Thullab  (فتح الوهاب بشرح منهج الطلاب).


Boleh muat turun kitab al-Risalah al-Zahabiyyah ini bersama cetakan kitab Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Thullab di pautan https://books.moswrat.com/moswrat.com-wq-8980.pdf

Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 24, 2018

MAZID AL-N'IMAH LI JAM' AQWAL AL-AIMMAH


Kitab Mazid al-Ni’mah li Jam’i Aqwal al-Aimmah (مزيد النعمة لجمع أقوال الأئمة) adalah sebuah karya fiqh perbandingan mazhab (فقه مقارن) yang menghimpunkan pandangan para ulama mazhab yang empat (المذاهب الأربعة) mengenai beberapa permasalahan fiqh, khususnya yang berkaitan fiqh ibadat. Kitab Mazid al-Ni’mah ini disusun oleh Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli al-Syafi’i al-Mishri (1170H), seorang ulama mazhab Syafi’i yang terkenal pada zamannya.

Dalam muqaddimah kitabnya, Syaikh Husain al-Mahalli telah menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitab ini;

فقد سألني بعض الأحباب، وفقه الله للصواب، وحماه من الزيغ والارتياب، أن أجمع له ربع العبادات في هذا الكتاب على
المذاهب الأربعة حسب الأبواب، فأجبته لذلك مستعينا بالله القادر المالك، وسميته ب مزيد النعمة لجمع أقوال الأئمة                  

“ Sesungguhnya telah meminta kepadaku sebahagian murid-murid yang disayangi…… agar aku  menyusun sebuah kitab mengenai bahagian ibadat  berdasarkan  pandangan mazhab yang empat, yang disusun mengikut bab-bab tertentu. Maka aku menyahut permintaan tersebut dengan mengharapkan pertolongan Allah … dan aku namakannya dengan judul مزيد النعمة لجمع أقوال الأئمة.

Di antara metode yang digunakan oleh Syaikh Husain al-Mahalli dalam penulisan kitab ini ialah;
a)   Beliau menyebutkan  dahulu permasalahan fiqh yang disepakati para ulama, jika ada.
b) Kemudian baru disebutkan perbezaan pendapat para imam mengenai sesuatu masalah. Jika para imam mazhab diriwayatkan mempunyai dua pendapat atau lebih dalam sesuatu permasalahan, kadang kala penyusun akan menerangkan pendapat yang paling sahih.
c)  Kadang kala disebutkan juga pendapat para fuqaha dari kalangan sahabat dan tabi’in, serta pendapat para mujtahidin dari setiap mazhab yang menyalahi  para imam mazhab.
d)  Setiap permasalahan yang disebutkan dalam kitab ini, tanpa menerangkan dalil atau sandaran hukumnya dari al-Quran dan hadis (مجردة عن الأدلة).

Untuk dikongsi bersama , manuskrip kitab مزيد النعمة لجمع أقوال الأئمة  ini boleh dimuat turun  di sini, SINIKitab ini boleh dibaca secara 0nlie di مزيد النعمة لجمع أقوال الأئمة  dan SINI

Semoga bermanfaat

Monday, April 23, 2018

GHAYAH AL-MARAM FI SYARH SYURUTH AL-MA'MUM WA AL-IMAM


Kitab Ghayah al-Maram fi Syarh Syuruth al-Ma’munm wa al-Imam (غاية المرام في شرح شروط المأموم والإمام) adalah sebuah karya fiqh yang disusun khusus mengenai syarat-syarat makmum dan imam dalam pelaksanaan solat berjemaah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. 

Kitab ini disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Munufi (919-1004H), sebagai huraian (syarah) bagi karya bapa beliau al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (957H) yang berjudul Syuruth al-Ma’mun wa al-Imam (شروط المأموم والإمام). 

Dalam kitab Ghayah al-Maram ini, Imam Syamsuddin al-Ramli telah menjelaskan setiap syarat wajib dan syarat sah yang perlu dipenuhi oleh makmum dan imam dengan membawakan dalil-dalil syarak. Diterangkan juga kesannya, jika setiap syarat tersebut tidak dipenuhi oleh makmum dan imam. 

Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di pautan غاية المرام في شرح شروط المأموم والإمام.

Semoga bermanfaat.

Sunday, April 22, 2018

'UMDAH AL-RABIH FI MA'RIFAH AL-THARIQ AL-WADHIH


Kitab  'Umdah al-Rabih fi Ma'rifah al-Tariq al-Wadhih Syarh Matn Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih (عُمْدَةُ الْرَابِحْ فِي مَعْرِفَة الطَّرِيق الوَاضِح شَرْحُ مَتن هَدِيَّةِ النَّاصِحْ) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin, al-Jamal Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi  (al-Syafi’i al-Shaghir) (919-1004 H).

al-Imam Syamsuddin al-Ramli menyusun kitab ‘Umdah al-Rabih ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab Hadiyyah al-Nashih wa Hizb al-Falah al-Najih (هدية الناصح وحزب الفلاح الناجح), karya  Imam Shihab al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad al-Zahid (819H).

