Kitab Rawdhah
al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) merupakan sebuah kitab fiqh
yang masyhur dan menjadi rujukan utama para penuntut ilmu dan ulama mazhab
al-Syafi’i. Kitab yang terkenal dengan nama singkatannya sebagai Kitab Rawdhah
al-Thalibin (روضة الطالبين) atau Kitab al-Rawdhah
() ini adalah salah sebuah hasil karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya
bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).
Kitab al-Rawdhah ini
merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) yang dilakukan oleh Imam al-Nawawi
terhadap Kitab al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (al-Syarh al-Kabir) karya Imam
Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H). Judul kitab ini
(Rawdhah al-Thalibin) digabungkan dengan ‘Umdah al-Muftin, kerana ia
memaparkan persoalan-persoalan fiqh secara terperinci, berbeza dengan Kitab Minhaj
Thalibin karya al-Nawawi yang lain yang dianggap sebagai karya fiqh yang
ringkas. Ukuran kedua-dua kitab ini tidak dapat dibandingkan, kerana al-Rawdhah
lebih besar berbanding al-Minhaj hingga sepuluh kali ganda[1].
Di dalam mukaddimah
kitabnya, al-Nawawi menjelaskan tujuan beliau menulis kitab al-Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin. Beliau
berkata;
“Allah swt memberikan
inspirasi kepadaku untuk meringkaskan kitab al-‘Aziz karya al-Rafi’i ke dalam
beberapa jilid. Saya pun memulai projek ini dengan tujuan memudahkan jalan
pemanfaatannya bagi orang yang mempunyai keinginan dan semangat. Dalam projek
ini, saya menerapkan metod pertengahan antara sangat ringkas dan sangat panjang
lebar. Bagaimanapun, ia merupakan salah satu tuntunan. Saya menghapuskan
sebahagian dalilnya, menghuraikan maksud yang samar, menambahkan padanya dalam
banyak perbahasan beberapa keterangan permasalahan dan menyebutkan beberapa
tema perbahasan yang padanya terdapat beberapa perbezaan pandangan terhadap
al-Rafi’i. Saya berharap, jika kitab ini dapat diselesaikan dengan sempurna
bahawa orang yang mentelaahkannya akan benar-benar mengetahui mazhab Syafi’i,
memperolehi kepercayaan yang sempurna terhadapnya dan menguasai seluruh apa
yang dia perlukan dari berbagai permasalahan[2]. Jika apa yang saya
tambahkan dalam kitab ini tidak dinisbahkan kepada orang yang mengatakannya,
maka itu saya maksudkan untuk meringkaskannya, dan itu saya telah jelaskan di
dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan saya mengemukakannya di dalam kitab itu
dengan adanya beberapa tambahan” (al-Nawawi,tt: 47).
Ulama fiqh mazhab
al-Syafi’i sangat mengambil berat kitab al-Rawdhah dan mereka menuliskan banyak
kitab hasyiah terhadapnya. Sebahagian meringkaskannya dan sebahagiannya lagi
menghuraikannya. Banyaknya syarah dan karya yang dilakukan terhadap kitab ini
menunjukkan ia diterima secara luas oleh ulama fiqh mazhab al-Syafi’i setelah
era al-Nawawi. Kitab al-Rawdhah ini sudah dicetak berulang kali. Salah satu
cetakannya yang terbaik adalah cetakan Dar al-Fikr, edaran al-Maktabah
al-Tijariyyah di Mekah dan bersamanya disertakan beberapa hasyiah karya
Sirajuddin ‘Umar bin Ruslan al-Bulqini (805H), dan karya dua orang anaknya;
Abdul Rahman bin ‘Umar (824H) dan Soleh bin ‘Umar (868H). Kitab ini terdiri
daripada dua belas jilid.
Artikel di atas dipetik
dengan sedikit olahankembali dari Kitab al-Madkhal ila Mazhab al-Imam
al-Syafi’i karya Dr Akram Yusuf
‘Umar al-Qawasimi, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan judul
Ensiklopedia Imam al-Syafi’i Jilid 1 (Pengantar Mazhab Imam al-Syafie) dan
diterbitkan oleh AL-HIDAYAH PUBLICATION, cet. 1 2012.
Download kitab Rawdhah
al-Thalibin di pautan روضة الطالبين وعمدة المفتين.
Semoga bermanfaat,
[1] Kitab Minhaj al-Thalibin dan kitab Rawdhah
al-Thalibin pada dasarnya berasal daripada satu sumber. Kitab Minhaj
al-Thalibin merupakan ringkasan kitab al-Muharrar, sementara kitab Rawdhah
al-Thalibin merupakan ringkasan kitab al-‘Aziz (al-Syarh al-Kabir).
Kedua-duanya, iaitu al-Muharrar dan al-‘Aziz adalah sama-sama karya al-Rafi’i.
[2] Ini menunjukkan al-Nawawi
menyusun kitab al-Rawdhah untuk menyajikan satu kitab yang menghimpun pendapat
muktamad untuk fatwa di dalam mazhab Syafi’i. Di dalam ungkapan al-Nawawi ini
terdapat sanggahan terhadap orang yang mendakwa bahawa kitab Rawdhah
al-Thalibin bukan kitab yang muktamad dalam mengetahui pendapat yang rajih di
dalam mazhab.
Jenis kitab ini mantan atau syarah
ReplyDelete