Sunday, December 30, 2018

AL-MUQADDIMAH (المقدمة)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang terkenal di kalangan ulama sebagai al-Muqaddimah (المقدمة). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1. al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah Fi Fiqh al-Sadat al-Syafi-‘iyyah (المقدمة الحضرمية في فقه السادة الشافعية) adalah merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). Kitab ini juga dikenali dan disebut dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’iyyah dengan judul yang lain, iaitu Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم), Muqaddimah Bafadhal (بافضل مقدمة) atau Mukhtashar Bafadhal (مختصر بافضل) dan al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير). Baca lagi ...

2.   Muqaddimah Ibn Khaldun (مقدمة ابن خلدون) adalah sebuah karya terkenal al-Allamah Ibnu Khaldun atau nama penuhnya Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun (1332-1406M). Kitab ini sebenarnya merupakan sebuah muqaddimah (pengantar) bagi kitab karya Ibn al-Khaldun yang lebih besar yang berjudul al-'Ibrar, wa Diwan al-Mubtada' wa al-Khabar, fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar, wa man Asharuhum min Dzawi  al-Sulthan al-'Akbar. Uniknya, pengantar kitab inilah yang justru lebih dikenali berbanding dengan buku aslinya. Buku pengantar yang berjudul al-Muqaddimah ini menjadikan nama Ibnu Khaldun begitu harum. Baca lagi...

3.   Muqaddimah Fath al-Bari (مقدمة فتح الباري) atau judul asalnya Hadyu al-Sari (هدي الساري) merupakan pengantar bagi kitab Fath al-Bariy bi Syarh Shahih al-Bukhari ( فتح الباري في شرح صحيح البخاري ), karya al-Imam al-Hafizh Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalani al-Mishri (773-852H). Kitab Fathul Bari pula adalah kitab syarah (huraian) bagi kitab Shahih al-Bukhari yang paling baik dan paling lengkap. Baca lagi....

4.  Muqaddimah al-Zahidi (مقدمة الزاهدي)  atau lebih dikenali dengan judul al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة) merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H), seorang  yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. Baca lagi....

5.  al-Muqaddimah fi al-Fiqh (المقدمة في الفقه) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun berdasarkan Mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H). Baca lagi...

6.  Muqaddimah Ibnu al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح) atau judul asalnya Ma’rifah Anwa’ ‘Ulum al-Hadis (  معرفة أنواع  علوم الحديث ) adalah sebuah kitab utama dalam bidang Mustalah al-Hadith yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H), yang terkenal dengam gelaran Ibn al-Shalah. Baca lagi...

7.  Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية) adalah sebuah karya Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazari al-Syafi’i (833H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Jazari. Kitab yang disusun dalam bentuk bait-bait syair ini merupakan salah satu karya utama di dalam disiplin ilmu Tajwid. Baca lagi... 

    8.       

    9.       


Wednesday, December 19, 2018

Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan


Kitab Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan (غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004 H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Zubad (متن الزبد), yang juga dikenali dengan judul Manzhumah Shafwah al-Zubad atau Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i. Sedangkan Matan Zubad adalah hasil karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini boleh dimuat turun di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان

Kitab ini juga boleh dibaca secara  atas talian (online)  di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان.


Semoga bermanfaat.

Saturday, December 15, 2018

Ringkasan Riyadhus Shalihin


Buku yang ingin dikongsikan bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku yang berjudul Ringkasan Riyadhus Shalihin, yang diterbitkan oleh Syarikat Telaga Biru Sdn.  Bhd (cetakan 1/2018).

Kitab Riyadhus Shalihin (رياض الصالحين), ialah himpunan hadis yang disusun oleh seorang tokoh ulama besar dalam mazhab Syafi‘i iaitu Imam al-Hafizh Syeikhul Islam Muhyiddin Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) - yang lebih dikenali sebagai Imam al-Nawawi. Kitab ini menjadi rujukan dan kajian umat Islam seluruh dunia.

Manakala buku Ringkasan Riyadhus Shalihin ini  pula merupakan terjemahan bagi kitab ringkasan kitab Riyadhus Shalihin  yang berjudul Tahzib al-Nufus fi Tartib al-Durus (تهذيب النفوس في ترتيب الدروس), karya   Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani (1265-1350H/1849-1932M).

