Thursday, December 28, 2017

AL-MUSTASHFA MIN 'ILM AL-USHUL


Kitab al-Mustashfa Min ‘Ilm al-Ushul (المستصفى من علم الأصول) adalah antara karya agung yang ditulis oleh Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H) rahimahullah. Beliau dianggap sebagai orang pertama yang memasukkan perbahasan mantiq di dalam ilmu usul fiqh.

Dalam muqaddimah kitab al-Mustashfa ini, Imam al-Ghazali menyatakan faktor yang mendorong beliau menulis dan menyusun kitab ini. Menurut beliau penyusunan kitab al-Mustashfa ini adalah kerana menyahut permintaan para murid beliau agar disusun sebuah kitab usul fiqh yang sederhana tebalnya. Perlu dimaklumkan, sebelum penyusunan kitab al-Mustashfa ini, sebenarnya al-Ghazali telah mempunyai karya lain dalam bidang usul fiqh, iaitu kitab Tahzib al-Ushul (تهذيب الاصول) dan kitab al-Mankhul (المنخول).

Oleh itu, menurut al-Ghazali kitab al-Mustashfa ini adalah sebuah kitab yang lebih ringkas berbanding kitab Tahzib al-Ushul (تهذيب الاصول) dan lebih terperinci berbanding kitab al-Mankhul (المنخول)

Kitab al-Mustashfa ini telahpun disyarahkan serta diringkaskan oleh beberapa tokoh ulama terkemudiannya. Antara kitab yang mensyarahkannya ialah kitab Syarah al-Mustashfa min Ilm al-Usul karya Dr. Abu Bakr bin Abdullah al-Sa’dawi. Manakala kitab yang merupakan ringkasan bagi kitab al-Mustashfa adalah kitab Lubab al-Mahsul fi 'Ilm al-Ushul karya Abu al-Fadhail al-Qairuwani (632 H.)

Kitab al-Mustashfa boleh dimuat turun di pautan المستصفى من علم الأصول atau المستصفى من علم الأصول .

Semoga bermanfaat.

Wednesday, December 27, 2017

AL-BURHAN FI USHUL AL-FIQH (الـبـرهـان في أصـول الـفـقـه)


Kitab al-Burhan fi Ushul al-Fiqh (الـبـرهـان في أصـول الـفـقـه) merupakan sebuah karya Usul al-Fiqh yang disusun oleh al-Imam al-Haramain Abul Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdullah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H). Ianya ditulis mengikut tariqah al-Mutakallimin (ahli kalam) iaitu suatu metodologi penulisan yang cenderung kepada pendalilan berdasarkan akal serta tidak taksub kepada mana-mana mazhab.

Kitab al-Burhan ini juga turut mendapat tempat di sisi para ulama yang datang selepas al-Juwaini sehingga ia disyarahkan serta diringkaskan. Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Burhan ialah;

a)     Idhah al-Mahsul min Burhan al-Usul (ايـضـاح الـمـحـصـول من بـرهـان الأصـول), karya Abu Abdillah al-Maziri al-Maliki (536 H.)

b)     al-Tahqiq wal-Bayan fi Syarh al-Burhan fi Usul al-Fiqh (التحقيق والبيان في شرح البرهان في أصول الفقه), karya Syamsuddin Abu al-Hasan Ali bin Ismail al-Abyari al-Shanhaji al-Maliki (618 H).

Sekalipun al-Juwaini merupakan tokoh bagi mazhab al-Syafi’i, akan tetapi kedua-dua penulis kitab yang kami sebutkan di atas merupakan tokoh dari kalangan mazhab Maliki. al-Imam Ibn al-Subki [Lihat Thabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra (5/192)], mengatakan bahawa telah datang seorang tokoh dari Maghribi bernama al-Syarif Abu Yahya yang menghimpunkan di antara dua kitab syarah di atas.

Kitab al-Burhan fi Ushul al-Fiqh boleh didownload di pautan الـبـرهـان في أصـول الـفـقـه.  Semoga bermafaat.

Monday, December 25, 2017

ADAB FATWA WA AL-MUFTI WA AL-MUSTAFTI (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي)


Kitab Adab Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي)  adalah sebuah karya al- Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Ia adalah sebuah karya dalam bidang Ushul Fiqh yang khusus menerangkan tentang kedudukan fatwa, etika seorang mufti dan sikap orang yang mendapatkan fatwa.

