Friday, November 29, 2013

al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam



Kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى) adalah sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) dalam bidang fiqh.

Secara umumnya, kandungan kitab ini menfokuskan hampir keseluruhan peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu…

Sekadar pengamatan penulis terdapat dua edisi terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu. Namun begitu, kedua-dua edisi terjemahan ini bukanlah terjemahan yang lengkap bagi kitab al-Qawl al-Tam. Berikut dicatatkan sedikit maklumat mengenai dua edisi buku terjemahan ini;

a)     Masalah Imam dan Makmum. Buku ini disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob (1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam edisi rumi dan jawi.

Menurut Dato’ Yusuf Zaki;

 Buku ini disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca[1].

Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di pasaran buku-buku agama.


b)     Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (Hukum Makmum & Imam). Buku ini disusun oleh Datuk Syaikh al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan Besar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Buku ini telah diterbitkan dengan edisi rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Alor Setar – Kedah.

Maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan kata-kata penyusunnya (penterjemah), sebagaimana dalam muqaddimahnya:

“ ..Maka dengan taufik dan hidayah Allah SWT dapat saya menterjemahkan sebuah kitab fiqh yang terkenal pada zaman silam iaitu kitab al-Qaul al-Tam ….karya al-Imam ….Syihabuddin Ahmad bin Muhammad – yang masyhur dengan Ibn al-‘Imad Yusuf al-Mishri al-Aqfahasi. Terjemahan ini pada mulanya ialah sebagai catitan untuk  kegunaan bagi saya  sendiri semasa     menyampaikan pelajaran (mengajar) di majlis pengajian khas di rancangan takmir masjid dan surau di negeri Kedah Darul Aman. Dimaklumkan bahawa kitab tersebut tidaklah saya terjemahkan semua sekali (seratus peratus) dan mana-mana masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita saya tinggalkan supaya terjemahan ini tidak ternampak besar oleh para pembaca yang boleh menjemukan mereka[2].   

Kandungan buku ini dimulai dengan terjemahan kata pendahuluan pengarang asal (Ibn al-‘Imad) yang mengandungi hadis-hadis mengenai solat berjemaah dan diikuti 215 masalah yang berkaitan solat berjemaah. Ketebalan buku ini merangkumi 202 halaman termasuk halaman isi kandungannya (berdasarkan buku edisi Jawinya).   


Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan mengenai kitab al-Qawl al-Tam ini. Semoga bermanfaat.


[1] Masalah Makmum dan Imam  (edisi Jawi) – hal. 2.
[2] Terjemahan al-Qaulu Tam…(edisi Jawi), hal. 1-2.

Saturday, November 23, 2013

Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah


Kali ini saya mahu kongsi bersama pengunjung blog karya ulama ini sebuah buku yang berjudul “ Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah ”, sebuah karya terjemahan oleh Haji Mohd Tahir Daeng Mengati. Buku ini telah diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1988. Buku yang saya miliki adalah cetakan kali keduanya pada tahun 1992. Ketebalan halamannya tidak termasuk prakata penterjemah ialah 417 halaman.

Buku asalnya merupakan sebuah karya dalam bahasa Arab berjudul “ al-Islam Baina al-‘Ulama wa al-Hukkam(الإسلام بين العلماء والحكام). Buku ini merupakan karya Syeikh ‘Abdul ‘Aziz al-Badri (1929-1969)[1], seorang tokoh pendakwah yang terkemuka di ‘Iraq. Semasa hidupnya beliau adalah seorang dari pemimpin Ikhwan al-Muslimin Iraq. Gerakan Islam yang gigih berjuang bagi menegakkan Daulah Islamiah di dunia ini.

 
Ringkasan kandungan buku ini…

Intipati kandungan buku ini, sebagaimana yang diterangkan dalam prakata penterjemah buku ini;

Tulisan beliau (Syaikh Abdul ‘Azizi al-Badri) ini bertujuan untuk memaparkan kembali sejarah perjuangan para ulama di sepanjang sejarah Islam. Kegigihan, kesabaran dan ketabahan para ulama di dalam menghadapi mihnah dan tribulasi akibat dari perjuangan mereka, perlu dijadikan sumber inspirasi bagi para pendakwah Islam masa kini. Penulis buku ini telah membuktikan jihadnya dan telah mengalami mihnah dan tribulasi yang merupakan sunnah Allah fid dakwah”.

