Showing posts with label al-Nawawi. Show all posts
Showing posts with label al-Nawawi. Show all posts

Wednesday, April 16, 2025

Aqidah Ahli Sunnah Menurut Al-Imam Al–Nawawi

Risalah yang diberi tajuk, “Aqidah Ahli Sunnah Menurut Al-Imam Al–Nawawi: Kefahaman Kerangka ‘Aqīdah Ahli Sunnah Berdasarkan Sharah Ṣaḥiḥ Muslim Dan Matan Al-Maqāṣid Al-Nawawiyyaholeh Al-Imām Abi Zakariyyā Yaḥyā Bin Sharaf Al-Nawawi Al-Dimashqī (W.676h) adalah usaha terjemahan dan susunan oleh Ustaz Mohd Saiful Aqil Naim Saful Amin al-Ṣiddiqi.

Karya ini merupakan karya pertama dalam bahasa Melayu yang menjelmakan kerangka umum ‘aqīdah ahli sunnah menurut Imam al-Nawawī. Penulis cuba menggali khazanah keilmuan Imam al-Nawawi dari dua karya beliau yang telah dinyatakan tersebut dalam usahanya menggambarkan pendirian Imam al-Nawawi dalam ilmu akidah.

Seterusnya penulis bukan sahaja sekadar menyenaraikan dapatan yang diperoleh malah mengolah semula gambaran umum tersebut dan memberi sentuhan baharu menjadikan karyanya lebih bermakna dan bermanfaat. Kitab ini memuatkan juga sedikit latar belakang Imam al-Nawawi untuk kita menelusuri hal-hal dan suasana yang melatari dan pengaruh dalam pembinaan manhaj dan pemikiran keilmuannya.

Sesungguhnya karya ini sangat bagus untuk perhatian para pengkaji dan juga golongan terpelajar mahupun penuntut ilmu untuk diteliti dengan tuntas kepada usaha memahami pandangan Imam al-Nawawi dalam bab aqidah ahli sunnah wal jamaah. Risalah ini juga amat sesuai dijadikan sebagai pengajian umum kepada masyarakat awam sebagai gambaran awal pandangan aqidah ahli sunnah wal jamaah yang amat bersepadu dengan manhaj pembelajaran aqidah ahli sunnah di bumi Nusantara ini.

Dinukilkan daripada https://ilhambooks.com/aqidah-ahli-sunnah-menurut-al-imam-al-nawawi/

Thursday, January 28, 2021

Wujub Takhmis al-Ghanimah wa Qismah Baqiha

Kitab Wujub Takhmis al-Ghanimah wa Qismah Baqiha (وجوب تخميس الغنيمة وقسمة باقيها) merupakan sebuah karya yang agak kecil yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi sebagai jawapan kepada permasalahan yang ditanya kepada beliau mengenai hukum mengambil harta ghanimah alih (الغنيمة المنقولة) seperti hamba perempuan, kanak-kanak, binatang ternakan dan peralatan asas sebelum dilakukan pembahagian yang sepatutnya.

Secara umumnya kandungan kitab ini menerangkan kewajipan pembahagian harta ghanimah alih (الغنيمة المنقولة) sebanyak 1/5 kepada 6 golongan yang ditetapkan syarak dan bakinya sebanyak 4/5 kepada para tentera Islam, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 41, surah al-Anfal yang bermaksud;

Dan ketahuilah, Bahawa apa sahaja Yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir Yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa Yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Dalam kitab ini disebutkan hadis-hadis yang berkaitan dan dibawakan pandangan para ulama mazhab Syafi’i mengenai permasalahan pembahagian ghanimah tersebut. Di samping itu, dalan kitab ini juga Imam al-Nawawi mengemukakan hujah beliau bagi menolak pandangan mereka yang mengharuskan pengambilan  harta ghanimah alih ini sebelum pembahagiannya.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://ebook.univeyes.com/?download_books=128412-2705c26cf6545a8f695ebbe4b29c118e.

Semoga bermanfaat

Tuesday, December 8, 2020

al-Tarkhish fi al-Qiyam Li Zawi al-Fadhl wa al-Maziyyah min Ahl al-Islam


Kitab al-Tarkhish fi al-Qiyam Li Zawi al-Fadhl wa al-Maziyyah min Ahl al-Islam (الترخيص بالقيام لذوي الفضل والمزية من أهل الإسلام) adalah sebuah karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). 