Asalnya karya ini bukanlah sebuah kitab yang tersendiri, ia merupakan sebuah bab yang dimuatkan oleh Imam al-Nawawi dalam muqaddimah kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (المجموع شرح المهذب).      

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam muqaddimah karya beliau ini, bahawa sebahagian besar kandungan kitab Adab fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي) ini merupakan petikan dan ringkasan dari tiga buah kitab karya para ulama sebelumnya, iaitu;

a)     Abu al-Qasim ‘Abdul Wahid bin al-Husayn bin Muhammad al-Shaymari al-Bashri  (386H/996M).

b)     Abu Bakr Ahmad bin Ali bin Thabit bin Ahmad bin Mahdi al-Syafi’i (392-463H), yang terkenal dengan gelaran al-Khathib al-Baghdadi, melalui karya yang berjudul al-Faqih wa al-Mutafaqqih (الفقيه والمتفقه)
)

c)      Taqiyyuddîn Abu ‘Amru Utsman bin Abdurrahman bin Utsman bin Musa al-Kurdi al-Syaharazuri (577-643H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Shalah, melalui karya yang berjudul Adab al-Mufti wa al-Mustafti (أدب المفتي والمستفتي).

Kitab Adab Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي) yang diterbitkan secara berasingan ini telah diterbitkan oleh Dar al-Fikri, Syria  dengan cetakan pertamanya pada tahun 1988. Ketebalan kitab ini meranggkumi 96 halaman. Edisi terbitan ini boleh dimuat turun dalam bentuk file PDF di pautan  آداب الفتوى والمفتي والمستفتي .

Semoga bermanfaat.

Monday, December 18, 2017

QATHR AL-GHAITS (قطر الغيث)


Kitab Qathr al-Ghaits Fi Syarh Masa-il Abi al-Laits (قطر الغيث في شرح مسائل أبي الليث) merupakan sebuah kitab yang menerangkan permasalahan akidah dan keimanan.

Kitab ini disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani (1314H) sebagai huraian (syarah) bagi risalah yang berjudul Masa-il Abi al-Laits (مسائل أبي الليث), iaitu sebuah mukhtashar (ringkasan) mengenai akidah yang disusun oleh Abu al-Laits al-Samarqandi, atau nama lengkapnya Nashr bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim al-Hanafi (373H). Abu al-Laits terkenal dengan gelaran Imam al-Huda (إمام الهدى).

Dalam kitab asalnya terdapat 17 permasalahan dan jawapannya yang disediakan oleh Imam Abu al-Laits dalam bentuk dialog (soal jawab). Setiap permasalahan yang ingin diterangkan akan didahului dengan kata [ Mas-alah : Iza qila laka (apabila kamu ditanya);  ………..diikuti dengan soalan) . Kemudian Imam Abu al-Laits membawakan jawapan, dengan kata [ Fal Jawab (Maka jawablah):  ………diikuti dengan jawapannya].

Oleh itu dalam kitab Qathru al-Ghaits ini, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi telah mengekalkan susunan kitab asalnya yang disusun dalam bentuk soal jawab sebagaimana yang disebutkan di atas. Setiap jawapan bagi persoalan yang terdapat dalam kitab asalnya telah diberikan huraian dan penjelasan tambahan oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi.

Berikut antara persoalan terkandungan dalam kitab ini;

1.       Apa itu iman ?
2.      Bagaimana beriman kepada Allah  dan Malaikat,
3.      Bagaimana beriman kepada Kitab-kitab dan berapa jumlahnya,
4.  Bagaimana beriman kepada para nabi, siapakah yang diberikan syariat, berapa jumlah mereka, berapakah yang menjadi Rasul, Apakah mengenali nama dan jumlah mereka semua menjadi syarat keimanan,
5.      Bagaimana beriman kepada hari akhir dan qadha qadar-Nya.
6.      Adakah iman itu mendapatkan ganjaran?
7.      Bagaimana jika seseorang shalat, puasa, zakat, mencintai malaikat, kitab, rasul, dan qadar- Nya, mengerjakan perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya, dan mengikuti tradisi Nabi saw, apakah itu dapat disebut iman?
8.     Apakah iman dapat disifatkan suci dan apakah iman itu makhluk atau bukan.

