Sunday, December 20, 2015

Fatawa al-Qaffal


Kitab “Fatawa al-Qaffal (فتاوى القفال)”  adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal al-Marwazi.

Imam Al-Qaffal  adalah seorang tokoh utama mazhab Syafi’i, yang mengetuai para fuqaha Syafi’iyyah di Khurasan (Syaikh al-Khurrasani) pada abad ke 5 hijrah. Beliau terkenal dengan keluasan ilmunya dalam bidang fiqh  dan usul fiqh. Perkara ini, jelas terserlah dalam beberapa fatwa beliau dalam kitab al-Fatawa ini. Jika disebutkan gelaran “al-Qaffal al-Marwazi” di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, maka ia merujuk kepada al-Qaffal al-Shaghir ini, bukannya kepada al-Qaffal al-Kabir, iaitu  al-Imam Abu Bakr Muhammad bin ‘Ali bin Ismail al-Syasyi[1] (291-365H), yang juga dikenali sebagai al-Qaffal al-Syasyi. Pendapat Imam al-Qaffal al-Syasyi al-Kabir ini kerap disebutkan di dalam kitab-kitab usul fiqh.

Imam al-Qaffal al-Marwazi merupakan seorang yang luas pengetahuannya mengenai fiqh mazhab Syafi’i, termasuk pendapat qadim dan jadid dalam mazhab Syafi’i. Beliau juga terkenal sebagai seorang ulama yang tidak taksub kepada mazhab yang dianutinya. Di antara pendapat yang masyhur daripada beliau ialah mengenai keharusan seorang penganuti mazhab Syafi’i  solat bermakmumkan seorang imam yang bermazhab Hanafi dan sebaliknya,  sedangkan  pendapat yang masyhur oleh sebahagian  para fuqaha Syafi’i dan Hanafi bahawa perbuatan tersebut adalah tidak sah.

Selain kitab al-Fatawa ini, antara karya Imam al-Qaffal al-Marwazi yang lain ialah kitab Syarh Talkhish Ibn al-Qash[2]Syarh al-Furu’ li Ibn al-Haddad[3] dan Syarh Kitab ‘Uyun al-Masail li Abi Bakr al-Farisi[4]


Kitab “Fatawa al-Qaffal”

Kitab Fatawa al-Qaffal ini tidak disusun sendiri oleh al-Imam al-Qaffal al-Marwazi, tetapi ia disusun oleh seorang ulama lain selepas kewafatannya, yang berkemungkinan adalah salah seorang dari anak-anak muridnya. Ia disusun berdasarkan beberapa fatwa yang masyhur yang pernah dikeluarkan oleh Imam al-Qaffal al-Marwazi. Kitab ini didahului dengan kata pengantar penyusun (penghimpun fatwa) dan penyusunnya (penghimpun) kerap menyebut perkataan “aku berkata kepadanya”, “maka berkata al-Syaikh”, “kami berkata kepadanya”. Ia membuktikan kitab ini disusun selepas kewafatan Imam al-Qaffal al-Marwazi oleh salah seorang muridnya. Sebenarnya, kitab ini tidak menghimpun kesemua fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Qaffal al-Marwazi. Berdasarkan kitab Fatawa al-Qaffal yang diterbitkan dengan cetakan pertamanya (2011) oleh Dar Ibn Qayyim (Arab Saudi) dan Dar Ibn ‘Affan (Mesir) hanya terdapat 349 permasalahan fiqh yang disebutkan dalam kitab tersebut. Banyak lagi fatwa-fatwa lain yang dinisbahkan kepada Imam al-Qaffal al-Marwazi yang disebutkan dan dinukilkan oleh para ulama dalam beberapa kitab yang muktamad di sisi mazhab Syafi’i yang tidak terdapat dalam kitab fatwa ini.

Bagi edisi cetakan yang disebutkan di atas, pentahkik (editor) kitab “Fatawa al-Qaffal” iaitu Mustafa Mahmud al-Azhari, telah berusaha mengumpul beberapa fatwa-fatwa al-Qaffal al-Marwazi yang terdapat berselerakkan dalam beberapa kitab fiqh dan qawa’id fiqh yang disusun oleh para ulama mazhab Syafi’i, dan melampirkannya di akhir kitab ini, khususnya mengenai bab-bab tertentu  yang tidak terdapat dalm kitab fatwa ini.

