Thursday, April 30, 2020

al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib


Kitab al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib (المنتخب مختصر التذنيب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Imam al-Nawawi menyusun kitab al-Muntakhab ini sebagai ringkasan bagi kitab al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H). Manakala kitab al-Taznib pula merupakan huraian (syarah)[1] bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Dhiya’- Kuwait (cet1/2019), kitab al-Muntakhab ini dicetak dalam satu jilid dengan 208 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab al-Taznib, Imam al-Rafi’i mempunyai kitab huraian yang lain bagi kitab al-Wajiz, iaitu kitab  al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز  فتح ) atau al-Syarh al-Kabir (الشرح الكبير). Ia merupakan sebuah kitab huraian yang lebih panjang, yang merangkumi 13 jilid.

Monday, April 27, 2020

Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’


Kitab Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’ (هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء) adalah sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun dalam bentuk nazam (qasidah) oleh al-Imam Zainuddin al-Makhdum Kabir bin Syeikh Qadhi Ali bin Syeikh Qadhi Ahmad al-Ma’bari al-Syafi’i al-Funnani al-Malibari (873-928H)[1]

Kandungan kitab yang memuatkan 191 bait nazam ini telah mendapat perhatian para ulama dan menjadi rujukan serta diajar di pusat-pusat pengajian Islam. bagi memudahkan kefahaman para pelajar, kandungan kitab ini telah diulas dan diberikan huraiannya oleh para ulama.

Di antara ulama yang telah menyusun kitab huraian (syarah) bagi kitab Hidayah al-Adzikiya’ ini adalah;

a)   Syeikh Abdul Aziz bin Syeikh Zainuddin al-Malibari (993)[2] melalui dua buah karya beliau, iaitu;
i)         Irsyad al-Ba’ ila Hidayah al-Adzkiya’(إرشاد الألباء إلى هداية الأذكياء)[3].
ii)      Maslak al-Atqiya wa Manhaj al-Ashfiya’ fi Syarh Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’ ( مسلك الأتقياء ومنهج الأصفياء في شرح هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء)[4].

b)  Sayyid Abu Bakar bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (1226-1310H)) melalui karya beliau yang berjudul Kifayatul Atqiya wa Manhaj al-Ashfiya (كفاية الاتقياء ومنهاج الاصفياء).

c)   Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani (1316H) melalui karyanya yang berjudul Salalim Fudhahala’ li Khatimah Nubala` (سلالم الفضلاء لخاتمه النبلاء,علي منظومه هدايه الاذكياء الي طريق الاولياء). 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء.

Semoga bermanfaat.



[1] Beliau adalah datuk kepada al-Imam Ahmad Zaynuddin bin Muhammad al-Ghazali bin Zaynuddin bin Ali bin Ahmad al-Malibari al-Syafi’i (938-1028H), penyusun kitab Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain () yang terkenal dalam fiqh Syafi’i.
[2] Beliau adalah anak kepada penyusun kitab Hidayah al-Adzikiya’.
[3] Huraian yang ringkas
[4] Huraian yang yang lebih panjang.

Sunday, April 26, 2020

al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah


Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah  (الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam Ahmad Zaynuddin bin Muhammad al-Ghazali bin Zaynuddin bin Ali bin Ahmad al-Malibari al-Syafi’i (938-1028H).

Kitab yang disusun dalam bentuk soal-jawab ini merupakan sebuah karya yang menghimpunkan beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh beberapa tokoh ulama yang terkenal (كبار من مشاهير علماء الإسلام) mengenai beberapa permasalahan fiqh yang berlaku dalam masyarakat. 

Ketika al-Imam Ahmad Zaynuddin al-Malibari menetap di Makkah al-Mukarramah, beliau telah menjadi murid kepada Syaikhul Islam Ahmad bin Hajar al-Haytami. Keberadaan beliau di kota suci ini, memberi peluang kepada beliau meminta fatwa kepada gurunya dan beberapa  ulama besar pada masa itu seperti kepada Syeikh Islam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (1004H), Syeikh Muhammad Khatib al-Syarbini (979H), Imam Abdullah Bamakhramah (972H), dan Imam Abdul Rauf bin Yahya al-Makki yang juga murid dari Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-Haytami. Berdasarkan soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, maka beliau mengumpulkannya dan diusahakan penyusunan kitab ini. 

Terdapat 177 fatwa dalam kitab ini, yang merangkumi beberapa bab fiqh seperti berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan lain-lain.  Kitab ini sangat bermanfaat kerana sebahagian  besar fatwa-fatwa yang terdapat dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab-kitab  fiqh mazhab Syafi’i yang lain. Sebagai contoh terdapat fatwa yang diberikan oleh Imam Ibn Hajar Haytami dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab fatwanya yang terkenal iaitu al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) .

