Monday, April 29, 2019

Di Balik Tabir Kematian


Buku “Di Balik Tabir Kematian  ini membicarakan dua persoalan utama, iaitu kematian dan peristiwa-peristiwa yang berlaku  setelah kematian. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Abdul Rosyad Shiddiq, seorang penulis dari Indonesia.

Karya asalnya berjudul Zikr al-Mawt Wa Ma Ba'dahu (ذكر الموت وما بعده). Ia merupakan satu bahagian (kitab)[1] daripada kitab Ihya Ulumiddin, karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H).

Terdapat dua edisi terjemahan buku "Di Balik Tabir Kematian" yang saya miliki, iaitu; 
a)  Edisi terbitan Khatulistiwa Press, Jakarta Timur-Indonesia (cet. 2012).
b)     Edisi terbitan Pustaka Al-Ehsan, Selangor-Malaysia (cet. 2017).

Kedua-dua edisi adalah hasil terjemahan oleh penterjemah yang sama, iaitu Abdul Rosyad Shiddiq.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 12 bab. Berikut adalah ringkasan kandungan buku ini, berdasarkan buku terbitan Pustaka Al-Ehsan;

1.       Kematian dan Dorongan Untuk Selalu mengingatinya
2.      Keutamaan Sedikit Angan-Angan.
3.      Dahsyatnya Sakratul Maut dan Yang Mesti Dilakukan Saat itu.
4.      Wafatnya Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin.
5.      Ucapan Para Khalifah, Umara dan Orang-orang Soleh Menjelang Ajalnya.
6.      Ucapan Para ‘Arifin mengenai jenazah dan kubur, serta hukum ziarah kubur.
7.      Hakikat Kematian dan Alam Kubur.
8.     Mengetahui Keadaan Orang-orang yang Sudah mati melalui Mukasyafah.
9.      Huru hara Kiamat.
10.  Tentang Neraka Jahanam.
11.   Tentang Syurga.
12.  Luasnya Rahmat Allah. 

Teks bahasa Arabnya boleh dibaca secara online di pautan كتاب ذكر الموت وما بعده  dan juga boleh dimuat turun di pautan كتاب ذكر الموت وما بعده.doc.

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu kitab yang ke sepuluh dari Bahagian al-Munjiat (ربع المنجيات). Kitab ini menjadi penutup bagi kitab Ihya ‘Ulumiddin, karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H).

Saturday, April 20, 2019

Insan Teladan Sepanjang Zaman


Buku “ Insan Teladan Sepanjang Zaman ” merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang secara khusus memaparkan sifat fizikal dan peribadi Rasulullah saw yang perlu diteladani umat Islam. Buku yang diterbitkan oleh Darul Nu’man, Kuala Lumpur (Cet.1/ 1994) ini merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia bagi sebuah karya asal dalam bahasa Gujerat yang berjudul “Mukhtashar al-Khasa-il (مختصر الخصائل), yang disusun oleh Mufti Ahmed E. Bemat, seorang ulama terkenal dari India. Manakala usaha penterjemahan ini dilakukan oleh Abdul Aziz bin Abdul Hamid, yang selesai pada 24 ogos 1993.

Beberapa catatan mengenai buku ini…

Sebagaimana disebutkan buku ini merupakan terjemahan bagi kitab Mukhtashar al-Khasail (), karya Mufti Ahmed E. Bemat dalam bahasa Gujerat. Sedangkan kitab ini adalah ringkasan bagi kitab Khasha-il Nabawi – Khasail e Nabvi (خصائل نبوی), sebuah karya Sheikhul Hadis Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi (1315/1898-1402/1982), iaitu sebuah terjemahan dan huraian dalam bahasa Urdu bagi kitab Syamail al-Tirmizi (208-279H). Sebagaimana diketahui bahawa kitab Syamail al-Tirmizi () merupakan sebuah karya al-Imam al-Tirmizi yang terkenal yang menghimpunkan hadis-hadis yang berkaitan dengan sifat dan peribadi Rasulullah saw.