Fatwa-fatwa dalam kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqh, mengikut turutan kitab-kitab berikut, iaitu  kitab thaharah,  kitab solat, kitab jenazah, kitab zakat, kitab puasa, kitab haji, kitab korban, pemburuan, sembelihan dan makanan (ath’imah), kitab nazar, kitab jual beli, dan kitab al-Salam dan al-qard.


Kitab-kitab yang mengandungi fatwa-fatwa Imam al-Qaffal al-Marwazi

Berikut disenaraikan beberapa buah kitab fiqh yang ada menyebutkan fatwa-fatwa  al-Qaffal al-Marwazi;

      1.     Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz karya Imam al-Rafi’i(623H),  
      2.     Rawdh al-Thalibin dan Majmu’ karya ImamAbu Zakariyya Yahya bin Syaraf  al-Nawawi (676H),
      3.      Kifayah al-Akhyar fi Hall Ghayah al-Ikhtishar karya Taqiyuddin al-Hushni (829H),
     4.      Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib, karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (926H),
     5.    Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj dan al-Fatwa al-Kubra karya Ibn Hajar al-Haytami (974H),
      6.       Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj Karya Khathib al-Syarbini (977H),
      7.      Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya Syamsuddin al-Ramli (1004H),
      8.     Hasyiah I’anah al-Thalibin karya abu Bakr al-Dimyathi  dll.

Fatwa-fatwa dari al-Qaffal juga terdapat dalam beberapa kitab qawa’id fiqhiyyah, antaranya;

    1.   al-Asybah wa al-Nazhair karya Shadruddin Muhammad bin ‘Umar , yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wakil (716H),
     2.     al-Majmu’ al-Muzahhab fi Qawa’id al-Mazhab karya al-Hafizh Khalil bin Kaikaldi al-‘Ala-i (761H),
     3.    al-Asybah wa al-Nazhair karya Tajuddin  ‘Abdul Wahhab bin ‘Aliy bin Abdul Kafi al-Subki (771H),
   4.   al-Matsur fi al-Qawa’i dan Khabaya al-Zawaya karya Badaruddin Muhammad bin Bahadur al-Zarkasyi 794H),
     5.      al-Qawa’id karya Sirajuddin ‘Umar bin ‘Ali Ibn al-Mulaqqan ( 804H),
    6.  al-Asybah wa al-Nazhair karya ‘al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H), dll.

Semuanya fatwa-fatwa  al-Qaffal yang terdapat dalam kitab-kitab di atas, adalah bersumber kepada  kitab al-Syarh al-Kabir karya al-Rafi’i dan al-Rawdhah  karya al-Nawawi.  Sedangkan mereka berdua (al-Rafi’i dan al-Nawawi) merujuk  fatwa-fatwa tersebut kepada karya-karya  Imam al-Haramayn al-Juwayni[5]. Di mana Imam al-Haramayn pula mengambil fatwa-fatwa tersebut dari pada murid-murid al-Qaffal al-Marwazi seperti bapanya  Syaikh Abu Muhammad al-Juwaini[6], al-Qadhi Husain[7], al-Shaydalani, al-Fawrani[8] dan  Abu ‘Ali al-Sinji[9]. Di samping itu, al-Nawawi dan al-Rafi’i juga ada  merujuk kepada karya-karya Imam Abu Hamid al-Ghazali[10] dan kitab Syarh al-Talkhis karya al-Qaffal  al-Marwazi.

Kandungan kitab Fatawa al-Qaffal  yang merangkumi  304 halaman ini boleh dimuat turun melalui pautan  http://waqfeya.com/book.php?bid=9430Semoga bermanfaat.

Sumber:  Kitab Fatawa al-Qaffal, cetakan 1 (2011), Dar Ibn Qayyim / Dar Ibn ‘Affan.



[1] Di antara karya beliau ialah Tafsir Kabir lil-Qur`an al-Karim, Syarh Kitab ar-Risalah lil-Imam al-Syafi'i, Dala`il al-Nubuwwah, Mahasin al-Syari'ah dan Adab al-Qadha’.

[2] Iaitu huraian bagi kitab al-Talkhish karya al-Imam Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Abu Ahmad al-Thair al-Thabari (335H/946M), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Qash. Di antara karya beliau yang lain ialah; Adab al-Qadhi / Adab al-Qadha, al-Mawaqit, al-Miftah, Dala-il al-Qiblah dan Nushrah al-Qawlain li al-Imam al-Syafi’i.

[3] Iaitu huraian bagi kitab al-Furu’ al-Mawlidat (Furu’ Ibn al-Haddad) karya al-Qadhi Ibn al-Haddad al-Kinani,  Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Muhammad (344/345H). Antara karya beliau yang lain ialah; Jami’ al-Fiqh, Al-Bahir fi al-Fiqh dan Adab al-Qudha’.