Di bahagian akhir kitab ini, Imam al-Malibari membawa sebuah penutup (خاتمة) yang menerangkan kewajipan beriltizam dengan salah satu daripada empat mazhab yang termasyhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.  Kemudian beliau menerangkan susunan keutamaan pendapat-pendapat para ulama mazhab Syafi’i yang perlu diikuti, di mana beliau menyebut; “ Ketahuilah bahawa telah sepakat ulama muhaqqiqin bahawa pendapat yang muktamad dalam mazhab ialah apa yang disebutkan oleh dua Syeikh (الشيخان)[1] dan jika berlaku perbezaan pendapat antara mereka berdua, maka didahulukan pendapat Imam al-Nawawi, kerana yang apa yang ditarjihkan oleh beliau adalah lebih banyak, lebih berilmu atau lebih warak. Oleh itu tidak harus bagi seorang hakim yang muqallid berhukum dengan pendapat yang tidak muktamad.....”

Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah ini boleh dimuat turun di pautan الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة.

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu Imam al-Rafi’i dan Imam al-Nawawi. 

Saturday, April 25, 2020

al-‘Ujab Fi Syarh al-Lubab


Kitab al-‘Ujab Fi Syarh al-Lubab (العجاب في شرح اللباب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim bin Abdul Ghaffar al-Quzwaini al-Syafi’i (585-665H). Beliau terkenal sebagai penyusun kitab al-Hawi Shaghir (صاحب الحاوي الصغير), iaitu matan fiqh yang terkenal di kalangan para ulama mazhab Syafi’i. Kandungan kitab ini dipenuhi dengan pelbagai permasalahan fiqh yang disertakan dengan contoh-contoh, ia sesuai sebagai rujukan para qadhi dan mufti.

Kitab al-‘Ujab ini disusun oleh Imam Abdul Ghaffar al-Quzwaini sebagai huraian (syarah) bagi karya beliau yang berjudul al-Lubab (اللباب)[1], iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan pendapat-pendapat yang difatwakan oleh Ashab al-Wujud dan al-Aqawil dalam mazhab al-Syafi’i.

Berdasarkan terbitan cetakan pertama (2019) Darul Ibn Hazm – Beirut, kitab ini diterbitkan dalam 6 jilid dengan 3922 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab al-Lubab karya Imam Najmuddin al-Quzwaini ini, terdapat sebuah lagi kitab yang sama judulnya, yang lebih terkenal di kalangan para ulama mazhab Syafi’i, iaitu kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi'i (اللباب في الفقه الشافعي) yang disusun al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ). Kitab al-Lubab ini merupakan antara kitab yang menjadi rujukan utama para ulama terdahulu dalam fiqh al-Syafi'i. Isi kandungan kitab ini telah disebutkan oleh beberapa ulama terkemudian dalam beberapa karya mereka ketika menghuraikan masalah fiqh.

Friday, April 24, 2020

al-Isyarah Fi al-Fiqh ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i


Kitab al-Isyarah Fi al-Fiqh ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الاشارة في الفقه على مذهب الامام الشافعي) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu al-Fath Sulim bin Ayyub al-Razi al-Syafi’i (365-447H).

Ia merupakan sebuah kitab yang ringkas yang disusun oleh penyusunnya daripada pendapat-pendapat Imam Syafi’i yang rajih (الاقوال ارجحها), permasalahan yang sahih (المسائل اصحها), pendapat-pendapat ulama mazhab yang masyhur (الاوجه اشهرها). Ia disusun dengan ibarat yang jelas berserta dengan contoh-contohnya. Oleh itu, kitab ini dianggap sebuah kitab fiqh yang muktamad dalam mazhab Syafi’i.

Kitab al-Isyarah ini disusun oleh Imam Sulim al-Razi sebagai ringkasan (مختصر) bagi kitab beliau yang berjudul al-Furu’ (الفروع). Kitab al-Furu' ini telah menjadi rujukan para ulama mazhab. Sebagai contoh, al-Imam Abu Husain Yahya bin Abu al-Khair Salim al-‘Imrani al-Yamani (489-558H) telah menjadikan kitab al-Furu’ ini rujukan utama beliau ketika menyusun karya beliau yang berjudul al-Bayan fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i (البيان في فقه مذهب الشافعي).

Berdasarkan terbitan cetakan pertama (2014) Darul Dhiyak- Kuwait, kitab ini diterbitkan dalam satu jilid dengan 284 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الاشارة في الفقه على مذهب الامام الشافعي.

