Saturday, June 30, 2018

FATWA SYAIKH ABDUL QADIR AL-MANDILI


Kitab “ Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah”  atau “ Beberapa Masalah yang Penting Lagi Mudah ”  adalah sebuah kitab yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib al-Mandili al-Indonesi (1910-1965) seorang ulama terkenal di Makkah al-Mukarramah. 

Kitab ini mengandungi fatwa-fatwa atau jawapan-jawapan Syaikh Abdul Qadir al-Mandili bagi beberapa persoalan penting yang berlaku pada zamannya. Jawapan-jawapan yang bersifat kontemporari ini disusun atur berdasarkan bab-bab tertentu, iaitu; Bab Tauhid (11 soalan), Bab Hadith (4 soalan), Bab Khurafat ( 5 soalan), Bab Toharah (4 soalan), Bab Solat (7 soalan), Bab Janazah (6 soalan), Bab Jumaat ( 5 soalan), Bab Zakat-Puasa-Hajj (8 soalan), Bab Muamalat (4 soalan), Bab Nikah Dan Talak (3 soalan), Bab Tibb (3 soalan),  Bab Tho'am Wa Syarab Wa Libas (3 soalan), Bab Bermazhab (3 soalan) dan Bab  Siasah (politik) (13 soalan).  

Kitab ini selesai ditulis pada waktu Asar 9 Zulkaedah 1379H/ 1959M dan dicetak dengan tulisan Jawi berbahasa Melayu setebal 12 halaman.

al-‘Allamah Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi (1989) telah memberi penghormatan kepada al-Mandili dengan menyebutkan;  

Kitab yang bernama Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah atau Beberapa Masalah yang Penting Lagi Mudah yang telah dihimpunkan dia oleh Tuan yang sangat alim daripada ulama Melayu, lagi cukup mahir dalam segala ilmu syarak, dan Tuan Guru yang masyhur mengajar di dalam Masjid al-Haram dan pengarang beberapa kitab ilmu syarak di dalam negeri Makkah al-Mukarramah iaitu Sahib al-Fadilat al-Shaikh Abd al-Qadir bin Abd al-Muttalib al-Mandili al-Indonesi kiranya dibanyakkan Allah Taala ulama kita seumpamanya ”.

Untuk mengetahui beberapa contoh isi kandungan kitab ini, sila baca di pautan http://pusakamoyang.blogspot.com/p/koleksi-fatwa-syeikh-abdul-qadir-bin.html.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 27, 2018

MASA'IL AL-MUHTADI LI IKHWAN AL-MUBTADI


Kitab Masa-il al-Muhtadi Li Ikhwan al-Mubtadi (مسائل المهتدي لاخوان المبتدي) adalah sebuah kitab yang ringkas,  yang membicarakan mengenai akidah dan hukum fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i  yang disusun  dalam bentuk soal-jawab.

Penyusun kitab ini tidak diketahui dengan pasti, kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain. Namun begitu, menurut beberapa sumber –kitab Masa-il al Muhtadi ini – merupakan karya Syaikh Muhammad Baba Daud Rumi atau Syaikh Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha Ali ar-Rumi[1], seorang ulama Aceh keturunan Turki yang yang kuburannya berada di Banda Aceh. Beliau merupakan murid langsung dari ulama besar Aceh, Syaikh Abdul Rauf al-Singkili (1615-1693), iaitu pengarang kitab tafsir Turjumanul Mustafid[2].

Judul kitab ini dengan jelas disebutkan oleh penyusunnya dalam pendahuluannya;

فـهذه رسالة مـخـتـصرة سـميـتها مـسائل الـمهـتدي لاخوان الـمبـتدى

maka inilah suatu risalah yang singkat dan kunamai akan dia MASA-IL AL- MUHTADI LI IKHWAN AL-MUBTADI artinya segala masalah yang menunjuki kami jalan yang betul bagi segala saudaraku yang baharu belajar ”.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, kitab ini disusun dalam bentuk soal-jawab, kata penyusunnya di akhir pendahuluan kitab ini;

bahwa kami bayankan (jelaskan) segala masalahnya dengan thariq (kaedah/cara) soal dan jawab supaya ingat segala orang yang menghafazkan (menghafal) dia, bahwa kepada Allah jua kita minta tolong akan ketetapan di dalam agama yang sebenar-benarnya iaitu agama Islam dengan berkat Nabi Saidil Mursalin Wa 'Ala Alihi Washahbihi Ajma'in ” .

