Wednesday, April 30, 2014

Fadhail A’mal (فضائل الأعمال)


Kitab Fadhail A’mal (فضائل الأعمال) atau Fadhilat ‘Amal adalah antara kitab terkenal, yang sentiasa dibaca dan ditelaah serta dihayati isi kandungannya oleh sebahagian masyarakat Islam di dunia kini. Kitab ini menjadi teks khusus bagi Jamaah Tabligh, iaitu satu pertubuhan dakwah Islam yang berpengaruh yang berpusat di India. Kitab ini ditulis oleh Maulana Muhammad Zakaria al-Kandhahlawi r.h (w-1982), yang asalnya di dalam Bahasa Urdu dan telah diterjemahkan melebihi 20 bahasa di seluruh dunia termasuk English, French, Belanda, Benggali, Bahasa Melayu, Siam, Tagalog, Cina, Tamil, Spanish, Turki, Jepun, dan lain-lain.

Antara kandungan kitab Fadhail Amal adalah :-

1. Fadhilat Zikir
2. Fadhilat Solat
3. Fadhilat Al-Quran
4. Fadhilat Tabligh
5. Fadhilat Ramadhan
6. Kisah Para Sahabat

Maulana Zakaria r.h adalah seorang Muhaddits iaitu seorang Ahli Hadits yang menghafaz sekurangnya 50,000 hadits di dalam Bahasa Arab beserta matan dan sanadnya ataupun semua perawi hadits itu.

Kitab ini perlu dibaca setiap hari di rumah untuk menghidupkan amalan Taalim ataupun Majlis Ilmu dirumah. Kitab ini mudah dibaca ataupun sesiapa sahaja boleh membaca kerana ia lengkap dengan huraian dan penerangan. Tidak perlu seseorang itu untuk menghuraikan atau menambah penjelasan kerana ia sudah lengkap.

Mengapa kita susah untuk mengamalkan ilmu yang kita tahu? Salah satu sebabnya adalah kerana kita kurang mengetahui fadhilat dan ganjaran atas setiap amalan yang kita kerjakan. Ilmu Fadhail ini kita harus dengar setiap hari agar timbul keghairahan dalam mengamalkan setiap amal ibadah kita. Bukanlah kita beramal semata-mata kerana ganjaran tetapi ini adalah fitrah manusia dan janji Allah SWT yang akan memberi ganjaran pahala dan syurga kepada setiap hambaNya yang taat.


Adakah Kitab Fadhail Amal mengandungi hadis dhaif dan maudhu'?

Mengenai perkara ini telah diterangkan oleh Maulana Mahmud Hassan Gangohi (rahimahullah), Mufti Besar Darul Ulum Deoband dalam fatwa beliau pada 24/3/1395 AH:

"Kemungkinan besar tidak ada hadith yang disepakati oleh semua ulama' sebagai maudhu'. Bagaimana pun terdapat hadith yang dianggap dha'if atau lemah malah dilabel sebagai palsu oleh sebahagian ulama'. Pengarang kitab Fadha'il Amal yang mulia (Maulana Zakariyya rah.) sendiri telah menyentuh tentang perkara ini. Kitab 'Tadribur Rawi' menerangkan bahawa adalah dibolehkan menggunakan hadith dha'if berkaitan dengan fadhilat atau kelebihan-kelebihan amal. Jika sebaliknya, apa yang kamu akan perkatakan tentang Ibn Majah (rah.) apabila Ibn Jauzi (rah.) mengatakan bahawa kebanyakan daripada hadith-hadith yang diriwayatkan oleh beliau sebagai maudhu'? Sunan Ibn Majah adalah sebahagian dari silibus madrasah malah salah satu dari 6 kitab Sahih. Ibn Majah (rah.) tidak menyebut pun hadith-hadith tersebut sebagai maudhu'. Malah kitab beliau digunakan tanpa sebarang bantahan.

Pengarang kitab Fadha'il Amal sangat berhati-hati. Beliau telah menerangkan tentang hadith-hadith yang sesetengah ulama' mengatakan sebagai maudhu'. Jika sekiranya semua ulama bersepakat bahawa hadith-hadith tersebut adalah maudhu', beliau sekali-kali tidak akan meriwayatkannya."

Semoga bermanfaat.

Baca pautan berikut untuk maklumat lanjut mengenai kitab ini;

Friday, April 25, 2014

Futuhat al-Wahhab (فتوحات الوهاب)


Kitab Futuhat al-Wahhab bi Taudih Syarh Manhaj al-Thullab. (فتوحات الوهاب بتوضيح شرح منهج الطلاب) adalah antara kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menjadi rujukan para ulama mazhab. Kitab ini adalah hasil karya al-‘Allamah Sulaiman bin Umar bin Manshur al-‘Ujaili - yang terkenal dengan sebutan al-Jamal (1204 H).