Semoga bermanfat.

Kifayah al-Raghib Syarh Hidayah al-Thalib


Kitab Kifayah al-Raghib Syarh Hidayah al-Thalib fi al-Fiqh al-Syafi’i (كفاية الراغب شرح هداية الطالب في الفقه الشافعي)  adalah sebuah karya fiqh Syafi’i yang disusun oleh Sayyid al-‘Allamah Abdullah bin Husain Balfaqih Ba ‘Alawi (1198-1266H).  Kandungan kitab ini membincangkan permasalahan yang berkaitan dalam bidang ibadat.

Kitab ini disusun oleh Sayyid Abdullah bin Husain Balfaqih sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya beliau yang berjudul Hidayah al-Thalib ila Ma’rifah al-Wajib (هداية الطالب الى معرفة الواجب).

Kitab Kifayah al-Raghib ini boleh dimuat turun di pautan كفاية الراغب شرح هداية الطالب في الفقه الشافعي

Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 21, 2020

al-I’lam bi Qawathi’ al-Islam (الإعلام بقواطع الإسلام)


Kitab al-I’lam bi Qawathi’ al-Islam (الإعلام بقواطع الإسلام) adalah sebuah karya dalam bidang akidah yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami (974H). 

Kandungan kitab ini membincangkan tentang faktor-faktor yang boleh membatalkan iman seseorang.

Kandungan kitab ini boleh dimuat turun di pautan;  

Dibaca secara online di pautan الإعلام بقواطع الإسلام.  Semoga bermanfaat.

Saturday, April 18, 2020

al-Masa-il al-Hamawiyyah (المسائل الحموية)


Kitab al-Masa-il al-Hamawiyyah (المسائل الحموية) atau al-Fatawa al-Hamawiyyah (الفتاوى الحموية) adalah sebuah karya yang menghimpunkan beberapa permasalahan agama yang disusun dalam bentuk soal jawab oleh al-Imam Hibbatullah bin Abdul Rahim al-Barizi (645-738H). Terdapat 100 permasalahan agama yang dibincangkan dalam kitab ini.

Kitab al-Masa-il al-Hamawiyyah ini telah diterbitkan oleh Dar al-Basya-ir dengan cetakan pertama tahun 2004. Ketebalan kitab ini merangkumi 280 halaman.

Penyusunan kitab ini sebenarnya melibatkan dua orang ulama terkenal. Di mana soalan-soalannya adalah dikemukakan oleh al-Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Husain bin ‘Ali al-Qurasyi al-Isnawi al-Mishri (704-772H). Manakala jawapannya pula diberikan oleh al-Imam Hibbatullah bin Abdul Rahim al-Barizi. Imam Abdul Rahim al-Isnawi telah mendapat keizinan daripada Imam Hibbatullah al-Barizi untuk menyebarkan (menerbitkan) kitab ini. Oleh itu kitab ini juga dikenali sebagai al-Masa-il al-Isnawiyyah (المسائل الإسنوية) dan telah disebutkan oleh sebahagian penulis-penulis buku tarajim sebagai karya Imam al-Isnawi.

Perbincangan dalam kitab ini meliputi permasalahan akidah dan sebahagian besar kandungannya adalah berkaitan dengan bidang fiqh seperti permasalahan ibadat, muamalat, kekeluargaan, hudud dan jinayat dan lain-lain.

Semoga bermanfaat.

Friday, April 17, 2020

al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (المنهاج في شعب الإيمان)


Kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (المنهاج في شعب الإيمن)  adalah sebuah kitab yang disusun oleh Abu Abdullah al-Husain bin al-Hasan bin Muhammad bin Halim al-Bukhari al-Jurjani al-Halimi (338-403H). Kitab ini telah diterbitkan oleh Dar al-Fikr dengan cetakan pertama pada 1979 (cet. 1) dalam 3 jilid.

 kandungan ini, Haji Khalifah menyebutkan dalam kitab Kasyf al-Dzunun; “ Kandungan kitab ini merangkumi hukum-hakam dan permasalahan fiqh yang banyak dan selainnya yang berkaitan dengan usuluddin, tanda-tanda kiamat dan keadaan hari kiamat ”.