[4] Iaitu huraian bagi kitab ‘Uyun al-Masa-il karya al-Imam Abu Bakr Ahmad bin al-Hasan bin Sahl al-Farisi (350H/961M). Antara karya lain beliau ialah Kitab al-Intiqad ‘ala al-Muzani.

[5] Beliau ialah Abu al-Ma-‘ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H), yang terkenal dengan gelaran Imam Haramayn. Beliau adalah guru kepada Imam al-Ghazali. Di antara karya beliau ialah; Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab dan Ghunyah al-Mustarsyidin fi al-Khilaf

[6] Beliau ialah Rukn al-Islam Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Juwaini (438H). Di antara karya beliau ialah al-Tabshirah fi al-Waswasah, Mukhtashar al-Mukhtashar (Mukhtashar Syaikh Abi Muhammad)/ al-Mu’tashar  – ringkasan Mukhtashar al-Muzani, Mukhtashar fi Mawqif al-Imam wa al-Makmum dan  al-Jam’  wa al-Farq.

[7] Beliau ialah al-Qadhi  Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwarruzi (462H). Di antara karya beliau ialah; al-Ta’liqah (Syarh Mukhtashar al-Muzani), al-Fatawa, Syarh al-Furu’ Ibn al-Haddad dan Asrar al-Fiqh.

[8] Beliau ialah al-Fawrani, Abdurrahman bin Muhamad Ahmad bin Fawran (461H). Di antara karya beliau ialah kitab al-Ibanah dan al-‘Umdah

[9] Beliau ialah Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H). Di antara karya beliau ialah kitab Syarh Mukhtashar al-Muzani, Syarh al-Talkhish  dan Syarh al-Furu’.

[10] Beliau ialah Hujjatul Islam  Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazzali (450-505H). Di antara karya beliau ialah kitab  al-Basith,  al-Wasith  Fi  al-Mazhab, al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’I,  al-Khulashah  dan al-Ihya ‘Ulum al-Din.

Friday, December 18, 2015

Fatawa al-Baghawi


Kitab Fatawa al-Baghawi (فتاوى البغوي) adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Hafizh al-Mujtahid al-Faqih Muhyis Sunnah Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud bin Muhammad al-Baghawi al-Syafi’i (433-516H).

Kitab Fatawa al-Baghawi merupakan antara kitab-kitab fatwa yang penting, yang menjadi rujukan para ulama, khususnya para ulama mazhab Syafi’i. Kandungannya menjadi hujjah dan rujukan para fuqaha’ kerana kedudukan Imam al-Baghawi sebagai seorang tokoh ulama panutan yang tinggi keilmuannya. Fatwa-fatwa al-Baghawi telah dinukil oleh para ulama dan tercatat dalam  karya-karya mereka. Antara ulama yang banyak menyebutkan fatwa-fatwa al-Baghawi dalam karya-karya mereka ialah Imam al-Rafi’i, al-Nawawi, al-Muzajjad al-Yamani, Ibn al-Rif’ah, Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari, Taqiyuddin al-Hushni, Ibn Hajar al-Haytami, al-Ramli, al-Syarbini al-Khathib, dan lain-lain.

Kitab ini disusun oleh al-Baghawi meliputi semua permasalahan dalam bab fiqh. Penyusunan babnya mengikut susunan kitab Mukhtashar al-Muzani. Isi kandungan fatwa-fatwa dalam kitab ini agak ringkas dan padat. Bilangan fatwanya yang disebutkan dalam kitab ini melebihi 700 permasalahan.

Melihat kepada kandungan fatwa yang disusun oleh al-Baghawi ini, menunjukkan keilmuan dan kemantapan kefahaman al-Baghawi mengenai sesuatu permasalahan hukum syarak. Para ulama menganggap al-Baghawi telah mencapai tahap mujtahid yang mampu mengeluarkan hukum syarak tanpa bertaklid kepada ulama sebelumnya. Perkara ini dapat kita ketahui dengan meneliti sebahagian fatwa-fatwa al-Baghawi yang terdapat dalam kitab ini, yang menyalahi pendapat para ulama sebelum beliau.

Kitab fatwa yang penting ini telah dicetak dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2015, oleh Dar al-Minhaj. Kitab ini diterbitkan dalam satu jilid dengan ketebalan 608 halaman. Semoga bermanfaat.