Di dalam kitab ‘Umdah al-Rabih ini, Imam Syamsuddin al-Ramli telah menghuraikan kandungan asal kitab Hadiyyah al-Nashih yang dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu;
        a)     Bab-bab mengenai akidah.
        b)     Mengenai perkara wajib, rukun  dan syarat sah dan syarat wajib  dalam sesuatu ibadat.
        c)      Perkara-perkara sunat, adab dan makruh dalam sesuatu ibadat.
        d)     Beberapa adab dan hak-hak umum.

Dalam huraiannya Imam Syamsuddin al-Ramli hanya memaparkan pendapat-pendapat yang muktamad dan rajih dalam mazhab Syafi’i. Di samping itu, belaiu juga telah menambahkan beberapa permasalahan fiqh yang penting, namun tidak disebutkan dalam matan Hadiyyah al-Nashih.

Kitab ‘Umdah al-Rabih ini telah diberikan hasyiah (komentar) oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Dawud bin Sulayman al-‘Inani al-Mishri (1097H), dengan karyanya yang berjudul Hasyiah ‘ala ‘Umdah al-Rabih fi Ma’rifah al-Thariq al-Wadhih, yang terkenal dengan sebutkan Hasyiah al-Inani.
                                  
Semoga bermanfaat.

AL-'UDDAH WA AL-SILAH FI AHKAM AL-NIKAH


Kitab al-‘Uddah wa al-Silah fi Ahkam al-Nikah (العدة والسلاح في أحكام النكاح) merupakan sebuah kitab fiqh ringkas yang menerangkan secara khusus mengenai hukum-hukum perkahwinan dalam Islam berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bafadhal al-Hadhrami al-Tarimi al-‘Adani (840-903H).

Kandungan kitab al-‘Uddah wa al-Silah dibahagikan kepada empat bahagian (fasal), iaitu; 
1) Perkara yang disunatkan bagi orang ingin berkahwin (ciri-ciri bakal suami), orang yang ingin dikahwini (ciri-ciri bakal isteri) dan ketika melangsungkan majlis perkahwinan. 
2) Mengenai rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya. 
3)  Mengenai talak dan ‘iddah. 
4) Mengenai syarat-syarat perwalian dalam akad nikah dan yang berkaitan dengannya.

Kitab al-‘Uddah wa al-Silah ini telah diberikan huraian oleh al-Imam Taqiyuddin Abdullah bin ‘Umar Makhramah  (907-972H)  dengan karyanya yang berjudul Misykāt al-Mishbāh fī Syarh al-ʻUddah wa al-Silāh fī Ahkām al-Nikāh (مشكاه المصباح في شرح العدة والسلاح في أحكام النكاح).

Kitab Misykat al-Mishbah kemudiannya telah dberikan hasyiah (komentar) oleh Syaikh Muhammad Salim bin Hafizh bin Abdullah bin Abu Bakr bin ‘Aydrus al-‘Alawi al-Husani (), melalui karyanya yang berjudul al-Naqul al-Shahhah ‘ala Misykat al-Mishbah.

Selain kitab Misykat al-Mishbah, terdapat sebuah lagi kitab huraian al-‘Uddah wa al-Silah, iaitu kitab al-Dalil al-Nashshah fi Hall Alfazh al-‘Uddah wa al-Silah, yang disusun oleh Syaikh Thaha AbdulHamid Muhammad Humadi.

Kitab al-‘Uddah wa al-Silah fi Ahkam al-Nikah boleh dimuat turun di sini atau  sini
Manuskrip kitab Misykat al-Mishbah pula boleh dimuat turun di pautan sini

Keempat-empat kitab yang disebutkan di atas boleh dimuat turun di pautan  https://archive.org/details/MATNALIDDAHWASILAH

Semoga bermanfaat.

Wednesday, April 18, 2018

AL-IMDAD BI SYARH AL-IRSYAD


Kitab al-Imdad bi Syarh al-Irsyad (الإمداد بشرح الإرشاد) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H).

Kitab al-Imdad ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Irsyad, yang judul lengkapnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah kitab mukhtashar (ringkasan) fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal yang disusun oleh al-Imam Isma‘il bin Abu Bakr Ibn al-Muqri al-Yamani (837H). 

al-Imam Ibn Hajar al-Haytami kemudiannya, telah meringkaskan kitab al-Imdad ini dengan sebuah karya beliau yang lain, yang berjudul Fath al-Jawad bi Syarh al-Irshad (فتح الجواد على شرح الإرشاد).