Buku ini dimulakan dengan sebuah muqaddimah oleh pengarangnya dan diikuti dengan 7 bab seperti berikut;

Bab 1: Ulama dan Pemerintah di Zaman Islam

Bab 2: Ulama menasihati Pemerintah

Bab3: Ulama dan Sikap Mereka menghadapi Pemerintah

Bab4: Ulama dengan Anugerah Pemerintah

Bab 5: Ulama dan Gangguan Pemerintah

Bab 6: Ulama di Dalam Penjara Pemerintah

Bab 7: Ulama dan Jihad

Kandungan buku ini sangat penting kepada umat Islam, khusus para da’i, kerana ia dipenuhi dengan kisah perjuangan para ulama silam dan era moden yang ikhlas dan tabah  menjalankan tanggungjawab mereka kerana Allah SWT.

Kitab edisi Arabnya boleh didownload di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.



Tuesday, November 19, 2013

al-Halal wa al-Haram fi al-Islam

 
Kitab al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam  (الحلال والحرام في الإسلام) merupakan sebuah karya susunan seorang ulama terkenal masa kini, al-‘Allamah Prof. Dr Muhammad Yusuf bin Abdullah al-Qaradhawi (1926-) atau terkenal dengan panggilan Dr. Yusuf Qaradhawi. Ketokohan beliau dalam keilmuan Islam sangat dikagumi oleh kebanyakan intelektual Islam di seluruh dunia. Mereka yang mengkaguminya memberikannya julukan al-Imam, al-Mujtahid al-Ashr, al-‘Allamah, al-Faqih al-Kabir dan sebagainya. 
 
Kitab al-Halal wa al-Haram ini cukup terkenal ini merupakan antara karya terawal Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Cetakan pertamanya bermula pada tahun 1960 dan edisi Arabnya telah dicetak berulang kali melebihi 40 kali cetakan.  Kitab ini telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa dunia. Ia telah menjadikan rujukan berbagai lapisan masyarakat dalam perkara halal dan haram yang berhubungkait dengan kehidupan mereka. Walaupun, wujud berbagai tanggapan, kritikan dan penilaian semula[1] oleh para ulama terhadap isi kandungan karya ini, namun ia tidak dapat menolak pengaruh dan kepentingannya sebagai antara sumber rujukan umat Islam, sama ada diperingkat ulama, pelajar maupun masyarakat awamnya.  
 
 
Kandungan kitab ini…
 
Kitab ini didahului - sebuah  pendahuluan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, yang menerangkan mengenai kepentingan mengetahui konsep halal dan haram mengikut perspektif  Islam. Beliau juga menerangkan kaedah penulisan beliau - ketika membincangkan permasalahan fiqh yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab yang berkembang dalam masyarakat Islam sekarang. Di mana, beliau lebih condong kepada metod ijtihad dan tarjih dalam mengeluarkan sesuatu hukum syarak.
 
Berikut dicatatkan secara ringkas kandungan kitab al-Halal wa al-Haram; 
 
Bab 1  - Prinsip-prinsip Islam Berkenaan Halal dan Haram
Bab 2 - Halal dan Haram Dalam Kehidupan Orang Islam
Bab 3 - Halal dan Haram Dalam Perkahwinan dan Kehidupan Berkeluarga
Bab 4 - Halal dan Haram Dalam Kehidupan Umum Muslim
 
Setiap tajuk besar ini, diperincikan lagi dengan sub-sub tajuk. Buku ini membicarakan keseluruhan berkenaan halal dan haram dalam segenap aspek kehidupan seperti makanan, minuman, pakaian, hubungan suami-isteri dan lain-lain. 
 
 
Terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu…
 
Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia oleh beberapa penerbit, antaranya; 
 
a) Halal Dan Haram Dalam Islam. Terbitan Darul Syakir Enterprise pada tahun 2010,  berdasarkan naskhah terjemahan Dr Zulkifli  bin Muhammad Al-Bakri. 
 
b) Halal Dan Haram Dalam Perspektif Islam. Terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru – Cetakan pertamanya pada tahun 2007 dengan ketebalan 287 halaman. Manakala pada cetakan tahun 2009, ketebalannya merangkumi 309 halaman. Buku ini diterjemahkan oleh Abu Jabir Muhammad. 
 