Setiap jawapan yang diberikan Syaikh Abu Laits al-Samarqandi telah  diberikan huraian oleh Syaikh Muhammad Nawawi, yang disertakan dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadits, serta pendapat para ulama.

Sekalipun kitab ini relatif kecil, namun penting untuk kita kaji agar kita dapat meningkatkan kualiti keimanan.

Berdasarkan kitab Qathru al-Ghaits yang diterbitkan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah- Beirut pada tahun 2015, kandungan kitab ini merangkumi 48 halaman. 

Wednesday, December 13, 2017

FATH AL-JAWAD BI SYARH MANZUMAH IBN AL-'IMAD


Kitab Fath al-Jawad[1] bi Syarh Manzumah Ibn al-‘Imad (فتح الجواد بشرح منظومة ابن العماد), merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun  oleh al-Imam Shihab al-Din Abu al-ʿAbbas Amad ibn amzah al-Ramli al-Anari al-Syafi’i (957H).

Kitab Fath al-Jawwad ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Manzumah Ibn al-‘Imad fi al-Ma’fuwat (منظومة ابن العماد في المعفوات)  atau judul lengkapnya Manzumah Ibn ‘Imad fi al-Najasat al-Ma’fu ‘anha (منظومة ابن العماد في النجاسات المعفو عنها), iaitu sebuah kitab fiqh yang disusun dalam bentuk nazam oleh seorang ulama yang terkenal dalam mazhab al-Syafi’i, iaitu al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-‘Imad bin Yusuf al-Aqfahsi (808H).

Kitab Fath al-Jawwad ini, kemudiannya - telah diberikan komentar (حاشية) pula oleh al-‘Allamah Syaikh Husain bin Sulaiman al-Rasyidi () melalui karyanya Hasyiah al-‘Alllamah al-Syaikh Husain al-Rasyidi ‘ala Fath al-Kawad (حاشية العلامة الشيخ حسين الرشيدي على فتح الجواد). Manakala Syaikh Sulaiman al-Jamal al-‘Ujaili (1204H) ada membuat beberapa catatan pinggir (تقريرات) terhadap kitab Fath al-Jawwad ini.

Semoga bermanfaat.



[1] Terdapat sebuah kitab yang lain juga berjudul Fath al-Jawad, iaitu judul lengkapnya Fath al-Jawad 'ala  Syarh al-Irsyad (فتح الجواد على شرح الإرشاد), karya Ibn Hajar al-Haytami (909-974H). Kitab ini merupakan sebuah hasyiah (komentar) terhadap kitab yang disusun oleh al-Imam Ibn al-Muqri, Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (755-837H)  yang  berjudul al-Ikhlash al-Nawiy fi Syarh al-Irsyad al-Ghawi (إخلاص الناوي شرح إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي). Sedangkan kitab al-Ikhlash al-Nawiy ini merupakan huraian bagi kitab al-Irsyad al-Ghawi, iaitu sebuah karya Imam Ibn al-Muqri sendiri. 

Sunday, December 10, 2017

TANQIH AL-LUBAB (تنقيه اللباب)


Kitab Tanqih al-Lubab (تنقيه اللباب), merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah  Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ).

Imam Waliyuddin Abu Zur’ah  al-‘Iraqi  menyusun kitab Tanqih al-Lubab  ini sebagai ringkasan bagi kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi’i (اللباب في الفقه الشافعي), iaitu sebuah karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ).

Kitab Tanqih al-Lubab ini, kemudiannya telah dihuraikan (disyarah) oleh beberapa ulama, antara;
a)     Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Karki al-Syafi'i (853H)
b)     Jalaluddin Muhammad bin Abdul Rahman al-Shiddiqi al-Syafi'i (891H)

Selain kitab huraiannya, kitab Tanqih al-Lubab ini telah diringkaskan pula Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H) melalui karyanya yang berjudul Tahrir Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب). Syaikh al-Islam kemudiannya telah menghuraikan kitabnya tersebut dengan karyanya yang lain, iaitu kitab Syarh al-Tahrir atau judul lengkapnya Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab.

Semoga bermanfaat.

