Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Sunday, March 4, 2018

NUR AL-YAQIN FI SIRAH SAYYID AL-MURSALIN


Kitab Nur al-Yaqin Fi Sirah Sayyid al-Mursalin (نور اليقين فى سيرة سيد المرسلينadalah sebuah karya al-Marhum Syaikh Muhammad bin ‘Afifi al-Khudhari al-Bajuri (1872-1927 M / 1289-1345 H) seorang ulama berasal dari negara Mesir.  Beliau terkenal dengan nama Syaikh Muhammad Khudhari Bek.

Kitab Nur al-Yaqin ini adalah sebuah karya dalam bidang sirah yang membicarakan secara khusus mengenai riwayat hidup Rasulullah saw dari masa kelahiran hingga hari kewafatannya. Kitab ini adalah antara karya sirah Rasulullah saw  yang ringkas, tetapi padat dan lengkap dengan fakta-fakta sejarah dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang kehidupan Rasulullah saw.

Di antara sumber rujukan utama kitab Nur al-Yaqin ialah; al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mushthafa atau al-Syifa fi Syaraf al-Mushthafa, karya Imam al-Qadhi Abu al-Fadhl ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh al-Andalusi al-Maliki (476-544H), Mawahib al-Laduniyyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah dan Sirah al-Halabiyyah. Dua buku yang terakhir ini adalah karya Imam Ahmad bin Muhammad bin Abu Bakar al-Qasthalani(851-923H).


Ringkasan kitab Nur al-Yaqin

Kitab ini telah diringkas  oleh Syaikh ‘Umar bin Yahya Abdul Jabbar[1]  (1320-1391H) melalui karya beliau yang berjudul Khulashah Nur al-Yaqin fi Sirah Sayyid al-Mursalin (خلاصة نور اليقين في سيرة سيد المرسلين). Syaikh ‘Umar bin Yahya Abdul Jabbar adalah seorang ulama yang berasal dari Makkah, Arab Saudi. Beliau aktif dalam bidang penulisan dengan penyusunan buku-buku teks di peringkat sekolah menengah dan rendah di Arab Saudi pada zamannya. Beliau pernah menabur baktinya dalam bidang pendidikan di Indonesia. Kitab Khulashah Nur al-Yaqin yang diterbitkan dalam 2 jilid ini adalah antara karya yang disusun sebagai buku teks  peringkat rendah untuk kegunaan di sekolah-sekolah agama di Indonesia.

Sehingga sekarang kitab ini masih digunakan diajarkan di pesantren dan madrasah diniyyah di Indonesia. Kitab ini masih ada dijual di kedai-kedai buku agama di Indonesia dan Malaysia.  Di antara karya-karya beliau yang lain yang disusun sebagai buku teks ialah al-Mabadi’ al-Fiqhiyyah ‘ala Madzhab al-Imam al-Syafi’i” (4 juz), Taqrib al-Fiqh al-Syafi’i dan Khulashah Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa’[2].

Kitab Nur al-Yaqin dan Khulashah Nur al-Yaqin ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia oleh beberapa syarikat penerbitan.

Kitab Nur al-Yakin (Arab) boleh dimuat turun melalui pautan;

Semoga bermanfaat.



[2] Kitab Khulashah Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa’ juga merupakan ringkasan bagi karya Syaikh Muhammad al-Khudari.

Tuesday, February 20, 2018

NUR AL-'UYUN FI TALKHISH SIRAH AL-AMIN AL-MAKNUN


Kitab Nur al-‘Uyun fi Talkhish Sirah al-Amin al-Makmun saw (نور العيون في تلخيص سيرة الأمين المأمون صلى الله عليه وسلم) adalah sebuah karya al-Imam al-Hafizh Fath al-Din  Abu al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Sayyid al-Nas al-Ya’muri al-Raba’i (671-734H), dalam bidang sirah -  yang menerangkan secara ringkas mengenai riwayat hidup, sifat, akhlak, mukjizat dan keluarga  serta para sahabat Nabi Muhammad saw.

Ulama yang terkenal dengan gelaran Ibnu Sayyidul Nas ini, telah menyusun kitab Nur al-‘Uyun ini sebagai ringkasan bagi karya beliau  yang lain, yang berjudul ‘Uyun al-Atsar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama-il wa al-Siyar (عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسير).

