Friday, August 3, 2012

Kitab al-Tanbih


Kitab al-Tanbih merupakan sebuah rujukan fiqh utama dalam Mazhab al-Syafi’i. Ia merupakan sebuah karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Kitab al-Tanbih disusun sebagai ringkasan kitab al-Ta’liqat karya al-Qadhi Abu Hamid  al-Isfirayini (344-406H). Di mana kitab al-Ta'liqat pula merupakan huraian bagi kitab al-Mukhtashar karya al-Imam al-Muzani (246H)

Di samping kitab al-Tanbih, beliau juga mempunyai sebuah kitab lagi yang masyhur menjadi rujukan utama dalam Mazhab al-Syafi’i, iaitu Kitab al-Muhazzab.

Imam al-Nawawi r.h telah mengkategorikan Kitab al-Tanbih dalam lima kitab rujukan utama mazhab al-Syafi’i, iaitu;
  1. Mukhtashar al-Muzani, karya Abu Ibrahim al-Muzani,
  2. al-Muhazzab,  karya Abu Ishaq al-Syairazi
  3. al-Tanbih, karya Abu Ishaq al-Syairazi,
  4. al-Wasith, karya Abu Hamid al-Ghazali,
  5. al-Wajiz, karya Abu Hamid al-Ghazali.


 Manhaj Penyusunan Kitab al-Tanbih
Kitab al-Tanbih disusun dalam bentuk matan yang ringkas, tetapi meliputi berbagai tajuk penting dalam ilmu fiqh. Secara umumnya Abu Ishaq al-Syirazi telah membahagikan  Matan al-Tanbih kepada beberapa kitab dan bab dalam menghuraikan isi kandungannya. Berikut antara manhaj penyusunan kitab al-Tanbih;
  1. Kandungan al-Tanbih dibahagi kepada 14 Kitab: iaitu al-Thaharah, al-Shalah, al-Jana-iz, al-Zakat, al-Shiyam, al-Haj, al-Buyu’, al-Fara-idh, al-Nikah, al-Aiman, al-Nafaqat, al-Jinayat, al-Aqdhiyah, dan al-Syahadat. Setiap kitab pula mengandungi beberapa buah bab. Manakala setiap bab pula mengandungi beberapa masalah yang berkaitan dibincangkan.
  2. Kandungan al-Tanbih disusun dalam bentuk ringkasan terhadap beberapa masalah utama dalam bab fiqh. Beliau telah menerangkan metod penyusunan al-Tanbih dalam muqaddimahnya: “ Kitab ini merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) dalam usul Mazhab al-Syafi’i r.’a ”.
  3. Setiap perbahasan kandungan al-Tanbih tidak disertakan dengan dalil. Ini merupakan kaedah biasa bagi setiap kitab yang disusun dalam bentuk matan ringkas.
  4. Tidak disebutkan pengertian setiap bab dengan pengertian dari sudut istilahnya.
  5. Dalam beberapa masalah yang dibincangkan, penyusun kadangkala menyebutkan beberapa pendapat ulama, namun beliau tidak menyebutkan nama ulama tersebut.
  6. Penyusun ada menshahihkan beberapa pendapat ulama dalam beberapa masalah, namun ia sangat sedikit sahaja.

Kitab-kitab yang disusun berkaitan dengan kitab al-Tanbih.

Para ulama selepas Abu Ishaq al-Syirazi telah menyusun beberapa buah kitab yang berkaitan dengan Matan al-Tanbih sama ada berbentuk huraian (syarah), ringkasan (mukhtashar), nadzam, nukat, tashhih, ta’liqah dan tahrir. Berikut antara kitab-kitab tersebut, yang disusun mengikut susunan tahun wafat pengarangnya.  

Syarah kitab al-Tanbih:

1. Tawjih al-Tanbih, sebuah syarah yang ringkas - karya al-Imam Abu al-Hasan Muhammad bin Mubarak Muhammad al-‘Ukbari, yang terkenal dengan ‘ Ibn al-Khall al-Syafi’i  (552H).

2.  Syarh al-Imam Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Imam Musa bin Yunus al-Mawshuli (622H).

3.  al-Mudhih,  Syarh  Shayin al-Din ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Karim al-Jili (632H).

4. Syarh al-Hafidz  Zakiy al-Din ‘Abdul ‘Adzim bin ‘Abdul Qawiy al-Munziri al-Syafi’i (656H).


5. Syarh Nashir al-Din Abdullah bin ‘Umar al-Syirazi (685H). Beliau telah mensyarahkannya dalam 3 jilid yang agak tebal.


6.  al-Isyraq fi Syarh Tanbih Abi Ishaq, karya al-Imam Kamal al-Din Ahmad bin ‘Isa bin Ridhwan al-‘Asqalani (689H), yang terkenal dengan nama ‘ al-Qalyubi ’. Beliau mensyarahkannya dalam 12 jilid.

7.  Syarh al-Imam Muhib al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad bin ‘Abdullah al-Thabari al-Makkiy (694H).

