Monday, August 6, 2012

al-Anwar li A'mal al-Abrar


Kitab al-Anwar li A’mal al-Abrar adalah karya al-Imam al-'Allamah Syaikh Jamal al-Din Yusuf bin Ibrahim al-Ardabili (779H). 

Penyusunan kitab al-Anwar berdasarkan beberapa kitab fiqh mazhab Syafi’i yang muktabar dan sering menjadi rujukan para ulama, antaranya; a) Kitab al-Syarh al-Kabir[1], al-Syarh al-Shaghir dan al-Muharrar[2] karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwaini (624H). b) Kitab Rawdhah al-Thalibin karya Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), c)   Kitab al-Hawi al-Shaghir karya al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini (665H), d)   Kitab al-Tahzib dan al-Fatawa karya Imam Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (516H).

Menurut pengarang, kitab beliau ini mengandungi isu-isu fiqh penting yang sentiasa berlaku di kalangan orang ramai namun ianya tidak disentuh dalam kitab-kitab yang muktabar tersebut. Kitab ini tersebar luas di kebanyakan tempat dan mendapat penerimaan yang baik oleh pengikut-pengikut mazhab Syafi‘i untuk dipelajari. Fatwa-fatwa yang terkandung di dalamnya menjadi rujukan para ulama terkemudian dan disebutkan dalam karya-karya mereka.

Kitab ini telah mendapat perhatian para ulama dan telah diberikan huraian, komentar dan ringkasan. Terdapat dua kitab yang disusun sebagai komentar (hasyiah) yang telah dicetak, iaitu Hasyiah al-Kummathra dan Hasyiah al-Hajj Ibrahim.

Kitab al-Anwar ini juga ada diringkaskan oleh Jamaluddin Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Fadhl al-Hadhrami dengan karya yang berjudul Nur al-Abshar Mukhtashar al-Anwar. Kandungan kitab al-Anwar  juga telah disusun kembali dengan beberapa tambahan (al-Zawa-id) oleh Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Muhammad al-Yamani dengan kitabnya Anwar al-Anwar.

Kitab al-Anwar ini boleh didownload di pautan berikut:
Semoga bermanfaat.



[1] Ia juga dikenali dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz. Di mana ia merupakan kitab syarah (huraian) bagi kitab al-Wajiz  karya Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (505H). Kitab ini telah diringkaskan oleh Imam al-Nawawi melalui kitabnya Rawdhah al-Thalibin  dan al-‘Allamah Abdul Ghaffar al-Qazwaini  melalui kitabnya al-Hawi al-Shaghir.

[2] Ia adalah ringkasan bagi kitab al-Wajiz karya al-Ghazali. Kitab al-Muharrar kemudian telah diringkaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Thalibin dengan beberapa tambahan. al-Qadhi Syihabuddin Ahmad bin Yusof al-Sanadi (895H) telah menghurai (syarah) kitab al-Muharrar dalam karyanya Kashf al-Durar  fi Syarh al-Muharrar.

2 comments:

  1. Assalamualaikum..saya mau tanya, ini dapet biografinya darimana ya? Soalnya saya sedang mencari biografi pengarang kitab tsb..

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam warahmatullah. Saya sendiri belum mendapat biografi pengarangnya. Catatan ringkas kitab ini, saya hanya petik dari kitabnya yang boleh di"download" di pautan di atas. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini.

    ReplyDelete