Kitab al-Bahjah
al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام) merupakan sebuah karya fiqh
al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H) seorang tokoh ulama dan
pengarang kitab Jawi yang terkenal di Nusantara. Dalam kitab ini diterangkan beberapa keadaan
yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau
disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan
makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”.
Sekadar
pengetahuan penulis catatan ini, kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah tidak
pernah dicetak secara berasingan dalam satu edisi yang tersendiri, malahan sentiasa
dicetak di bahagian akhir kitab Munyah al-Mushalli, yang juga karya Syaikh Daud
Fathani. Perkara ini juga ada dinyatakan oleh al-Marhum Tuan Haji Wan Mohd
Shaghir Abdullah dalam muqaddimah buku beliau yang berjudul “ Mun-yatul
Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur”[1]. Kata
beliau;
“ Sama
ada cetakan mutawal Mun-yatul Mushalli di Mekah, Mesir, Turki dan Bombay
mahupun cetakan mutakhirnya di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang dan
lain-lain sentiasa dikembarkan cetakannya dengan karya beliau yang berjudul
al-Bahjatul al-Mardhiyah. Al-Bahjatul Mardhiyah sebenarnya bukan termasuk dalam
bahagian Mun-yatul Mushalli, tetapi adalah merupakan karya yang berdiri
sendiri. Akan tetapi kerana kandungannya membicarakan perkara Muafiq dan Masbuq
yang ada hubungannya dengan perkara sembahyang, maka itulah barangkali
pentash-hih pertamanya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengambil
inisiatif mengkobinasikannya dalam satu cetakan ”.
Dalam
muqaddimah kitab ini, Syaikh Daud al-Fathani ada menerangkan sebab yang
mendorong beliau menyusun kitab al-Bahjah al-Mardiyyah ini. Kata beliau;
“ Ada pun
kemudian daripada itu, tatkala adalah setengah saudaraku yang tiada dapat ku
menyalahi akan pintanya (permintaan) bahawa menuntut terjemahkan beberapa
masail (permasalahan) yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan
imamnya, dan tiada diuzurkan. Maka faqir imtisalkan (ikuti) pintanya kerana
yang menunjukkan daripada hadis (الدال على الخير كفاعله ). Maka adalah risalah yang terlebih elok
aturannya, lagi terlebih nyata bagi maksudnya, lagi singkat bicaranya, iaitu:
Syarah bagi Manzhum al-‘Alim al-‘Allamah al-Muhaqqiq, iaitu Syaikh ‘Azizi yang
terkandung bicara yang tersebut itu bagi
‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim Rais r.h.
yang sangat banyak manfaatnya bagi awam muslimin dan khawasnya. Maka faqir ilaLlah Ta’ala hendak terjemahkan
daripadanya dengan bahasa Melayu, supaya
manfaat bagi orang yang tiada tahu bahasa Arab. Dan jika adalah hamba tiada
ahlinya, pada medan ini, tetapi sebab iktimad (pergantungan) faqir ‘alal Lahil
Karim bahawa diberi taufiq bagi shawab………….
dan aku
namakan terjemah ini; (ثلاثة أركان طويلة البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام)”.
Dalam petikan di atas, Syaikh Daud al-Fathani menjelaskan
bahawa kandungan kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah ini merupakan himpunan beberapa
petikan (nukilan) yang diterjemahkan daripada kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi ( شرح منظومة العزيزي), sebuah karya guru beliau, iaitu al-‘Alim
al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais (1187 H/1773M
M-1240 H/1824 M). Kitab ini merupakan huraian bagi matan Manzhumah al-‘Azizi fi
Masa-il al-Jama’ah[2] iaitu sebuah kitab yang membicarakan mengenai beberapa
persoalan solat berjamaah – yang disusun
dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi
al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M). Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah
kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim
al-Ghazzi[3].
Dalam kitab ini, Syaikh Daud Fathani telah memetik dan menterjemahkan enam bait
nazam dari kitab Manzhumah al-‘Azizi yang berkaitan dengan masalah yang
dibincangkan. Sebelum menyebutkan bait yang pertama, Syaikh Daud terlebih
dahulu menyatakan; “ Kata Shahibul al-Manzhumah Syaikh ‘Azizi r.’a ” (ertinya
“Kata tuan pengarang al-Manzhumah iaitu Syaikh al-‘Azizi ”). Bagi bait-bait
nazam berikutnya (bait 2-4) disebutkan “ Kata Nazhim ” (ertinya “ Kata Penyusun
nazam ” ). Manakala bagi bait 5-6 didahului dengan “ Katanya ”.
Selepas menyebut bait nazam pertama, Syaikh Daud Fathani
memulai huraiannya dengan menyebutkan “ Telah berkata syarahnya, ertinya…”.
Setelah menyebutkan bait nazam yang kedua, beliau menyebutkan “ Dan kata
Syarihnya telah menyebutkan nazhim pada bait ini….”. Manakala selepas nazam
yang ketiga pula beliau menyebutkan “ Maka kata syarahnya telah menyebut nazhim
bait ini….”. Selepas bait nazam yang keempat dan kelima, beliau menyebutkan “
Kata syarahnya…”, manakala selepas bait yang keenam disebutkan “ Dan menyebut
syarahnya….”.
Syaikh Daud Fathani mengakhiri risalah kecil ini dengan
sebuah “ Tatmim Masalah ” yang menerangkan permasalahan jika seorang yang solat
itu syak sama ada ia termasuk orang yang muawafiq atau masbuq.
Kitab yang
terkenal dengan judul ringkasnya al-Bahjah al-Mardhiyyah ini selesai
disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1259H/1843M, atau lebih tepat
sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Daud al-Fathani sendiri di akhir kitab
ini;
“ Telah selesai faqir Daud bin Abdullah
al-Fathani daripada menterjemahkan risalah ini pada waktu ‘asar hari selasa (ثلاثاء) empat
belas hari bulan Syawal pada Hijrah Nabi saw seribu dua ratus lima puluh
sembilan ( 14 Syawal 1259H ) pada negeri Makkah al-Musyarrafah…….”.
Semoga
catatan ringkas ini bermanfaat.
No comments:
Post a Comment