Kandungan kitab ini memuatkan beberapa fasal sebagaimana yang disenarai oleh penyusunnya di awal kitab, iaitu;

a)   Pada menyatakan perkataan iman dan islam dan ihsan dan tauhid dan ma'rifat dan perkataan syahadat serta segala fardhunya dan segala rukunnya dan segala syarat  shahnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakannya.

b)   Pada menyatakan rukun iman yang mujmal dan rukun iman yang mufash-shal serta segala fardhunya dan segala syaratnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakan dia.

c)    Pada menyatakan rukun islam dan segala fardhu yang di dalamnya dan segala syaratnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakan dia.

d)   Pada menyatakan fardhu istinja' dan segala syarat yang memfardhukan dia, mandi junub dan segala fardhunya.

e)    Pada menyatakan segala syarat yang dahulu daripada mengambil air sembahyang dan segala fardhunya dan segala yang membinasakan dia serta segala syaratnya.

f)       Pada menyatakan segala syarat yang dahulu daripada sembahyang dan rukunnya dan segala yang membinasakan dia serta segala syarat yang pada rukunnya.

g)     Pada menyatakan segala syarat yang memfardhukan puasa dan segala fardhunya dan segala sunatnya dan segala yang membinasakan dia.

Kitab ini masih dicetak dan tersebar di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, Thailand dan Indonesia dan  menjadi rujukan di pondok-pondok, khususnya di dayah-dayah di Aceh, Indonesia.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan





Semoga bermanfaat.
  


[2] Kitab yang dianggap kitab tafsir pertama dalam bahasa Melayu ini, sebenarnya tidak sempat diselesaikan oleh Syaikh Abdul Rauf al-Singkili. Ia kemudiannya telah diselesaikan dengan beberapa tambahan oleh murid beliau Syeikh Baba Daud Rumi ini.

Monday, June 25, 2018

AL-MU'IN AL-MUBIN (المعين المبين)


Kitab al-Mu’in al-Mubin  (المعين المبين) atau judul lengkapnya Pelajaran Fiqh al-Mu’in al-Mubin merupakan sebuah kitab  fiqh yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu ( asalnya tulisan Jawi) oleh Ustaz Syarif Zaini Daud. 

Kitab ini diterjemahkan dari kitab asalnya yang juga berjudul al-Mu’in al-Mubin (المعين المبين) atau judul lengkapnya al-Durus al-Fiqhiyyah al-Mu’in al-Mubin (الدروس الفقهية المعين المبين), karya Syaikh Abdul Hamid Hakim (1893-1959M), yang bergelar Tuanku Mudo, seorang seorang ulama terkemuka Indonesia yang berasal dari Minangkabau (Sumatera Barat). Beliau terkenal sebagai ulama usul fiqh yang telah meninggalkan beberapa  karya dalam bidang usul fiqh, iaitu kitab Mabadi’ Awaliyyah, al-Sulam dan al-Bayan.

Kitab ini terbahagi kepada 4 jilid.  Di antara kandungan jilid 1 adalah berkenaan: Kitab Ath Thaharah (Hukum Bersuci) dan Kitab Ash-Shalat (Bicara Sembahyang)

Manakala jilid ke-2 adalah berkenaan: Sambungan Kitab Ash-Shalat, Kitab Al-Jana'iz (Perkara Mati), Kitab Az-Zakat (Darihal Zakat), Kitab Asy-Syiam (Darihal Puasa) dan Kitab Al-Hajj Wal `Umrah (Darihal Haji dan `Umrah).

Kandungan jilid ke 3 adalah berkenaan : Kitab Mu'amalat (kerja-kerja Hidup), Kitab Umra dan Ruqba, Kitab Hibah-sedekah-Hadiah, Kitab Al-Wadi'ah (Barang Petaruhan), Kitab Luqatah, Kitab Ihya' Al-Mawat, (Menghidupkan Bumi Yang Mati), Kitab Bai' Al-Ikrah (Beli paksa), Kitab AI-Ghashab (Rampasan) Kitab Al-Washaya (Wasiat-Wasiat), Kitab Waqaf, Kitab Ath-Tha'am (Darihal Makanan), Kitab Udhiyyah (Penyembelihan) dan Ash-Shaid.

