Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Sunday, April 30, 2017

Munyah al-Mushalli wa Ghunyah al-Mubtadi


Kitab Munyah al-Mushalli wa Ghunyah al-Mubtadi (منية المصلي وغنية المبتدي) merupakan antara kitab “matan” fiqh yang muktamad dalam mazhab Hanafi. Ia adalah sebuah karya al-Imam Sadiduddin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali al-Kasyghari (705H). Kandungan kitab ini membicarakan secara khusus mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Hanafi[1]. Berdasarkan edisi yang diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Beiruti, kandungan kitab ini merangkumi 192 halaman.

Terdapat beberapa kitab yang disusun khusus bagi menghuraikan matan Munyah al-Mushalli ini, sama ada berbentuk syarah, hasyiah atau ta’liq, antaranya;

a)   Kitab Halbah al-Mujalli wa Bughyah al-Muhtadi Syarh Munyah al-Mushalli wa Ghayah al-Mubtadi (حلبة المجلي وبغية المهتدي في شرح منية المصلي وغنية المبتدي), karya al-Imam Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad (879H), yang terkenal dengan gelaran Ibn Amir Hajj al-Halabi. Kitab ini merupakan kitab huraian terbesar bagi kitab Munyah al-Mushalli ini[2].  Kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan http://www.moswarat.net/books/a575n.pdf.

b)  Kitab Ghunyah al-Mutamalli fi Syarh Munyah al-Mushalli (غنية المتملي في شرح منية المصلي), karya al-Imam Syaikh Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halabi al-Hanafi (956H). Kitab ini terkenal dengan judul Syarh al-Halabi al-Kabir (شرح الحلبي الكبير). Kitab ini kemudiannya telah diringkaskan oleh penyusunnya dengan karyanya yang dikenali sebagai Syarh al-Halabi al-Shaghir (شرح الحلبي الصغير).

c)   Halbah al-Naji Syarh Mukhtashar Ghunyah al-Mutamalli (حلية الناجي شرح مختصر غنية المتملى), karya Syaikh Mustafa bin Muhammad bin Mustafa Kuzal Hushari[3].

d)   Jawahir al-Mutamalli ‘ala Munyah al-Mushalli (جواهر المتملى على منية المصلى), karya Syaikh Muhammad bin Muhammad Qadhi Zadah al-Anshari al-Hanafi.

e)  Zukhr al-Najah fi Syarh al-Munyah al-Mushalli ( زخر النجاة في شرح منية المصلى), karya Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim bin Hasan al-Rumi al-Hanafial-Thabib al-Sayyah (1080H).

f)  al-Ta’liq al-Mujalli li ma fi Munyah al-Mushalli (التعليق المجلي لما في منية المصلى), karya Syaikh Washi Ahmad al-Surati (1334H).

g)    Hasyiah Syaikh Bilal Ahmad Syahid.

Semoga bermanfaat.

Rujukan;




[1] Sekadar makluman, ini merupakan karya fiqh yang kedua yang berjudul Munyah al-Mushalli yang saya ketahui. Karya pertama ialah kitab Munyah al-Mushalli, karya Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang membicarakan  ibadat solat berdasarkan mazhab Syafi’i. Kemungkinan pemilihan judul yang diberikan oleh Syaikh Daud bagi kitab beliau tersebut mengambil sempena kitab Munyah al-Mushalli karya al-Kasyghari ini. Wallahu a’lam.

[2] Di antara karya beliau yang terkenal ialah kitab al-Taqrir wa al-Tahbir dan kitab Syarh al-Tahrir, iaitu huraian bagi kitab al-Tahrir karya guru beliau al-Imam al-Kamal Ibn al-Humam.

[3] Iaitu huraian bagi kitab Syarh al-Halabi al-Shaghir (شرح الحلبي الصغير), karya al-Imam Syaikh Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halabi al-Hanafi (956H).

Friday, December 11, 2015

Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah


Kitab “ Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah (سلم المناجاة شرح سفينة الصلاة )” adalah sebuah karya fiqh mengenai ibadat mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi bin ‘Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy (1316H/1898M) sebagai huraian atau syarah bagi kitab “ Safinah al-Shalah ” iaitu sebuah karya fiqh ringkas mengenai ibadat solat yang disusun oleh Syaikh Abdullah bin ‘Umar bin Yahya al-Hadhrami al-Syafi’i ().