Kandungan kitab ini dibahagiakan kepada 10 bahagian; iaitu;

1)      Menerangkan Hakikat Keimanan.
2)      Pertambahan Iman dan Pengurangannya.
3)      Pengecualian Mengenai Iman;  sah atau tidak sah keimanan. 
4)   Lafaz-lafaz keimanan; Apa yang mengesah dan tidak mengesahkan keimanan.
5)   Keimanan orang yang Muqallid dan orang yang ragu-ragu  serta perbezaan di antara   Muqallid dan selainnya. 
6)      Seseorang itu boleh dianggap beriman dengan keimanan orang lain atau tidak.
7)      Mengenai kesahan iman seseorang itu atau tidak.
8)      Mengenai orang tidak sampai seruan (dakwah). 
9)      Mengenai orang yang mati, sedangkan ia syak terhadap dakwah yang sampai kepadanya.
10)  Mengenai pecahan keimanan (شعب الإيمان).

Bahagian ke 10  (شعب الإيمان) ini merupakan kandungan utama kitab ini. Dalam bahagian inilah yang paling banyak dibincangkan oleh penyusunnya  dalam kitab ini. Kandungannya telah dibahagikan kepada 77 bab, yang membincangkan mengenai 77 pecahan iman yang merangkumi permasalahan-permasalahan akidah, fiqh dan tasawuf.

Secara ringkas berikut adalah antara isi kandungan yang dibincangkan;

a)    Mengenai akidah;  perkara-perkara rukun iman, hari kebangkitan, Hisab, al-Mizan, syurga, neraka dan sirath, cintakan Allah, takut kepada janji buruk, harapan terhadap janji baik, tawakal, cinta kepada Nabi saw, keluarga dan para sahabat baginda. 
b)  Mengenai tasawuf dan adab; menjaga lidah, amanah, ikhlas, taubat dan adab-dab yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia.
c)  Mengenai fiqh; bersuci, solat, puasa, iktikaf, sedekah (zakat), haji, jihad dan berkaitan dengannya, dan lain-lain yang berkaitan dengan permasalahan fiqh. 
d)   Lain-lain; Menuntut ilmu, tilawah al-Quran, doa dan yang berkaitan dengannya, tuntutan berubat dari penyakit dan lain-lainnya.

Keseluruhan bahagian 1 hingga 9 dibincangkan dalam jilid pertama dan 12 bab (pecahan iman) dari bahagian 10 telah dibincangkan dalam jilid pertama (544 halaman), manakala selebihnya dibincangkan dalam jilid 2 (bab 13 – 33 dalam 558 halaman) dan jilid 3 (bab 34 – 77 dalam 535 halaman).


Di antara ringkasan kitab al-Minhaj ialah;

a)  Talkhish al-Minhaj – karya ‘Alauddin Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il bin Yusuf  al-Qunawi al-Tibrizi  (668-729H). 

b)   Mukhtashar Kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (مختصر كتاب المنهاج في شعب الايمان) – karya Syeikh Ali al-Syarbaji dan  Mahyuddin Najib. 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://waqfeya.com/book.php?bid=4851 dan dibaca secara online di pautan https://al-maktaba.org/book/32809. Semoga bermanfaat.

Wednesday, April 15, 2020

al-Yanbu’ Fi Ma Zada ‘ala al-Rawdhah Min al-Furu’


Kitab al-Yanbu’ Fi Ma Zada ‘ala al-Rawdhah Min al-Furu’  (الينبوع فيما زاد على الروضة من الفروع) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H). Imam al-Suyuthi menyusun kitab ini sebagai tambahan bagi kitab al-Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين), karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di pautan الينبوع فيما زاد على الروضة من الفروعSemoga bermanfaat.

Wednesday, April 8, 2020

Ghayatul Maram Fi Kaifiyah Ada-i Hajj al-Islam


Kitab Ghayatul Maram Fi Kaifiyah Ada-i Hajj al-Islam (غاية المرام في كيفية اداء حج الاسلام) merupakan sebuah fiqh mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun oleh al-Allamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1769-1847). Kandungan kitab ini secara khusus membicarakan mengenai tatacara menunaikan ibadat haji dan umrah berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh para ulama mazhab Syafi’i.

Kitab ini dianggap sebagai sebuah kitab dalam bahasa Melayu (Jawi) yang paling lengkap membicarakan mengenai ibadat haji dan umrah berbanding kitab-kitab lain yang disusun oleh para ulama Nusantara. Sebagai maklumat,  Syaikh Daud al-Fathani ada membicarakan permasalahan ibadat haji dan umrah dalam dua buah karya beliau, iaitu dalam Ghayat Maram dan Kitab Furu’ al-Masa'il. Namun dalam kitab Furu’ al-Masa’il ia hanya disentuh secara ringkas sahaja – yang dimuatkan dalam satu fasal setebal 8 halaman. Manakala dalam kitab Ghayat al-Maram beliau membincangkannya permaslah ibadat haji dan  umrah secara terperinci, termasuk falsafah dan pengajarannya dalam 71 halaman.

