Wednesday, January 29, 2020

Kemunculan Isa bin Maryam Di Akhir Zaman


Buku “Kemunculan Isa bin Maryam Di Akhir Zaman” merupakan sebuah karya terjemahan  bagi sebuah karya berbahasa Arab yang berjudul Nuzul ‘Isa Ibn Maryam Aakhir al-Zaman (نزول عيسى ابن مريم آخر الزمان). 

Edisi asalnya adalah disusun oleh al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H). Manakala edisi terjemahannya pula disusun oleh Syed Ahmad Semait dan Muhammad Fauzi Ali Zahra. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional PTE LTD, Singapura dengan cetakan pertamanya pada tahun 1990, merangkumi 114 halaman.

Isi kandungan buku ini memuatkan perbicaraan mengenai kepercayaan tentang turunnya Nabi Isa bin Maryam pada akhir zaman. Kepercayaan ini memang sudah menjadi iktikad umat Islam yang tidak boleh dinafikan lagi. Ia telah ditetapkan oleh hadis-hadis Nabi saw yang mutawatir yang tidak boleh disangsikan lagi.

Imam al-Suyuthi menyusun buku ini ekoran daripada beberapa pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau mengenai beberapa permasalahan yang berkaitan dengan penurunan Nabi Isa ‘a.s. pada akhir zaman. Berikut disebutkan isi kandungan buku ini;

A.    1) Pergolakan Politik Di Masa As-Sayuthi
                  2) Imam As-Sayuthi: Kelahiran dan kewafatannya.

B.     Terjemahan teks kitab Nuzul ‘Isa Akhir al-Zaman;
1)    Dengan syariat apakah Isa ‘a.s diturunkan?
2)    Hukum yang dipergunakan Nabi Isa ‘a.s.
3)     Adakah Nabi Isa ‘a.s. akan mendapat wahyu dari Tuhan di akhir zaman?
4)     Cara Nabi Isa ‘a.s mengatur harta Baitul Mal.
5)     Ketetapan solat Nabi Isa di belakang Mahdi.

C.     Di bahagian akhir buku ini dilampirkan;
1)   Sumber dari hadis-hadis dan Atsar yang menjelaskan tentang turunnya  
     Nabi Isa ‘a.s[1].
2)    Kata penerangan (nota kaki) bagi teks terjemahan buku ini.

Sebagai maklumat tambahan, selain terjemahan terbitan Pustaka Nasional ini, terdapat sebuah lagi karya terjemahan bagi buku Nuzul ‘Isa Ibn Maryam Aakhir al-Zaman yang ditemui, iaitu buku yang diterbitkan oleh Syarikat Jahabersa, Johor dengan judul Kembalinya Isa Bin Maryam Di akhir Zaman. Kandungan buku ini merangkumi 167 halaman, yang diterbitkan dengan kulit keras (hardcover).

Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun di pautan نزول عيسى ابن مريم آخر الزمان Semoga bermanfaat.



[1] Dalam edisi terjemahan ini hanya dilampirkan terjemahan sahaja. Lihat edisi Arabnya untuk membaca teks asalnya.

Friday, January 24, 2020

Syarh al-Sittin Mas-alah fi al-Fiqh al-Syafi’i


Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah fi al-Fiqh al-Syafi’i  (شرح الستين مسألة في الفقه الشافعي) merupakan sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H).

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah ini disusun sebagai huraian bagi kitab al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة), iaitu sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H), seorang yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. 

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah karya Imam Syihabuddin al-Ramli ini, merupakan antara kitab huraian matan al-Sittin Mas-alah yang paling terkenal dan kerap menjadi rujukan para ulama. Kitab ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa ulama terkemudian.

Berikut adalah antara karya para ulama mazhab Syafi’i yang menghuraikan kitab Syarh al-Sittin Mas-alah telah diberikan hasyiah oleh beberapa ulama, antaranya; 

a)      Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli, yang disusun oleh al-Syaikh al-'Allamah Ahmad al-Mihi al-Syibini(1263H)[1]. Beliau merupakan murid kepada Imam Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim  al-Syarqawi (1150-1226H).  

b)      Hasyiah 'ala Syarh al-Syihab al-Ramli 'ala al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Syaikh al-'Allamah 'Abdul Karim Karimuddin al-Mathari al-Dimyathi[2].

c)       al-Hawasyi al-Muhkamah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Syaikh Muhammad bin Umar bin Qasim bin Ismail al-Muqri (w +1146H).

d)        al-Futuhat al-Ahmadiyyah al-Mutqinah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Hasan al-Banhawi (w+1194H).

e)        Hasyiah ‘ala Syarh al-Ramli, yang disusun oleh Muhammad al-Ahmadi al-Khalfi al-Binawi (+1217H).

f)         Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Yussuf bin Abdul Rahman al-Sanbalawini al-Syarqawi al-Makki (1285H).

g)        al-Durar al-Fara-id ‘ala Syarh al-Syihab al-Ramli ‘ala Muqaddimah al-Zahid, yang disusun oleh Abdul Rahman al-Makawi (Abad 13H)

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah ini boleh dimuat turun melalui pautan شرح الستين مسألة في الفقه الشافعي.