Berkata Imam Sayyidul Nas dalam muqaddimah kitab Nur ‘Uyun;

 فلما وضعت كتابي المسمّى عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسيـر ممتعًا في بابه، مغنيًا عما سواه لقاصدي هذا العلم وطلابه .. رأيت أن ألخص في هذه الأوراق منه ما قرب مأخذه ونقله، وسهل تناوله وحمله، ليكون للمبتدى تبصرة، وللمنتهي تذكرة

Maka tatkala setelah aku menyusun kitabku yang berjudul   عيون الأثر في فنون المغازي والشمائل والسيـر  yang amat enak dibaca berkenaan babnya (iaitu mengenai ilmu Sirah) sehinggakan orang yang menbacanya tidak memerlukan kepada kitab yang lain, terutama kepada para pengkaji dan para penuntut ilmu sirah ini. Sehingga aku berpandangan patut aku meringkaskannya dalam lembaran-lembaran ini bagi memudahkan orang memahami dan menukilkan ilmu sirah ini. Semoga ia dapat dijadikan sebagai petunjuk bagi mereka yang masih di peringkat permulaan dan sebagai peringatan bagi mereka yang berada di peringkat tinggi ”.

Terjemahan kitab ini…

Terdapat sebuah karya terjemahan dalam Bahasa Melayu  yang saya temui setakat ini.  Karya terjemahan ini berjudul “ Ibraz al-Sirr al-Maknun bi Tarjamah Kitab Nur al-‘Uyun fi Talkhish Sirah al-Amin al-Makmun ”.  Karya terjemahan ini telah disusun oleh  Ahmad Faiz bin Mohd Khalil Al Asmuniy Al Azhariy.

Buku ini diterbitkan oleh Pusat Pemikiran Turath Al-Mustanir, Bangi Selangor, dengan cetakan pertama pada tahun 2017.  Di antara keistimewaan edisi terjemahan buku setebal 118 halaman ini ialah dipaparkan dahulu petikan teks asal kitab Nur al-‘Uyun, kemudian didatangkan terjemahannya.

Kitab asal (Arab) Nur al-‘Uyun boleh dimuat turun di pautan berikut;



Biodata  Imam Ibn Sayyid al-Nas boleh dibaca di pautan  ar.wikipedia.org   

Semoga bermanfaat.  

Friday, September 20, 2013

Zaad al-Ma'ad fi Hady Khair al-'Ibad


Kitab Zaad al-Ma’ad (زاد المعاد)  atau judul panjangnya Zaad al-Ma’ad fi Hady  Khair al-‘Ibad (زاد المعاد في هدي خير العباد) adalah antara karya al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H). Diriwayatkan bahawa Ibn al-Qayyim menyusun kitab ini ketika beliau bermusafir sambil duduk atau menunggang di atas untanya.
Kandungan kitab Zaad al-Ma’ad….
 
Secara asasnya, melalui kitab ini, penulis (Ibn al-Qayyim) membentangkan perjalanan sejarah Nabi Muhammad saw. Tetapi dalam masa yang sama, penulis turut memasukkan aspek-aspek perbahasan ‘aqidah, hadis, dan fiqh yang sangat bermanfaat. Penulis memulakan kitabnya dengan keutamaan diutusnya Rasulullah saw kepada para manusia. Kemudian diikuti dengan latar-belakang Rasulullah saw dan keluarganya, ibu susuannya, penjaganya dan fasa dakwah baginda. Kemudian penjelasan tentang sikap dan karektor Rasulullah saw.
 
Setelah itu, penulis mengetengahkan pula petunjuk-petunjuk beliau saw, bermula dari persoalan berpakaian dan tatacara bermu’amalah. Petunjuk baginda saw ketika berwudhu, solat, bermula dari takbir sehinggalah salam. Kemudian diteruskan kepada solat jumaat, solat kusuf, solat istisqaa’, sehinggalah kepada solat ketika musafir serta yang selainnya.
 
Sebenarnya, kitab ini merangkumi berbagai persoalan agama, dari yang asas dan umum sampailah pada hal-hal yang rinci dan mendasar. Kitab ini membawakan kepada kita persoalan sejarah dan perjalanan hidup Nabi saw bersama-sama para sahabatnya, yang mana ketika membentangkan rentetan sejarah tersebut, penulis membentangkan sama persoalan wahyu, persoalan iman dan tauhid, persoalan bersuci, persoalan solat, ibadah (seperti puasa, haji, zakat, i’tikaf, zikir), ziarah kubur, persoalan wanita, mu’amalah terhadap orang-orang kafir, jihad, kisah-kisah peperangan di zaman beliau, adab-adab seorang muslim, persoalan sihir, perubatan yang terdapat di dalam al-Qur’an dan hadis (al-Thib al-Nabawi), dan sebagainya yang mana di dalamnya terhimpun berbagai faedah ilmu agama yang sangat bermanfaat.
 