Wednesday, December 16, 2015

Mukhtashar al-Buwaithi


Kitab Mukhtashar al-Buwaithi (مختصر البويطي) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya al-Buwaithi, seorang murid kesayangan Imam al-Syafi’i. Beliau dilahirkan di Mesir dan wafat dalam penjara di kota Baghdad pada tahun 231H.

Imam Syafi’i pernah berkata tentang al-Buwaithi, “ Tidak ada seorangpun di antara muridku yang lebih berilmu dari al-Buwaithi ”. Imam al-Syafi’i pernah memberikan kebenaran kepada al-Buwaithi memberikan fatwa dan mengizinkan al-Buwaithi menjawab berbagai pertanyaan yang diajukan di dalam majlis pengajaran beliau.

Kitab Mukhtashar al-Buwaithi merupakan ringkasan bagi kitab al-Umm karya Imam al-Syafi’i. Dikatakan juga ia merupakan ringkasan dari beberapa karya al-Buwaithi yang disusun berdasarkan pengajaran Imam al-Syafi’i, iaitu; Kitab al-Mukhtashar al-Kabir, al-Mukhtashar al-Shaghir dan al-Faraidh. Kitab al-Mukhtashar ini, walaupun dianggap sebagai ringkasan “Kitab Al Umm” karya Imam al-Syafi’i,  namun begitu Imam al-Buwaithi tidak hanya sekadar meringkaskan sahaja, beliau juga ada menambahkan beberapa hasil ijtihadnya terhadap sejumlah masalah yang terkadang menyelisihi ijtihad Imam al-Syafi’i.

Kitab ini menjadi salah satu rujukan utama para ulama terkemudian,  bukan sahaja dari kalangan Syafi’iyah seperti al-Juwaini, al-Syairazi, al-Ghazali, al-Mawardi, al-Rafi’i, dan al-Nawawi, bahkan juga di kalangan para ulama mazhab yang lain.

Kitab Mukhtashar al-Buwaithi ini telah dicetak dan diterbitkan dalam satu jilid untuk pertama kalinya oleh Dar al-Minhaj. Cetakan ini berdasarkan kitab yang ditahkik oleh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qarhdaghi. Usaha pengeditan kitab ini berdasarkan tiga buah manuskrip lama, yang tersimpan lebih dari 1200 tahun tanpa usaha penerbitannya. Usaha pengeditan ini telah dimulakan sejak tahun 1980, baru tahun 2015 ia dapat diterbitkan dengan ketebalan kitab ini merangkumi 1152 halaman. Semoga bermanfaat

Tuesday, December 15, 2015

Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi


Kitab “ Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi ”  adalah sebuah karya dalam bidang tafsir al-Quran yang disusun oleh al-Marhum Shahibul Samahah al-‘Allamah Dato’ Haji Muhammad Nor bin Haji Ibrahim (1905-987). Seorang tokoh ulama yang terkenal di negeri Kelantan, yang banyak menyumbangkan jasa kepada perkembangan agama Islam melalui pelbagai jawatan yang disandangnya, antaranya sebagai Qadhi Besar Negeri Kelantan (1937-1942), Mufti Khas Sultan Kelantan (1942-), anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan (1968-1987).

Kitab “Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi ” ini telah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1957 oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Awang. Kitab ini dicetak dengan tulisan Jawi, dengan ketebalan 53 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar penerbit (sepatah kata penerbit) dan halaman isi kandungannya.

Kitab ini telah diterbitkan untuk kali keduanya pada 1989, juga dengan edisi tulisan Jawi oleh Muhammad Sa’id bin Dato’ Haji Muhammad Nor, iaitu anak kepada al-Marhum Dato’ Haji Muhammad Nor pengarang kitab tafsir ini. Dalam cetakan kedua ini masih dikekalkan kata pengantar penerbit bagi terbitan pertama (sepatah kata dari penerbit), penambahan dibuat dengan kata pengantar penerbit yang kedua dan kata pengantar dari Dato’ Haji Muhammad bin Che’ Wook , iaitu Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Bagi melengkapkan lagi kitab ini, biodata ringkas pengarangnya dilampirkan bagi mengenangkan ketokohan dan jasanya kepada agama dan umat Islam. Kitab terbitan kedua ini ada satu naskhah dalam koleksi peribadi saya.

Dalam muqaddimah kitab ini, pengarangnya menerangkan galakan membaca surah ini, khusus pada malam atau hari Jumaat. Berdasarkan beberapa hadis Nabi saw, antara keistimewaan yang diperolehi orang yang membaca surah al-Kahfi ialah;

       a)     Mendapat nur (cahaya) yang menjadi penyuluh kehidupan bagi keselamatan
             hari akhirat.
       b)     Memperolehi keselamatan dari usikan syaitan
       c)      Memelihara diri daripada fitnah godaan Dajjal.