Kandungan kitab ini menghimpunkan beberapa athar mengenai keharusan berdiri menghormati mereka yang mempunyai kedudukan dan kelebihan di kalangan umat Islam. 

Kitab ini dibahagi kepada dua bab. Dalam bab pertama disebutkan athar dan hadis-hadis yang menjadi dalil dan hujah tentang keharusan berdiri menghormati golongan yang mempunyai kedudukan dan kelebihan dalam Islam. Manakala dalam bab dua Imam al-Nawawi membawakan pula athar dan hadis-hadis yang menjadi dalil larangan berdiri sebagai penghormatan. Kemudian beliau membawakan pula jawapan-jawapan dan pandangan para ulama terhadap hadis-hadis tersebut. 

Semoga bermanfaat.

Saturday, June 27, 2020

al-Tanqih Syarh al-Wasith


Kitab al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab al-Tanqih ini disusun oleh al-Imam al-Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhab (الوسيط في المذهب), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Penyusunan kitab al-Tanqih ini tidak sempat diselesaikan oleh Imam al-Nawawi. Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu mengenai syarat-syarat solat.

Berdasarkan beberapa cetakan, kitab ini dicetak bersama kitab al-Wasith. Kitab ini boleh dimuat turun bersama dengan kitab al-Wasith di pautan التنقيح في شرح الوسيط

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 17, 2020

al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)


Kitab al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط) adalah sebuah karya peninggalan al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). 

Walaupun saiz kitab ini sangat kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun kandungannya sangat penting dan padat dengan beberapa permasalahan agama yang penting. Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi telah memuatkan 9 perbahasan mengenai permasalahan yang perlu diketahui oleh para penuntut ilmu syariat.

Permasalahan pertama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pandangan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengenai beriman kepada Qadar. Manakala perbahasan-permaslahan  berikutnya adalah berkaitan dengan permasalahan fiqh dan usul fiqh.

Kitab ini telah ditahqiqkan oleh Dr Muhammad Hasan Hito dan diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Dar al-Basya-ir al-Islamiyyah pada tahun 1986/ 1406 dengan ketebalan 48 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الأصول والضوابط.

Semoga bermanfaat.

Karya-Karya Fiqh Imam al-Nawawi


Dalam catatan ini akan disenaraikan judul-judul kitab fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Selain kitab yang ditulis khusus dalam bidang fiqh, disebutkan juga beberapa karya beliau yang lain yang juga  ada membincangkan permasalahan fiqh seperti karya dalam bidang usul fiqh dan hadis. Berikut disenaraikan antara karya beliau tersebut;
3.   Daqa-iq al-Rawdhah (دقائق الروضة)  
10.  al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim (المنهاج شرح صحيح مسلم )[1]
11.  Muhimmah al-Ahkam (مهمات الأحكام)[2]
14.  Nukat al-Muhazzab
15.  Nuktah al-Tanbih (النكت على التنبيه)
16.  Nuktah ‘ala al-Wasith (نكت على الوسيط)
21.  al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط)[3]
22.  Tuhfah Thalib  Syarh al-Tanbih[4]
24.  al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)





[1] Walaupun ia merupakan kitab huraian hadis, namun begitu ia juga boleh dikatogori sebagai kitab fiqh Syafi’i kerana terdapat perbincangan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i.
[2] Karya beliau ini hanya sampai di pertengahan kitab al-Thaharah, iaitu mengenai kebersihan pakaian dan badan.
[3] Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah, iaitu mengenai syarat-syarat solat.
[4] Beliau tidak sempat menyempurnakannya, hanya  di pertengahan kitab al-Shalah.

Tuesday, June 9, 2020

al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam


Kitab al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam atau nama lengkapnya “Khulashah al-Ahkam Fi Muhimmat al-Sunan  Wa Qawa’id al-Islam” (خلاصة الأحكام في مهمات السنن وقواعد الإسلام) adalah sebuah karya dalam bidang hadis ahkam, iaitu kitab hadis yang khusus hanya mengumpulkan hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum fiqh. Kitab ini disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab ini menjadi rujukan para ulama sesudah Imam al-Nawawi sebagai sumber takhrij hadis-hadis ahkam.  Kebanyakan hadis-hadis hukum yang digunakan oleh fuqaha’ sebagai dasar “istinbath” fiqh telah dikumpulkan Imam al-Nawawi dalam kitab ini.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” fokus pada hadis-hadis hukum yang diambil dari kitab-kitab hadis utama seperti Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Nasa-i, Sunan al-Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah, Sunan al-Daroquthni, Sunan al-Baihaqi, Mustadrak al-Hakim, dan lain-lain. Hanya saja hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi ini tidak lengkap. Beliau hanya sempat menyusun kitab ini sampai bab zakat saja. Barangkali usia al-Nawawi yang pendek (wafat dalam usia 45 tahun) yang menyebabkan kitab ini tidak sempat disempurnakan.