Kitab al-Imdad telah diberikan komentar (hasyiah) oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Qasim al-Shibagh al-‘Abbadi al-Qahiri al-Mishri (995H) melalui karyanya yang berjudul Hasyiah 'ala al-Imdad (حاشية على الإمداد).

Sekadar maklumat yang diketahui, kitab al-Imdad ini belum pernah lagi cetak dan diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Ia masih tersimpan sebagai manuskrip. 

Semoga bermanfaat.

Thursday, April 12, 2018

TADRIB AL-MUBTADI WA TAHZIB AL-MUNTAHI


Kitab Tadrib al-Mubtadi wa Tahzib al-Muntahi (تدريب المبتدي وتهذيب المنتهي ) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Islam Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Raslan  bin Yusuf  al-Bulqini al-Syafi’i (805H). Beliau ialah seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i,  yang dianggap oleh para ulama sebagai Mujaddid  abad ke 8 Hijrah.

Selain judul Tadrib al-Mubtadi wa Tahzib al-Muntahi yang diberikan oleh penyusunnya, kitab ini juga terkenal dengan judul al-Tadrib fi al-Fiqh al-Syafi’i (التدريب في الفقه الشافعي) dan al-Tadrib fi al-Furu’, atau judul ringkasnya al-Tadrib (التدريب) sahaja.

Sebenarnyam penyusunan kitab al-Tadrib ini tidak sempat disiapkan oleh al-Imam Sirajuddin al-Bulqini. Namun begitu, anak beliau al-Imam ‘Alamuddin Salih bin‘Umar al-Bulqini (868H) telah berusaha menyambung usaha penyusuan kitab ini bermula dari kitab al-Nafaqat (النفقات) hingga akhir kitab ini.

Di samping kitab al-Tadribnya, al-Imam Sirajuddin al-Bulqini juga ada menyusun ringkasan bagi kitab berliau tersebut melalui karya beliau yang berjudul al-Ta’dib fi Mukhtashar al-Tadrib.

Kitab al-Tadrib ini boleh dimuat turun di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 10, 2018

DURAR AL-SAMUTH (درر السموط)


Kitab Durar al-Samuth fi ma li al-Wuduk min al-Syuruth (درر السموط فيما للوضوء من الشروط)  adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Nur al-Din Abu al-Hasan ‘Ali bin Abdullah al-Hasani (911H). Beliau terkenal dengan gelaran al-Samhudi.

Dalam kitab ini, Imam al-Samhudi menerangkan secara khusus  mengenai syarat-syarat  sah wuduk berdasarkan pandangan para ulama mazhab Syafi’i.

Kitab ini boleh dimuat turun di SINISemoga bermanfaat.

Saturday, April 7, 2018

TUHFAH AL-HABIB 'ALA SYARH AL-KHATHIB


Kitab Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khathib () atau Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H).

Kitab ini disusun sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Iqna’ fi Hall Alfazh Abi Syuja’ (), iaitu sebuah karya al-Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H). Di mana kitab al-Iqna’ pula adalah sebuah kitab huraian (syarah) bagi sebuah matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Taqrib atau terkenal dengan nama Matn Abi Syuja'.

Imam al-Bujairimi menamakan kitab ini dengan Tuhfah al-Habib ala Syarah al-Khatib, namun kitab ini lebih masyhur dengan judul al-Bujairimi ‘ala al-Khathib (), iaitu sempena dengan nama beliau sendiri. Kitab ini termasuk salah satu kitab hasyiah terpenting dalam mazhab Syafi’i. Kitab ini telah diterbitkan dengan isi kandungan merangkumi 5 jilid.

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan Cover,  Juz1 ,  Juz2 , Juz3 , Juz4 , Juz5. Senoga bermanfaat.

Friday, April 6, 2018

AL-TAYSIR FI NAZHM AL-TAHRIR (التيسير في نظم التحرير)


Kitab al-Taysir fi Nazhm al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’i (التيسير في نظم التحرير في الفقه الشافعي) merupakan karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H).

Kitab yang dikenali dengan judul ringkasnya al-Taysir (التيسير) atau Manzhumah al-Tahrir ini disusun dalam bentuk nazam sebanyak 2700 bait berdasarkan kitab Tahrir Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب) atau dikenali dengan judul ringkas al-Tahrir (), iaitu sebuah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Manakala kitab al-Tahrir pula merupakan ringkasan bagi kitab Tanqih al-Lubab (تنقيه اللباب), iaitu karya al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ). Sedangkan kitab Tanqih al-Lubab sendiri merupakan ringkasan bagi kitab  al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi'i (اللباب في الفقه الشافعي) karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ). 