Dalam muqaddimah ini, pengarang telah menerangkan bahawa Nabi saw telah memperingatkan umat Islam mengenai bahaya godaan Dajjal. Kerana betapa pentingnya peringatan Nabi saw ini, pengarang telah memberikan penerangan mengenai Dajjal ini dalam beberapa perenggan dalam muqaddimah kitab ini.

Selepas penerangan mengenai bahaya Dajjal, pengarang telah membuat persoalan “ Akan tetapi , adakah khasiat (keistimewaan) ayat surah al-Kahfi dapat memimpin dan mensentosakan pembacanya dengan semata-mata betul dan kena bacaannya sahaja?

Bagi menjawab persoalan ini, beliau menyebutkan; “ Pensyarah-pensyarah hadis telah pun menerangkan bahawa bacaan yang menghasilkan khasiat-khasiat yang tersebut ialah bacaan orang yang memahami erti ayat-ayat serta memperamati dan mengambilkan pengajaran yang terisi di dalamnya

Berdasarkan keistimewaan yang akan diperolehi oleh pembaca surah al-Kahfi ini, pengarang telah menerangkan tujuan beliau mengarang kitab tafsir ini. Katanya; “ Maka dengan perasaan ingin supaya dimasukkan Allah ke dalam golongan penolong-penolong kebajikan, saya cuba himpunkan pada helaian-helaian ini beberapa ramuan bagi faedah pembaca-pembaca Melayu yang suka hendak memahamkan sedikit daripada maksud ayat-ayat surah al-Kahfi buat petunjuk jalan keselamatan …………….”.

Pada akhir muqaddimah kitab ini, pengarang menjelaskan bahawa ramuan yang terdapat dalam huraian kitabnya itu adalah pandangan dan pemahaman beliau berdasarkan beberapa buah kitab bacaannya. Di hujung kitab tersebut disenaraikan lebih daripada 25 buah buku rujukan yang menjadi sumber bacaan, termasuk kitab-kitab tafsir sepeti Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Qurthubi, Tafsir al-Baydhawi, Tafsir al-Jalakayb, Tafsir Ruh al-Bayan, Tafsir Ruh al-Ma’ani, Tafsir al-Tanthawi, Hasyiah al-Shawi. Begitu juga kitab-kitab hadis yang dirujuk seperti Fath al-Bari Syarh Shahih Muslim, ‘Aun al-Ma’bub, Tuhfah al-Ahwazi dan sebagainya.

Ini menjelaskan ketelitian dan kesungguhan beliau merujuk kitab-kitab yang semstinya sukar didapati kerana bukanlah suatu kebiasaan waktu itu orang merujuk perpustakaan dan bilangan perpuastakaan pun amat kurang, kecuali perpustakaan peribadi. Lebih dari itu, beliau juga merujuk kitab-kitab tasawwuf seperti Ihya’ ‘Ulumiddin, kitab tauhid seperti al-Qawl al-Mufid dan lain-lain.

Dalam melakukan pentafsiran ayat-ayat dalam surah al-Kahfi ini, pengarang bukan sekadar menerangkan kisah-kisah yang dipaparkan dalam ayat, bahkan beliau membuat penelitian terhadap pengajaran yang dapat diambil dari kisah-kisah tersebut. Menurut beliau, “ semua ibarat dan kisah Quran adalah asal tujuannya memberi pelajaran dan perbandingan kepada orang-orang mukmin buat beramal dan mengambil iktibar, tidak semata-mata perumpamaan atau perihal kejadian ”.

Umpamanya, bagaimana Ashabul Kahfi yang berusaha membebaskan diri mereka dari kezaliman pada waktu itu, bukan sahaja mereka berusaha secara zahir, tetapi juga berusaha secara rohani dengan bersama-sama “ berdoa dengan satu jumlah yang sayugia (sepatutnya) bagi tiap-tiap mukmin jadikan doanya pada tiap-tiap perkara dunia dan akhirat ”.

Di akhir pentafsiran pengarang terhadap kisah Ashabul Kahfi ini, beliau menegaskan tujuan utama kisah ini adalah memberi panduan yang perlu diambil oleh orang beriman yang ingin menyelamatkan pegangan agama mereka ketika berlakunya fitnah dan tekanan pemerintah yang zalim. Setiap orang beriman hendaklah tidak terlalu bergantung dan berharap kepada segala kekuatan zahir yang ada sehingga melupakan kepada kekuatan yang sebenar, iaitu Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Walau bagaimanapun, kita diperintahkan terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah SWT. Kesemua yang berlaku adalah dengan izin Allah.