Kitab ini mengandungi ayat al-Quran dan hanya himpunan hadis sahih dan hasan yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim sahaja. Susunannya merangkumi hal-hal perundangan dalam agama yang membicarakan masalah akidah, syariah dan akhlak.

Semoga bermanfaat

Sunday, November 25, 2018

al-Muhimmat Fi Syarh al-Rafi'i wa al-al-Rawdhah (المهمات في شرح الرافعي والروضة)


Kitab al-Muhimmat Fi Syarh al-Rafi'i wa al-al-Rawdhah (المهمات في شرح الرافعي والروضة) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Isnawi al-Mishri (704-772H), seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal pada zamannya.

Kitab al-Muhimmat ini disusun oleh Imam al-Isnawi berdasarkan dua buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu;

1)      Kitab al-Syarh al-Kabir (الشرح الكبير للوجيز), karya Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwini (555-624H), yang terkenal dengan panggilanImam al-Rafi’i.
2)  Kitab Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين), karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).


Dalam kitab al-Muhimmat ini, Imam Jamaluddin al-Isnawi telah menghimpunkan  20 bentuk kajian ilmiah beliau terhadap isi kandungan kedua-dua kitab tersebut. Antaranya  dalam bentuk;

a)     Huraian dan penjelasan terhadap beberapa istilah yang digunakan dalam kedua-dua kitab
b)     Kritikan terhadap beberapa kesilapan dan kekeliruan, terdapat dalam kedua-dua kitab atau salah satu daripadanya.
c)      Menerangkan pendapat yang paling rajih (tepat) antara keduanya, jika terdapat perbezaan pendapat antara al-Rafi’I dan al-Nawawi dalam sesuatu permasalahan.


Kitab-kitab yang berkaitan dengan kitab al-Muhimmat

Kitab al-Muhimmat sangat terkenal di kalangan para ulama mazhab Syafi’i. Para ulama telah menyusun beberapa kitab yang berkaitan dengan kitab al-Muhimmat, samada dalam bentuk ringkasan, kritikan ataupun huraian. Berikut antara karya yang berkaitan dengan kitab al-Muhimmat;

1)   Muhimmat al-Muhimmat (مهمات المهمات), karya al-Hafizh Zainuddin Abdul Rahim bin al-Husaini al-‘Iraqi (806H) .
2)     al-Ta’aqqubat ‘ala al-Muhimmat (التعقبات على المهمات), karya Syihabuddin Ahmad bin al-‘Imad al-Aqfahsi (808H).
3)     Tatimmat al-Muhimmat (تتمات الممهمات), karya al-Syarif ‘Izzuddin Hamzah bin Ahmad al-Dimasyqi al-Hishni al-Syafi’i (874H).
4)     Ta’liqat (تعليقات) Syihabuddin Ahmad bi Hamdan al-Azra’i (783H).
5)     Tartib al-Muhimmat (ترتيب المهمات), karya ‘Ala-uddin Mughlathay bi Qalij bin Abdullahal-Mishri al-Hanafi (762H).
6)     Ma’rifah al-Mulimmahbi Radd al-Muhimmah (معرفة الملمات برد المهمات), karya Sirajuddin ‘Umar bi Raslan al-Bulqini (805H).
7)     Mukhtashar al-Muhimmat (مختصر المهمات), karya Abu Zur’ah Ahmad bin Abdul Rahim al-‘Iraqi ().
8)    Mukhtashar al-Muhimmat  (مختصر المهمات), karya Ahmad bin Musa Ibn al-Wakil (791H).
9)  Madinah al-‘Ilm Syarh al-Muhimmat (مدينة العلم), karya Syarafuddin ‘Isa bin ‘Utsman al-Ghazzi (799H).
10) Mukhtashar al-Muhimmat  (مختصر المهمات), karya Syamsuddin Miuhammad bin Abdullah al-Sharkhudi (792H).
11)  Syarh Mukhtashar al-Muhimmat (شرح مختصر المهمات), karya Syihabuddin Ahmad bin Abdullah al-Ghazzi (822H).
12) Talkhish al-Muhimmat (تلخيص المهمات), karya Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Hishni al-Syafi’i (829H).
13) Talkhish al-Muhimmat (تلخيص المهمات), karya Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Da-im al-Nu’aimi al-Birmawi (831H).
14) al-Masa-il al-Mu’allimat bi I’tiradh al-Muhimmat (المسائل المعلمات باعتراض المهمات), karya al-Qadhi Taqiyuddin Abu Bakr Ahmad bin Syahbah al-Dimasyqi (851H)
15)  Muhimmat al-Muhimmat (مهمات المهمات) dan al-Tabkitat al-Waridat ‘ala Mawadhi’ min al-Muhimmat (التبكيتات الواردات على مواضع من المهمات), karya Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Muhammad al-Yamani (887H).