c) Halal dan Haram Dalam Pandangan Islam. Terbitan  PT. Bina Ilmu, Surabaya – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1976. Buku ini diterjemahkan oleh H. Mu'ammal Hamidy. Sebagai perkongsian maklumat, buku terjemahan yang diterbitkan pada tahun 2009, boleh dibaca secara online di pautan:  http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/   
 
d) Halal dan Haram Dalam Islam. Terbitan Robbani Press, Jakarta pada tahun 2000, dengan ketebalan 417 halaman. Edisi terjemahan ini merupakan antara terjemahan terlengkap kitab al-Halal wa al-Haram. Ia dilengkapi dengan takhrij hadits oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, iaitu  yang diambil dari buku karya al-Albani yang berjudul Ghayah al-Maram fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al-Haram. Di samping itu, dalam buku ini juga dilampirkan tanggapan atau jawapan Dr Yusuf al-Qaradhawi terhadap kritikan al-Albani terhadap buku beliau tersebut. 
 
e) Halal dan Haram Dalam Islam. Terbitan Pustaka Islamiyyah, Singapura, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996. Buku ini merupakan edisi baru lengkap diterjemahkan dan dikemaskini kembali oleh Syed Ahmad Semait berdasarkan naskhah edisi Arabnya pada cetakan yang keempat belas.  
 
 
Ulama-ulama yang membuat kritikan terhadap karya al-Qaradhawi ini….
 
Kebanyakan ulama yang membuat kritikan terhadap karya al-Qaradhawi ini (al-Halal wa al-Haram) atau karya-karya dan pendapat-pendapat beliau secara umumnya terdiri dari kalangan mereka yang beraliran Salafiyyah. Antaranya ialah; 
 
a)     Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani melalui kitabnya, yang berjudul  Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram ”. Buku ini disusun secara khusus meneliti derajat hadits-hadits yang dimuatkan oleh al-Qaradhawi di dalam buku al-Halal wa al-Haram. Penelitian al-Albani terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini telah disambut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan  gembira dan menerimanya dengan dada yang lapang kerana hal ini menjadi suatu bukti penghargaan  terhadap buku beliau tersebut. Jawapan al-Qaradhawi[2] terhadap kritikan al-Albani ini ada dijelaskan dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir (jilid 2, terbitan Darul Wafa, Manshurah, cetakan ke-2, 1414 H/1993 m, halaman 97-107), atau boleh dibaca petikannya di pautan;   http://agungwi.files.wordpress.com/2012/05/komen-atas-takhrij-halal-dan-haram.pdf  
 
b) Syeikh Shalih bin Fauzan bin Abdullah Alu Fauzan, melalui kitabnya yang berjudul “ al-I'laam bi Naqd  Kitab al-Halal wa al-Haram  li al-Qaradhawi ”. Beliau telah membuat beberapa kritikan terhadap sebahagian isi kandungan kitab al-Halal wa al-Haram karya al-Qaradhawi ini. Buku terjemahan edisi Indonesia  diterbitkan oleh Pustaka Istiqamah, Solo- Indonesia dengan judul “ Kritik terhadap buku: Halal dan Haram dalam Islam ”.  
 
c)      Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’iy melalui kitabnya yang berjudul al-Raddu ‘Ala al-Qaradhawi ”.
 
Sekadar ini sahaja yang dapat saya paparkan untuk perkongsian bersama pembaca. Semoga bermanfaat.  


[1] Kebanyakan ulama yang membuat kritikan terhadap kitab ini adalah dari kalangan para ulama Salafiyyah. Beberapa buku yang mengkritik dan membuat penilaian semula terhadap buku al-Halal wa al-Haram ini secara khusus atau karya-karya al-Qaradhawi secara umumnya akan diterangkan selepas ini.
[2] Bagi menanggapi secara khusus kritikan al-Albani terhadap tulisan beliau mengenai      “ nyayian dan muzik ” dalam kitab al-Halal wa al-Haram tersebut, al-Qaradhawi telah menyusun sebuah kitab khusus mengenainya, dengan karya beliau yang berjudul “ Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi ala Dhaw al-Quran wa al-Sunnah (Hukum Nyanyian dan Muzik menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah). Buku setebal 255 halaman itu dilengkapi dengan pandangan para sahabat, tabi’in, tabi’ at-tabi’in, dan imam mazhab terhadap nyanyian dan muzik. Pada bagian penutup buku, al-Qardhawi menuliskan daftar karya-karya ulama tentang nyanyian dan musik, mulai dari ulama terdahulu sampai ulama masa kini. Karya al-Qaradhawi itu diterbitkan oleh penerbit Maktabah Wahbah di Kaherah, Mesir. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul “ Menempatkan Lagu & Musik Dalam Timbangan Quran Dan Sunnah ”. Ia diterbitkan oleh Media Insani.
  