Kitab ini disusun sebagai huraian atau komentar (hasyiah) bagi kitab Syarah Manhaj al-Thulab. Kitab Syarh Manhaj al-Thullab atau judul lengkapnya Fath al-Wahhab Syarh Manhaj al-Thullab (فتح الوهاب شرح منهج الطلاب ), pula merupakan karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakaria al-Anshari (926H) sebagai huraian (syarah) bagi kitab Manhaj al-Thullab, iaitu sebuah karya beliau sendiri. Manakala kitab Manhaj al-Thullab ini pula merupakan ringkasan dari kitab Minhaj al-Thalibin  (منهاج الطالبين) karya Imam Abu Zakariya Yahya bn Syaraf al-Nawawi (676H).

Sebagaimana yang disebutkan di atas, kitab Manhaj al-Thullab maupun Syarahnya, kedua-duanya merupakan karya Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari. Manakala kitab Futuhat al-Wahhab bi Taudih Syarh Manhaj al-Thullab ini disusun dalam bentuk kitab hasyiyah (komentar) bagi kitab Syarh al-Manhaj. Kitab Futuhat al-Wahhab ini lebih dikenal dengan sebutan Hasyiyah al-Jamal.’ala Syarh al-Manhaj (على شرح المنهجحاشية الجمل ). Dengan menggunakan nama inilah kitab ini dicetak berulang kali. Edisi cetakan yang paling baik adalah edisi yang ditahkik oleh Syaikh Abdur Razzaq Ghalib al-Mahdi- yang  diterbitkan oleh Darul Kutub al-Ilmiyyah Beirut dalam lapan jilid tebal, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996.  


Sumber;  Catatan di atas, adalah dipetik dan diubahsuai dari buku “ Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 ( Pengantar Mazhab al-Imam al-Syafie), terbitan al-Hidayah Publications Cet. 1 2012. Buku ini adalah terjemahan kitab al-Madkhal Ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i karya Dr. Akram Yusuf ‘Umar al-Qawasimi. Lihat hal. 511. Semoga bermanfaat.

Sunday, April 20, 2014

Nihayah al-Amal (نهاية الامل)


Kitab Nihayah al-Amal li man Raghiba fi Shihhatil ‘Aqidah wal ‘Amal (نهاية الامل لمن رغب في صحة العقيدة والعمل) merupakan sebuah kitab lengkap membicarakan tiga asas utama dalam agama Islam, iaitu meliputi bidang akidah (iman), fiqh (ibadah) dan akhlak (tasawuf). 

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syamsuddin Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim bin ‘Amir bin ‘Abdul Rahman al-Dimyathi al-Madani al-Azhari. Syaikh Abu Khudhair al-Dimyathi al-Azhari adalah seorang ulama mazhab Syafi’i lepasan al-Azhar al-Syarif. 

Di antara gurunya ialah Syaikhul Islam dan Syaikhul Azhar Ibrahim al-Bajuri. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar sebagai “ al-‘Umdah” yakni tiang atau sandaran dalam ilmu fiqh di kalangan pengikut mazhab al-Syafi’i yang mutaakhirin. Beliau wafat sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’.

Dalam penyusunan kitab ini, penyusun dengan rendah diri menyatakan bahawa kandungan kitab ini hanyalah merupakan himpunan pendapat para ulama terdahulu yang dinukil kembali oleh beliau daripada kitab-kitab mereka. Berikut disenaraikan nama-nama kitab yang menjadi rujukan beliau dalam penyusunan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan dalam muqaddimahnya;

a) Kebanyakan permasalahan akidah, dinukilkan dari kitab Syarh al-Bajuri ‘ala Jauharatul Tauhid, iaitu karya gurunya Syaikh Ibrahim al-Bajuri (1276H)[1]

b)   Kebanyakan permasalahan fiqh, dinukilkan dari kitab Syarh al-Khathib ‘ala Matn Abu Syuja’[2] dan Hasyiah al-Bujairimi (Tuhfah al-Habib) ‘ala Syarh al-Khathib[3]. Manakala khusus mengenai ibadat haji dipetik dari beberapa buah kitab yang secara khusus membicarakan haji seperti kitab al-Manasik karya Imam al-Nawawi.

c)   Permasalahan mengenai wirid, zikir dan doa, dinukilkan dari kitab al-Azkar karya Imam al-Nawawi, kitab Mukhtashar al-Azkar karya Imam al-Sayuthi, kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali dan kitab Irsyad al-‘Ummal[4].

d)     Permasalahan tasawuf pula dinukilkan dari kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali.