Banyak lagi kupasan yang bermanfaat yang diterangkan oleh pengarang dalam buku nipis 53 halaman ini. Tetapi yang jelasnya, dari kupasan dan analisis ringkas beliau terhadap isi kandungan surah al-Kahfi ini sudah cukup menunjukkan keilmuannya yang tinggi dan mendalam, yang meletakkan beliau sebagai pemikir dan sarjana Islam yang cukup keterampilan. Sekadar pengetahuan saya, kitab ini belum lagi diterbitkan kembali sama ada dengan edisi tulisan jawi maupun tulisan rumi. Semoga kitab yang bermanfaat ini dapat diterbitkan kembali oleh pihak keluarga beliau atau mengizinkan syarikat penerbitan tertentu menerbitkan kembali kitab ini untuk memperkembangkan ilmu sebagai warisan yang berkekalan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai biodata Dato’ Muhammad Nor dan kitab tafsir ini sila layari;
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/14407/Sumbangan_Dato.pdf

Semoga bermanfaat.

Friday, December 11, 2015

Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah


Kitab “ Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah (سلم المناجاة شرح سفينة الصلاة )” adalah sebuah karya fiqh mengenai ibadat mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi bin ‘Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy (1316H/1898M) sebagai huraian atau syarah bagi kitab “ Safinah al-Shalah ” iaitu sebuah karya fiqh ringkas mengenai ibadat solat yang disusun oleh Syaikh Abdullah bin ‘Umar bin Yahya al-Hadhrami al-Syafi’i ().


Kitab “ Safinah al-Shalah ”

Kitab Safinah al-Shalah, sebagaimana diterangkan di atas adalah sebuah kitab fiqh ringkas mengenai tuntutan perlaksanaan ibadat solat, merangkumi cara-cara bersuci dan kaedah-kaedah perlaksanaan solat menurut mazhab Imam al-Syafi'i. Mengenai sistematik isinya, kitab (matan fiqh) ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu; 

a)   Pendahuluan berisi hamdalah dan shalawat;
b) Isi pula meliputi dua bahagian, iaitu akidah (makna kalimat Syahadatain), dan penerangan      mengenai solat, yang merupakan kandungan utama kitab ini. 
c)   Penutup berisi shalawat. 

Melihat keseluruhan isi kitab Safinah al-Shalah ini, tepatlah dikatakan ia adalah kitab fiqh. Kitab ini dianggap sebuah kitab yang berbentuk matan fiqh kerana ringkasnya huraian, tanpa disebutkan dalil-dalil dan permasalahan yang lebih luas yang berkaitan ibadat solat.


Kitab “ Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah ” 

Bagi memperluaskan lagi perbahasan tentang solat, al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani telah menulis kitab syarah (huraian) bagi kitab Safinah al-Shalah tersebut, yang  diberikan judul Sullam al-Munajat. Kitab ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1297 Hijriyah. Dalam penulisannya, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani telah melakukan penghuraian (pensyarahan) kepada seluruh kitab matan tersebut, iaitu meliputi pendahuluan, isi dan penutup.

Bagi pendahuluan kitab asalnya yang hanya berisi hamdalah dan shalawat, Syeikh Muhammad Nawawi telah menulis syarahnya dengan cukup panjang, iaitu sampai mengungkapkan "misteri" nama Muhammad (Rasulullah), dan menyediakan  gambar rajah tentang al-Khulafa al-Rasyidun.

Di bahagian isi, Syeikh Muhammad Nawawi membuat syarah sesuai dengan bahagian isi dalam kitab matan, iaitu bidang akidah dan bidang tuntunan solat;

     a)     Di bidang akidah,  Syeikh Nawawi telah menyusun syarah cukup panjang yang meliputi pembahasan tentang makna syahadat, sifat-sifat Tuhan, dan sifat-sifat Rasul, khususnya Nabi Muhammad saw. Dalam masalah iman, Syeikh Muhammad Nawawi menghuraikan bahagian-bahagian iman (ajza'u al-iman), dan sampai pada konsep dan kedudukan kafir.

     b)     Mengenai tuntunan solat secara praktis, dalam syarahnya, Syeikh Nawawi telaal-Qur'an atau al-Sunnah, mengemukakan masalah-masalah dan pemecahannya lengkap dengan sumber pengambilannya.

