Saturday, April 20, 2019

Insan Teladan Sepanjang Zaman


Buku “ Insan Teladan Sepanjang Zaman ” merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang secara khusus memaparkan sifat fizikal dan peribadi Rasulullah saw yang perlu diteladani umat Islam. Buku yang diterbitkan oleh Darul Nu’man, Kuala Lumpur (Cet.1/ 1994) ini merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia bagi sebuah karya asal dalam bahasa Gujerat yang berjudul “Mukhtashar al-Khasa-il (مختصر الخصائل), yang disusun oleh Mufti Ahmed E. Bemat, seorang ulama terkenal dari India. Manakala usaha penterjemahan ini dilakukan oleh Abdul Aziz bin Abdul Hamid, yang selesai pada 24 ogos 1993.

Beberapa catatan mengenai buku ini…

Sebagaimana disebutkan buku ini merupakan terjemahan bagi kitab Mukhtashar al-Khasail (), karya Mufti Ahmed E. Bemat dalam bahasa Gujerat. Sedangkan kitab ini adalah ringkasan bagi kitab Khasha-il Nabawi – Khasail e Nabvi (خصائل نبوی), sebuah karya Sheikhul Hadis Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi (1315/1898-1402/1982), iaitu sebuah terjemahan dan huraian dalam bahasa Urdu bagi kitab Syamail al-Tirmizi (208-279H). Sebagaimana diketahui bahawa kitab Syamail al-Tirmizi () merupakan sebuah karya al-Imam al-Tirmizi yang terkenal yang menghimpunkan hadis-hadis yang berkaitan dengan sifat dan peribadi Rasulullah saw.

Berdasarkan maklumat di atas, bererti buku “ Insan Teladan Sepanjang Zaman ” ini merupakan ringkasan yang bagi kitab Syamail al-Tirmizi yang disusun kembali dalam bahasa Malaysia. Dalam penyusunan buku ini, selain disebutkan hadis-hadis Rasulullah saw – penterjemah juga mengekalkan beberapa catatan-catatan dan huraian-huraian yang disebutkan dalam karya asalnya (kitab Mukhatshar al-Khashail).

Terdapat dua bentuk catatan / huraian dalam buku ini;

a)   Catatan: merupakan petikan daripada kitab Khasha-il Nabawi, iaitu karya Sheikhul Hadis Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam bahasa Urdu.
b) Penjelasan Yang Seperlunya:  merupakan huraian daripada penyusun kitab Mukhtashar al-Khasha-il, iaitu Mufti Ahmed E. Bemat.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 56 bab,  yang merangkumi 408 halaman. Semoga bermanfaat

1 comment: