Saturday, May 28, 2016

Ghayah al-Murtaja Syarh Safinah al-Naja


Buku yang ingin dibicarakan secara ringkas dalam catatan ini adalah sebuah karya Shahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, - kini Mufti Wilayah Persekutuan - yang berjudul “ Ghayah al-Murtaja Syarh Safinah al-Naja ”  (غاية المرتحى شرح سفينة النجا) dengan judul Melayunya “Penghujung untuk Orang-Orang yang Berharap Syarah kepada (kitab) Bahtera Penyelamat'.

Buku karya Datuk Dr Zulkifi Mohamad Al-Bakri ini merupakan sebuah buku terjemahan, yang disertakan huraian dalam Bahasa Melayu bagi kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا), karya al-‘Allamah Syeikh Salim bin Abdullah bin Saad bin Abdullah bin Sumair al-Hadhrami al-Syafi'i (1271H).

Buku ini mempersembahkan huraian sebuah kitab ringkas berkenaan dasar-dasar asas ilmu fiqh berdasarkan pandangan Mazhab Syafi'i. Seiring dengan kesedaran agama semasa, buku ini begitu solid (padat) dan mudah, serta secara langsung membincangkan kesimpulan hukum fiqh tanpa menyertakan dalil dan dasar penetapan hukum dengan begitu panjang lebar dan memberatkan. Disebabkan itu, ia begitu sesuai untuk rujukan pantas dan segera para pelajar dan orang-orang yang baru ingin mengenali Islam.

Buku ringkas ini mencakupi panduan lengkap mengenai asas akidah dan beberapa perbahasan fiqh ibadat. Sebagaimana kitab asalnya,  perbincangan dalam buku ini hanya merangkumi beberapa tajuk asas  yang dibahagikan kepada 5 bahagian, iaitu;

        a)     Bahagian 1: Akidah 
        b)     Bahagian 2: Taharah
        c)      Bahagian 3: Solat
        d)     Bahagian 4: Pengurusan Jenazah
        e)     Bahagian 5: Zakat

Buku setebal 256 halaman ini, telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada awal tahun 2016 oleh PTS Publishing House. Untuk membeli buku ini, pembaca boleh layari web site penerbitnya http://pts.com.my/buku/bahtera-penyelamat/.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, May 25, 2016

al-Miftah fi al-Fiqh al-Syafi’i


Kitab al-Miftah fi al-Fiqh al-Syafi’i (المفتاح في الفقه الشافعي) adalah antara karya fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang disusun oleh al-Imam al-Qadhi Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Abu Ahmad al-Thabari al-Baghdadi al-Syafi’i (335H/946M), yang  terkenal dengan gelaran Ibn al-Qash. Beliau merupakan seorang tokoh utama mazhab Syafi’i pada zamannya, di mana para ulama mazhab Syafi’i telah memasukkan beliau dalam kategori para Mujtahid al-Muqayyad atau Ashab al-Wujuh, iaitu martabat yang ketiga dalam susunan para ulama mazhab.

Kitab al-Miftah adalah antara karya Ibn al-Qash yang terkenal dalam bidang fiqh Syafi’i selepas karya beliau yang berjudul al-Talkhish (التلخيض)Kitab ini telah mendapat perhatian dan rujukan  para ulama terkemudian. Di antara ulama yang telah menghuraikan kitab al-Miftah ialah;

a)   al-Qadhi Abu ‘Ali, al-Hasan bin Muhammad bin al-‘Abbas al-Zujaji al-Thabari (447H), melalui kitabnya yang berjudul  Ziyadat al-Miftah  atau juga dikenali dengan judul al-Tahzib. Beliau adalah murid kepada Ibn al-Qash.

b)      Abu Mansur Abdul Qahhir bin Thahir bin Muhammad al-Baghdadi (429H).

c)       Abu al-Khair al-Maqdisi, Salamah bin Ismail bin Jama’ah (480H).

d)      Muhammad bin Abdul Malik bin Khalaf, Abu Khalaf al-Sulma al-Thabari (470H).

Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab al-Miftah karya Ibn al-Qash ini. Saya belum mendapat maklumat mengenai kewujudan manuskrip atau versi cetakan bagi karya ini. Semoga bermanfaat.

Friday, May 6, 2016

Daqa-iq al-Minhaj


Kitab Daqa-iq al-Minhaj (دقائق المنهاج) merupakan sebuah karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), seorang tokoh utama mazhab Syafi’i yang terkenal dengan gelaran al-Nawawi.

Ketika Imam al-Nawawi menyusun kitab Minhaj al-Thalibin  sebagai ringkasan bagi kitab al-Muharrar karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwaini (624H), yang terkenal dengan gelaran al-Rafi’i, beliau juga telah menyusun sebuah kitab lain yang mempunyai kaitan dengan kitab al-Minhaj dan al-Muharrar. Kitab inilah yang beliau berikan judul Daqa-iq al-Minhaj. Perkara ini ada disebutkan sendiri oleh Imam Nawawi dalam muqaddimah kitab Minhaj al-Thalibin-nya.

Sesuai dengan namanya, kitab kecil ini merupakan penjelasan bagi beberapa permasalahan dan istilah yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika penyusunan kitab al-Minhaj. Dalam kitab Daqa-iq al-Minhaj ini, Imam Nawawi menerangkan faedah penambahan atau pengurangan beberapa kalimat yang beliau lakukan  terhadap kandungan kitab Muharrar. Selain itu, Imam Nawawi juga ada menerangkan maksud beberapa lafaz atau perkataan yang terdapat dalam kitab al-Muharrar.

Walaupun kitab ini agak kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun isi kandungannya sangat penting dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i, khususnya dalam memahami isi kandungan kitab Minhaj al-Thalibin dan al-Muharrar. Kitab ini ada diterbitkan oleh Dar Ibn Hazm, Beyrut dalam satu jilid setebal 96 halaman.

Kitab Daqaid al-Minhaj ini telah diberikan huraiannya oleh Imam al-Nawawi sendiri melalui karyanya yang berjudul Durr al-Wahhaj Syarh Daqa-iq al-Minhaj (الدر الوهاج شرح دقائق المنهاج). Selain Imam al-Nawawi, Syaikh Nuruddin Mahmud bin Ahmad bin Muhammad al-Hamdani al-Fayyumi, yang terkenal dengan nama Ibn Khathib al-Dahsyah al-Hamawi (834H) juga ada menyususun sebuah kitab sebagai huraian bagi kitab Daqa-iq al-Minhaj ini..

Kitab Daqaiq al-Minhaj boleh dibaca secara online di pautan;

Semoga bermanfaat.