Sekadar perkongsian, sebenarnya saya mula mengenali judul kitab Nihayatul ‘Amal ini ketika saya membaca satu artikel mengenai  “ si mati mendapat manfaat pahala yang dilakukan orang hidup ”. Berikut petikan artikel tersebut yang saya nukil dari pautan http://bahrusshofa.blogspot.com/2012_10_01_archive.html ;

Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Mathla`ul Badrain wa Majmaa`ul Bahrain" pada halaman 141 menukil fatwa Syaikh Muhammad Abu Khudhair bin Ibrahim ad-Dimyathi al-Madani al-Azhari rahimahullah, sebagaimana tercatat dalam karya beliau "Nihayatul Amal li man raghiba fi shihhatil `aqidah wal `amal" yang menyatakan sebagai berikut:


"Bermula yang tetap atasnya oleh hal daripada khilaf yang amat banyak bahawasanya mayyit itu memberi manfaat akan dia barang yang diperbuat baginya pada segala kebajikan kemudian daripada matinya, tetapi tak dapat tiada bahawa diqasad oleh yang memperbuatnya akan pahala demikian itu bagi mayyit; Atau ia mendoa baginya kemudian daripada diperbuatnya dengan hasil pahala baginya; Atau ada ia pada kuburnya. Dan dapat demikian pahala itu pula bagi yang memperbuatnya."

Berikut pula saya bawakan petikan asal dari kitab Nihayatul Amal dalam bahasa Arab[5];

والذى استقرعليه الحال من خلاف كبير ان الميت ينفعه ما يفعل له من الخيرات بعد موته لكن لا بد أن يقصد الفاعلل ثواب ذلك للميت او يدعوله عقب الفعل بحصول الثواب له او يكون عند قبره وبحصل لفاعل ذلك ثواب ايضا

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, seorang ulama Nusantara yang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab ada banyak memetik isi kandungan kitab Nihayatul ‘Amal ini dalam penyusunan kitabnya yang berjudul Nihayatul Zain Syarh Qurratul ‘Ain. Petikan kandungan kitab ini boleh didapati secara meluas dari awal kitabnya hingga kitab al-Bai’ (jual beli).

Kitab Nihayatul Amal ini boleh dimuatturunkan melalui pautan  berikut;

https://archive.org/download/aloquabwwq22_hotmail_201803/%D9%86%D9%87%D8%A7%D9%8A%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%A3%D9%85%D9%84%20%D9%84%D9%85%D9%86%20%D8%B1%D8%BA%D8%A8%20%D9%81%D9%89%20%D8%B5%D8%AD%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%82%D9%8A%D8%AF%D8%A9%20%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85%D9%84.pdf

Kitab dalam bentuk ebook pdf ini berasal dari sebuah kitab Nihayatul Amal yang telah dicetak  mengikut cetakan lama, iaitu seperti kitab-kitab Jawi yang beredar di pasaran. Dicatatkan di akhir kitab tersebut “ dicetak oleh Matba’ah al-Maimaniyyah Mesir pada tahun 1313H ”. Tebal kitab ini merangkumi 296 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungannya.  Semoga bermanfaat.   



[1] Untuk mengetahui biodata beliau, sila layari pautan; http://lbm.mudimesra.com/2014/02/syeikh-ibrahim-al-bajuri.html

[2] Judul asal kitab ini ialah al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’. Kitab ini adalah karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syarbini (977H)

[3] Iaitu karya Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H). Judul kitab ini ada juga diringkaskan menjadi al-Bujairimi ‘ala al-Khatib.

[4] Iaitu kitab إرشاد العمال إلى ما ينبغي ف يوم عاشوراء وغيره من الأعمال , karya Syaikh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Badiri al-Dimyathi al-Syafi’i. Beliau yang  terkenal dengan gelaran Ibn al-Mayyit ini merupakan seorang tokoh terkenal dari kalangan pengikut Tarikat al-Syazali. Beliau wafat pada tahun 1140 H.

[5] Nihayatul ‘Amal, hal. 191.  Kitab rujukan saya ini adalah kitab ebook pdf. 