Saturday, November 16, 2013

Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie

 
Dalam ruangan Karya Ulama kali ini saya ingin kongsi bersama pembaca mengenai sebuah buku yang baru saya miliki, iaitu sebuah buku mengenai solat yang berjudul “ Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie ”. Berikut catatan ringkas mengenai buku ini.
 
Berdasarkan maklumat yang dicatatkan di buku Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie ”, buku ini merupakan terjemahan bagi sebuah buku berbahasa ‘Arab yang berjudul “ Mawsu’ah al-Shalah al-Mazhab al-Syafi’i ” (موسوعة الصلاة المذهب الشافعي)[1] . Ia diterbitkan oleh Jasmin Publication, Selangor, dengan cetakan pertamanya pada 2013. Mengenai pengarang asalnya, dalam buku ini disebutkan dua nama orang penulis, iaitu Dr Muhammad Zuhaili dan Ahmad Suhaimi Karim. Buku ini diterjemahkan oleh Tim Penterjemahan Berlian Publications. Ketebalan buku ini merangkumi 629 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya.
 
 
Kandungan buku ini…
 
Buku ini merupakan sebuah buku panduan lengkap tentang hukum-hakam solat menurut mazhab Syafi’i. Boleh dikatakan perbincangan dalam buku ini meliputi hampir semua aspek mengenai solat. Kandungan buku ini meliputi 55 buah tajuk utama.
 
Buku ini didahului dengan mukadimah penyusun dan diikuti dengan 55 buah tajuk perbincangannya. Dalam catatan berikutnya saya akan lampirkan tajuk-tajuknya mengikut bilangan nombor dalam buku ini.
 
Kandungan buku ini, seterusnya dijelaskan mengenai beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum dibincangkan permasalahan hukum fiqh. Ia didahului dengan tajuk pertamanya mengenai konsep penulisan dan penyusunan buku ini. Berikut tajuk-tajuknya;
 
1. Konsep Penulisan dan Penyusunan
2. Takrif al-Fiqh
3. kelahiran Fiqah dan perkembangannya.
4. Sekilas tentang kehidupan Imam Syafie
5. Istilah-istilah Usul Fiqah
6. Istilah-Istilah Fiqh Syafie
 
Perbincangan seterusnya, memasuki perbahasan mengenai beberapa tajuk dan permasalahan hukum yang berkaitan dengan taharah (bersuci) dan najis berdasarkan pendapat mazhab Syafi’i. Tajuk-tajuknya ialah;
 
7. Taharah (bersuci)
8. Air Untuk Bersuci
9. Penjelasan Tentang Najis.
10. Menghilang & Membersihkan Najis
11. Najis yang dimaafkan
12. Kebersihan dan Penggunaan Bejana
13. Istitabah dan Adab-Adab Beristinjak
14. Siwak dan Sunat-Sunat Fitrah                                                                
15.. Wuduk
16. Furuk
17. Menyapu Khuf
18. al-Jabair (Pembalut)
19. Tayamun.
20. Haid, Istihadah dan Nifas.
21. Mandi[2]
22. Panduan Wuduk Bergambar[3]
23. Panduan Tayammum Bergambar
 
Perbincangan seterusnya memasuki kandungan utama buku ini, iaitu mengenai solat dan permaslahannya. Berikut tajuk-tajuknya;
 
24. Mengenal Solat
25. Selok Belok Solat
26. Meninggalkan Solat
27. Dorongan Untuk Solat
28. Waktu-watu Solat
29. Qada Solat Fardu
30. Azan dan Iqamat
31. Syarat-syarat Sah Solat
32. Larangan Dalam Solat
33. Rumun Solat
34. Panduan Praktik Solat
35. Sunat-sunat Solat
36. Makruh-makruh Solat
37. Sunat-sunat Solat Bagi Wanita
38. Perkara yang Membatalkan Solat
39. Sujud Sahwi, Tilawah dan Syukur
40. Solat Nafilah
41. Solat Nafal
42. Solat-solat Sunat
43. Solat-solat Rawatib
44. Solat Tarawih
45. Solat Berjemaah
46. Susunan Saf Dalam Solat
47. Solat Musafir (Mukadimah)
48. Solat Qasar
49. Solat Jamak
50. Solat Jumaat
51. Solat Khauf
52. Solat Hari Raya
53. Solat Gerhana
54. Solat Istisqa
55. Solat Jenazah
 