Semoga bermanfaat.



[1] Dalam koleksi saya, ada sebuah kitab “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli ” ini. Kitab ini diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand (tanpa tarikh). Bentuk cetakan sebagaimana “kitab kuning” yang lain. Di pinggirnya diletakkan “ Syarh al-Sitin Mas-alah”, karya Imam Ahmad al-Ramli. Tebalnya, sebanyak 84 halaman.
[2] Kitab ini juga ada dalam koleksi saya, sebagaiman kitab di atas ia juga terbitan Mathba'ah Ben Halabi. Kitab ini lebih tebal berbanding kitab karya Syaikh Ahmad al-Mihi, di mana isi kandungannya merangkumi 140 halaman.

Sunday, January 19, 2020

Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris


Kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris (شرح الياقوت النفيس في مذهب ابن إدريسadalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Habib Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri (1422H).

Syaikh Muhammad al-Syathiri menyusun kitab ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris (الياقوت النفيس في مذهب ابن إدريس), iaitu sebuah karya bapanya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H), seorang ulama mazhab al-Syafi’i yang terkenal pada zamannya.

Berdasarkan terbitan Dar al-Minhaj pada tahun 2007, kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis ini dicetak dalam satu jilid yang kandungannya  merangkumi 976 halaman.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan شرح الياقوت النفيس. Manakala kitab al-Yaqut al-Nafis pula boleh dimuat turun di pautan   الياقوت النفيس .

Semoga bermanfaat..

Saturday, January 18, 2020

Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Raslan


Kitab Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Raslan (فتح الرحمن بشرح زبد ابن رسلان) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (957H).

Kitab Fath al-Rahman ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Zubad (متن الزبد), yang juga dikenali dengan judul Manzhumah Shafwah al-Zubad atau Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i. Sedangkan Matan Zubad adalah hasil karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H).

Kitab Fath al-Rahman ini, kemudiannya telah diringkaskan pula  oleh  anak Imam Syihabuddin al-Ramli sendiri, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli al-Munufi (919-1004H) melalui karya beliau yang berjudul  Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Raslan (غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان)

Kitab Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Raslan boleh dimuat turun di pautan فتح الرحمن بشرح زبد ابن رسلان.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 15, 2020

al-Syafiy al-Anis fi Nazm al-Yaqut al-Nafis


Kitab al-Syafiy al-Anis fi Nazm al-Yaqut al-Nafis (الشافي الأنيس في نظم الياقوت النفيس) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam.

Kitab ini disusun oleh Syaikh Abdullah Muhammad bin Salim Baraja’ berdasarkan kitab  al-Yaqut al-Nafis (الياقوت النفيس) atau judul panjangnya  al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris fi Fiqh al-Sadat al-Syafi’iyyah, iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H).

Kitab al-Syafiy al-Anis boleh dimuat turun di pautan الشافي الأنيس dan kitab al-Yaqut al-Nafis pula di pautan الياقوت النفيس.

Semoga bermanfaat.

Friday, January 10, 2020

Hasyiah al-Musolli Syarh Munyatul Musolli


Kitab Hasyiah al-Musolli Syarh Munyatul Musolli  disusun oleh Muhammad Taib  bin Wahid sebagai huraian bagi kitab Munyatul Musolli, iaitu sebuah karya fiqh yang khusus membicarakan mengenai solat mengikut mazhab Syafi’i.

Kitab Hasyiah al-Musolli ini, diterbitkan jilid pertamanya dalam tulisan Jawi oleh Syarikat Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru dengan cetakan pertamanya pada tahun 2016. Isi kandungan jilid pertama kitab ini bermula dari awal kitab Munyatul Musolli (Muqaddimah) hingga beberapa zikir setelah selesai solat[1]. Kaedah penyusunan kitab ini dengan meletakkan huraian dalam bentuk nota kaki di bahagian bawah teks kitab Munyatul Musolli[2].

Manakala di bahagian akhir kitab ini dilampirkan pula salinan petikan teks Munyatul Musolli yang telah diberikan huraian tersebut[3].

Sekadar pengetahuan saya, hanya jilid pertama ini sahaja yang telah diterbitkan, manakala jilid keduanya belum lagi menyusul.

Antara kekurangan kitab ini adalah tiada halaman isi kandungannya. Hal ini agak menyusahkan pembaca untuk membuat rujukan terhadap isi kandungan kitab ini. Semoga pihak penerbit dan penyusunnya mengambil perhatian terhadap perkara ini bagi cetakan seterusnya. Semoga bermanfaat.


[1] Munyatul Musolli hal. 1-19.
[2] Hal. 3-312.
[3] Hal. 313-330.

