Monday, September 30, 2013

Furu' al-Masail wa Ushul al-Wasail


Kitab Furu’ al-Masail (فروع المسائل) atau judul penuhnya Furu’ al-Masail wa Ushul al-Wasail (فروع المسائل وأصول الوسائل) merupakan sebuah karya seorang tokoh ulama terkenal dari ‘Alam Melayu, iaitual-‘Allamah al-Syaikh Dawud bin ‘Abdullah al-Fathani (1265H). Beliau merupakan seorang ulama Nusantara (baca: Asia Tenggara) dari Wilayah Patani, Thailand[1]  yang terkenal dengan banyak karya tulisnya dalam berbagai bidang ilmu agama. Kitab Furu’ al-Masail ini begitu terkenal di kalangan ulama dan penuntut ilmu, khususnya dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i di Nusantara. Ia menjadi kitab rujukan dan teks pembelajaran di masjid-masjid dan pondok-pondok pesantren.

 
Beberapa catatan mengenai kitab Furu’ al-Masail[2]

Secara umumnya kandungan kitab Furu’ al-Masail ini merupakan hasil susunan Syaikh Dawud al-Fathani dari beberapa petikan yang diterjemahkan oleh  beliau dari beberapa kitab berbahasa ‘Arab.  Syaikh Dawud al-Fathani menjelaskan terdapat dua buah karya yang menjadi sumber terjemahan karya beliau ini, iaitu Fatawa Syams al-Millah wa al-Din (فتاوى شمس الملة والدين) oleh Syaikh Muhammad al-Ramli[3] (957H) dan Kasyf al-Litham ‘an As-ilah al-Anam (كشف الثام عن أسئلة الأنام) oleh Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli[4] (1170H), iaitu dua buah karya besar dalam mazhab al-Syafi’i.

Dalam khutbah (prakata) kitab ini, Syaikh Dawud al-Fathani menyebutkan beliau mulai mengarang karya terjemahan ini mulai tahun 1254H (1838M) dan di penghujung kitab ini dicatatkan telah diselesaikan pada Asar hari Khamis tahun 1257H (1841M) di Makkah, iaitu hanya mengambil masa tiga tahun sahaja. Dalam khutbah kitab ini juga, Syaikh Dawud al-Fathani menyebutkan sebab beliau mengarang karya ini;

Bergeraklah hatiku dan cenderunglah fikirku bahawa aku hendak pungut akan beberapa soalan yang seperti mutiara dan manikam dan beberapa jawabnya yang seperti mutiara yang dinazamkan dia pada tali segala ibarat dan beberapa furu’ yang indah-indah pada bicara hukum furu’ syar’iyah.”

Karya ini agak istimewa kerana mempunyai metod atau model penulisan tersendiri, iaitu berbentuk soal jawab fiqh terutama dalam perkara-perkara furu (cabang). Malah, Furu’ al-Masail adalah karya pertama dihasilkan di Alam Melayu dalam bentuk soal jawab. Reka bentuk model yang sama kemudiannya diikuti oleh Syaikh Zain al-Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal) dalam menghasilkan kitab Kasyf al-Litham[5]. Sehingga sekarang, hanya dua karya ini sahaja yang mempunyai model atau reka bentuk penulisan tersebut dan seni sebegini sukar ditemui dalam karya-karya lain.

Karya ini disusun mengikut bab fiqh (abwab al-fiqh) dengan jilid satu bermula dengan Kitab Pada Menyatakan Thaharah dan diakhiri dengan Kitab Pada Menyatakan Hukum Berburuan dan Menyatakan Sembelihan. Jilid kedua pula dimulai dengan Kitab Pada Hukum Jual Beli dan diakhiri karya ini dengan Kitab Pada Menyatakan Merdeka.

Kitab ini telah dicetak dalam dua jilid oleh beberapa beberapa syarikat percetakan,  sama ada di Timur Tengah maupun di Nusantara. Berdasarkan cetakan Kaherah akhir jilid kedua, pentashihnya Uthman Salih al-Azhari menyebutkan:

Inilah kitab yang bernama Furu’ al-Masail yang mengandungi segala perkara yang bergantung dengan hukuman fiqh yang diambil dari kata beberapa ulama yang dahulu-dahulu dan yang dinaqalkan daripada bermacam-macam kitab, iaitu karangan al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Dawud ibn Abd Allah Fathani.”

Sehingga kini, kitab edisi Jawinya masih dicetak dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

 
Kitab Furu’ al-Masail edisi Rumi….

Dalam koleksi saya, ada sebuah kitab Furu’ al-Masail  versi Rumi-nya. Ia diterbitkan Telaga Biru berdasarkan susunan semula oleh oleh Shahibul Fadhilah Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz.