Kitab al-Muhimmat telah dicetak dan diterbitkan oleh Dar Ibnu Hazm- Lubnan dengan cetakan pertama pada tahun 2009, dalam 10 jilid. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan: Cover  Jilid 1  Jilid 2  Jilid 3  Jilid 4  Jilid 5  Jilid 6  Jilid 7  Jilid 8  Jilid 9  Jilid 10.

Maklumat lanjut mengenai kitab ini boleh dibaca di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t4365.html

Semoga bermanfaat.

Sunday, November 18, 2018

Majmu’ Sab’ah Kutub Mufidah


Majmu’ Sab’ah Kutub Mufidah (مجموع سبعة كتب مفيدة) merupakan  sebuah buku  yang menghimpunkan 7 buah karya ilmiah yang disusun oleh al-Sayyid al-‘Allamah ‘Alwi bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Saqqaf al-Makkiy (1255-1335H/1916M).

Berikut merupakan judul kitab-kitab yang terdapat dalam Majmu’ah ini;
.

1)  al-Fawa-id  al-Makkiyyah Fima Yahtajuhu Thalabah al-Syafi’iyyah min al-Masail wa al-Dhawabith wa al-Qawa’id al-Kulli (الفوائد المكية فيما يحتاجه طلبة الشافعية من المسائل والضوابط والقواعد الكلي)

2)  Mukhtashar al-Fawa-id al-Makkiyyah Fima Yahtajuhu Thalabah al-Syafi’iyyah (مختصر الفوائد المكة فيما يحتاجه طلبة الشافعية).

3)     Al-Qawl al-Jami’ al-Matin fi Ba’dh al-Muhim min Huquqina al-Muslimin  (لقول الجامع المتين في بعض المهم من حقوق إخواننا المسلمين)

4)   Risalah fi Qam’i al-Syahwah ‘an Tanawul al-Tunbak wa al-Kaftah wa al-Qat wa Qahwah (رسالة في قمع الشهوة عن تناول التنباك والكفتة والقات والقهوة)

5)     Fath al-‘Alam fi Ahkam al-Salam (فتح العلام في أحكام السلام)

6)    Al-Qawl al-Jami’ al-Najih fi Ahkam Shalah al-Tasbih (القول الجامع النجيح في أحكام صلاة التسبيح)

7)     Al-Kawb al-Ahwaj fi Ahkam al-Mala-ikah wa al-Jin wa al-Syayathin wa Yakjuj wa Makjuj (الكوكب الأجوج في أحكام الملائكة والجن والشياطين ويأجوج ومأجوج).

Di samping itu, terdapat sebuah karya al-‘Allahmah al-Sayyid ‘Alwi yang lain  dicetak bersama himpunan ini, iaitu sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang berjudul   (علاج الأمراض الردية بشرح الوصية الحدادية).

Koleksi karya al-Allamah al-Sayyid Alwi ini boleh dimuat turun melalui pautan http://archive.org/download/7Books/%...8%AF%D8%A9.pdf.

Semoga bermanfaat.

Rawdh al-Thalib (روض الطالب)


Kitab Rawdh al-Thalib (روض الطالب) atau judul lengkapnya Rawdh al-Thalib wa Nihayah Mathlab al-Raghib (روض الطالب ونهاية مطلب الراغب) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syarafuddin Abu Muhammad Ismail bin Abu Bakr Abdullah al-Muqri al-Yamani (837H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Muqri.

