Sunday, February 16, 2014

Idhah al-Bab (إيضاح الباب )


Kitab Idhah al-Bab li Murid al-Nikah bi al-Shawab (إيضاح الباب لمريد النكاح بالصواب ) merupakan sebuah karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1131-1265H), seorang tokoh ulama dunia Melayu yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kandungan kitab ini membicarakan mengenai tatacara perkahwinan dalam Islam. Sehingga sekarang, kitab ini masih menjadi rujukan dan teks pengajian dan kuliah ilmu di pusat-pusat pengajian Islam (pondok), masjid dan surau di Nusantara, khusus di Malaysia.

Menurut al-Marhum Haji Wan Muhammad Shaghir Abdullah, judul asal kitab ini sebagaimana yang tercatat pada manuskrip asalnya ialah Idhah al-Albab (إيضاح الألباب ), bukannya Idhah al-Bab, iaitu judul yang tercatat pada kitab yang dicetak dan yang dikenali masyarakat sekarang ini[1]. Kitab ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1224H / 1809M.

Kitab edisi tulisan Jawinya masih dicetak dan dijual di pasaran. Sekadar pengetahuan saya, kitab ini diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan dari Patani, Thailand, iaitu Mathba’ah Ben Halabi ( Ben Halabi Press). 


Selain edisi Jawinya, kitab ini juga ada diterbitkan dengan edisi tulisan Rumi. Dalam koleksi saya, terdapat sebuah buku yang diterbitkan oleh Al-Hidayah House Publishers, dengan ketebalannya merangkumi 207 halaman. Buku ini telah dialih tulisannya dari Jawi ke Rumi oleh Ustazah Noraine Abu - tanpa membuat sebarang pindaan susunan bahasa daripada teks asalnya. Usaha ini memberi peluang kepada mereka yang kurang mahir dalam tulisan Jawi untuk mengikuti majlis pengajian kitab ini berdasarkan kitab asalnya.  

Maklumat lanjut mengenai kandungan kitab ini boleh dibaca di pautan Konsep perkahwinan mengikut Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam Kitab Idah al-albab / Zamri bin Ghazali.

Semoga bermanfaat.




[1] HWM Shaghir (1991); Munyatul Mushalli Pengetahuan Sembahyang Masyhur, hal. 13

Tuesday, February 4, 2014

al-Jawahir al-Saniyyah


Kitab yang ingin dipaparkan dalam koleksi karya ulama kali ini adalah sebuah kitab Jawi  yang terkenal di Nusantara ini yang menjadi teks pengajian ilmu-ilmu Islam (akidah, fekah dan tasawwuf) dan rujukan para ulamanya, iaitu kitab yang berjudul:

al-Jawahir al-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية )

Karya yang dianggap muktabar di kalangan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ini merupakan sebuah karya al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani al-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله. Menurut Syaikh Daud al-Fathani karya ini, beliau selesai menyusunnya pada waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di Thaif.

Kandungan kitab ini..

Kandungan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله;

“ Dan adapun kemudian daripada itu, maka sungguhnya ini suatu terjemah yang tiada dapat tiada orang yang berkehendak bahgia dunianya dan akhiratnya daripada mengetahui ia akan dia daripada segala kanak-kanak yang mubtadi barang yang wajib bagi Allah Subhanahuwa Ta’ala dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya.

Demikian lagi seperti demikian itu wajib pada hak segala pesuruhNya, demikian lagi wajib pula mereka itu barang yang ta’alluq dengan sam’iyyat dan demikian lagi tak dapat tiada daripada hukum furu’ syariat yang dituntut atas mukallaf daripada hukum ‘ibadat dan hukum mu’amalat dan barang yang bergantung dengan keduanya dan hukum berkahwin dan barang yang bergantung dengan dia dan hukum jinayah dan yang bergantung dengan dia dan hukum diat dan hudud dan sair dan jihad dan qadhi dan dakwa baiyinaat dan I’tiqad dan hukum suluk ila mulk al-muluk.

Hamba sebutkan dengan jalan ikhshor sekira-kira dapat faham oleh mubtadi umum orang yang awam umat al-Muhammadiah yang munasabah bagi orang yang mubtadi yang dungu yang seumpama dengan yang menterjemahkan kitab ini yang bernama;

الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية

ertinya yang bernama terjemah ini Jawaahirus Saniyyah pada menyatakan beberapa i’tiqad yang tinggi yakni yang sebenar-benarnya dan beberapa hukum fiqhiyyah yang diredhaiNya yang disukakan Dia dan jalan suluk tariqat penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Kitab ini ditashhihkan dan dicetak oleh Syaikh Daud bin Ismail al-Fathani berdasarkan kepada naskhah tulisan tangan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله. Walaupun kitab ini sudah berusia 180 tahun, namun ianya masih sangat-sangat relevan untuk dijadikan teks pengajian di masjid-masjid atau surau-surau, terutamannya di kala tersebarnya fahaman yang mengatakan Allah bertempat, anti-mazhab, anti tarekat tasawwuf dan sebagainya. Kitab ini adalah berteraskan kepada aqidah dan pegangan Ahlussunnah wal Jamaah.