Manakala di bahagian penutup yang berisi hamdalah dan shalawat, dalam syarahnya, Syeikh Nawawi telah memperluaskan maksud shalawat yang dalam erti harfiahnya ialah mendo'akan Nabi, sedang hamdalah dinyatakan sebagai sifat bagi Allah.  

Mengenai gaya penghuraiannya, Syeikh Muhammad Nawawi mengemukakan huraian tambahan di bawah pernyataan tanbih, far'un, dan i'lam; ungkapan ini semuanya berjumlah 7 kali. Kemudian, untuk mempermudah analisis, Syaikh Muhammad Nawawi menyediakan gambar rajah tentang masalah-masalah tertentu. Dalam masalah penentuan arah kiblat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat gambar rajah pemetaan falakiyah; dalam masalah hubungan wuduk, mandi., dan shalat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat tabel linier; dan dalam pembahasan hikmah dan makna solat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat gambar rajah  dalam bentuk "pohon" ikhlas. Kemudian, dalam melengkapi penjelasan, al-Syeikh Muhammad Nawawi melengkapinya dengan illustrasi dengan masalah pembahasan.

Memperhatikan syarah yang disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi tersebut, terlihat pembahasan yang luas yang bukan hanya menjelaskan atau mengomentasi kitab matannya. Contohnya; dalam kitab matan tidak diterangkan mengenai cara menentukan arah kiblat; sedangkan dalam syarahnya, ketika menerangkan kewajipan menghadap kiblat, Syeikh Muhammad Nawawi menerangkan arah kiblat dengan persyaratannya di bawah kata i'lam (ketahuilah), lalu menggambarkan dan menjelaskan rumus-rumus falakiyah untuk menentukan arah kiblat dengan contoh lokasi wilayah Banten. Rumus falakiyah itu kemudian dilengkapi dengan gambar rajah.

Demikian pula ketika kitab matan mengakhiri huraian tentang kaifiyat solat, Syeikh Muhammad Nawawi menjelaskan dalam syarahnya tentang hikmah solat, baik dari segi perbuatan dan bacaannya maupun dari segi jumlah raka'at dan waktu-waktunya. Huraian tentang hikmah solat ini kemudian ditunjukkan melalui gambar rajah bahagian-bahagian dan struktur solat yang berbentuk pohon dengan akar, batang, ranting, daun, dan buah.

Meskipun Sulam al-Munajah karya Syeikh Muhammad Nawawi tersebut berbentuk syarah, namun ia bukan sekadar komentar terhadap kitab matannya, bahkan dapat memperlihatkan kemandirian idea dan pemikiran-pemikirannya. Dengan kemandirian yang diperlihatkannya itu, cukup beralasan jika dikatakan bahawa karya Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani ini adalah berkualiti sebagai karya mandiri.

Kitab Sullam al-Munajat boleh dimuat turun dan dibaca melalui berikut;

Artikel di atas dipetik dan diubahsuai dari pautan 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, December 2, 2015

al-Kalim Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah


Kitab “al-Kalim Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah” adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh seorang tokoh ulama terkenal masa kini, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abu ‘Ubadah Nur al-Din ‘Ali bin Jumaah bin Muhammad bin Abd al-Wahhab bin Salim bin Abd Allah bin Salam (1952-). Beliau lebih dikenali sebagai Syaikh ‘Ali Jumaah atau Dr. Ali Jumaah di kalangan umat Islam seluruh dunia pada hari ini. Beliau dilahirkan di Bandar  Bani Suwayf, satu perkampungan di pinggir sungai Nil, Mesir pada waktu fajar, 3 Mac 1952 Masihi bersamaan 7 Jamadilakhir 1371 Hijrah

Kini beliau menjawat jawatan Mufti Besar Mesir dan merupakan salah seorang ulama Islam di peringkat antarabangsa yang paling dihormati. Beliau juga seorang ulama mazhab Syafi'i masa kini (kontemporari) yang pakar dalam bidang Syariah dan Usul al-Fiqh.

Isi kandungan kitab ini, menghidangkan  sekumpulan fatwa yang berkaitan dengan pelbagai permasalahan kehidupan manusia kini, seperti yang berkaitan dengan ibadat, muamalat, hukum pidana (jenayah) dan beberapa permasalahan lain yang mempunyai kaitan dengan isu-isu semasa. Uslub (gaya bahasa) dalam penyusunan fatwa-fatwa ini juga mudah difahami kerana ia menggunakan bahasa yang mudah dan sesuai dengan generasi kini.

