Kitab Zaad al-Ma’ad (زاد
المعاد) atau judul panjangnya Zaad al-Ma’ad fi
Hady Khair al-‘Ibad (زاد
المعاد في هدي خير العباد)
adalah antara karya al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H).
Diriwayatkan bahawa Ibn al-Qayyim menyusun kitab ini ketika beliau bermusafir
sambil duduk atau menunggang di atas untanya.
Kandungan kitab Zaad
al-Ma’ad….
Secara asasnya, melalui kitab ini, penulis (Ibn al-Qayyim)
membentangkan perjalanan sejarah Nabi Muhammad saw. Tetapi dalam masa yang
sama, penulis turut memasukkan aspek-aspek perbahasan ‘aqidah, hadis, dan fiqh
yang sangat bermanfaat. Penulis memulakan kitabnya dengan keutamaan diutusnya
Rasulullah saw kepada para manusia. Kemudian diikuti dengan latar-belakang
Rasulullah saw dan keluarganya, ibu susuannya, penjaganya dan fasa dakwah
baginda. Kemudian penjelasan tentang sikap dan karektor Rasulullah saw.
Setelah itu, penulis mengetengahkan pula
petunjuk-petunjuk beliau saw, bermula dari persoalan berpakaian dan tatacara
bermu’amalah. Petunjuk baginda saw ketika berwudhu, solat, bermula dari takbir
sehinggalah salam. Kemudian diteruskan kepada solat jumaat, solat kusuf, solat
istisqaa’, sehinggalah kepada solat ketika musafir serta yang selainnya.
Sebenarnya, kitab ini merangkumi berbagai persoalan
agama, dari yang asas dan umum sampailah pada hal-hal yang rinci dan mendasar.
Kitab ini membawakan kepada kita persoalan sejarah dan perjalanan hidup Nabi saw
bersama-sama para sahabatnya, yang mana ketika membentangkan rentetan sejarah
tersebut, penulis membentangkan sama persoalan wahyu, persoalan iman dan
tauhid, persoalan bersuci, persoalan solat, ibadah (seperti puasa, haji, zakat,
i’tikaf, zikir), ziarah kubur, persoalan wanita, mu’amalah terhadap orang-orang
kafir, jihad, kisah-kisah peperangan di zaman beliau, adab-adab seorang muslim,
persoalan sihir, perubatan yang terdapat di dalam al-Qur’an dan hadis (al-Thib
al-Nabawi), dan sebagainya yang mana di dalamnya terhimpun berbagai faedah
ilmu agama yang sangat bermanfaat.
Memiliki dan membaca kitab ini adalah suatu perkara
yang sangat penting bagi setiap Muslim. Kerana, para pembaca akan menemui
pelbagai perkara penting yang amat diperlukan oleh setiap insan, dari seorang
tokoh ikutan Muhammad saw, yang mungkin tidak diperolehi oleh para pembaca dari
buku-buku lainnya secara terperinci. Buku ini membahaskan persoalan sejarah
(sirah), fiqh, dan ‘aqidah dalam satu waktu yang sama, dalam sebuah rangkaian
buku.
Sebahagian nukilan
mukaddimah pentahqiq….
Berikut dibawakan nukilan mukaddimah Syaikh Syu’aib
al-Arnauth & ‘Abdul Qadir al-Arnauth,
pentahqiq kitab Zaad al-Ma’ad;
“……….Di antara perkara yang tidak diperselisihkan
di kalangan kaum muslimin adalah bahawa Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam adalah penutup para nabi, imam para rasul, dan hujjah Allah atas
semua ciptaan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutusnya membawa agama yang
sempurna serta jalan yang lurus, dan menjadikan risalahnya menyeluruh untuk
seluruh manusia sampai hari akhirat.
Allah menegakkan dengannya millah yang
menyimpang, membuka dengan petunjuknya mata-mata yang buta, telinga-telinga
yang tuli, dan hati-hati yang terkunci. Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi
petunjuk dengannya manusia yang tersesat kepada laluan yang sempurna, jalan
yang terang, dan manhaj yang baik. Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkan kepada para
hamba agar mentaati, menghormati, dan mencintainya. Meneladani petunjuk serta
mengikuti sunnahnya. Lalu kemudian, kekuatan, kemenangan, kekuasaan, dan
keutuhan di muka bumi ditetapkan bagi mereka yang mengikuti petunjuknya serta
menapaki langkahnya. Kemudian kehinaan, kerendahan, pengabaian, kesengsaraan,
kelemahan, dan kehinaan ditetapkan bagi mereka yang menyelisihi urusannya serta
menderhakainya.
Sesungguhnya ma’rifat (pengetahuan)
peribadatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan pengamalan agama yang
diturunkan-Nya untuk kemaslahatan para hamba di dunia dan akhirat, adalah
sangat bergantung kepada pengetahuan Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa Sallam.
Demikian cara pengamalannya, di mana beliau menjelaskan padanya syari’at Allah
Subhanahu wa Ta’ala sejak awal wahyu turun kepadanya hingga Allah Subhanahu wa
Ta’ala menyempurnakan agama ini.
Sementara itu, kitab-kitab Sunnah, Maghazi
(peperangan), sejarah, dan Syama’il (keperibadian), telah memuatkan
perkataan-perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, perbuatan, dan
sifat-sifatnya, sejak awal pertumbuhannya hingga Allah Subhanahu wa Ta’ala
memilihnya untuk kembali kepada-Nya. Terutama sekali masa-masa beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan risalah, tidak satu pun perkara dan
urusannya sama ada kecil ataupun besar, melainkan telah dirangkum oleh
kitab-kitab dalam kelas tersebut.