Friday, December 8, 2017

KIFAYAH AL-MUHTADI BI SYARH SULLAM AL-MUBTADI


Kitab Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Muhtadi (كفاية المهتدي بشرح سلم المبتدي) merupakan sebuah karya Syeikh Muhammad Nur al-Fathani seorang matan Hakim Syari’ Makkah. Kitab ini disusun oleh beliau sebagai  huraian atau syarah bagi kitab Sullam al-Muhtadi karya Syeikh Daud al-Fathani iaitu sebuah kitab aqidah dan fiqh yang terkenal di alam Melayu ini.

Kitab Kifayah al-Muhtadi adalah kitab Jawi atau berbahasa Melayu yang pertama yang disusun bagi menghuraikan (syarah) kitab berbahasa Melayu karya ulama nusantara ini. Perkara dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani di akhir syarah beliau, “ maka inilah awal kitab bahasa Melayu yang disyarahkan dia kerana ringkas ibaratnya dan banyak masalahnya, ……”.


Mengenali Syeikh Muhammad Nur al-Fathani secara ringkas

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Mekah pada tahun 1290H / 1873M, di antara guru-guru beliau ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Ahmad al-Fathani dan di Mesir beliau berguru dengan Syeikh Bakhit al-Muthie. Menurut catatan al-Marhum al-Ustaz Haji Wan Shaghir, riwayat Syeikh Muhammad Nur al-Fathani agak berbeza dengan ulama-ulama lainnya kerana beliau satu-satunya ulama di Mekah yang dapat menjadi orang besar dalam dua pemerintahan. Beliau menjadi orang besar pada zaman pemerintahan Syarif Husein. Apabila pemerintahan bertukar kepada Ibnu Sa’ud, yang terkenal dengan era pemerintahan Wahabi, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani masih tetap dengan kedududukannya.


Judul Kitab

Judul kitab ini ‘ Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi ’ ada disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam pendahuluan kitabnya. Selepas menyebut judul tersebut dalam bahasa Arab, beliau menterjemahkannya pula ke dalam bahasa Melayu “ …..Dan aku namakan dia Kifayah al-Muhtadi bagi menerangkan cahaya Sullam al-Muhtadi”. Berdasarkan judul terjemahan ini saya dapati (setakat pengetahuan saya) kitab ini telah dicetak dan diterbitkan, sebagai “ Kifayah al-Muhtadi Pada Menerangkan Cahaya Sullam al-Muhtadi ” .


Susunan Kandungan Kitab Kifayah al-Muhtadi

Susunan kandungan kitab ini sama dengan kitab Sullam al-Mubtadi iaitu dimulai dengan kata pengantar beliau (Syeikh Muhammad Nur al-Fathani) dan disusuli dengan mukadimah Syeikh Daud al-Fathani (Kata al-Musannif r.h).

Kandungan kitab dimulai dengan Bab Fi al-‘Aqidah (Ini Suatu Bab Pada menyatakan I’tiqad), kemudian diteruskan dengan 16 buah kitab yang menerangkan hukum fiqh mengikut mazhab Syafi’i, dan setiap kitab pula dipecahkan kepada beberapa fasal. Terdapat penambahan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani ialah beliau meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Dalam kitab Sullam al-Muhtadi hanya disebutkan fasal sahaja tanpa menyebutkan tajuk perbahasan. Ini suatu pembaharuan yang memudahkan pembaca mencari masalah yang ingin mereka telaahnya. Sebagai contoh dalam di fasal pertama dalam Kitab al-Sholah, beliau menyebut “ Pada menyatakan barang yang wajib atas segala wali-wali ”. Namun begitu, 3 fasal yang terdapat dalam Bab Fi al-‘Aqidah, beliau tidak pula meletakkan tajuknya, hanya memadai dengan kata-kata Syeikh Daud al-Fathani, iaitu Fasl (dalam bahasa ‘Arab) , Ini Suatu Fasal..

Kitab ini diakhiri dengan satu Khatimah (penutup), yang dipecahkan kepada beberapa fasal  sebagaimana kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani telah menambahkan huraian bagi Khatimah dengan katanya ; “ Kesudahan pada menyatakan segala perangai yang baik dan jahat ”. Dalam al-Khatimah terdapat 7 fasal, beliau juga telah meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Contohnya di fasal pertama beliau menyebutkan; “ Fasl, Pada menyatakan setengah daripada penyakit jantung”.