Berdasarkan maklumat di atas, bererti buku “ Insan Teladan Sepanjang Zaman ” ini merupakan ringkasan yang bagi kitab Syamail al-Tirmizi yang disusun kembali dalam bahasa Malaysia. Dalam penyusunan buku ini, selain disebutkan hadis-hadis Rasulullah saw – penterjemah juga mengekalkan beberapa catatan-catatan dan huraian-huraian yang disebutkan dalam karya asalnya (kitab Mukhatshar al-Khashail).

Terdapat dua bentuk catatan / huraian dalam buku ini;

a)   Catatan: merupakan petikan daripada kitab Khasha-il Nabawi, iaitu karya Sheikhul Hadis Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam bahasa Urdu.
b) Penjelasan Yang Seperlunya:  merupakan huraian daripada penyusun kitab Mukhtashar al-Khasha-il, iaitu Mufti Ahmed E. Bemat.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 56 bab,  yang merangkumi 408 halaman. Semoga bermanfaat

Thursday, April 18, 2019

Kamu Bertanya, Islam Menjawab



Buku yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini  adalah sebuah buku yang berjudul “ Kamu Bertanya, Islam Menjawab ”. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan  dari sebuah karya berbahasa Arab yang berjudul “ Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah ” (يسألونك في الدين والحياة), iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan beberapa permasalahan agama dan yang berkaitan dengan kehidupan.

Kitab yang disusun dengan kaedah soal- jawab ini adalah sebuah karya Dr. Ahmad al-Syarbashi (1918-1980), seorang ulama di Universiti al-Azhar, Mesir. Kitab versi Arab ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1980 oleh Dar al-Jail, Beyrut dalam 7 jilid tebalnya.

Manakala buku terjemahannya pula diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Ahmad Subandi dan diterbitkan oleh Penerbit Lentera, Indonesia dalam 7 jilid, sebagaimana edisi asalnya. Berdasarkan terbitan di atas, buku terjemahan ini telah diterbitkan kembali di Malaysia oleh Darul Fikir, Kuala Lumpur  – dengan cetakan pertamanya pada tahun 2004. Alhamdulillah, dalam koleksi saya, terdapat semua jilidnya (1-7). Sekadar pengetahuan saya, edisi terjemahan ini belum lagi diterbitkan kembali oleh Darul Fikir.

Kandungan kitab ini asalnya merupakan himpunan soal jawab agama dalam satu program di sebuah stesen radio  di Mesir yang dikendalikan oleh Dr. Ahmad al-Syarbashi. Penyusunnya telah berusaha menyusun kembali soal jawab tersebut dan dibukukan,  bagi memastikan  kandungannya dapat disebarkan kepada masyarakat dengan lebih luas, berbanding penyampaian secara lisan yang hanya terhad kepada para pendengar program tersebut di radio. Pembukuan tersebut juga dapat memelihara kandungannya dan dapat menjadi rujukan umat Islam  sepanjang zaman.

Mengenai kaedah penyusunan kitab ini, Dr Ahmad al-Syarbashi ada menerangkannya dalam kata pengantarnya;

Di dalam menjawab pertanyaan-pertanyaaan yang dilontarkan, saya bersandarkan keada al-Quran –kerana ia adalah sebaik-baik perkataan- dan hadis-hadis Rasulullah saw yang sahih. Di saming itu, saya juga berpegang kepada perkataan para sahabat dan tabi’in serta pendapat-pendapat yang masyhur di kalangan mazhab empat. Dalam memberikan jawapan, kebanyakkannya saya memilih jawaan yang paling mudah, kerana Muhammad al-Mustafa saw telah bersabda; “ Permudahkanlah dan janganlah engkau persulitkan, gembirakanlah dan janganlah engkau takut-takuti ”.

Jika seorang penanya meminta jawapan hukum fiqh menurut mazhab tertentu, saya akan memberikan jawapan menurut mazhab yang diinginkan, namun begitu saya juga mengiringinya dengan pendapat-pendapat dari mazhab yang lain.