Kitab “ Safinah al-Shalah ”

Kitab Safinah al-Shalah, sebagaimana diterangkan di atas adalah sebuah kitab fiqh ringkas mengenai tuntutan perlaksanaan ibadat solat, merangkumi cara-cara bersuci dan kaedah-kaedah perlaksanaan solat menurut mazhab Imam al-Syafi'i. Mengenai sistematik isinya, kitab (matan fiqh) ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu; 

a)   Pendahuluan berisi hamdalah dan shalawat;
b) Isi pula meliputi dua bahagian, iaitu akidah (makna kalimat Syahadatain), dan penerangan      mengenai solat, yang merupakan kandungan utama kitab ini. 
c)   Penutup berisi shalawat. 

Melihat keseluruhan isi kitab Safinah al-Shalah ini, tepatlah dikatakan ia adalah kitab fiqh. Kitab ini dianggap sebuah kitab yang berbentuk matan fiqh kerana ringkasnya huraian, tanpa disebutkan dalil-dalil dan permasalahan yang lebih luas yang berkaitan ibadat solat.


Kitab “ Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah ” 

Bagi memperluaskan lagi perbahasan tentang solat, al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani telah menulis kitab syarah (huraian) bagi kitab Safinah al-Shalah tersebut, yang  diberikan judul Sullam al-Munajat. Kitab ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1297 Hijriyah. Dalam penulisannya, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani telah melakukan penghuraian (pensyarahan) kepada seluruh kitab matan tersebut, iaitu meliputi pendahuluan, isi dan penutup.

Bagi pendahuluan kitab asalnya yang hanya berisi hamdalah dan shalawat, Syeikh Muhammad Nawawi telah menulis syarahnya dengan cukup panjang, iaitu sampai mengungkapkan "misteri" nama Muhammad (Rasulullah), dan menyediakan  gambar rajah tentang al-Khulafa al-Rasyidun.

Di bahagian isi, Syeikh Muhammad Nawawi membuat syarah sesuai dengan bahagian isi dalam kitab matan, iaitu bidang akidah dan bidang tuntunan solat;

     a)     Di bidang akidah,  Syeikh Nawawi telah menyusun syarah cukup panjang yang meliputi pembahasan tentang makna syahadat, sifat-sifat Tuhan, dan sifat-sifat Rasul, khususnya Nabi Muhammad saw. Dalam masalah iman, Syeikh Muhammad Nawawi menghuraikan bahagian-bahagian iman (ajza'u al-iman), dan sampai pada konsep dan kedudukan kafir.

     b)     Mengenai tuntunan solat secara praktis, dalam syarahnya, Syeikh Nawawi telaal-Qur'an atau al-Sunnah, mengemukakan masalah-masalah dan pemecahannya lengkap dengan sumber pengambilannya.

Manakala di bahagian penutup yang berisi hamdalah dan shalawat, dalam syarahnya, Syeikh Nawawi telah memperluaskan maksud shalawat yang dalam erti harfiahnya ialah mendo'akan Nabi, sedang hamdalah dinyatakan sebagai sifat bagi Allah.  

Mengenai gaya penghuraiannya, Syeikh Muhammad Nawawi mengemukakan huraian tambahan di bawah pernyataan tanbih, far'un, dan i'lam; ungkapan ini semuanya berjumlah 7 kali. Kemudian, untuk mempermudah analisis, Syaikh Muhammad Nawawi menyediakan gambar rajah tentang masalah-masalah tertentu. Dalam masalah penentuan arah kiblat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat gambar rajah pemetaan falakiyah; dalam masalah hubungan wuduk, mandi., dan shalat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat tabel linier; dan dalam pembahasan hikmah dan makna solat, Syaikh Muhammad Nawawi membuat gambar rajah  dalam bentuk "pohon" ikhlas. Kemudian, dalam melengkapi penjelasan, al-Syeikh Muhammad Nawawi melengkapinya dengan illustrasi dengan masalah pembahasan.

Memperhatikan syarah yang disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi tersebut, terlihat pembahasan yang luas yang bukan hanya menjelaskan atau mengomentasi kitab matannya. Contohnya; dalam kitab matan tidak diterangkan mengenai cara menentukan arah kiblat; sedangkan dalam syarahnya, ketika menerangkan kewajipan menghadap kiblat, Syeikh Muhammad Nawawi menerangkan arah kiblat dengan persyaratannya di bawah kata i'lam (ketahuilah), lalu menggambarkan dan menjelaskan rumus-rumus falakiyah untuk menentukan arah kiblat dengan contoh lokasi wilayah Banten. Rumus falakiyah itu kemudian dilengkapi dengan gambar rajah.