Memiliki dan membaca kitab ini adalah suatu perkara yang sangat penting bagi setiap Muslim. Kerana, para pembaca akan menemui pelbagai perkara penting yang amat diperlukan oleh setiap insan, dari seorang tokoh ikutan Muhammad saw, yang mungkin tidak diperolehi oleh para pembaca dari buku-buku lainnya secara terperinci. Buku ini membahaskan persoalan sejarah (sirah), fiqh, dan ‘aqidah dalam satu waktu yang sama, dalam sebuah rangkaian buku.
 
 
Sebahagian nukilan mukaddimah pentahqiq…. 
 
Berikut dibawakan nukilan mukaddimah Syaikh Syu’aib al-Arnauth & ‘Abdul Qadir  al-Arnauth, pentahqiq kitab Zaad al-Ma’ad;
 
“……….Di antara perkara yang tidak diperselisihkan di kalangan kaum muslimin adalah bahawa Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah penutup para nabi, imam para rasul, dan hujjah Allah atas semua ciptaan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutusnya membawa agama yang sempurna serta jalan yang lurus, dan menjadikan risalahnya menyeluruh untuk seluruh manusia sampai hari akhirat.
 
Allah menegakkan dengannya millah yang menyimpang, membuka dengan petunjuknya mata-mata yang buta, telinga-telinga yang tuli, dan hati-hati yang terkunci. Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi petunjuk dengannya manusia yang tersesat kepada laluan yang sempurna, jalan yang terang, dan manhaj yang baik. Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkan kepada para hamba agar mentaati, menghormati, dan mencintainya. Meneladani petunjuk serta mengikuti sunnahnya. Lalu kemudian, kekuatan, kemenangan, kekuasaan, dan keutuhan di muka bumi ditetapkan bagi mereka yang mengikuti petunjuknya serta menapaki langkahnya. Kemudian kehinaan, kerendahan, pengabaian, kesengsaraan, kelemahan, dan kehinaan ditetapkan bagi mereka yang menyelisihi urusannya serta menderhakainya.
 
Sesungguhnya ma’rifat (pengetahuan) peribadatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan pengamalan agama yang diturunkan-Nya untuk kemaslahatan para hamba di dunia dan akhirat, adalah sangat bergantung kepada pengetahuan Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa Sallam. Demikian cara pengamalannya, di mana beliau menjelaskan padanya syari’at Allah Subhanahu wa Ta’ala sejak awal wahyu turun kepadanya hingga Allah Subhanahu wa Ta’ala menyempurnakan agama ini.
 
Sementara itu, kitab-kitab Sunnah, Maghazi (peperangan), sejarah, dan Syama’il (keperibadian), telah memuatkan perkataan-perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, perbuatan, dan sifat-sifatnya, sejak awal pertumbuhannya hingga Allah Subhanahu wa Ta’ala memilihnya untuk kembali kepada-Nya. Terutama sekali masa-masa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan risalah, tidak satu pun perkara dan urusannya sama ada kecil ataupun besar, melainkan telah dirangkum oleh kitab-kitab dalam kelas tersebut.
 
Sampailah kita akan dapati di dalam kitab-kitab tersebut sifat-sifat baginda saat berdiri, duduk, bangkit atau bangun dari tidur, serta keadaannya saat tertawa atau tersenyum. Ibadah baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tatkala malam ataupun siang, kemudian apa yang beliau pakai, bagaimana saat beliau berbicara, saat bertemu manusia, warna apa kegemaran beliau, serta apa hiasan dan keperibadian baginda. Tidak berlebihan apabila kami katakan bahawa sesungguhnya tidak ada di dunia ini seorang manusia sempurna, diulas oleh sejarah tentang perjalanan hidupnya secara terperinci, sebagaimana diulasnya kehidupan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, penutup para Nabi.
 