Manakala jilid ke 4 pula membicarakan berkenaan: Kitab An-Nikah, Kitab Ath-Thalaq, Kitab Mut'ah, Kitab Khulu' , Kitab IIa', Kitab Zihar, Kitab Qazaf (Tuduhan), Kitab Li'an, Kitab khiyar (sebab-sebab khiyar Di dalam Nikah), Kitab `Iddah, Kitab Ruju', Kitab Al-Hadhanah (Asuhan) dan Kitab Aqiqah.

Sebagaimana yang disebutkan di atas, kitab terjemahan asal kitab ini adalah dalam tulisan jawi, tetapi memandangkan kebanyakan generasi sekarang ini yang kurang mahir dalam tulisan jawi, maka Ustazah Noraine Abu telah menyalinnya dari tulisan jawi ke tulisan roman tanpa sebarang pindaan daripada teks asal agar mudah bagi mereka untuk mengikuti setiap perkataan yang terdapat di dalam teks asal. Kitab edisi rumi ini telah diterbitkan oleh Syarikat Al Hidayah House Of Publishers Sdn.

Muat turun kitab al-Muin al-Mubin fi al-Fara-idh (المعين المبين في الفرائض) karya Syaikh Abdul Hamid Hakim di SINI.

Semoga bermanfaat. 

Saturday, June 23, 2018

IRSYAD AL-MUBTADI ILA SYARH AL-KIFAYAH AL-MUBTADI


Kitab Irsyad al-Muhtadi ila Syarh al-Kifayah al-Mubtadi (إرشاد المهتدي إلى شرح كفاية المبتدي) adalah sebuah karya dalam bidang akidah yang disusun oleh al-‘Allamah Abdul Hamid bin ‘Ali bin Abdul Qadir Qudus al-Khathib (1335H), seorang tokoh ulama terkenal dari Makkah al-Mukarramah berketurunan Melayu (Indonesia).

Kitab Irsyad al-Muhtadi ini disusun oleh Syaikh Abdul Hamid Qudus sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya ayah beliau sendiri Syaikh al-‘Allamah ‘Ali bin Abdul Qadir Qudus, yang berjudul kitab Kifayah al-Mubtadi (كفاية المبتدي).

Kitab Irsyad al-Muhtadi ini boleh dimuat turun di pautan إرشاد المهتدي إلى شرح كفاية المبتدي.  Semoga bermanfaat. 

Friday, June 22, 2018

MUFID 'AWAM AL-MUSLIMIN (مفيد عوام المسلمين)


Kitab Mufid Awam al-Muslimin (مفيد عوام المسلمين) atau judul ringkasnya Mufid al-Awam (مفيد العوام) merupakan sebuah kitab menerangkan mengenai bidang akidah dan bidang fiqh berdasarkan mazhab al-Syafi’i. 

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Abdullah bin Abdul Lathif al-Jardani al-Husaini al-Diyamthi (1331H) sebagai huraian ringkas bagi sebuah karya beliau sendiri yang berjudul Mursyid al-Anam ila ma Yajib Ma’rifatuh min al-‘Aqa-‘id wa al-Ahkam (مرشد الأنام إلى ما يجب معرفته من العقائد والأحكام).

Selain kitab Mufid al-Awam ini, al-‘Allamah al-Jardani ada menyusun kitab lain yang lebih besar dan panjang huraiannya sebagai kitab syarah bagi kitab Mursyid al-Anam. Kitab ini berjudul Fath al-‘Allam Syarh Mursyid al-Anam (فتح العلام شرح مرشد الأنام).

Semoga bermanfaat.


Tuesday, June 12, 2018

QURRAH AL-'AIN LI MAN WA'A (قرة العين لمن وعي)


Kitab Qurrah al-‘Ain li man Wa’a fi Istihbab Raf’i al-Yadayn fi al-Du’a (قرة العين لمن وعي في استحباب رفع اليدين في الدعاء)  karya al-Muhaddis Ahmad bin Ali al-Ghazzi al-Azhari al-Syafi’i  (1179H).