Demikian pula ketika kitab matan mengakhiri huraian tentang kaifiyat solat, Syeikh Muhammad Nawawi menjelaskan dalam syarahnya tentang hikmah solat, baik dari segi perbuatan dan bacaannya maupun dari segi jumlah raka'at dan waktu-waktunya. Huraian tentang hikmah solat ini kemudian ditunjukkan melalui gambar rajah bahagian-bahagian dan struktur solat yang berbentuk pohon dengan akar, batang, ranting, daun, dan buah.

Meskipun Sulam al-Munajah karya Syeikh Muhammad Nawawi tersebut berbentuk syarah, namun ia bukan sekadar komentar terhadap kitab matannya, bahkan dapat memperlihatkan kemandirian idea dan pemikiran-pemikirannya. Dengan kemandirian yang diperlihatkannya itu, cukup beralasan jika dikatakan bahawa karya Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani ini adalah berkualiti sebagai karya mandiri.

Kitab Sullam al-Munajat boleh dimuat turun dan dibaca melalui berikut;

Artikel di atas dipetik dan diubahsuai dari pautan 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 29, 2015

Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy saw


Kitab Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy sawصحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه واله وسلم ) ), merupakan antara kitab fiqh semasa berdasarkan aliran  mazhab Syafi’i yang menjadi rujukan  dan bacaan masyarakat Islam. Ia merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Dr. Hasan Ali al-Saqqaf al-Qurasyi al-Hasyimi, seorang ulama terkenal dari negara Jordan.

Kitab ini selaku judulnya, adalah membicarakan mengenai sifat solat yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis yang dinilai sahih oleh para ulama hadis yang muktabar. Kaedah penyusunan buku ini berdasarkan gabungan dua metod, iaitu aliran ahli hadis dan aliran mazhab al-Syafi’i.  Oleh itu, kandungan kitab ini menghuraikan mengenai ibadat solat berdasarkan aliran mazhab Syafi’i, yang dsokong dengan hadis-hadis yang sahih.

Di dalam buku ini, penulis telah sedaya upayanya menjelaskan secara terperinci setiap bahagian dari tata-cara solat, mulai dari takbir hingga salam, dengan gaya (uslub) bahasa yang paling mudah dan ringkas. Di samping itu, dikemukakan dalil-dalil bagi setiap pemasalahan, yang disertakan bersama kupasan hadis-hadis sahih sebagai hujah pendalilannya.

Penulis juga menarik perhatian pembaca terhadap beberapa hadis dhai’if dan hadis yang mempunyai kecacatan (al-‘ilal) yang dijadikan dalil oleh sebahagian ulama. Dalam buku ini juga diterangkan kedudukan hadis-hadis yang sahih  berserta kesesuaiannya dengan bab-bab fiqh, dan cara pengambilan hukum darinya.

Kelebihan buku ini bukan hanya kerana membahaskan pemasalahan solat semata-mata sebagai induk ibadat dalam Islam, tetapi kandungan buku ini sebenarnya sebagai medan bantahan terhadap beberapa pendapatan yang menyelisihinya dengan kaedah ilmiah,  Dengan begitu berani, disanggahnya pendapat yang menyunatkan menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud, dengan hujah bahawa dalilnya lemah. Dikemukakannya pula beragam dalil bahawa zikir berjema’ah dengan suara keras adalah dibolehkan, tidak “bid’ah”, dan masalah lain yang diterangkan oleh penulis dengan membawakan dalil penghujahannya.
                                                                                                                                                                   
Walaupun tidak disebutkan secara nyata, sebenarnya buku ini telah disusun oleh penulisnya  sebagai bantahan terhadap sebuah buku yang berjudul; ( صفة صلاة النبي كأنك تراها من التكبير إلى التسليم  )  . Kitab ini  disusun oleh  Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, seorang ulama terkenal yang menjadi rujukan  kebanyakan ulama aliran Salafiyyah dalam bidang ilmu hadis.


Terjemahan kitab ini….