Sunday, April 13, 2014

Nihayah al-Zain (نهاية الزين)


Kitab Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in (نهاية الزين في إرشاد المبتدئين) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menjadi rujukan para ulama.  Kitab ini adalah antara karya bermutu yang disusun oleh al-‘Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Tanari al-Bantani (1314H). Kitab ini disusun bagi menghuraikan kandungan kitab  Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (قرة العين بمهمات الدين)[1], iaitu sebuah matan fiqh yang ringkas karya al-‘Allamah Zaynuddin bin Abdul ‘Aziz bin Ali al-Malibari al-Fanani (987H).

Sebagai pengenalan ringkas kitab Nihayah al-Zain ini, saya bawakan petikan muqaddimah penyusunnya;

فيقول العبد الفقير الراجي من ربه الخبـير، غفر الذنوب والتقصير: محمد نووي ابن عمر، التناري بلداً، الأشعري اعتقاداً، الشافعي مذهباً، هذا شرح على «قرة العين بمهمات الدين» للشيخ العلامة: زين الدين ابن الشيخ عبد العزيز ابن العلامة زين الدين بن علي بن أحمد المليباري الفناني، قصدت به نفع إخواني القاصرين مثلي، وسميته نهاية الزين في إرشاد المبتدئين.

ولم يكن لي مما سطر في هذا الكتاب شيء، بل جميعه مأخوذ من عبارات المؤلفين، نفعنا الله بهم آمين، وغالب ما فيه من «نهاية الأمل» للشيخ العلامة محمد بن إبراهيم أبـي خضير الدمياطي فإنها عين غديقة، ومن «نهاية المحتاج، وتحفة المحتاج»للإكليلين محمد الرملي، وأحمد بن حجر؛ فإنهما عمدتان للمتأخرين من العلماء الشافعية، ومن «فتح الجواد والنهاية: شرح أبـي شجاع، ومن الحواشي»، فما كان فيه من صواب فمنسوب إلى هؤلاء وما كان من خطأ فمن ذهني الكليل ، فالمرجو ممن اطلع عليه أن يصلحه بلطف واحتياط، والله أسأل، وبنبـيه الكريم أتوسل، أن ينفع به كما نفع بأصوله، وأن يحله محل القبول، إنه أكرم مسؤول.

Sebagaimana yang disebutkan dalam muqaddimah di atas, Syeikh Muhammad Nawawi telah menyenaraikan beberapa kitab rujukan beliau ketika menyusun kitab ini, antaranya;

a) Nihayah al-Amal (نهاية الأمل)[2] karya al-Syaikh Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim al-Dimyathi al-Madani al-Azhari[3].

b) Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج), karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Abu al-Abbas Ahmad al-Ramli (919-1004 H )

c) Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج) dan Fath al-Jawad karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H )

Kitab Nihayah al-Zain dalam file PDF boleh dibaca dan didownload di pautan berikut http://www.feqhweb.com/dan3/uploads/13641506922.pdf. Ebook ini berdasarkan kitab Nihayah al-Zain yang diterbitkan oleh Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut  bagi cetakan pertama pada tahun 2002. Ia telah ditahqiq oleh Abdullah Mahmud Muhammad Umar.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab Manhaj al-Thullab karya Syaikhul Islam al-Imam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H). Syaikh Zaynuddin al-Malibari sendiri telah menyusunkan sebuah kitab dengan judulnya  Fath al-Mu’in  bagi menghuraikan kitab beliau ini. Lihat pengenalan ringkas kitab Fath al-Mu’in di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2012/06/kitab-fath-al-muin.html, dan juga kitab I’anah al-Thalibin yang menjadi kitab komentarnya (hasyiah) karya al-‘Allamah Abu Bakr Syatha al-Diyamthi di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/01/ianah-al-thalibin.html.

[2] Iaitu kitab Nihayah al-Amal li man raghiba fi shihhah al-‘aqidah wa al-‘amal. Syaikh Muhammad Nawawi banyak mengambil isi kandungan kitab ini dalam menyusun kitab beliau. Hal ini boleh dilihat  beberapa petikannya yang terdapat di awal kitabnya  hingga kitab al-Bai’ (jual beli).

[3] Beliau seorang ulama mazhab Syafi’i lepasan al-Azhar al-Syarif. Di antara gurunya ialah Syaikhul Islam dan Syaikhul Azhar Ibrahim al-Bajuri. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar sebagai “ al-‘Umdah ” yakni tiang atau sandaran dalam ilmu fiqh di kalangan pengikut mazhab al-Syafi’i yang mutaakhirin. Beliau wafat sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’.