Sampailah kita akan dapati di dalam kitab-kitab
tersebut sifat-sifat baginda saat berdiri, duduk, bangkit atau bangun dari
tidur, serta keadaannya saat tertawa atau tersenyum. Ibadah baginda Shallallahu
‘alaihi wa Sallam tatkala malam ataupun siang, kemudian apa yang beliau pakai,
bagaimana saat beliau berbicara, saat bertemu manusia, warna apa kegemaran
beliau, serta apa hiasan dan keperibadian baginda. Tidak berlebihan apabila kami katakan bahawa
sesungguhnya tidak ada di dunia ini seorang manusia sempurna, diulas oleh
sejarah tentang perjalanan hidupnya secara terperinci, sebagaimana diulasnya
kehidupan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, penutup para Nabi.
Kemudian, di antara kitab yang paling lengkap dalam
bidang ini adalah kitab Zaadul Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, karya
Al-Imam Ibn al-Qayyim. Seorang penulis yang cerdas, memiliki ilmu yang luas,
pandangan yang tajam, sangat mampan penguasaan ilmu-ilmu Islam sama ada
ushul-ushulnya mahupun cabang-cabangnya secara terperinci mahupun garis umum.
Beliau rahimahullah telah merangkum melalui
kitabnya ini, petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam
urusan-urusannya yang umum mahupun yang khusus. Ibn al-Qayyim membahas secara
lengkap fasa-fasa kehidupan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
peristiwa-peristiwa yang mengirinya, dan perkara-perkara yang patut bagi setiap
muslim untuk menelitinya baik-baik dan memahami persoalannya. Sama seperti
kebiasaan penulis (Ibn al-Qayyim) di setiap karyanya, beliau menampilkan
karekteristik khusus berupa kualiti dan kesempurnaan; merangkum kandungan
perbahasan dari setiap sisi dan tidak meninggalkan ruang bagi para pembahas
setelahnya untuk mengatakan sesuatu.
Setiap orang yang membaca karya-karya Ibn al-Qayyim
dengan teliti dan penuh kepekaan, nescaya dia akan mengetahui dengan
sebenar-benarnya bahawa beliau rahimahullah telah mengumpulkan ilmu-ilmu al-Qur’an
dan al-Sunnah, menguasai perkataan-perkataan salaf (ulama terdahulu),
pendapat-pendapat mazhab, dan hujah-hujah mereka, sama ada dari segi hafalan
ataupun pemahaman. Di mana kita tidak mengetahui yang sepertinya pada
kebanyakan ulama sebelumnya mahupun yang datang sesudahnya.
Beliau sangat berkomitmen besar terhadap
hadis-hadis yang terbukti sahih berasal dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam. Berpegang teguh padanya dan mengamalkan segala indikasi serta kesan
hasilnya. Lalu mencampakkan apa-apa yang selainnya (yang bertentangan). Beliau
tidak mahu berpegang pada perkataan seseorang, tidak peduli siapapun dia,
selama perkataan tersebut menyelisihi hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam, atau orang tersebut mentakwilkan hadis bukan sebagaimana maksudnya.
Walaupun beliau banyak menelusuri jalan gurunya, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah
rahimahullah, banyak mengambil ijtihad-ijtihad Ibnu Taimiyah, namun beliau
(Ibnu al-Qayyim) lebih lembut dan toleransi terhadap orang-orang yang
menyelisihinya.
Dan di antara hal yang menakjubkan tentang beliau
dan kitab ini (Zaad al-Ma’ad), adalah bahawa beliau menulis kitabnya ini
ketika sedang safar (dalam suatu perjalanan). Tidak ada di sisinya
rujukan-rujukan tempat untuk menukil apa-apa yang diperlukan, sama ada
berita-berita mahupun atsar-atsar yang berkaitan dengan tema yang beliau
bahaskan (di buku beliau ini). Walaupun demikian, menjadi suatu yang amat
mengkagumkan adalah beliau telah memuatkan di dalamnya sejumlah besar
hadis-hadis (sama ada berupa perkataan mahupun perbuatan) berkaitan dengan Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mana hadis-hadis tersebut tersebar di
kitab-kitab Shahih, Sunan, Musnad, Mu’jam, dan Siyar.
Beliau rahimahullah mencantumkan setiap hadis pada tema yang menjadi
kekhususannya.
Semua ini merupakan bukti akan keluasan ilmunya,
bagusnya hafalan beliau, dan ketajaman pandangannya. Mungkin kehairanan ini
akan segera terungkap jika berita-berita yang sampai kepada kita terbukti
benar, di mana Ibnul Qayyim memang menghafal Musnad Imam Ahmad yang memuatkan
lebih dari 300 ribu hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam……..”
Terjemahan kitab ini….
Edisi terjemahan lengkap kitab ini dalam bahasa
Indonesia telah diterbitkan Griya Ilmu Indonesia dengan judul Zaadul
Ma’ad Bekal Perjalanan Akhirat, dalam 7 jilid. Terjemahan ini
berdasarkan edisi ‘Arab yang telah disemak dan diteliti oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth dan ‘Abdul
Qadir al-Arnauth.
Ringkasan kitab ini…
Kitab ini telah diringkaskan oleh Syaikh Muhammad
bin Abdul Wahhab al-Tamimi dengan judul Mukhtashar Zaad al-Ma’ad. Kitab
ini juga ada terjemahan dalam bahasa Melayu dan Indonesia dan dterbitkan oleh
beberapa syarikat penerbitan.
Kitab Zaad al-Ma’ad
ini boleh didownload di pautan berikut;
Baca secara online;
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment