Wednesday, April 8, 2020

Ghayatul Maram Fi Kaifiyah Ada-i Hajj al-Islam


Kitab Ghayatul Maram Fi Kaifiyah Ada-i Hajj al-Islam (غاية المرام في كيفية اداء حج الاسلام) merupakan sebuah fiqh mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun oleh al-Allamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1769-1847). Kandungan kitab ini secara khusus membicarakan mengenai tatacara menunaikan ibadat haji dan umrah berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh para ulama mazhab Syafi’i.

Kitab ini dianggap sebagai sebuah kitab dalam bahasa Melayu (Jawi) yang paling lengkap membicarakan mengenai ibadat haji dan umrah berbanding kitab-kitab lain yang disusun oleh para ulama Nusantara. Sebagai maklumat,  Syaikh Daud al-Fathani ada membicarakan permasalahan ibadat haji dan umrah dalam dua buah karya beliau, iaitu dalam Ghayat Maram dan Kitab Furu’ al-Masa'il. Namun dalam kitab Furu’ al-Masa’il ia hanya disentuh secara ringkas sahaja – yang dimuatkan dalam satu fasal setebal 8 halaman. Manakala dalam kitab Ghayat al-Maram beliau membincangkannya permaslah ibadat haji dan  umrah secara terperinci, termasuk falsafah dan pengajarannya dalam 71 halaman.

Jika terdapat khilaf pada sesuatu permasalahan di kalangan ulama mazhab Syafi'i, beliau menerangkan pendapat-pendapat ulama mengenainya, tanpa menentukan (mentarjih)  mana-mana pendapat sebagai pilihan.

Di bahagian akhir (penutup) kitab, beliau membicarakan mengenai adab-adab dan falsafah haji yang mengaitkan amalan-amlan zahir haji dengan maksud sebenarnya di sisi Allah serta suasana pada Hari Akhirat menurut Imam al-Ghazali. Kata beliau “ Ini suatu ‘Khatimah’ pada menyatakan adab yang halus dan menyatakan segala amal yang batin dan menyatakan rahsia yakni hikmat yang dituntut pada haji”. Di samping itu dimuatkan juga doa-doa yang dibaca ketika melakukan ibadat haji sebagaimana yang terdapat dalam kitab Ihya’ Ulumiddin. Isi kandungan bahagian ini merupakan terjemahan langsung daripada kitab Ihya’ Ulumiddin.

Di antara sumber rujukan bagi penyusunan kitab Ghayat al-Maram ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj karya Ibn al-Haytami (974H), Ihya ‘Ulumiddin karya Imam al-Ghazali (505H), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karya Imam al-Nawawi (676H), Mughni al-Muhtaj karya al-Khathib al-Syarbini (977H) dan Nihayat al-Muhtaj karya Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H).

Edisi rumi kitab Ghayat al-Maram ini telah diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah berdasarkan edisi yang telah dirumikan oleh pengasasnya sendiri, iaitu Almarhum Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah ().


No comments:

Post a Comment