Sunday, December 30, 2018

AL-MUQADDIMAH (المقدمة)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang terkenal di kalangan ulama sebagai al-Muqaddimah (المقدمة). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1. al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah Fi Fiqh al-Sadat al-Syafi-‘iyyah (المقدمة الحضرمية في فقه السادة الشافعية) adalah merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). Kitab ini juga dikenali dan disebut dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’iyyah dengan judul yang lain, iaitu Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم), Muqaddimah Bafadhal (بافضل مقدمة) atau Mukhtashar Bafadhal (مختصر بافضل) dan al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير). Baca lagi ...

2.   Muqaddimah Ibn Khaldun (مقدمة ابن خلدون) adalah sebuah karya terkenal al-Allamah Ibnu Khaldun atau nama penuhnya Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun (1332-1406M). Kitab ini sebenarnya merupakan sebuah muqaddimah (pengantar) bagi kitab karya Ibn al-Khaldun yang lebih besar yang berjudul al-'Ibrar, wa Diwan al-Mubtada' wa al-Khabar, fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar, wa man Asharuhum min Dzawi  al-Sulthan al-'Akbar. Uniknya, pengantar kitab inilah yang justru lebih dikenali berbanding dengan buku aslinya. Buku pengantar yang berjudul al-Muqaddimah ini menjadikan nama Ibnu Khaldun begitu harum. Baca lagi...

3.   Muqaddimah Fath al-Bari (مقدمة فتح الباري) atau judul asalnya Hadyu al-Sari (هدي الساري) merupakan pengantar bagi kitab Fath al-Bariy bi Syarh Shahih al-Bukhari ( فتح الباري في شرح صحيح البخاري ), karya al-Imam al-Hafizh Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalani al-Mishri (773-852H). Kitab Fathul Bari pula adalah kitab syarah (huraian) bagi kitab Shahih al-Bukhari yang paling baik dan paling lengkap. Baca lagi....

4.  Muqaddimah al-Zahidi (مقدمة الزاهدي)  atau lebih dikenali dengan judul al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة) merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H), seorang  yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. Baca lagi....

5.  al-Muqaddimah fi al-Fiqh (المقدمة في الفقه) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun berdasarkan Mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H). Baca lagi...

6.  Muqaddimah Ibnu al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح) atau judul asalnya Ma’rifah Anwa’ ‘Ulum al-Hadis (  معرفة أنواع  علوم الحديث ) adalah sebuah kitab utama dalam bidang Mustalah al-Hadith yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H), yang terkenal dengam gelaran Ibn al-Shalah. Baca lagi...

7.  Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية) adalah sebuah karya Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazari al-Syafi’i (833H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Jazari. Kitab yang disusun dalam bentuk bait-bait syair ini merupakan salah satu karya utama di dalam disiplin ilmu Tajwid. Baca lagi... 

    8.       

    9.       


Wednesday, December 19, 2018

Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan


Kitab Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan (غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004 H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Zubad (متن الزبد), yang juga dikenali dengan judul Manzhumah Shafwah al-Zubad atau Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i. Sedangkan Matan Zubad adalah hasil karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini boleh dimuat turun di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان

Kitab ini juga boleh dibaca secara  atas talian (online)  di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان.


Semoga bermanfaat.

Saturday, December 15, 2018

Ringkasan Riyadhus Shalihin


Buku yang ingin dikongsikan bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku yang berjudul Ringkasan Riyadhus Shalihin, yang diterbitkan oleh Syarikat Telaga Biru Sdn.  Bhd (cetakan 1/2018).

Kitab Riyadhus Shalihin (رياض الصالحين), ialah himpunan hadis yang disusun oleh seorang tokoh ulama besar dalam mazhab Syafi‘i iaitu Imam al-Hafizh Syeikhul Islam Muhyiddin Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) - yang lebih dikenali sebagai Imam al-Nawawi. Kitab ini menjadi rujukan dan kajian umat Islam seluruh dunia.

Manakala buku Ringkasan Riyadhus Shalihin ini  pula merupakan terjemahan bagi kitab ringkasan kitab Riyadhus Shalihin  yang berjudul Tahzib al-Nufus fi Tartib al-Durus (تهذيب النفوس في ترتيب الدروس), karya   Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani (1265-1350H/1849-1932M).

Kitab ini mengandungi ayat al-Quran dan hanya himpunan hadis sahih dan hasan yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim sahaja. Susunannya merangkumi hal-hal perundangan dalam agama yang membicarakan masalah akidah, syariah dan akhlak.

Semoga bermanfaat