Jika terdapat khilaf pada sesuatu permasalahan di kalangan ulama mazhab Syafi'i, beliau menerangkan pendapat-pendapat ulama mengenainya, tanpa menentukan (mentarjih)  mana-mana pendapat sebagai pilihan.

Di bahagian akhir (penutup) kitab, beliau membicarakan mengenai adab-adab dan falsafah haji yang mengaitkan amalan-amlan zahir haji dengan maksud sebenarnya di sisi Allah serta suasana pada Hari Akhirat menurut Imam al-Ghazali. Kata beliau “ Ini suatu ‘Khatimah’ pada menyatakan adab yang halus dan menyatakan segala amal yang batin dan menyatakan rahsia yakni hikmat yang dituntut pada haji”. Di samping itu dimuatkan juga doa-doa yang dibaca ketika melakukan ibadat haji sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ Ulumiddin. Isi kandungan bahagian ini merupakan terjemahan langsung daripada kitab Ihya’ Ulumiddin.

Di antara sumber rujukan bagi penyusunan kitab Ghayat al-Maram ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj karya Ibn al-Haytami (974H), Ihya ‘Ulumiddin karya Imam al-Ghazali (505H), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karya Imam al-Nawawi (676H), Mughni al-Muhtaj karya al-Khathib al-Syarbini (977H) dan Nihayat al-Muhtaj karya Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H).

Edisi rumi kitab Ghayat al-Maram ini telah diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah berdasarkan edisi yang telah dirumikan oleh pengasasnya sendiri, iaitu Almarhum Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah ().


Fatawa al-Azra’i (فتاوى الأذرعي)


Kitab Fatawa al-Azra’i (فتاوى الأذرعي), adalah sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamdan bin Abdul Wahid al-Azra’i  (708-783H).

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Dhiya’ pada cetakan pertama (2011), ia diterbitkan dengan ketebalan 463 halaman. Kitab ini asalnya ditahkik oleh Ahmad Ibrahim al-Muhammad sebagai memenuhi syarat ijazah sarjana beliau dan diberikan sambutan oleh Prof. Dr Wahbah al-Zuhaili dan Dr Muhammad al-Zuhaili.

Semoga bermanfaat.

Monday, April 6, 2020

al-Tahqiq al-Wafi ‘Ala Munyatul Musolli


Kitab al-Tahqiq al-Wafi  ‘Ala Munyatul Musolli () sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh Baba Abu Qutaibah Rasyidi Abdul Rahman al-Fathani (1970-). Beliau adalah pengasas dan pengetua (Mudir ) Maahad Al-‘Ali Lidirasat Al-Islamiah Al-Arabiah atau lebih dikenali dengan nama Pondok Tepus di Yaring, Patani. Kandungan kitab ini merangkumi 545 halaman.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Munyatul Musolli (), karya al-‘Allamah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani ().

Antara intipati kitab ini adalah;

a)  Muqaddimah Muhaqqiq
b) Sejarah Ringkas Al Allamah Al Alim Rabbani Sheikh Daud al-Fathani.
c) Manuskrip tulisan tangan Sheikh Daud Al Fathoni.
d) Menerangkan permasalah khilafiah dalam solat menurut pendapat imam 4 mazhab.
e) Mensyarahkan ibarat kitab Munyatul Musolli.
f) Menerangkan darjat hadis (takhrij hadis) yang telah dinaqalkan.
g) Menjelaskan hujjah para Imam dari empat mazhab dalam beberapa masalah solat.
h) Menerangkan method pendalilan yang berlaku dalam kitab Munyatul Musolli .

Semoga bermanfaat.

Sunday, April 5, 2020

Tuhfah al-Nussak bi Nazhm Muta’lliqat al-Siwak


KitabTuhfah al-Nussak bi Nazhm Muta’lliqat al-Siwak (تحفة النساك بنظم متعلقات السواك) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-‘Allamah al-Sayyid Abu Bakr bin Ahmad bin Abu al-Qasim al-Ahdal al-Yamani (984-1025H).

Kandungan kitab ini yang  disusun dalam bentuk nazam sebanyak 90 bait dan dibahagikan kepada 6 fasal - yang membicarakan mengenai hukum hakam yang berkaitan dengan tuntutan bersiwak (bersugi) dalam Islam. 

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Basya-ir al-Islamiyyah (cet.1, 2006), kandungannya merangkumi 47 halaman.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan تحفة النساك بنظم متعلقات السواك.

Semoga bermanfaat.