Kitab ini disusun oleh al-Syaikh Ahmad al-Ghazzi bagi menolak pandangan segelintir golongan yang yang membid’ah amalan mengangkat tangan ketika berdoa. Oleh itu, dalam kitab ini dihimpunkan dalil-dalil daripada hadis-hadis Nabi saw yang menerangkan sunat (mustahab) mengangkat tangan ketika berdoa

Rujukan utama dalam penyusunan kitab ini ialah kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, serta beberapa rujukan lain, iaitu  al-Adab al-Mufrad dan Raf’u al-Yadain, karya al-Bukhari, al-Mufrad, karya al-Hafizh Abdul Azhim al-Munzir, kitab-kitab Sunan,   Jami’ al-Ushul, al-Azkar dan Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi.


Semoga bermanfaat.

Friday, June 8, 2018

TAHRIR LUGHAT AL-TANBIH (تحرير لغات التنبيه)


Kitab Tahrir Lughat al-Tanbih (تحرير لغات التنبيه ) atau judul lainnya al-Tahrir fi Syarh Alfazh al-Tanbih (التحرير في شرح ألفاظ التنبيه) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi menghuraikan lafaz-lafaz atau istilah-istilah tertentu yang terdapat di dalam kitab al-Tanbih (التنبيه), karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). 

Kitab ini sangat penting bagi para ulama fiqh dan pelajar yang ingin mempelajari dan mendalami kitab al-Tanbih, kerana ia merupakan sebuah kamus istilah fiqh mazhab Syafi’i secara umumnya dan bagi kitab al-Tanbih khususnya.

Kitab ini boleh dibaca secara online di pautan http://shamela.ws/browse.php/book-7043  dan juga boleh dimuat turun edisi fail pdf di  pautan تحرير لغات التنبيه . 

Semoga bermanfaat.

Thursday, June 7, 2018

THE RELIANGCE OF THE TRAVE


Buku The Reliance of the Traveller   merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang dususun dalam  Bahasa Inggeris  oleh Syaikh Nuh Ha Mim Keller, seorang ulama terkenal yang dilahirkan pada tahun 1954 di  Amerika Syarikat. Beliau berkelulusan dalam bidang Falsafah dan Bahasa Arab dari Universiti Chicago dan UCLA. Beliau memasuki Universiti al-Azhar pada tahun 1977. Beliau juga meneruskan pembelajaran dalam pelbagai keilmuan Islam seperti ilmu hadis, fiqh mazhab Syafi’i dan Hanafi, usul Fiqh dan aqidah daripada beberapa ulama di Syria dan Jordan.

Perlu diketahui bahawa buku “The Reliance of the Traveller “  sebenarnya merupakan edisi terjemahan oleh Syaikh Nuh Ha Mim Keller bagi kitab ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (عمدة السالك وعدة الناسك)karya al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Naqib al-Mishri (702-769H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibnu al-Naqib al-Mishri.

Terjemahan ini merupakan usaha penterjemahan yang pertama kali pernah dilakukan ke dalam bahasa Eropah. Usaha murni beliau ini telah mendapat pengiktirafan dari Universiti al-Azhar, Mesir.

Kitab ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik boleh dimuat turun di pautan عمدة السالك وعدة الناسك .

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 3, 2018

KASYFUL KIRAM (كشف الكرام)


Kitab Kashful Kiram fi Bayan Niat Takbiratil Ihram (كشف الكرام في بيان نية تكبيرة الإحرام) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu (Jawi) oleh Syeikh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin al-Asyi, seorang ulama terkenal  dari Acheh, Indonesia.

Kitab ini membincangkan tentang masalah niat ketika takbiratul ihram yang sering menjadi perselisihan di dalam masyarakat ketika itu. Hal ini nampak jelas dengan pengakuan Syeikh sendiri dalam muqaddimah kitab beliau dengan katanya :

Setelah aku lihat akan beberapa manusia bersalah-salahan mereka itu pada niat tatkala takbiratul ihram maka aku kehendaki bahawa aku perusaha satu kitab yang kecil pada menguraikan maksud dan aku namai akan dia ‘Kashful Kiram pada menyatakan niat takbiratul ihram’ [Kashful Kiram, hal. 2].

Maka dengan penyusunan kitab ini dapat memberi kefahaman kepada masyarakat tentang tuntutan sebenar niat ketika takbiratul ihram dan hukum hakam yang berkaitan dengannya.