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di dunia Islam, termasuk dalam bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia. Setakat pengetahuan saya, versi terjemahan dalam Malaysia pertama kali diterbitkan di Malaysia pada tahun 2010, oleh AlHimma Enterprise, Selangor. Terbitan ini berdasarkan terjemahan yang diusahakan Ustaz Haji Zamihan Mat Zin al-Ghari,  seorang pegawai Hal Ehwal Islam, di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan judul “ Sifat Solat Nabi Yang Sahih ”. Buku terjemahan ini telah mendapat sambutan dari masyarakat di negara ini dan menjadi sebagai teks pengajian bagi kuliah-kuliah agama di masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian agama.

Kitab versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan berikut;  

Wednesday, October 1, 2014

al-Bahjah al-Mardhiyyah fi 'Uzr Takhalluf al-Ma'mum 'an al-Imam


Kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام) merupakan sebuah karya fiqh al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H) seorang tokoh ulama dan pengarang kitab Jawi yang terkenal di Nusantara.  Dalam kitab ini diterangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”.

Sekadar pengetahuan penulis catatan ini, kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah tidak pernah dicetak secara berasingan dalam satu edisi yang tersendiri, malahan sentiasa dicetak di bahagian akhir kitab Munyah al-Mushalli, yang juga karya Syaikh Daud Fathani. Perkara ini juga ada dinyatakan oleh al-Marhum Tuan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam muqaddimah buku beliau yang berjudul “ Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur[1]. Kata beliau;

Sama ada cetakan mutawal Mun-yatul Mushalli di Mekah, Mesir, Turki dan Bombay mahupun cetakan mutakhirnya di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain sentiasa dikembarkan cetakannya dengan karya beliau yang berjudul al-Bahjatul al-Mardhiyah. Al-Bahjatul Mardhiyah sebenarnya bukan termasuk dalam bahagian Mun-yatul Mushalli, tetapi adalah merupakan karya yang berdiri sendiri. Akan tetapi kerana kandungannya membicarakan perkara Muafiq dan Masbuq yang ada hubungannya dengan perkara sembahyang, maka itulah barangkali pentash-hih pertamanya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengambil inisiatif mengkobinasikannya dalam satu cetakan ”.

Dalam muqaddimah kitab ini, Syaikh Daud al-Fathani ada menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitab al-Bahjah al-Mardiyyah ini. Kata beliau;

“ Ada pun kemudian daripada itu, tatkala adalah setengah saudaraku yang tiada dapat ku menyalahi akan pintanya (permintaan) bahawa menuntut terjemahkan beberapa masail (permasalahan) yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya, dan tiada diuzurkan. Maka faqir imtisalkan (ikuti) pintanya kerana yang menunjukkan daripada hadis (الدال على الخير كفاعله ). Maka adalah risalah yang terlebih elok aturannya, lagi terlebih nyata bagi maksudnya, lagi singkat bicaranya, iaitu: Syarah bagi Manzhum al-‘Alim al-‘Allamah al-Muhaqqiq, iaitu Syaikh ‘Azizi yang terkandung bicara yang tersebut itu bagi  ‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim Rais r.h. yang sangat banyak manfaatnya bagi awam muslimin dan khawasnya.  Maka faqir ilaLlah Ta’ala hendak terjemahkan daripadanya dengan  bahasa Melayu, supaya manfaat bagi orang yang tiada tahu bahasa Arab. Dan jika adalah hamba tiada ahlinya, pada medan ini, tetapi sebab iktimad (pergantungan) faqir ‘alal Lahil Karim bahawa diberi taufiq bagi shawab………….
dan aku namakan terjemah ini;  (ثلاثة أركان طويلة   البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام)”.

Dalam petikan di atas, Syaikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa kandungan kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah ini merupakan himpunan beberapa petikan (nukilan) yang diterjemahkan daripada kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi (  شرح منظومة العزيزي), sebuah karya guru beliau, iaitu al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Kitab ini merupakan huraian bagi matan Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah[2] iaitu sebuah kitab yang membicarakan mengenai beberapa persoalan solat berjamaah – yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M). Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi[3].

Dalam kitab ini, Syaikh Daud Fathani telah memetik dan menterjemahkan enam bait nazam dari kitab Manzhumah al-‘Azizi yang berkaitan dengan masalah yang dibincangkan. Sebelum menyebutkan bait yang pertama, Syaikh Daud terlebih dahulu menyatakan; “ Kata Shahibul al-Manzhumah Syaikh ‘Azizi r.’a ” (ertinya “Kata tuan pengarang al-Manzhumah iaitu Syaikh al-‘Azizi ”). Bagi bait-bait nazam berikutnya (bait 2-4) disebutkan “ Kata Nazhim ” (ertinya “ Kata Penyusun nazam ” ). Manakala bagi bait 5-6 didahului dengan “ Katanya ”.