Monday, April 7, 2014

Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail (بهجة الوسائل بشرح مسائل)


Kitab Bahjatul Wasail bi Syarh al-Masail (بهجة الوسائل بشرح مسائل ) merupakan sebuah karya ulama terkenal Nusantara, iaitu al-Syaikh al-‘Allamah Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi al-Syafi’i al-Qadiri (1230-1314H / 1815- 1897 ). Kitab ini merupakan huraian (syarah) bagi kitab Masail [1] (مسائل ) atau judul lainnya al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf [2]  (الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف) karya al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H). 


al-Sayid Ahmad bin Zain al-Habsyi, penyusun kitab al-Risalah al-Jami’ah, iaitu matan asal kitab  Bahjah al-Wasail di atas menerangkan sumber penulisan kitabnya dalam pendahuluan kitabnya;


فَهَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ مِنْ بَعْضِ كُتُبِ حُجَّةِ الإسْلاَمِ الْغَزَالِيِّ غَالِبَاً. مَنْ عَرَفَهَا وَعَمِلَ ِهَا نَرْجُو لَهُ مِنَ الله أنْ يَكُوْنَ مِنْ أهْلِ الْعِلْمِ ظَاهِرَاً وَبَاطِنَاً

“ Maka ini adalah beberapa permasalahan yang diringkaskan dari sebahagian kitab-kitab karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahui dan mengamalkannya, kami memohonkan pengharapan daripada Allah untuknya agar menjadi seorang ahli imu yang zahir dan batin ”.

Manakala al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani pula menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya bagi menghuraikan kandungan kitab Masail tersebut;

هذا شرح علي الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف للسيد أحمد بن زين الحبشى. سألني فيه بعض

الأحبة فأجبته لذالك طالبا من الله إخلاص الطوية. وسميته بهجة الوسائل بشرح مسائل.

“ Ini sebuah syarah (huraian) bagi kitab al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf   karya al-Sayyid Ahmad bin Zain al-Habsyi. Telah meminta sebahagian dari orang yang dikasihi (di kalangan murid-murid dan sahabat) agar menyusun kitab sebagai huraian isi kandungannya. Maka aku memperkenankan permintaan tersebut dengan ikhlas mengharapkan keredaan Allah.......dan aku namakan kitab ini dengan بهجة الوسائل بشرح مسائل.”

Kandungan kitab ini.

Sebagaimana judulnya, kitab ini mengandungi penjelasan mengenai tiga bidang ilmu utama dalam Islam, iaitu: Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Perbincangan dalam kitab ini menyentuh dasar-dasar keimanan, rukun Islam, ibadah yang meliputi shalat, puasa, zakat, haji dan mengenai akhlak – tasawuf meliputi memelihara hati dan anggota tubuh, yang disertai nas al-Qur’an dan al-Hadits.

Mempelajari dan mengamalkan kandungan buku kecil ini insya Allah dapat meningkatkan kesempurnaan iman, Islam dan ihsan hingga mencapai tingkat muttaqin. Perlu diketahui, tiga bidang ilmu itu merupakan satu kesatuan yang harus dijiwai setiap muslim dalam kehidupan sehari-hari. Sehingga ucapan, perbuatan, gerak-geri, dan tingkah laku kita dalam kehidupan benar-benar bernafaskan ruh Islam. Sebab ada keterangan yang menyatakan: “Siapa mengamalkan fiqih tanpa tasawuf, maka dia zindiq, dan siapa yang bertasawuf disertai fiqih maka benarlah dia.

Terjemahan kitab ini..

Kitab Bahjah al-Wasail ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh beberapa penerbit. Saya sendiri belum memiliki dan membaca kitab terjemahannya. Berdasarkan pencarian di laman maya saya jumpai beberapa kedai buku yang menjual buku asal dan terjemahannya  secara online. Namun semua kedai tersebut dari Indonesia. Sekadar perkongsian maklumat berikut antara kedai yang boleh dilayari http://www.kiosislami.com/485,terjemah-kitab-bahjatul-wasail-syarah-kitab-masail-%E2%80%93-syekh-nawawi-al-bantani-al-jawi.html

Jika pembaca mengetahui kedai buku di Malaysia menjual kitab ini, boleh dikongsikan maklumatnya diblog ini.

Kitab dalam edisi Arabnya boleh dibaca di pautan

Semoga bermanfaat.




[1] Judul Wasail ini diambil dari ungkapan penyusun asalnya dalam muqaddimahnya: هَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ (Ini merupakan beberapa permasalahan yang diringkaskan)

[2] Judul ini ada dicatatkan di bahagian kulit hadapan kitab Bahjah al-Wasail dan dalam muqaddimahnya.