Wednesday, October 10, 2012

Kitab Fath al-Bariy Bi Syarh Shahih al-Bukhari


Kitab Fath al-Bariy bi Syarh Shahih al-Bukhari ( فتح الباري في شرح صحيح البخاري ) ini adalah karya al-Imam al-Hafizh Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-Asqalani al-Mishri. Beliau dilahirkan tahun 773 dan wafat tahun 852 H. Kitab Fathul Bari ini adalah kitab syarah Shahih al-Bukhari yang paling baik dan paling lengkap.

Dalam kitab ini, al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan masalah bahasa dan i’rab dan menghuraikan masalah penting yang tidak ditemui dalam kitab lainnya, juga menjelaskan dari segi balaghah dan sasteranya, mengambil hukum-hukum serta memaparkan berbagai masalah yang diperdebatkan oleh para ulama, baik menyangkut fiqih maupun ilmu kalam secara terperinci dan tidak memihak. Di samping itu, dia mengumpulkan seluruh sanad hadits dan menelitinya, serta menerangkan tingkat keshahihan dan kedhoifannya. Semua itu menunjukkan keluasan ilmu dan penguasaannya mengenai kitab-kitab hadits.

Fathul Bari mempunyai muqaddimah yang bernama  Hadyu al-Sari. Muqaddimah ini amat tinggi nilainya. Seandainya ia ditulis dengan tinta emas, maka emas itu belum sebanding dengan tulisan itu. Sebab ia merupakan kunci untuk memahami Shahih al-Bukhari. Kitab ini selesai ditulis tahun 813 H.

Ketika al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani mulai menulis kitab syarahnya, pada mulanya huraian dan pembahasan direncanakan akan ditulis panjang lebar dan terperinci, namun beliau khawatir bila ada halangan untuk menyelesaikannya, yang mengakibatkan kitab itu selesai namun tidak sempurna. Kerana itu beliau menulis kitab syarah tersebut dengan cara sederhana yang diberi nama Fathul Bari.

Penulisan kitab ini menghabiskan waktu seperempat abad. Di mulai tahun 817 H dan selesai 842 H. Maka tidak menghairankan bila kitab itu paling baik, teliti dan sempurna. Selain itu, penulisannya dilakukan oleh penyusunnya dengan penuh keikhlasan. Setelah selesai menulis kitab syarah tersebut, al-Asqalani mengadakan resepsi agung dihadiri tokoh-tokoh Islam dengan perbelanjaan sebanyak 500 dinar atau sekitar 250 pound Mesir. Kitab ini selalu mendapatkan sambutan hangat dari para ulama, baik pada masa dulu maupun sekarang, dan selalu menjadi kitab rujukan.

al-Allamah Syaikh Muhammad bin Ali al-Syaukani (1255H), penulis kitab Nailul Authar, ketika diminta menulis kitab syarah bagi Shahih al-Bukhari, ia mengagumi Ibnu Hajar, dia mengutip sebuah hadits “La hijrah ba’dal fathi’” (Tidak ada hijrah setelah penaklukan Makkah). Dia meminjam istilah dari hadits tersebut sebagai ungkapan bahawa tidak ada kitab syarah Shahih al-Bukhari yang melebihi Fathul Bari.

al-Allamah Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah-nya mengutip perkataan guru-gurunya yang mengatakan, “Mensyarah Shahih al-Bukhari adalah tugas yang dibebankan kepada umat ini”. Ucapan ini secara pasti dinyatakan sebelum adanya Fathul Bari. Dengan demikian al-Hafizh Ibnu Hajar telah menunaikan tugas yang menjadi tanggungan umat ini.

 
Keistimewaan Kitab Fath al-Bariy

Terdapat beberapa keistimewaan yang terdapat dalam karya agung ini. Antaranya ialah:-

  1. Beliau berjaya mengumpulkan turuq al-hadith dan riwayat-riwayatnya .Ini dapat membantu untuk membuat tarjih dari sudut makna , ‘irāb dan feqh.
  2. Beliau berusaha bersungguh-sungguh menjelaskan hubungkait hadith dengan terjamah al-bab ,dan tujuan serta maksud al-Bukhari dalam mendatangkan terjamah al-bab berkenaan.
  3. Kitab ini juga menghidangkan faedah-faedah feqh yang penting.Pendekatan ini sangat membantu pembaca untuk mengaitkan sesuatu hukum dengan dalil-dalilnya.     
  4. Beliau juga mengulas isu-isu al-isnād dan periwayat-periwayat hadith .     
  5. Beliau juga memaparkan nilai-nilai sastera dan isu –isu al-balaghah , wujuh al-‘irāb dan perbincangan bahasa.     
  6. Dalam menghuraikan sesuatu hadith dalam sahih , Ibnu Hajar merujuk kepada berbagai bab dalam sahih dan juga kitab-kitab hadith yang lain. Juga menyebut beberapa individu yang berautoriti sebagai perawi hadith.
  7. Ibnu Hajar juga merekod berbagai teks hadith yang diriwayatkan oleh beberapa perawi hadith dan membincangkan riwayat hidup mereka serta beberapa pandangan dan kritikan daripada perawi hadith dan menyebutkan faktor-faktor yang mempunyai perbezaan dalam riwayat.Dalam membincang sejarah hidup perawi , beliau menghurai system ejaan atau autografi terhadap nama dan hubungan perawi khususnya bagi mereka yang sukar namanya dibezakan ataupun yang tidak terkenal.
 
Cetakan Fath al-Bariy

Kitab Fath al-Bariy telah dicetak dan diterbitkan di berbagai syarikat penerbitan di Asia Tengah dan India. Kitab Fath al-Bariy  terdiri dari beberapa jilid tebal yang berbeza bilangan jilidnya dari beberapa cetakan. Sebagai contoh, berdasarkan terbitan Dar al-Rayyan li al-Turath, Kaherah, bilangannya 14 jilid termasuk satu jilid muqaddimah-nya. Manakala terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beyrut sebanyak 18 jilid termasuk satu jilid muqaddimah dan satu jilid fahrasat (satu jilid isi kandungannya).

Kesimpulannya karya ini adalah karya yang sangat baik dan berguna dalam bidang syarah hadith , lebih-lebih lagi karya ini sedaya upaya cuba membantu para pembaca memahami al-Jāmi’ al-Sahīh susunan al-Imam al-Bukhari yang menjadi rujukan utama hadith-hadith sahih.

3 comments:

  1. Salam. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamu'alaikum wr wb. Mau Tanya nii... Tu Referensinya dri buku apa yaaa? Thanks...

      Delete