Di dalam kitab ini Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله ada menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariah.

Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala bertempat, beliau berkata;

“ Dan barangsiapa menghinggakan dzat Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian itu …

(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه  barangsiapa meninggalkan 4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun) ‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya. (Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang bagimu ‘كيف الله؟’ yakni betapa Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika dikata orang bagimu ‘متى الله؟’ ertinya manakala di dapat Allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan (tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya …”

Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).

Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35;

“ Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat, lontarkanlah ia daripada dirimu ”.

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu ”.

Artikel ini dipetik dengan sedikit pengubahsuaian paparannya dari http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com/2011/02/kitab-al-jawahir-as-saniyyah-fi-syarh.html  

Semoga bermanfaat.

Hadith Empat Puluh


Kitab Hadis 40 (الأربعين النووية) karya Imam al-Nawawi merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan 42 hadis Rasulullah saw yang sangat terkenal di dunia Islam. Ia telah dihuraikan oleh para ulama dalam buku-buku mereka semenjak dahulu sehingga sekarang dalam berbagai bahasa. Dalam bahasa Melayu terdapat banyak buku telah disusun oleh para ulama / penulis bagi menghuraikan kandungan buku hadis 40 ini, sama secara ringkas maupun yang agak terperinci. 

Dalam ruangan karya ulama kali ini, saya ingin kongsi bersama pembaca sekalian sedikit catatan mengenai sebuah buku dalama bahasa Melayu yang menghuraikan kitab hadis 40 ini. Judul buku ini adalah “ Hadith Empat Puluh ” karya seorang penulis dari Pulau Pinang yang bernama ‘Asbiran Yaaqub pada tahun 1929. 

Buku ini merupakan buku huraian hadis 40 yang sangat popular digunakan sebagai rujukan dan bacaan di sekolah-sekolah pondok dan pengajian agama hingga sekarang ini, di samping beberapa karya-karya lain muncul kemudiannya. Saya sendiri, mula mengenali kitab Hadith 40 karya Imam al-Nawawi itu adalah melalui buku Hadith 40 karya ‘Asbiran Yaaqub ini – yang diterbitkan dengan edisi Jawinya.


Berikut saya bawakan petikan kata pengantar penyusunnya;

“…Oleh demikian dan kerana berkhidmat kepada bangsaku Melayu, berusahalah aku memetik dan mengarang kitab ini di dalam bahasa Melayu, sekalipun aku bukan orang yang pintar dalam perkara yang demikian, tetapi aku berfikir bahawa pencapaian aku tiada akan berlebih daripada panjang tangan dan seruan tiada akan bertambah daripada jauh suara. Sebab  itu tiadalah yang menjadi halangan bagiku buat meneruskan sekadar pendapatku, istimewa pula aku yakin bahawa saudara-saudara yang bijaksana tidak akan lupa dan lalai buat menegur dan memperelok kesalahanku. Karangan ini aku namakan dengan “ Hadith Empat Puluh ”, bersesuaian dengan kandungannya .”

Buku edisi Jawinya masih ada dijual di pasaran. Sekadar pengetahuan saya, buku edisi Jawi yang masih dijual di pasaran sekarang ini, telah diterbitkan oleh Matba’ah Ben Halabi, Thailand.

Untuk kesinambungan ilmu yang tidak ternilai ini, buku ini telah diterbitkan semula dalam tulisan rumi oleh beberapa syarikat penerbitan. Ini bagi memberi peluang dan ruang kepada para pencinta ilmu yang mungkin tidak begitu mahir dengan tulisan Jawi untuk mengambil manfaat isi kandungannya.

Berikut dicatatkan antara edisi tulisan rumi yang ada di pasaran sekarang;


Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh Syarikat Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Buku ini dialih tulisannya  oleh Aunur Rafiq Ma’ruf. Berdasarkan edisi cetakan ketiganya pada tahun 2010, halaman buku ini sebanyak 115 halaman, termasuk halaman isi kandungan, kata pengantar dan kata penerbitnya. 


Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh al-Hidayah Publication. Buku ini dialih tulisannya oleh Ustazah Noraine Abu. Ketebalan buku ini merangkumi 171 halaman. 

Link berkaitan:  http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html

Semoga bermanfaat.