Sekadar maklumat yang diperolehi, terdapat sebuah kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Taysir yang disusun oleh Syaikh  Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1227H) melalui karyanya yang berjudul  Fath al-Qadir al-Khabir bi Syarh Taysir al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’ (). Kitab Fath al-Qadir al-Khabir bi Syarh Taysir al-Tahrir ini boleh dimuat turun di pautan http://ia601703.us.archive.org/28/items/tcbvg/tcbvg.pdf.

Kitab al-Taysir boleh dimuat turun di sini  dan manuskripnya pula di sini. Semoga bermanfaat

Monday, April 2, 2018

TUHFAH (تحفة)

Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan tuhfah (تحفة). Insya Allah, saya akan berusaha menambahkan lagi nama-nama kitab yang lain. Semoga bermanfaat.


1.      Tuhfah al-Thullab

      Kitab Tuhfah al-Thullab (تحفة الطلاب) atau judul penuhnya Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab  (تحفة الطلاب بشرح تنقيح اللباب) merupakan karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H). Kitab ini adalah huraian (syarah) Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari bagi sebuah karya beliau sendiri, yang berjudul Tahrir Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب). Oleh itu, kitab Tuhfah al-Thullab juga lebih dikenali sebagai kitab Syarh al-Tahrir. Baca lagi…. Baca lagi…

2.     Tuhfah al-Zakirin

     Kitab Tuhfah al-Zakirin bi ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (تحفة الذاكرين بعدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Kitab ini adalah sebuah karya Imam al-‘Allamah Muhammad ‘Ali bin Muhammad al-Syawkani (1250H). Baca lagi….

3.     Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj 

Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج بشرح المنحـــاج) merupakan sebuah kitab fiqh yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i pada zaman mutaakhir. Kitab ini adalah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), yang lebih terkenal dengan panggilannya Ibn Hajar al-Haytami. Baca lagi ,,,,

4.     al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah (تحفة الاثنى عشرية)

Kitab al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah (تحفة الاثنى عشريةmerupakan sebuah karya yang menerangkan secara terperinci mengenai kepercayaan yang dianuti pengikut Mazhab Syi’ah Ithna ‘Asyariah (Syiah Imam Dua Belas) atau juga dikenali dengan Mazhab Ja’fariyyah. Kitab ini disusun oleh Imam al-Muhaddith Shah ‘Abdul ‘Aziz bin Ahmad al-Dihlawi (1745-1823M) seorang ulama terkenal dari India. Beliau merupakan anak kepada Shah Waliyullah Ahmad bin Abdul Rahim al-Dihlawi (1762M), seorang tokoh ulama yang terkenal sebagai mujaddid pada masanya. Kitab al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah telah diringkaskan oleh al-Syaikh Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri al-Alusi (1856–1924M) seorang ulama terkenal di ‘Iraq dengan karyanya yang berjudul Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Ashariyyah (مختصر تحفة الاثنى عشرية)Baca lagi....

5. Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin 

     Kitab Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin (تحفة الطالبين في ترجمة الإمام محيي الدين) adalah sebuah kitab biografi  al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H), yang disusun oleh seorang murid beliau yang bernama al-Imam ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Dawud bin Salman al-Dimasyqi (654-724H). Kitab ini menjadi rujukan utama para penulis terkemudian ketika menyusun karya-karya mereka mengenai biografi Imam Nawawi r.h. Kitab ini boleh dimuat turun di sini..  

6. Tuhfah al-Habib bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadrib

    Kitab Tuhfah al-Habib bi Syarh Nazhm Ghayah al-Tadribfi al-Fiqh al-Imam al-Syafi’i (تحفة الحبيب بشرح نظم غاية التقريب في فقه مذهب الإمام الشافعي) merupakan sebuah karya al-Imam Syaikh Ahmad bin al-Hijazi bin Badir al-Fasyani (978 H). Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib (في نظم غاية التقريب نهاية التدريب ), iaitu sebuah kitab yang disusun dalam bentuk nazam karya Syaikh Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H). Kitab ini  boleh dimuat turun di sini.

7. Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad 

    Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad (تحفة الطلاب في نظم مسائل الإرشاد) merupakan sebuah karya al-Qadhi Shafiyuddin Ahmad bin Umar al-Mazjad al-Zabidi al-Syafi’i (929H). Kitab ini disusun dalam bentuk nazam berdasarkan kitab  al- Irsyad (الإرشاد) atau judul penuhnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah karya al-Imam Ibn al-Muqri, Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (755-837H). Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad ini mengandungi sebanyak 584 bait nazam. Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di sini.