Dalam penyusunan buku ini Datuk Abu Hasan al-Hafiz ini telah membuat beberapa pengubahsuaian terhadap susunan dan bahasa yang digunakan dalam kitab asalnya. Oleh itu, buku ini bukanlah sekadar pengalihan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, kerana telah berlakunya pengubahsuaian teks asalnya. Boleh dikatakan kandungan buku ini merupakan kandungan kitab Furu’ al-Masail berdasarkan kefahaman penyusunnya (Datuk Abu Hasan al-Hafiz). (Insya Allah, jika ada kesempatan saya ingin buat sedikit catatan mengenai buku ini)

Semoga bermanfaat.


[1] Asalnya sebuah negara yang berdaulat – Negara Patani Darul Salam -  sebelum jatuh di bawah jajahan Thailand.
 
[2] Catatan ini berdasarkan versi tulisan asalnya (Tulisan Jawi).
[3] Beliau ialah Imam Syamsuddin, Muhammad bin Syihabuddin  Abu al-‘Abbas Ahmad al-Ramli al-Munufi (919-1004H).

Sebagai perkongsian ilmu, dalam mazhab Syafi’i sebenarnya terdapat dua tokoh yang digelarkan dengan Imam al-Ramli, iaitu;

1.    Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah Ahmad al-Anshari al-Ramli  (957H). Beliau adalah bapa kepada Imam Syamsuddin Muhammad al-Ramli di atas. Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, nama beliau biasanya disebutkan sebagai Syihabuddin al-Ramli / al-Syihab al-Ramli atau al-Ramli al-Kabir, bagi membezakannya dengan anak beliau. Di antara karya beliau ialah Hasyiah ‘ala Asna al-Mathalib, Syarh ‘ala al-Sittin Mas-alah, al-Fatawa (Fatawa al-Ramli) dan Syarh Manzhumah Ibn al-‘Imad.

2.   Imam Syamsuddin, Muhammad bin Syihabuddin  Abu al-‘Abbas Ahmad al-Ramli al-Munufi (919-1004H), iaitu anak kepada tokoh di atas. Beliau adalah pengarang kitab fiqh Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj yang terkenal itu. Oleh itu, jika disebutkan dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i,  - Syamsuddin al-Ramli /al-Syams al-Ramli  / Syams al-Millah wa al-Din / Syams al-A-immah wa al-Din– atau  Jamaluddin al-Ramli /al-Jamal al-Ramli - biasanya ia merujuk kepada Imam al-Ramli yang kedua ini.  Beliau juga dikenali sebagai al-Syafi’i al-Shaghir.

Kitab al-Fatawa yang menjadi rujukan Syaikh Dawud al-Fathani ini sebenarnya merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Syihabuddin Ahmad al-Ramli (Ramli al-Kabir) yang disusunkan kembali oleh anak beliau Imam Syamsuddin Muhammad al-Ramli dalam sebuah kitab. Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”. Wallahu a’lam.
[4] Beliau ialah Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli al-Mishri (1170H. Di antara karya beliau ialah;

  1. Mazid al-Ni’mah li-Jam’i Aqwal al-Aimmah
  2. Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam (kitab yang menjadi rujukan Syaikh Dawud al-Fathani)
  3. al-Kasyf al-Tam ‘an Irts Zawi al-Arham. 

Untuk dikongsi maklumat juga, terdapat seorang lagi ulama terkenal dalam mazhab Syafi’i yang digelarkan dengan al-Mahalli, iaitu Imam Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hasyim al-Mahalli al-Mishri (791-864H). Di antara karya beliau ialah;

1.       Kanz al-Gharibin - Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin.
2.      Sebahagian dari  Tafsir al-Jalalain.
3.      al-Badr al-Lami’ ‘ala Jam‘i al-Jawami’.

 

4 comments:

  1. Saya mencari tetapi tidak dicetak lagi

    ReplyDelete
  2. Ingin mencari yang asal iaitu Furu’ al-Masail wa Ushul al-Wasail (فروع المسائل وأصول الوسائل). Sesiapa yang tahu boleh kongsikan nama kedai dan di mana..

    ReplyDelete
  3. kitab ini biasanya ada dijual di kebanyakan kedai yg menjual kitab2 jawi dan arab. kalau di kelantan ada dijual di kedai buku syarikat jaffar rawas kota bharu. boleh juga kunjungi webnya http://www.sjr.com.my/index.html atau terus pautan http://www.sjr.com.my/product_info.php?cPath=1_29&products_id=136

    ReplyDelete
  4. Di sini ada jual , http://pustaka-kitablama.blogspot.com disinilah sya dpt kitab ini , mcm2 lgi kitab lama yg ada ..

    ReplyDelete