Kitab ini dihasilkan melalui pengumpulan jawapan fatwa bagi persoalan yang telah diajukan oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam di Mesir. Atas kapasiti beliau sebagai seorang Mufti Mesir, beliau telah menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat Islam dari segenap pelusuk Mesir yang inginkan kepastian, keterperincian dan keterangan berkaitan dengan permasalahan agama. Permasalahan dan jawapan yang berkaitan kemudian dihimpunkan sebelum dicetak menjadi kitab ini.

Kitab ini telah dihasilkan dan diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2005 (1425 H). Ia kemudiannya dicetak untuk kali kedua pada tahun 2006 (1426 H). Pada tahun 2007 (1437 H), hasil daripada pengumpulan fatwa-fatwa terkini oleh Syaikh ‘Ali Juma’ah, kitab ini telah ditambah dengan jilid baru iaitu jilid kedua. Pada masa sekarang kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa utama dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu.


Metod Penyusunan kitab ini…

Kitab al-Kalim al-Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah ini dimulakan dengan sedikit pendahuluan yang menbincangkan secara ringkas tugas seorang mujtahid untuk menggunakan akal bagi menghadapi pelbagai persoalan dari masyarakat. Penggunaan akal yang dimaksudkan adalah penggunaan yang bertepatan dengan syarak dan bukan mengikut hawa nafsu. Turut dibincangkan ialah perbezaan di antara fatwa dan fekah. Tugas dan cabaran seorang mufti juga diselitkan secara ringkas.

Kitab ini merupakan kitab yang membincangkan fatwa berkaitan dengan fiqh secara umumnya. Oleh yang demikian, penyusunan bab dalam kitab ini menyamai penyusunan penulisan-penulisan fiqh secara umumnya. Penyusunan ini dimulakan dengan perbahasan mengenai ibadah, muamalat, kekeluargaan dan jenayah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa fatwa lain yang diluar daripada skop perbahasan fiqh yang turut dimuatkan dalam kitab ini, seperti akhlak, hak-hak kemanusian, ideologi semasa dan pakaian turut dimuatkan. Namun, fatwa di luar bidang fiqh adalah kurang berbanding bidang fiqh yang menjadikan kitab ini sebagai satu kitab fatwa yang lebih berteraskan hukum-hukum fiqh.

Oleh kerana kitab al-Kalim al-Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah ini merupakan kitab himpunan fatwa-fatwa yang pernah diajukan permasalahannya kepada Syaikh ‘Ali Juma’ah, terdapat beberapa fatwa yang menunjukkan berlakunya sesi dialog atau soal jawab yang berturutan antara beliau dan mustafti (penanya). Dialog ini adalah untuk memahami permasalahan yang dihadapi oleh mustafti dengan baik kerana seorang mufti tidak harus mengeluarkan fatwa tanpa menyelidiki secara teliti apa yang berlaku ataupun mengambil jalan mudah untuk mengeluarkan fatwa. Bagi memenuhi tuntutan serta adab seorang mufti dalam mengeluarkan fatwa ini, Syaikh ‘Ali Juma’ah juga menyelidiki terlebih dahulu setiap permasalahan dengan bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan sebelum membuat rumusan terhadap fatwa yang disandarkan itu.

Dalam kitab ini, terdapat penjelasan yang dibuat secara terperinci tentang sesuatu permasalahan. Ini adalah bersesuaian dengan fatwa yang sememangnya tujuannya untuk menjelaskan dan memberi kefahaman kepada mustafti terhadap sesuatu permasalahan. Setiap fatwa yang dikeluarkan oleh mufti perlu diterangkan dengan keterangan yang menghilangkan segala kemusykilan. Di sebalik penjelasan tentang fatwa secara teliti, terdapat juga fatwa yang dijawab dengan ringkas. Ringkasan dalam menjawab fatwa ini dilakukan oleh Syaikh ‘Ali Juma’ah adalah kerana soalan yang berulang atau ianya merupakan satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Islam, di mana perkara tersebut difahami walaupun tanpa penjelasan yang terperinci.

Catatan ini dipetik dengan sedikit pengubahsuaian dari sebuah disertasi yang berjudul Metode Fatwa Sheikh 'Ali Juma'ah Dalam Kitab al-Kalim al-Tayyib - Fatawa_'Asriyyah,  oleh Wan Mohd Khairul Firdaus bin Wan Khairuldin. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai biodata pengarang dan kitab fatwa ini sila baca disertasi ini dengan melayari pautan berikut;


Semoga bermanfaat.