Kemudian, di antara kitab yang paling lengkap dalam bidang ini adalah kitab Zaadul Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, karya Al-Imam Ibn al-Qayyim. Seorang penulis yang cerdas, memiliki ilmu yang luas, pandangan yang tajam, sangat mampan penguasaan ilmu-ilmu Islam sama ada ushul-ushulnya mahupun cabang-cabangnya secara terperinci mahupun garis umum.
 
Beliau rahimahullah telah merangkum melalui kitabnya ini, petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam urusan-urusannya yang umum mahupun yang khusus. Ibn al-Qayyim membahas secara lengkap fasa-fasa kehidupan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, peristiwa-peristiwa yang mengirinya, dan perkara-perkara yang patut bagi setiap muslim untuk menelitinya baik-baik dan memahami persoalannya. Sama seperti kebiasaan penulis (Ibn al-Qayyim) di setiap karyanya, beliau menampilkan karekteristik khusus berupa kualiti dan kesempurnaan; merangkum kandungan perbahasan dari setiap sisi dan tidak meninggalkan ruang bagi para pembahas setelahnya untuk mengatakan sesuatu.
 
Setiap orang yang membaca karya-karya Ibn al-Qayyim dengan teliti dan penuh kepekaan, nescaya dia akan mengetahui dengan sebenar-benarnya bahawa beliau rahimahullah telah mengumpulkan ilmu-ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah, menguasai perkataan-perkataan salaf (ulama terdahulu), pendapat-pendapat mazhab, dan hujah-hujah mereka, sama ada dari segi hafalan ataupun pemahaman. Di mana kita tidak mengetahui yang sepertinya pada kebanyakan ulama sebelumnya mahupun yang datang sesudahnya.
 
Beliau sangat berkomitmen besar terhadap hadis-hadis yang terbukti sahih berasal dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Berpegang teguh padanya dan mengamalkan segala indikasi serta kesan hasilnya. Lalu mencampakkan apa-apa yang selainnya (yang bertentangan). Beliau tidak mahu berpegang pada perkataan seseorang, tidak peduli siapapun dia, selama perkataan tersebut menyelisihi hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau orang tersebut mentakwilkan hadis bukan sebagaimana maksudnya. Walaupun beliau banyak menelusuri jalan gurunya, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, banyak mengambil ijtihad-ijtihad Ibnu Taimiyah, namun beliau (Ibnu al-Qayyim) lebih lembut dan toleransi terhadap orang-orang yang menyelisihinya.
 
Dan di antara hal yang menakjubkan tentang beliau dan kitab ini (Zaad al-Ma’ad), adalah bahawa beliau menulis kitabnya ini ketika sedang safar (dalam suatu perjalanan). Tidak ada di sisinya rujukan-rujukan tempat untuk menukil apa-apa yang diperlukan, sama ada berita-berita mahupun atsar-atsar yang berkaitan dengan tema yang beliau bahaskan (di buku beliau ini). Walaupun demikian, menjadi suatu yang amat mengkagumkan adalah beliau telah memuatkan di dalamnya sejumlah besar hadis-hadis (sama ada berupa perkataan mahupun perbuatan) berkaitan dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mana hadis-hadis tersebut tersebar di kitab-kitab Shahih, Sunan, Musnad, Mu’jam, dan Siyar. Beliau rahimahullah mencantumkan setiap hadis pada tema yang menjadi kekhususannya.
 
Semua ini merupakan bukti akan keluasan ilmunya, bagusnya hafalan beliau, dan ketajaman pandangannya. Mungkin kehairanan ini akan segera terungkap jika berita-berita yang sampai kepada kita terbukti benar, di mana Ibnul Qayyim memang menghafal Musnad Imam Ahmad yang memuatkan lebih dari 300 ribu hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam……..”
 
 
Terjemahan kitab ini….
 
Edisi terjemahan lengkap kitab ini dalam bahasa Indonesia telah diterbitkan Griya Ilmu Indonesia dengan judul Zaadul Ma’ad Bekal Perjalanan Akhirat, dalam 7 jilid. Terjemahan ini berdasarkan edisi ‘Arab yang telah disemak dan diteliti  oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth dan ‘Abdul Qadir al-Arnauth.
 
 
Ringkasan kitab ini…
 
Kitab ini telah diringkaskan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab al-Tamimi dengan judul Mukhtashar Zaad al-Ma’ad. Kitab ini juga ada terjemahan dalam bahasa Melayu dan Indonesia dan dterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan.
 
Kitab  Zaad al-Ma’ad ini boleh didownload di pautan berikut;
 
Baca secara online;

Semoga bermanfaat.