Selepas menyebut bait nazam pertama, Syaikh Daud Fathani memulai huraiannya dengan menyebutkan “ Telah berkata syarahnya, ertinya…”. Setelah menyebutkan bait nazam yang kedua, beliau menyebutkan “ Dan kata Syarihnya telah menyebutkan nazhim pada bait ini….”. Manakala selepas nazam yang ketiga pula beliau menyebutkan “ Maka kata syarahnya telah menyebut nazhim bait ini….”. Selepas bait nazam yang keempat dan kelima, beliau menyebutkan “ Kata syarahnya…”, manakala selepas bait yang keenam disebutkan “ Dan menyebut syarahnya….”.


Syaikh Daud Fathani mengakhiri risalah kecil ini dengan sebuah “ Tatmim Masalah ” yang menerangkan permasalahan jika seorang yang solat itu syak sama ada ia termasuk orang yang muawafiq atau masbuq.

Kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Bahjah al-Mardhiyyah ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1259H/1843M, atau lebih tepat sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Daud al-Fathani sendiri di akhir kitab ini;

 “ Telah selesai faqir Daud bin Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah ini pada waktu ‘asar hari selasa (ثلاثاء) empat belas hari bulan Syawal pada Hijrah Nabi saw seribu dua ratus lima puluh sembilan ( 14 Syawal 1259H ) pada negeri Makkah al-Musyarrafah…….”.

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Lihat Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur. Khazanah Fathaniyah, Ct-1, 1991. 

[2] Kita Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini telah diberikan huraian dalam bentuk hasyiah pula oleh Syeikh al-Haris bin Hummam, melalui karya beliau yang berjudul Nushrah al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي). Syeikh al-Haris adalah murid kepada Syeikh Muhammad Shalih al-Rais.

[3] Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).


Friday, November 29, 2013

al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam



Kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى) adalah sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) dalam bidang fiqh.

Secara umumnya, kandungan kitab ini menfokuskan hampir keseluruhan peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu…

Sekadar pengamatan penulis terdapat dua edisi terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu. Namun begitu, kedua-dua edisi terjemahan ini bukanlah terjemahan yang lengkap bagi kitab al-Qawl al-Tam. Berikut dicatatkan sedikit maklumat mengenai dua edisi buku terjemahan ini;

a)     Masalah Imam dan Makmum. Buku ini disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob (1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam edisi rumi dan jawi.

Menurut Dato’ Yusuf Zaki;

 Buku ini disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca[1].

Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di pasaran buku-buku agama.


b)     Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (Hukum Makmum & Imam). Buku ini disusun oleh Datuk Syaikh al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan Besar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Buku ini telah diterbitkan dengan edisi rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Alor Setar – Kedah.

Maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan kata-kata penyusunnya (penterjemah), sebagaimana dalam muqaddimahnya:

“ ..Maka dengan taufik dan hidayah Allah SWT dapat saya menterjemahkan sebuah kitab fiqh yang terkenal pada zaman silam iaitu kitab al-Qaul al-Tam ….karya al-Imam ….Syihabuddin Ahmad bin Muhammad – yang masyhur dengan Ibn al-‘Imad Yusuf al-Mishri al-Aqfahasi. Terjemahan ini pada mulanya ialah sebagai catitan untuk  kegunaan bagi saya  sendiri semasa     menyampaikan pelajaran (mengajar) di majlis pengajian khas di rancangan takmir masjid dan surau di negeri Kedah Darul Aman. Dimaklumkan bahawa kitab tersebut tidaklah saya terjemahkan semua sekali (seratus peratus) dan mana-mana masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita saya tinggalkan supaya terjemahan ini tidak ternampak besar oleh para pembaca yang boleh menjemukan mereka[2].   

Kandungan buku ini dimulai dengan terjemahan kata pendahuluan pengarang asal (Ibn al-‘Imad) yang mengandungi hadis-hadis mengenai solat berjemaah dan diikuti 215 masalah yang berkaitan solat berjemaah. Ketebalan buku ini merangkumi 202 halaman termasuk halaman isi kandungannya (berdasarkan buku edisi Jawinya).   


Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan mengenai kitab al-Qawl al-Tam ini. Semoga bermanfaat.