Dalam memberikan jawapan, saya memilih cara yang ringkas dan sederhana. Saya juga mengurangi penggunaan istilah-istilah fiqh yang sulit difahami oleh orang awam. Jika saya terpaksa memasukkan istilah-istilah tersebut, saya akan menyertakannya dengan keterangan yang memudahkan para pembaca memahaminya ”.

Buku versi Arabnya boleh dimuat turun melalui pautan يسألونك في الدين والحياة .

Semoga bermanfaat.

Wednesday, April 17, 2019

495 Kemusykilan Terungkai: Anda Bertanya Islam Menjawab



Buku “ 495 Kemusykilan Terungkai: Anda Bertanya Islam Menjawab ” merupakan sebuah karya terjemahan dari naskhah asalnya berbahasa Arab yang berjudul 'Anta Tas'alu wal Islaamu Yujiibu (انت تسأل والاسلام يجيب). Karya asalnya merupakan khazanah yang berharga buat umat Islam dari seorang ulama terkemuka yang dihormati kerana kefaqihannya iaitu Prof. Dr. Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi (1911-1998) dari Mesir. Manakala terjemahannya diusahakan oleh ?.

Buku dalam versi bahasa Melayu ini telah diterbitkan oleh Inteam Publishing, dengan cetakan pertamanya pada 2012. Tebalnya merangkumi 623 halaman.

Buku ini pada asalnya mempunyai 5 jilid dengan 5 kategori iaitu Keimanan, Hukum, Akhlak, Umum dan Soal Jawab Ringkas. Setelah itu, kelima-lima jilid itu digabungkan dan disusun semula pembahagian tajuknya bagi memudahkan pembaca untuk membaca dan merujuk permasalahan yang diutarakan.

Kini, buku ini mengandungi 30 bab kesemuanya. Antara bab-bab itu ialah bab Munakahat, Akidah, Haji Umrah dan Korban, Kekeluargaan, Ekonomi Islam, Kepimpinana dan Politik Islam, Adab dan Akhlak, Sirah, Puasa, Solat, Doa dan Zikir, Sedekah dan Zakat dan banyak lagi.

Buku versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan انت تسأل والاسلام يجيب .

Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 16, 2019

“Soal-Jawab Kemusykilan Agama: Anda Bertanya Islam Menjawab"



Buku yang berjudul “Soal-Jawab Kemusykilan Agama: Anda Bertanya Islam Menjawab” yang ingin dikongsi dengan pembaca kali ini adalah sebuah karya terjemahan dari sebuah buku yang berjudul مائة سؤال وجواب عن الاسلام ( 100 Soal Jawab Mengenai Islam) yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Muhammad al-Ghazali (1917-1996).

Buku ini telah diterjemahkan oleh Muhammad Yusuf Baihaqi dan diterbitkan oleh Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur – dengan cetakan pertamanya pada tahun 2009. Tebal buku ini merangkumi 670 halaman.

Buku ini terhasil dari soalan-soalan yang diajukan orang ramai kepada Syaikh Muhammad al-Ghazali. Beliau telah memilih 100 soalan yang dianggap penting, bermutu dan sesuai dengan isu semasa untuk dijawab dan dibicarakan dalam buku ini.

Berikut adalah antara yang dibahaskan dalam buku ini:

1.       Langit dan bumi menurut sains.
2.      Membentuk peribadi Muslim yang kuat
3.      Islam sebagai jalan keluar
4.      Gambaran masa depan Islam
5.      Hukum berjihad zaman sekarang
6.      Ciri utama negara Islam
7.      Mengapa takut pemerintahan Islam?
8.     Bagaimana Islam memantapkan ekonomi.
9.      Mengapa kiblat di Tanah Arab
10.  Pehambaan dalam Islam

Buku dalam versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan  مائة سؤال وجواب عن الاسلام

Semoga bermanfaat.