Saturday, March 23, 2013

Siyar al-A'lam al-Nubala'

 
Kitab Siyar al-A’lam al-Nubala merupakan karya al-Imam al-Hafiz Syamsuddin al-Zahabi (673-748H). Kitab ini menghimpunkan biografi para sahabat Nabi s.a.w., tabiin, tabiut tabiin, ulama, sasterawan dan seumpamanya. Kitab ini sangat berguna bagi sesiapa yang ingin mendalami dan membaca kisah hidup orang-orang dan tokoh-tokoh Islam terkenal dalam bidang masing-masing. Ia merupakan sebuah kitab sirah sangat bernilai, lengkap dengan pelbagai bentuk disiplin ilmu, dan lambakkan maklumat, yang tidak hanya terbatas pada satu fasa generasi atau masa, tetapi mencakupi awal mula kemunculan Islam sehingga abad ke-tujuh Hijriyah. Inforrnasi-informasi yang dimuatkan di dalamnya juga mencakup sekitar maklumat kota-kota Islam pada pada zaman kegemilangannya.
 
Selain itu, kitab ini cukup penting sebagai bahan rujukan ilmiyah untuk dan mampu memenuhi keperluan para sejarawan, ahli jarh dan ta'dil (salah satu cabang disiplin ilmu hadis yang membahaskan tentang sisi keadilan, kedhabitan dan cacat yang dimiliki oleh setiap individu yang meriwayatkan hadis serta para penelitinya), informasi tentang semangat dan perhatian generasi Islam terdahulu dalam menuntut ilmu, berdakwah, serta beribadah. Begitu pula informasi tentang tokoh-tokoh umat Islam, kilasan tentang keadaan dan ibadah mereka, yang diperlukan oleh mereka yang ingin mendapatkan gambaran tentang kehidupan generasi Islam pada masa sekarang dan akan datang. Peringatan berkaitan kesan yang diterima oleh orang-orang zalim, sombong, melampaui batas, ahli bid'ah, fasiq, dan ahli maksiat, sehingga generasi manusia pada masa ini dapat lebih berhati-hati turut terangkum di dalamnya. Muatan kisah-kisahnya yang indah dan penting berupaya menjadi bahan cerita alternatif untuk menggantikan kedudukan berita dan informasi yang tidak mendidik, yang disumbatkan/dipaksakan oleh mereka yang menginginkan generasi umat Islam rosak. Selain itu, terdapat sejumlah kaedah-kaedah agama, kemuliaan tauhid, perilaku, dan perhubungan sosial yang menyejukkan hati juga dimuatkan di sini. Perkara tersebut dikemukakan oleh al-Zahabi di sela-sela pembentangannya terhadap biografi seseorang tokoh. 
 
 
Kelebihan Kitab Siyar A'lam An-Nubala; 
 
a)   Ketelitian penulis. Beliau (rahimahullah) tidak hanya membentangkan biografi orang yang ditulis, tetapi juga disertakan dengan komentar jika menurutnya adalah perlu, iaitu dengan melakukan semakkan secara sempurna terhadap cerita yang dipaparkannya, sama ada dengan menyebutkan sisi kekurangannya mahu pun menjelaskan kelebihannya jika orang-orang pada umumnya menganggapnya buruk, atau berpandangan lain sekiranya diperlukan, atau mengkritik perilakunya dengan kritikan yang berpandukan kdpada syari'at. Kemudian beliau berusaha mengeluarkan kesimpulan secara umum terhadap individu yang ditulis biografinya tersebut, disertai dengan ketelitian. Ketelitian dalam menilai keperibadian manusia ini, memberikan cahaya terang yang dapat diambil manfaatnya oleh kebangkitan Islam, iaitu kebangkitan yang hampir memberikan hasilnya jika tidak dikotori oleh ulah sebahagian kelompok yang memiliki pandangan tersasar, yang menuduh para ulama dan da'i sebagai orang-orang fasik, ahli bid'ah, berpaling dari madzhab salaf, tidak berhati-hati dalam menilai orang lain, dan tidak takut kepada Allah ketika berprasangka buruk terhadap orang lain. Ada juga orang yang tidak mampu hidup melainkan dengan mencela orang yang tidak sama dengannya, melupakan kebaikannya, dan menyembunyikannya. Orang-orang seperti itulah yang disangkal secara tegas oleh Imam al-Zahabi, yang akan anda lihat/perhatikan di sela-sela pembentangan buku ini secara jelas. InsyaAllah. Adanya kajian kritis dalam kitab ini. al-Zahabi tidak membiarkan peristiwa sejarah berjalan tanpa kritikan sekiranya menurutnya ia perlu diberi kritikkan dan penjelasan. Oleh karena itu, anda melihat beliau terkadang menolak peristiwa yang dinilainya mungkar atau memperbaiki (memberi pencerahan) terhadap peristiwa yang masih samar-samar atau mendukung pendapat penulis lain atau menjelaskan pendapatnya di dalam masalah tertentu yang perlu diberi perincian, penjelasan, dan seumpamanya. Metode kritis seperti inilah yang sering ditinggalkan oleh buku-buku sejarah dan penulis biografi lainnya. 
 