Isi Kandungan Kitab

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kitab ini merupakan huraian bagi Kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani ketika menghuraikan matan Kitab Sullam al-Muhtadi di kebanyakan tempat beliau tidak menyebutkan nama kitab rujukannya. Namun begitu, ada juga beberapa buah kitab karya ulama terdahulu disebutkan.  hanya menyebut nama ulama sahaja tanpa kitab rujukannya.

Dalam sesuatu masalah fiqh yang dibincangkan kadangkala beliau ada menyebut perbezaan pendapat ulama dalam mazhab Syafi’i mengenainya. Dalam masalah tertentu beliau ada juga menyebut pendapat ulama yang menyalahi mazhab Syafi’i, tetapi menyamai dengan mazhab lain. Namun, hal ini dalam beberapa masalah tertentu sahaja.

Di hujung fasal terakhir (Pada menyatakan kaifiat taubat) dalam Khatimah, iaitu selepas kata penutup Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pun menutup karya ini dengan katanya, “ .. dan telah selesai saya daripada menghuraikan segala ibarat kitab ini pada Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat sembilan hari bulan Rabi’ yang kedua pada tahun hijrah 1351 kemudian daripada dimulaikan dia pada Makkah al-Musyarrafah ” (Penulisannya bermula di Mekah dan selesai di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir-1351 / 11-Ogos-1932 -p)

Kemudian Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengakhiri Kitab Kifayah al-Muhtadi ini dengan menterjemahkan doa yang disebutkan oleh Syeikh Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi. Kata beliau, “ Kemudian ada musannif mendatangkan doa yang elok menyudahikan karangannya dengan dia serta saya pun memadai dengan doa itu jua. Mudah-mudahan Allah SWT qabulkan dia maka iaitu….” . Beliau menyebutkan sebahagian doa tersebut dan menterjemahkannya, kemudian menyebutkan lagi bahagian berikutnya dan menterjemahkannya, sehingga selesai doa tersebut diterjemahkan. Maka selesailah kandungan kitab ini.


Rujukan Kitab Kifayah al-Muhtadi

Berikut saya catatkan nama ulama dan kitab yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam Kitab Kifayah al-Muhtadi, sekadar telaah dan pengamatan saya terhadap kitab ini, mungkin ada lagi yang tertinggal.

a)    Nama Kitab: Tafsir al-Nasafi, al-A’lam (Ibn Hajar al-Haytami), al-Raudhah, al-Muhazzab (al-Syairazi), al-Ba-‘its ‘ala Inkar al-Bid’i  wa al-Hawadits (Abu Syamah al-Syafi’i), Ibnu Khuzaimah (Kitab Shahih),

b)     Nama ulama: Abu Bakar al-Tunisi, al-Nasafi, Ibn Hajar (al-Haytami), Ibnu Suraij, al-Kurdi, Syeikh al-Muzani, Imam al-Nawawi, Syeikh al-Baghawi, Istakhri, Ruyani, Syeikh Qaffal, Muhammad bin Ishaq Ibnu Khuzaimah, Syeikh al-Rafi’I, Bujirimi, al-Qadhi Husain, al-Syeikh Syihabuddin Abi Muhammad Abdul Rahman (Abu Syamah al-Syafi’i), Ibnu al-Jawzi, Abu Ja’far al-‘Uqaili, Abu Tsaur, Syeikh al-Syumairi, Syeikh Abu Hamid dan al-Ziyadi.


Sekian, selesailah catatan ringkas mengenai kitab Kifayah al-Muhtadi yang begitu luas huraiannya. Siapa yang mempelajari dan mengamalkannya menjadi  seorang muslim yang bemazhab Syafi’i yang luas pengetahuannya dan jauh dari sikap ta’asub. Semoga bermanfaat.

Monday, December 4, 2017

TAHRIR TANQIH AL-LUBAB


Kitab Tahrir  Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب) merupakan sebuah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Syaikh al-Islam menyusun kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Tahrir ini sebagai ringkasan bagi kitab Tanqih al-Lubab (تنقيه اللباب), iaitu karya al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ). Sedangkan kitab Tanqih al-Lubab sendiri merupakan ringkasan bagi kitab  al-Lubab fil-Fiqh al-Syafi'i () karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ).