 
Beberapa catatan ……
 
Sebagai penutup catatan ini, saya ingin kongsi bersama pembaca mengenai kitab asal (edisi Arab) buku terjemahan ini. Sebagaimana yang diterangkan di atas, berdasarkan maklumat yang disebutkan dalam buku ini, judul asal kitab ini ialah “ Mawsu’ah al-Shalah al-Mazhab al-Syafi’i ” (موسوعة الصلاة المذهب الشافعي). Saya cuba mencari maklumat mengenai judul kitab ini dari senarai karya-karya Dr. Muhammad al-Zuhaili, namun mungkin terbatasan maklumat saya belum menemuinya.
 
al-Hamdulillah, berberapa hari lalu, saya cuba membuat perbandingan isi kandungan buku Ensiklopedia Solat ini dengan kandungan sebuah karya besar Dr. Muhammad al-Zuhaili yang berjudul al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (كتاب المعتمد في الفقه الشافعي)[4]. Kitab ini merupakan sebuah karya besar Dr Muhammad al-Zuhaili mengenai permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’i, yang diterbitkan dalam 5 jilid[5]. Setelah saya teliti, memanglah isi kandungan buku ini seratus peratus merupakan terjemahan bagi bahagian awal kitab al-Mu’tamad[6].
 
Berdasarkan judul asal kitab terjemahan yang disebutkan dalam buku Ensiklopedia Solat ini, saya mengandaikan kemungkinan kitab موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي tersebut telah diterbitkan secara berasingan oleh pihak penerbitnya berdasarkan kitab al-Mu’tamad tersebut. Andaian saya ini, saya kira sangat berasas kerana isi kandungannya dan penulis adalah sama. Mengenai seorang lagi penyusun kitab موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي, iaitu Ahmad Suhaimi Karim yang digandingkan namanya dengan Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam buku terjemahan ini, kemungkinan beliau adalah pentahkik (pengedit) bagi edisi khas mengenai solat ini. Wallahu a’lam.
 
Catatan ini, hanyalah sekadar pengkongsian maklumat. Saya menganjurkan pembaca mendapatkan buku ini sebagai rujukan tambahan mengenai solat. Semoga bermanfaat.


[1] Kemungkinan ada kesilapan cetakan, mengikut tanggapan saya  judul asalnya sepatutnya ialah Mausu’ah al-Shalah ‘ala al-Mazhab al-Syafi’i (موسوعة الصلاة على المذهب الشافعي), iaitu ada perkataan ‘ala (على) selepas perkataan  الصلاة  – yang boleh diterjemahkan sebagai Ensiklopedia Solat Mengikut Mazhab Syafie. Wallahu a’lam.
[2] Di akhir tajuk ini, penyusun menyebut : “ Berakhirlah hingga di sini hukum-hukum taharah yang diiktibarkan sebagai mukaddimah solat dan syarat-syarat baginya, dank ita akan beralih untuk menjelaskan hukum-hukum solat…..”. (Ensiklopedia Solat, hal.131. Lihat juga kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, hal. 144)
[3] Tajuk 22, 23 dan 34 mengenai panduan bergambar bagi wuduk, tayammum dan praktik solat ini, saya beranggapan ia merupakan tajuk tambahan dari pihak penterjemah, bukannya dari kitab asalnya. Walaupun saya tidak menemui kitab asalnya, saya yakin dengan andaian saya ini kerana gambar-gambar yang dipaparkan lebih menonjolkan ciri-ciri penduduk tempatan ( cth-bersongkok, berkain sarung).
[4] Catatan ringkas mengenai kitab ini telah saya paparkan dalam blog ini. Lihat http://abusyahmin.blogspot.com/2013/09/al-mutamad-fi-al-fiqh-al-syafii.html
[5] Rujukan saya ini merupakan edisi ebook file PDF. Ia  yang boleh didownload di  المعتمد في الفقه الشافعي.
[6] Iaitu merangkumi keseluruhan Juz atau Jilid pertama kitab al-Muktamad ini. Dalam juz pertama ini, dibahagikan kepada 3 bab, iaitu Bab 1 : al-Taharah, Bab 2: al-Shalat dan Bab 3: Ahkam al-Janaiz (Hukum-hukum Solat jenazah).