b)   Kitab ini memuatkan masalah-masalah yang tidak dimuatkan oleh kitab-kitab lain, kerana ia menyatukan pelbagai input sejarah dengan riwayat hidup. Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah misalnya, memuatkan cerita-cerita sejarah yang cukup luas, tetapi tidak memuatkan biografi para ulama, orang-orang yang terpilih, para pemimpin, dan sebagainya. Begitu juga kitab al-Kamil karya Ibnu al-Atsir (rahimahullah) dan kitab Tarikh al-Umam wa al-Muluk karya al-Thabari (rahimahullah). Memang ada kitab-kitab yang memuatkan biografi para tokoh seperti ini, namun dari rentetan cerita sejarah dengan metode penyusunan yang dibawakan oleh al-Zahabi ini tidak ditemukan di dalamnya. Misalnya kitab Hilyah al-Auliya' dan al-Thabaqat karya Ibnu Sa'ad, serta Wafayat al-'A'yaan. Sedangkan kitab ini membahaskan berkaitan biografi secara panjang lebar dengan disertakan kisah-kisah sejarah dan metode yang sangat tersusun, yang ditulis di sela-sela penulisan biografi seorang tokoh, khususnya biografi para khilafah, raja, dan pemimpin.  
 
c)    Kitab Siyar al-A'lam al-Nubala' ini merangkumi sebahagian besar sejarah tokoh-tokoh penting dimata manusia (kebanyakan mereka atau sebahagian mereka, walaupun cacat di mata syariat) tidak hanya memuatkan pengikut mazhab fiqih tertentu, raja, khalifah, pemimpin, penyair, ahli osastera Arab, ahli bahasa, pahlawan, panglima, pemimpin perang, doktor, hakim, para pekerja, dan penganut madzhab tertentu, tetapi juga mencakupi seluruh kelompok yang disebutkan dan hampir mencakupi seluruh wilayah Islam. Memang benar biografi para ahli hadis lebih banyak disebutkan daripada tokoh tokoh lainnya. Ini adalah kerana perhatian/komitmen imam al-Zahabi yang sangat tinggi terhadap prinsip-prinsip ilmu hadis, lebih besar daripada disiplin ilmu lainnya, kerena sememangnya beliau adalah merupakan seorang hafiz (dalam bidang hadis) dan mahir di dalam hadis. Akan tetapi, kebanyakan para ahli hadis pada abad keemasan Islam dan selepasnya, adalah para ahli fiqih, ahli tafsir, orang-orang yang berperang di jalan Allah, para sasterawan, ahli nahwu (bahasa), dan tokoh-tokoh lainnya yang terkenal.

Sunday, July 29, 2012

al-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Musthafa

Kitab al-Syifa ini merupakan sebuah kitab yang cukup terkenal berkaitan dengan hak seorang Islam terhadap diri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini dikemukakan oleh saya setelah melihat ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam yang patut dibela dan dipertahankan.
Kaum kuffar, saban hari mencipta sesuatu untuk menyakiti peribadi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ada yang melakarkan bentuk kartun seperti dilakukan oleh penjenayah Denmark dan ada pula yang cuba menerbitkan dokumentari untuk mempersendakan Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam seperti yang dilakukan oleh orang Belanda.

Justeru itu, kitab ini yang dikarang oleh Qadhi ‘Iyadh dengan judul ' al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Musthafa atau al-Syifa fi Syaraf al-Musthafa ' yang lebih dikenal sedemikian oleh penduduk Islam sebelah Timur adalah sebuah kitab yang cukup sinonim dalam situasi ini.
Beliau telah lama menerbitkannya demi mempertahankan Rasulullah dan menyatakan setiap bentuk kecintaan dan pembelaan kita kepada orang yang berani mencemuh dan menyakiti Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sekalipun Baginda sudah tiada lagi. Inilah yang dikatakan iman sepertimana yang dihuraikan oleh beliau di dalam kitabnya ini.