Mengenai faktor yang mendorong al-Nawawi menyusun kitab ini, ada diterangkan dalam muqaddimah kitab ini. Beliau menerangkan bahawa kitab “Khulashah al-Ahkam” disusun adalah didasarkan kepada pemahaman bahawa kaum muslimin wajib berqudwah kepada Rasulullah  dalam hal hukum dan adab. Juga demi melaksanakan perintah kembali kepada Rasulullah  jika terjadi “tanazu’” (perselisihan) yang hanya mungkin ditasfirkan kembali pada sunnah Rasul setelah beliau wafat. Juga demi menjaga diri agar tidak sampai terjatuh pada perkara yang diada-adakan (bid’ah)  yang tidak ada dasarnya dalam agama. Juga demi menjaga kaum muslimin agar hanya bertumpu pada hadis-hadis sahih saja dan selamat dari hadis-hadis dhoif, meskipun yang mengamalkannya banyak, bahkan meskipun disebutkan dalam kitab-kitab fikih besar. Juga untuk memberi pemahaman bahwa kebolehan beramal dengan hadis “dhoif” pada “fadhoil amal” itu tidak bersifat mutlak tapi bersifat “muqoyyad”. Sebelum menyusun kitab ini, al-Nawawi telah mengawalinya dengan beristikharah.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” ini dipuji sejumlah ulama. Ibnu al-Mulaqqin mengatakan, “Seandainya saja al-Nawawi menyelesaikan kitab ini, maka akan menjadi kitab yang tiada taranya”. Al-Lakhmi berkata, “Tidak ada ahli hadis yang tidak memerlukannya, apalagi seorang ahli fikih.”

Perhatian ulama terhadap kitab ini juga cukup tinggi dengan bukti kitab ini dijadikan sebagai salah satu rujukan dalam hal “takhrij”. Di antara yang banyak merujuknya adalah al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam  kitab “al-Talkhish al-Habir” dan “Fathu Al-Bari” dan Imam al-Zaila’i dalam  kitab  “Nashbu al-Rayah”. Fakta ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Nawawi juga seorang ahli hadis yang diakui.  

Adapun metode penulisannya, prinsip pentingnya adalah al-Nawawi hanya mengumpulkan hadis-hadis hukum. Jadi hadis-hadis yang terkait akidah, sirah, akhlak, zuhud dan semisalnya tidak ditulis.  

Dari sisi kualiti hadis, al-Nawawi hanya memasukkan hadis sahih dan hadis hasan saja. Hal ini penting, keraana sudah diketahui dalam ilmu fikih sebuah ketentuan yang menyatakan bahwa tidak boleh berhujjah dengan hadis “dhoif” dalam perkara halal-haram (hukum). Himpunan hadis “dhoif” dikumpulkan al-Nawawi secara terpisah dan diasingkan di akhir tiap bab (section). Tujuan al-Nawawi menulis hadis-hadis “dho’if” dalam kitab ini adalah agar diwaspadai dan diketahui sebagai hadis yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam perkara hukum. Mengumpulkan hadis-hadis “dhoif” dalam “section” tersendiri seperti ini adalah kreativiti al-Nawawi yang nampaknya belum pernah dilakukan oleh ahli-ahli hadis yang lain yang mengumpulkan hadis-hadis “ahkam”.

Dalam penyusunan kitab ini, kekadang beliau  mengomentari terkait penekanan hukum yang dianggap beliau perlu. Misalnya pada saat beliau menerangkan “dhoif”nya hadis yang dijadikan dasar untuk menetapkan bahawa dalam solat hari raya perlu ada dua khutbah, bukan satu khutbah. Imam al-Nawawi menegaskan semua hadis yang dijadikan dasar itu “dhoif”. Manakala,  penetapan hukum dalam mazhab al-Syafi’i setelah solat hari raya disyariatkan khutbah dua kali bukan kerana ada hadis sahih/hasan tertentu yang menjadi dasar, tetapi kerana diqiyaskan dengan khutbah Jumaat.