Kitab huraian bagi kitab al-Tahrir;

      a.   Tuhfah al-Thullab atau judul penuhnya “Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab ”. Ia adalah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari sendiri. 

      b.      Ihsan al-Taqrir bi Syarh al-Tahrir karya Zaynuddin 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Munawi al-Syafi'i (1031H)        

     c.   Manhah al-Wahhab bi Nazhm Tahrir Tanqih al-Lubab[1], karya Sayyid Abu Bakr bin Abu al-Qasim bin Ahmad bin Muhammad al-Ahdal al-Husaini al-Yamani (984-1035H).

Di samping kitab-kitab syarahnya, kitab al-Tahrirnya juga telah diringkaskan dan disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam Syarafuddin Yahya al-‘Imrithi al-Syafi’i (989H) dengan karyanya yang berjudul al-Taysir fi Nazhm al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’i.

Kitab Tahrir Tanqih al-Lubab ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut https://ia802505.us.archive.org/19/items/WAQ61600/61600.pdf

Semoga bermanfaat.



[1] Iaitu kitab yang disusun dalam bentuk nazam  yang melebihi 4 ribut bait, sebagai manzumah  bagi kitab Tahrir Tanqih al-Lubab. Sayyid Abu Bakr al-Ahdal kemudiannya telah meringkaskan melalui karya yang berjudul Nafhah al-‘Abir fi Nazhm al-Tahrir.

Saturday, December 2, 2017

MIRQAT SHU'UD AL-TASHDIQ


Kitab Mirqat Shu’ud al-Tashdiq fi Syarh Sullam al-Tawfiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq (مرقاة صعود التصديق في شرح سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy (1316H/1898M), seorang ulama keturunan Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya.

Syaikh Muhammad Nawawi menyusun kitab Mirqat Shu’ud al-Tashdiq ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab  Sullam al-Tawfiq ila Mahabbatillah 'ala al-Tahqiq (سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق), iaitu sebuah karya Syaikh 'Abd Allah bin al-Husain bin Hakim bin Muhammad bin Hasyim Ba'alawi al-Hadhrami al-Tarimi (1191-1272 / 1778-1855).

Dalam kitab kitab Mirqat Shu’ud al-Tashdiq ini, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi telah menghuraikan kandungan kitab asalnya (Sullam al-Tawfiq) yang merangkumi tiga perkara asas agama iaitu bidang tasawuf, fiqh dan aqidah.

Sebagaimana kitab asalnya, kandungan kitab Mirqat Shu’ud al-Tashdiq ini juga dimulai dengan penjelasan terhadap teks (matan) kitab Sullam al-Tawfiq mengenai akidah. Di antaranya pembahasannya mengenai dua kalimah syahadah, keimanan kepada Allah, para Nabi, perkara sam’iyyat (perkara ghaib) dan perkara yang membatalkan keimanan dan hukum murtad.

Setelah membuat penghuraian terhadap teks-teks yang membicara dimensi akidah, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi selanjutnya telah menghuraikan teks-teks yang berkaitan dengan hukum Islam, sama ada dari aspek ibadat khusus seperti tatacara wuduk, shalat, zakat, puasa dan haji,  atau dari aspek muamalat seperti tatacara jual beli dan larangan riba serta diakhiri dengan penerangan mengenai kewajipan memberi nafkah.

Dalam bidang tasawuf pula, berkenaan dengan beberapa perkara maksiat (dosa), sama ada maksiat yang berhubungan dengan hati ataupun anggota tubuh yang lainnya seperti perut, mata, lisan (lidah), telinga, tangan, kemaluan, kaki dan badan. Perbahasan bahagian tasawuf ini diakhiri dengan anjuran segera bertaubat dengan memenuhi syarat-syaratnya.

Kitab ini dicetak buat  pertama kali oleh Percetakan al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada tahun 1304H/1886M. Seterusnya dicetak di Mesir pada tahun 1292H/1874M, dan diulang cetak oleh Percetakan al-Khairiyyah pada tahun 1303H/1885M, di al-Maimanah pada tahun 1306H/1888M dan di Bulaq 1309H/1891M.

Berdasarkan versi terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut pada tahun 2013, kitab Mirqat Shu’ud al-Tashdiq ini telah dicetak dalam satu jilid dengan 224 halaman.

Semoga bermanfaat.