Kitab ini mengupas secara panjang lebar berkaitan dengan keperibadian dan hak-hak yang sepatutnya ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini begitu bermutu dan masih digunakan sebagai rujukan hingga kini di negara Islam.
Dan pernah diceritakan, seorang ilmuan bermimpi bertemu dengan Qadhi ‘Iyadh tidak lama selepas kematiannya, lalu ditanya kepadanya: Apa yang Allah buat kepadamu? Beliau menjawab: Tidak ada yang memberikanku faedah melainkan kitab al-Syifa.

Haji Khalifah berkata pula: Kitab tersebut adalah sebuah kitab yang hebat dan cukup berfaedah, tidak pernah ditulis sepertinya dalam dunia Islam. Syukur kepada Allah Taala atas usaha yang dilakukan oleh penulisnya, semoga diterima dengan rahmat dan kemuliannya di sana kelak.

Ulama yang membaca kitab tersebut, berlumba-lumba untuk menghurai dan mengeluarkan hadis-hadisnya. Bahkan mereka turut menulis ringkasan dan huraian berpandukan kitab tersebut sebagaimana kata ‘Abd Allah al-Habsyi: Hampir 80 buah kitab telah ditulis berkaitan dengan kitab al-Syifa ini, antaranya kitab huraian, hasyiah dan juga takhrij.

Ulama turut menceritakan berkaitan manuskrip kitab ini yang telah dicetak buat pertama kalinya di Mesir pada tahun 1276H dan di Ankara pada tahun 1290H, di kota Fes, maghribi pada tahun 1305H. Dicetak pula dengan semakan oleh Muhammad Salim dan Ibrahim Madkur pada tahun 1396H dan diulang cetak semula dengan semakan ‘Ali Muhammad al-Bijawi pada tahun 1397H.

Kitab huraian pada kitabnya ini adalah seperti karya Abu al-Mahasin Ibn al-Dhajjah (w.572H) yang sezaman dengannya, antara kitab lain seperti:
  1. kitab Nasim al-Riyadh oleh Syihab al-Khafaji,
  2. kitab Khulasah al-Wafa bi Syarh al-Syifa (خلاصة الوفا بشرح الشفا) oleh Ibrahim Hanif al-Rumi (w.1199H),
  3. kitab Muzil al-Khafa ‘an Alfazh al-Syifa (مزيل الخفا عن ألفاظ الشفا) oleh Ahmad bin Kamal al-Din al-Syimni al-Misri (w.873H),
  4. kitab al-Riyadh fi Khatm al-Syifa li al-Qadhi ‘Iyadh (الرياض في ختم الشفا للقاضي عياض) oleh al-Sakhawi (w.902H),
  5. kitab Syarh al-Syifa oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari atau lebih dikenali sebagai Mulla ‘Ali al-Qari (w.1014H),
  6. kitab Hasyiah Ibn Luthf ‘ala al-Syifa oleh Muhammad Hasan bin Luthf ‘Ali (w.1312H),
  7. kitab Manahil al-Safa fi Hill Alfazh al-Syifa (مناهل الصفا في حل ألفاظ الشفا) oleh Ibn Gennoun al-Fasi (w.1333H); dan,
  8. kitab Manahil al-Safa fi Takhrij Ahadits al-Syifa (ومناهل الصفا في تخريج أحاديث الشفا) oleh Jalal al-Suyuthi (w.911H).

Kandungan kitabnya ini terbahagi kepada 4 bahagian:

Bhgn 1 – Mengagungkan Nabi dari aspek perkataan dan perbuatan
Bab 1 – Pujian Allah kepadanya. Terdapat 10 fasal.
Bab 2 – Penyempurnaan Allah pada kejadian dan akhlaknya. Terdapat 27 fasal.
Bab 3 – Berita yang sahih tentang kedudukannya. Terdapat 12 fasal.
Bab 4 – petanda dan mukjizatnya. Ada 30 fasal.
Bhgn 2 – Kewajipan insan terhadap hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Kewajipan beriman dan mentaatinya. Ada 5 fasal.
Bab 2 – Kewajipan mengasihi Baginda. Ada 6 fasal.
Bab 3 – Mengutamakan perintahnya. Ada 7 fasal.
Bab 4 – Hukum berselawat dan kelebihannya. Ada 10 fasal.