Monday, January 6, 2020

Zaitunah al-Ilqah Syarh Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah


Kitab Zaitunah al-Ilqah Syarh Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah (زيتونة الإلقاح شرح منظومة ضوء المصباح في أحكام النِّكاح) merupakan sebuah kitab fiqh yang menerangkan secara khusus mengenai hukum-hukum perkahwinan dalam Islam berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab fiqh ini disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Ba Sudan al-Hadhrami al-Syafi’i (1178-1266H) sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya beliau sendiri, yang berjudul Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah fi Ahkam al-Nikah (منظومة ضوء المصباح في أحكام النِّكاح), iaitu sebuah kitab fiqh yang disusun dalam bentuk nazam sebanyak 91 bait. Kitab Manzhumah Dhaw’ al-Mishbah ini terkenal di kalangan ulama di Hadhramaut, Yaman.

Kitab Zaitunah al-Ilqah ini telah diberikan hasyiah oleh Syaikh Soleh bin Muhammad al-Asmari (1390H-) melalui karyanya yang berjudul Hasyiah ‘ala Syarh Ba Sudan li Manzhumah al-Nikah[1]. 


Semoga bermanfaat.

[1] Oleh kerana pengarang, Syaikh Soleh adalah bermazhab Hanbali, beliau telah memberikan hasyiah (komentar)nya berdasarkan mazhab Hanbali.


Wednesday, January 1, 2020

Fath al-Qadir al-Khabir bi Syarh Taysir al-Tahrir


Kitab Fath al-Qadir al-Khabir bi Syarh Taysir al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’i (فتح القدير الخبير بشرح تيسير التحرير في الفقه الشافعي ), merupakan karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1227H).

Kitab Fath al-Qadir al-Khabir ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Taysir fi Nazhm al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’i (التيسير في نظم التحرير في الفقه الشافعي), iaitu sebuah kitab fiqh yang disusun dalam bentuk nazam sebanyak 2700 bait oleh al-Imam Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H).

Kitab Fath al-Qadir al-Khabir ini boleh dimuat turun di pautan فتح القدير الخبير بشرح تيسير التحرير

Semoga bermanfaat.

Irsyad al-Faqih Ila Ma’rifah Adillah al-Tanbih


Kitab Irsyad al-Faqih Ila Ma’rifah Adillah al-Tanbih (إرشاد الفقيه إلى معرفة ادلة التنبيه) merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang menghimpunkan hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum fiqh (hadis ahkam).

Kitab ini disusun oleh al-Imam Imam al-Hafiz ‘Imaduddin Abu al-Fidak Ismail bin ‘Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Dimasyqi al-Syafi’i  (701-774H) berdasarkan kitab al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi'i (التنبيه في الفقه الشافعي), iaitu sebuah kitab fiqh yang berdasarkan mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Di dalam kitab Irsyad al-Faqih ini, Imam Ibn Katsir telah menghimpunkan kembali hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab al-Tanbih tersebut dengan menyusunnya mengikut kitab-kitab dan bab-bab fiqh yang sesuai dengan urutan kitab al-Tanbih, yang bermula kitab al-Taharah (Bersuci), al-Sholah (Sembahyang) dan seterusnya sebagaimana susunan kitab-kitab fiqh.

Dalam kitab ini, Imam Ibn Katsir mentakhrijkan hadis-hadis (menjelaskan sumber atau ulama hadis yang mencatat hadis tersebut) dan menjelaskan kedudukan hadis-hadisnya sama ada sahih, hasan, atau dha’if berdasarkan ketetapan para ulama hadis yang muktabar. Adakalanya beliau membahasnya secara ilmiah. Beliau menyebutkan ‘illat hadis jika ada berserta masalah sanadnya jika perlu.

Ada ketikanya dalam bab tertentu, beliau menjelaskan kaedah pendalilan (pengambilan hukum) dari sesuatu hadis dan pandangan terpilih yang dipegang oleh para ulama mazhab Syafi’i[1].

Berdasarkan judul kitab ini (Irsyad al-Faqih ila Ma’rifah Adillah al-Tanbih), Imam Ibn Katsir berharap semoga karya beliau ini menjadi panduan berguna kepada para fuqaha (ahli fiqh) pelajar dan pengkaji kitab al-Tanbih mengenai kedudukan sanad hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Tanbih dan pandangan para ulama muktabar mazhab Syafi’i mengenainya.

Berdasarkan edisi kitab Irsyad al-Faqih yang diterbitkan oleh Muassah al-Risalah, ia telah dicetak dalam 2 juzuz. Ia boleh dimuat turun di pautan berikut;


 Semoga bermanfaat.


[1] Ketika menjelaskan sesuatu hadis beliau kerap menyebut pandangan (Ashabuna ), iaitu Ashab Mazhab al-Syafi’ (Para Ulama Mazhab Syafi’i).