[1] Masalah Makmum dan Imam  (edisi Jawi) – hal. 2.
[2] Terjemahan al-Qaulu Tam…(edisi Jawi), hal. 1-2.

Saturday, November 16, 2013

Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie

 
Dalam ruangan Karya Ulama kali ini saya ingin kongsi bersama pembaca mengenai sebuah buku yang baru saya miliki, iaitu sebuah buku mengenai solat yang berjudul “ Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie ”. Berikut catatan ringkas mengenai buku ini.
 
Berdasarkan maklumat yang dicatatkan di buku Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie ”, buku ini merupakan terjemahan bagi sebuah buku berbahasa ‘Arab yang berjudul “ Mawsu’ah al-Shalah al-Mazhab al-Syafi’i ” (موسوعة الصلاة المذهب الشافعي)[1] . Ia diterbitkan oleh Jasmin Publication, Selangor, dengan cetakan pertamanya pada 2013. Mengenai pengarang asalnya, dalam buku ini disebutkan dua nama orang penulis, iaitu Dr Muhammad Zuhaili dan Ahmad Suhaimi Karim. Buku ini diterjemahkan oleh Tim Penterjemahan Berlian Publications. Ketebalan buku ini merangkumi 629 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya.
 
 
Kandungan buku ini…
 
Buku ini merupakan sebuah buku panduan lengkap tentang hukum-hakam solat menurut mazhab Syafi’i. Boleh dikatakan perbincangan dalam buku ini meliputi hampir semua aspek mengenai solat. Kandungan buku ini meliputi 55 buah tajuk utama.
 
Buku ini didahului dengan mukadimah penyusun dan diikuti dengan 55 buah tajuk perbincangannya. Dalam catatan berikutnya saya akan lampirkan tajuk-tajuknya mengikut bilangan nombor dalam buku ini.
 
Kandungan buku ini, seterusnya dijelaskan mengenai beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum dibincangkan permasalahan hukum fiqh. Ia didahului dengan tajuk pertamanya mengenai konsep penulisan dan penyusunan buku ini. Berikut tajuk-tajuknya;
 
1. Konsep Penulisan dan Penyusunan
2. Takrif al-Fiqh
3. kelahiran Fiqah dan perkembangannya.
4. Sekilas tentang kehidupan Imam Syafie
5. Istilah-istilah Usul Fiqah
6. Istilah-Istilah Fiqh Syafie
 
Perbincangan seterusnya, memasuki perbahasan mengenai beberapa tajuk dan permasalahan hukum yang berkaitan dengan taharah (bersuci) dan najis berdasarkan pendapat mazhab Syafi’i. Tajuk-tajuknya ialah;
 
7. Taharah (bersuci)
8. Air Untuk Bersuci
9. Penjelasan Tentang Najis.
10. Menghilang & Membersihkan Najis
11. Najis yang dimaafkan
12. Kebersihan dan Penggunaan Bejana
13. Istitabah dan Adab-Adab Beristinjak
14. Siwak dan Sunat-Sunat Fitrah                                                                
15.. Wuduk
16. Furuk
17. Menyapu Khuf
18. al-Jabair (Pembalut)
19. Tayamun.
20. Haid, Istihadah dan Nifas.
21. Mandi[2]
22. Panduan Wuduk Bergambar[3]
23. Panduan Tayammum Bergambar
 
Perbincangan seterusnya memasuki kandungan utama buku ini, iaitu mengenai solat dan permaslahannya. Berikut tajuk-tajuknya;
 
24. Mengenal Solat
25. Selok Belok Solat
26. Meninggalkan Solat
27. Dorongan Untuk Solat
28. Waktu-watu Solat
29. Qada Solat Fardu
30. Azan dan Iqamat
31. Syarat-syarat Sah Solat
32. Larangan Dalam Solat
33. Rumun Solat
34. Panduan Praktik Solat
35. Sunat-sunat Solat
36. Makruh-makruh Solat
37. Sunat-sunat Solat Bagi Wanita
38. Perkara yang Membatalkan Solat
39. Sujud Sahwi, Tilawah dan Syukur
40. Solat Nafilah
41. Solat Nafal
42. Solat-solat Sunat
43. Solat-solat Rawatib
44. Solat Tarawih
45. Solat Berjemaah
46. Susunan Saf Dalam Solat
47. Solat Musafir (Mukadimah)
48. Solat Qasar
49. Solat Jamak
50. Solat Jumaat
51. Solat Khauf
52. Solat Hari Raya
53. Solat Gerhana
54. Solat Istisqa
55. Solat Jenazah
 