Bhgn 3 – Apa yang mustahil pada hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Apa yang khusus dalam urusan agama. Ada 16 fasal.
Bab 2 – Hal keduniaan dan apa yang harus baginya sebagai manusia biasa. Ada 9 fasal.
Bhgn 4 – Hukum mencela dan mengeji Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam
Bab 1 – Menerangkan celaan dan kejian terhadap Nabi. Ada 10 fasal.
Bab 2 – Hukum bagi orang yang mencela dan menyakitinya. Ada 10 fasal.

Semoga Allah Taala memberikan kita peluang untuk membaca, bukan membaca ketika ada peluang! Insya Allah
 
 
 

Link berkaitan:
 
 

Tuesday, July 10, 2012

Syama-il al-Muhammadiyah

Syamail Muhammad S.A.W. merupakan kitab yang sangat berharga kerana memaparkan secara detail semua hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi berkaitan susuk peribadi tubuh badan Rasulullah S.A.W. serta perilaku dan sahsiah Baginda lahir dan batin.
Hari ini kita umat Islam merasakan terlalu jauh dengan Rasulullah S.A.W. kerana tidak dapat membayangkan peribadi Baginda secara dekat. Tambahan pula kita tidak ada foto dan lukisan wajah dan susuk tubuh badan Baginda. Melalui hadis dalam kitab ini kita dapat mengenal Rasulullah S.A.W. dengan lebih terperinci lagi.
 
"Salah satu karya terbaik mengenai keperibadian dan akhlak Rasulullah S.A.W. ini ialah karya Imam Al-Tirmizi. Karya ini singkat namun lengkap sehingga setiap orang yang membacanya seakan-akan menyaksikan langsung keindahan dan keagungan peribadi Rasulullah yang mulia". (Syeikh Al-Qari Dalam Jam'ul-Wasa'il)

* Kitab Syamail Muhammadiyah (terbitan PTS Islamika, versi Bahasa Malaysia)

KANDUNGAN

- Karakter Dan Fisik Rasulullah
- Tanda Kenabian Rasulullah
- Rambut Rasulullah
- Kerapian Rambut Rasulullah
- Uban Rasulullah
- Menyemir Rambut
- Bercelak
- Berpakaian
- Kehidupan Rasulullah
- Sepatu Rasulullah
- Bentuk Sandal Rasulullah
- Cincin Rasulullah
- Cara Rasulullah Mengenakan Cincin
- Ciri Pedang Rasulullah
- Baju Besi Rasulullah
- Pelindung Kepala Rasulullah Ketika Perang
- Serban Rasulullah
- Sarung Rasulullah
- Cara Rasulullah Berjalan
- Penutup Kepala Rasulullah
- Cara Rasulullah Duduk
- Cara Rasulullah Bersandar
- Roti Rasulullah
- Lauk Pauk Rasulullah
- Wudhu Rasulullah Ketika Hendak Makan
- Doa Sebelum Dan Sesudah Makan
- Gelas Minum Rasulullah
- Cara Rasulullah Minum
- Cara Rasulullah Menggunakan Wewangian
- Cara Rasulullah Berbicara
- Cara Rasulullah Tertawa
- Cara Rasulullah Bergurau
- Rasulullah dan Syair
- Obrolan Rasulullah
- Cara Rasulullah Tidur
- Ibadah Rasulullah
- Shalat Dhuha
- Shalat Sunnah Di Rumah
- Puasa Rasulullah
- Cara Rasulullah Membaca Al-Quran
- Tangisan Rasulullah
- Tempat Tidur Rasulullah
- Sifat Tawadhu Rasulullah
- Akhlak Rasulullah
- Sifat Malu Rasulullah
- Rasulullah Dan Berbekam (Hijamah)
- Nama-Nama Rasulullah
- Penghidupan Rasulullah
- Usia Rasulullah
- Kewafatan Rasulullah
- Warisan Rasulullah
- Bermimpi Melihat Rasulullah

Harga = RM45.00 (Sem) RM47.00 (Sab/Swk) - Kulit Tebal
Mukasurat = 282 (Berwarna)
Karya = Imam Al-Tirmizi
Penerbit (Edisi Malaysia) = Telaga Biru Sdn. Bhd