Kitab Rawdh al-Thalib ini disusun oleh Imam Ibn al-Muqri sebagai ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) , iaitu sebuah karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya in Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab yang terkenal dengan judul pendeknya  al-Rawdh (الروض) ini menjadi rujukan dan bacaan para ulama mazhab Syafi’i selama beberapa abad. Kemudiannya, muncul Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H), telah menyusun sebuah kitab khusus sebagai huraian (syarah) bagi kitab Rawdh al-Thalib ini melalui karya beliau yang berjudul Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib (أسنى المطالب شرح روض الطالب)

Kitab al-Rawdh di atas juga telah diringkaskan lagi oleh Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami  (974H) melalui karyanya yang berjudul al-Nu-‘aim (النعيم).

Kitab Rawdh al-Thalib ini boleh dimuat turun melalui pautan روض الطالب ونهاية مطلب الراغب.  

Semoga bermanfaat.

Monday, November 12, 2018

al-Hishn al-Hashin (الحصن الحصين )


Kitab al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin ( الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين) adalah sebuah karya yang menghimpunkan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Kitab ini disusun oleh Imam Ibn al-Jazari atau nama sebenarnya Syamsuddin Abu al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Ali bi Yusuf al-Jazari (751-838H).

Imam Ibn al-Jazari kemudiannya telah meringkaskan kitab al-Hishn al-Hashin ini dengan sebuah karya beliau yang berjudul ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (عدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين).


Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab ‘Uddah al-Hishn al-Hashin pula telah diberikan huraian (syarah)nya oleh para ulama, antaranya;

a) al-Imam al-Muhaddis Muhammad bin Abdul Qadir al-Fasi (1116H), melalui karyanya yang berjudul Tuhfah al-Mukhlishin bi Syarh ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (تحفة المخلصين بشرح عدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين).


Kitab al-Hishn al-Hashin boleh dimuat turun di pautan الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, November 7, 2018

Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin


Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin (روضة الطالبين وعمدة السالكين)[1] merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (1058-1111M).

Kata Imam al-Ghazali dalam kata pengantar kitab ini; “ Saya menulis kitab ini sebagai pegangan bagi para pencari kebenaran (طالب الحق) dan membantu mereka dalam menempuh suluk, insya Allah. Dalam menulisnya, saya memohon pertolongan Allah Ta’ala agar terhindar dari kekurangan dan kesalahan. Dialah Penolong dan Pembantu Terbaik. Sesungguhnya Dialah yang maha Dekat dan Maha mengabulkan Doa. Kitab ini saya namakan Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin (روضة الطالبين وعمدة السالكين) ”.

Kitab ini dibahagikan kepada 43 bab dan sebahagian bab pula ada yang dibahagikan kepada fasal tertentu. Berikut antara isi kandungan kitab ini;

1.      Dasar Agama
2.      Adab
3.      Makna Suluk dan Tasawuf.
4.      Makna wushul dan Wishal.
5.      Makna Tauhid dan Penyikapan (Mukasyaf)
6.      Makna Nafsu, Ruh, Hati dan Akal
7.      Makna Cinta (Mahabbah)
8.     Makna Kedamaian kerana Allah
9.      Makna Haya dan Muraqabah
10.  Makna Kedekatan (al-Qurb)
11.   Kemulian Ilmu  dan kewajipan Mencarinya
12.  Makna Asama’ al-Husna
13.  Meyakini dan Berpegang Teguh kepada Akidah yang benar.
14.  Penjelasan Sifat-Sifat Allah SWT.
15.   Hakikat Ikhlas dan Riya’

Kitab ini diakhiri dengan dengan bab ke 43, iaitu menerangkan mengenai tatacara solat Ahl al-Qurb (صفة صلاة أهل القرب).

Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin boleh dibaca secara atas talian (online) di pautan روضة الطالبين وعمدة السالكين. 

Sekadar yang maklumat yang diperolehi, kitab ini telah diterjemahkan  dalam bahasa Indonesia dengan judul “Taman Kebenaran” dan diterbitkan oleh Turos Khazanah pustaka Islam, Jakarta Selatan dengan cetakan pertamanya tahun 2017.

Semoga bermanfaat.




[1] Terdapat kitab lain yang hampir sama judul dengan ini, iaitu kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) , iaitu sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam al-Nawawi (631-676H).