Adapun berkaitan  “mukhorrij” hadis, jika hadis yang ditulis al-Nawawi tercantum dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim maka beliau cukup menyebutnya “muttafaqun ‘alaih”, atau “rawahu al-Bukhari”, “rawahu Muslim” dan yang semakna dengan itu. Jika ada perbedaan lafaz antara riwayat al-Bukhari dan Muslim maka dipilih salah satu lalu diterangkan dari mana diambil, misanya ditulis “wa lafzhuhu li muslim”. Jika ada “mukhorrij” lain selain Asy-syaikhan, mereka juga disebutkan. Jika al-Nawawi mengatakan “rawahu ats-tsalatsah” maka itu bermakna diriwayatkan Abu Dawud, al-Timidzi dan al-Nasai.

Imam al-Nawawi kadang-kadang juga melakukan “jarh” dan “ta’dil” pada riwayat-riwayat tertentu, terutama terhadap perawi hadis yang menjadi posisi kunci dalam hadis tersebut.

Himpunan hadis-hadis yang dikumpulkan al-Nawawi dalam kitab ini, dikelompokkan dalam sistem penggolongan “kutub” (chapters) dan “abwab” (sections). Secara keseluruhan, isi kitab ini terdiri dari sekitar lebih dari 20 “kutub” (chapters) dan 300 “abwab” (sections).

Manuskrip kitab ini boleh  ditemukan di antaranya di Al-Maktabah As-Sa’idiyyah di Hyderabad; India, Al-Jami’ah Al-Islamiyyah di Madinah, dll.

Kitab Khulashh  al-Ahkam telah diterbitkan oleh Mu-assasah Ar-Risalah dalam dua jilid setebal 1099 halaman atas jasa “tahqiq” Husain Isma’il Al-Jamal.


Semoga bermanfaat.


Thursday, January 24, 2019

Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq



Kitab Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq  (إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق) merupakan sebuah karya dalam bidang ilmu hadis yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Imam al-Nawawi menyusun kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Irsyad (الإرشاد) ini sebagai ringkasan bagi kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح), iaitu karya al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H).

Kitab al-Irsyad kemudiannya telah diringkaskan lagi oleh Imam al-Nawawi melalui karya beliau yang berjudul al-Taqrib wa al-Taysir li Ma'rifat Sunan al-Basyir wa al- Nazir (التقريب والتيسير لمعرفة سنن البشير النذير), yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Taqrib (التقريب).

Manakala kitab al-Taqrib pula telah diberikan huraian (syarah) oleh Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H) melalui karya beliau yang berjudul Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi (تَدْرِيبُ الرَّاوِي فِي شَرْحِ تَقْرِيب النَّوَوِي).

Kitab al-Irsyad boleh dimuat turun melalui pautan  إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق.

Semoga bermanfaat.

Monday, September 3, 2018

al-Nihayah fi Ikhtishar al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية)


Kitab al-Nihayah fi Ikhtishar  al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun sebagai ringkasan bagi matan al-Ghayah wa al-Taqrib, karya al-Qadhi Abu  Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Ashfahani (493H).

Dikatakan kitab al-Nihayah ini adalah karya al- Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Namun begitu, para ulama berbeza pendapat mengenai kesahihan penisbahan kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi.

al-Imam Abu al-‘Abbas Najmuddin Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Murtafi’ bin al-Rif-‘ah al-Anshari (645-710H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Rif’ah - ada menyebutkan dalam kitabnya Syarh al-Wasith[1], bahawa kitab al-Nihayah ini sebagai karya Imam al-Nawawi. Manakala Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Isnawi al-Mishri (704-772H), yang terkenal dengan Imam al-Isnawi menolak pendapat Ibn al-Rif’ah ini, kerana menurutnya Imam Ibn al-‘Attar[2], selaku murid Imam al-Nawawi sendiri tidak menyenarai kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi. 

Kitab al-Nihayah ini kemudiannya telah dihurai (syarah) oleh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Dimasyqi al-Syafi’i (752-829H).



[1] Iaitu kitab al-Mathlab al-‘Ali fi Syarh Wasith.
[2] Nama lengkapnya Imam al-Hafizh 'Alauddin 'Ali bin Ibrahim Ibn al-'Aththar al-Dimasyqi (654-724H).