 
Beberapa catatan ……
 
Sebagai penutup catatan ini, saya ingin kongsi bersama pembaca mengenai kitab asal (edisi Arab) buku terjemahan ini. Sebagaimana yang diterangkan di atas, berdasarkan maklumat yang disebutkan dalam buku ini, judul asal kitab ini ialah “ Mawsu’ah al-Shalah al-Mazhab al-Syafi’i ” (موسوعة الصلاة المذهب الشافعي). Saya cuba mencari maklumat mengenai judul kitab ini dari senarai karya-karya Dr. Muhammad al-Zuhaili, namun mungkin terbatasan maklumat saya belum menemuinya.
 
al-Hamdulillah, berberapa hari lalu, saya cuba membuat perbandingan isi kandungan buku Ensiklopedia Solat ini dengan kandungan sebuah karya besar Dr. Muhammad al-Zuhaili yang berjudul al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (كتاب المعتمد في الفقه الشافعي)[4]. Kitab ini merupakan sebuah karya besar Dr Muhammad al-Zuhaili mengenai permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’i, yang diterbitkan dalam 5 jilid[5]. Setelah saya teliti, memanglah isi kandungan buku ini seratus peratus merupakan terjemahan bagi bahagian awal kitab al-Mu’tamad[6].
 
Berdasarkan judul asal kitab terjemahan yang disebutkan dalam buku Ensiklopedia Solat ini, saya mengandaikan kemungkinan kitab موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي tersebut telah diterbitkan secara berasingan oleh pihak penerbitnya berdasarkan kitab al-Mu’tamad tersebut. Andaian saya ini, saya kira sangat berasas kerana isi kandungannya dan penulis adalah sama. Mengenai seorang lagi penyusun kitab موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي, iaitu Ahmad Suhaimi Karim yang digandingkan namanya dengan Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam buku terjemahan ini, kemungkinan beliau adalah pentahkik (pengedit) bagi edisi khas mengenai solat ini. Wallahu a’lam.
 
Catatan ini, hanyalah sekadar pengkongsian maklumat. Saya menganjurkan pembaca mendapatkan buku ini sebagai rujukan tambahan mengenai solat. Semoga bermanfaat.


[1] Kemungkinan ada kesilapan cetakan, mengikut tanggapan saya  judul asalnya sepatutnya ialah Mausu’ah al-Shalah ‘ala al-Mazhab al-Syafi’i (موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي), iaitu ada perkataan ‘ala (على) selepas perkataan  الصلاة  – yang boleh diterjemahkan sebagai Ensiklopedia Solat Mengikut Mazhab Syafie. Wallahu a’lam.
[2] Di akhir tajuk ini, penyusun menyebut : “ Berakhirlah hingga di sini hukum-hukum taharah yang diiktibarkan sebagai mukaddimah solat dan syarat-syarat baginya, dank ita akan beralih untuk menjelaskan hukum-hukum solat…..”. (Ensiklopedia Solat, hal.131. Lihat juga kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, hal. 144)
[3] Tajuk 22, 23 dan 34 mengenai panduan bergambar bagi wuduk, tayammum dan praktik solat ini, saya beranggapan ia merupakan tajuk tambahan dari pihak penterjemah, bukannya dari kitab asalnya. Walaupun saya tidak menemui kitab asalnya, saya yakin dengan andaian saya ini kerana gambar-gambar yang dipaparkan lebih menonjolkan ciri-ciri penduduk tempatan ( cth-bersongkok, berkain sarung).
[4] Catatan ringkas mengenai kitab ini telah saya paparkan dalam blog ini. Lihat http://abusyahmin.blogspot.com/2013/09/al-mutamad-fi-al-fiqh-al-syafii.html
[5] Rujukan saya ini merupakan edisi ebook file PDF. Ia  yang boleh didownload di  المعتمد في الفقه الشافعي.
[6] Iaitu merangkumi keseluruhan Juz atau Jilid pertama kitab al-Muktamad ini. Dalam juz pertama ini, dibahagikan kepada 3 bab, iaitu Bab 1 : al-Taharah, Bab 2: al-Shalat dan Bab 3: Ahkam al-Janaiz (Hukum-hukum Solat jenazah).