8.  al-Iqlid li Dar-i al-Taqlid, karya al-Imam Taj al-Din Abdul Rahman bin Ibrahim (690H), yang terkenal dengan ‘ al-Farkah al-Syafi’i  ’. Beliau tidak sempat menyempurnakan syarahnya.

9. Syarh al-Imam ‘Alam al-Din Abdul Karim bi ‘Ali al-‘Iraaqi al-Syafi’i (704H).


10.  Kifayah al-Nabih,  karya al-Imam Najm al-Din Ahmad bin Muhammad bi ‘Aliy, yang terkenal dengan ‘ Ibn al-Rif’ah ’  (710H).

11.  Syarh Muhammad bin Abi Manshur bin ‘Abdul Mun’im bin Hasan al-Syaibi (720H).

12. Tuhfah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih,  karya al-Syeikh Majd al-Din bin Isma’il bin ‘Abdul ‘Aziz al-Sankalumi al-Syafi’i  (740H).


13.  Syarh Dhiya-u al-Din Muhammad bin Ibrahim al-Munawi (746H).

14. Syarh ‘Alaa-u al-Din ‘Aliy bin Abdul Kafiy al-Subki (747H).


15. al-Kifayah Syarh al-Tanbih, karya al-Imam Abu Hafsh ‘Umar bi Aliy bi al-Mulqan al-Syafi’i (804H).


16.  Syarh al-Qadhiy Taqiy al-Din Abu Bakr bin Ahmad, yang terkenal dengan ‘ Qadhiy Syahbah al-Syafi’i al-Dimasyqi ’ (851H).


17.  al-Wafiy Syarh al-Tanbih, karya al-Imam Jalal al-Din Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H). Beliau tidak sempat menyempurnakan syarahnya.


18. Irsyad al-Faqih ila Ma'rifah Adillah al-Tanbih, karya al-Imam 'Imad al-Din Ibn Katsir.


Kitab Mukhtashar / Ringkasan Tanbih
1. al-Nabih fi Ikhtishar al-Tanbih, karya Taj al-Din Abdul Rahim bin Muhammad al-Mawshuli (761H).


2.  Mukhtashar Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad al-Mahalli (864H).

3. Maslak al-Nabih fi Talkhis al-Tanbih, karya al-Imam Muhib al-Din Abu al-‘Abbas Ahmad al-Thabari (694H),


4.  al-Lubab, karya Abu al-Farj Mufdhal bin Mas’ud al-Tanukhi.

5. Mukhtashar  Syaraf al-Din Abu al-Qasim Hibatullah bin Abdul Rahim al-Baruzi al-Hamawi al-Syafi’I ( 738H).


Kitab Nazham  bagi Kitab al-Tanbih;

1. Nazham Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Abu Zuwid  al-Syaibani al-Yamani.


2.  Nazham Ja’far bi Ahmad bin al-Siraj (500H)


3.  Nazham Sa’id al-Din Abdul Aziz bin Ahmad al-Diriy (697H).

4.  Nazham Dhiya-u al-Din ‘Aliy bin Salim al-Azra-iI (731H),


5.  al-Rawdh al-Nazih fi Nuzhum al-Tanbih , karya Syihab al-Din Ahmad bin Saif al-Din al-Dzahiri (753H)

6. Nazham Abdul Aziz bin Ahmad bin Sa’id al-Damiri (694H).


Nukat bagi Kitab al-Tanbih;
1.  Nukat Muhammad bin Ismail bin Ali al-Faqih , yang terkenal dengan ‘ Ibn Abu al-Saif ‘ (609H).

2. Nukat ‘ala al-Tanbih, karya al-Imam Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).


3.  Nukat Sughra / Nukat Kubra, karya Muhib al-Din Ahmad bin Abdullah al-Thabari (694H).


4. Nukat Kamal al-Din Ahmad bin Umar bin Ahmad al-Nasyani  al-Qahiri (757H).

Tashhih bagi al-Tanbih:
  1. al-‘Umdah fi Tashhih al-Tanbih, karya al-Imam al-Nawawi.
  2. Irsyad al-Nabih ila Tashhih al-Tanbih, karya al-Imam Abu Hafsh ‘Umar bin ‘Aliy bin al-Mulqan al-Syafi’I (804H).
  3. Tashhih Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Bami al-Qahiri al-Mishri (885H).

Ta’liqat bagi al-Tanbih:

  1. al-Iqlid, karya Burhan al-Din Ibrahim Ibrahim bin Abdul Rahman bin Ibrahim bin Siba’ al-Fazari al-Mishri (729H).
  2. Ta’liqah ‘Abdul Mun’im bin Ahmad bin Abu Bakr al-Anshari al-Mishri (695H).

Tahrir bagi Alfadz al-Tanbih;
  1. Tahrir Alfadz al-Tanbih, karya al-Imam Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Link download Kitab al-Tanbih: http://www.archive.org/download/al_t…al_tanbeeh.pdf

No comments:

Post a Comment