Friday, June 8, 2018

TAHRIR LUGHAT AL-TANBIH (تحرير لغات التنبيه)


Kitab Tahrir Lughat al-Tanbih (تحرير لغات التنبيه ) atau judul lainnya al-Tahrir fi Syarh Alfazh al-Tanbih (التحرير في شرح ألفاظ التنبيه) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi menghuraikan lafaz-lafaz atau istilah-istilah tertentu yang terdapat di dalam kitab al-Tanbih (التنبيه), karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). 

Kitab ini sangat penting bagi para ulama fiqh dan pelajar yang ingin mempelajari dan mendalami kitab al-Tanbih, kerana ia merupakan sebuah kamus istilah fiqh mazhab Syafi’i secara umumnya dan bagi kitab al-Tanbih khususnya.

Kitab ini boleh dibaca secara online di pautan http://shamela.ws/browse.php/book-7043  dan juga boleh dimuat turun edisi fail pdf di  pautan تحرير لغات التنبيه . 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 22, 2018

al-‘Umdah fi Tashhih al-Tanbih (العمدة في تصحيح التنبيه )


Kitab Tashhih al-Tanbih (تصحيح التنبيه) atau judul lengkapnya al-‘Umdah fi Tashhih al-Tanbih  (العمدة في تصحيح التنبيه ), adalah sebuah karya fiqh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab ini disusun berdasarkan kitab al-Tanbih ( التنبيه), iaitu sebuah rujukan fiqh utama dalam Mazhab al-Syafi’i, yang disusun al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). 

Sebagaimana judulnya, kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi mentashih (membetulkan) beberapa kekeliruan yang terdapat dalam kitab al-Tanbih. Di samping itu, Imam al-Nawawi berusaha mentarjih dan menerangkan pendapat yang rajih dan muktamad mengikut mazhab Syafi’i.

Kitab Tashhih Tanbih ini boleh dimuat turun di  COVER - JUZ 1 - JUZ 2 - JUZ 3.

Semoga bermanfaat.

Friday, May 6, 2016

DAQA-IQ AL-MINHAJ (دقائق المنهاج)


Kitab Daqa-iq al-Minhaj (دقائق المنهاج) merupakan sebuah karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), seorang tokoh utama mazhab Syafi’i yang terkenal dengan gelaran al-Nawawi.

Ketika Imam al-Nawawi menyusun kitab Minhaj al-Thalibin  sebagai ringkasan bagi kitab al-Muharrar karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwaini (624H), yang terkenal dengan gelaran al-Rafi’i, beliau juga telah menyusun sebuah kitab lain yang mempunyai kaitan dengan kitab al-Minhaj dan al-Muharrar. Kitab inilah yang beliau berikan judul Daqa-iq al-Minhaj. Perkara ini ada disebutkan sendiri oleh Imam Nawawi dalam muqaddimah kitab Minhaj al-Thalibin-nya.

Sesuai dengan namanya, kitab kecil ini merupakan penjelasan bagi beberapa permasalahan dan istilah yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika penyusunan kitab al-Minhaj. Dalam kitab Daqa-iq al-Minhaj ini, Imam Nawawi menerangkan faedah penambahan atau pengurangan beberapa kalimat yang beliau lakukan  terhadap kandungan kitab Muharrar. Selain itu, Imam Nawawi juga ada menerangkan maksud beberapa lafaz atau perkataan yang terdapat dalam kitab al-Muharrar.

Walaupun kitab ini agak kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun isi kandungannya sangat penting dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i, khususnya dalam memahami isi kandungan kitab Minhaj al-Thalibin dan al-Muharrar. Kitab ini ada diterbitkan oleh Dar Ibn Hazm, Beyrut dalam satu jilid setebal 96 halaman.

Kitab Daqaid al-Minhaj ini telah diberikan huraiannya oleh Imam al-Nawawi sendiri melalui karyanya yang berjudul Durr al-Wahhaj Syarh Daqa-iq al-Minhaj (الدر الوهاج شرح دقائق المنهاج). Selain Imam al-Nawawi, Syaikh Nuruddin Mahmud bin Ahmad bin Muhammad al-Hamdani al-Fayyumi, yang terkenal dengan nama Ibn Khathib al-Dahsyah al-Hamawi (834H) juga ada menyususun sebuah kitab sebagai huraian bagi kitab Daqa-iq al-Minhaj ini..

Kitab Daqaiq al-Minhaj boleh dibaca secara online di pautan;

Semoga bermanfaat.