Kitab Masa-il al-Muhtadi Li
Ikhwan al-Mubtadi (مسائل المهتدي لاخوان المبتدي) adalah sebuah
kitab yang ringkas, yang membicarakan
mengenai akidah dan hukum fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i yang disusun dalam bentuk soal-jawab.
Penyusun kitab ini tidak diketahui dengan pasti, kerana
penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab
ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para
penulis kitab-kitab yang lain. Namun begitu, menurut beberapa sumber –kitab Masa-il al Muhtadi ini – merupakan karya Syaikh
Muhammad Baba Daud Rumi atau Syaikh Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha
Mustafa ibnu Agha Ali ar-Rumi[1],
seorang ulama Aceh keturunan Turki yang yang kuburannya berada di Banda Aceh.
Beliau merupakan murid langsung dari
ulama besar Aceh, Syaikh Abdul Rauf al-Singkili (1615-1693), iaitu pengarang
kitab tafsir Turjumanul Mustafid[2].
Judul kitab ini dengan jelas disebutkan oleh penyusunnya
dalam pendahuluannya;
فـهذه رسالة مـخـتـصرة سـميـتها مـسائل الـمهـتدي
لاخوان الـمبـتدى
“ maka inilah suatu risalah yang singkat dan kunamai akan
dia MASA-IL AL- MUHTADI LI IKHWAN AL-MUBTADI artinya segala masalah yang
menunjuki kami jalan yang betul bagi segala saudaraku yang baharu belajar ”.
Sebagaimana disebutkan sebelum ini, kitab ini disusun dalam
bentuk soal-jawab, kata penyusunnya di akhir pendahuluan kitab ini;
“ bahwa kami bayankan (jelaskan) segala masalahnya dengan
thariq (kaedah/cara) soal dan jawab supaya ingat segala orang yang menghafazkan
(menghafal) dia, bahwa kepada Allah jua kita minta tolong akan ketetapan di dalam
agama yang sebenar-benarnya iaitu agama Islam dengan berkat Nabi Saidil
Mursalin Wa 'Ala Alihi Washahbihi Ajma'in ” .
Kandungan kitab ini memuatkan beberapa fasal sebagaimana yang
disenarai oleh penyusunnya di awal kitab, iaitu;
a) Pada
menyatakan perkataan iman dan islam dan ihsan dan tauhid dan ma'rifat dan
perkataan syahadat serta segala fardhunya dan segala rukunnya dan segala
syarat shahnya dan segala kesempurnaanya
dan segala yang membinasakannya.
b) Pada
menyatakan rukun iman yang mujmal dan rukun iman yang mufash-shal serta segala
fardhunya dan segala syaratnya dan segala kesempurnaanya dan segala yang
membinasakan dia.
c) Pada
menyatakan rukun islam dan segala fardhu yang di dalamnya dan segala syaratnya
dan segala kesempurnaanya dan segala yang membinasakan dia.
d) Pada
menyatakan fardhu istinja' dan segala syarat yang memfardhukan dia, mandi junub
dan segala fardhunya.
e) Pada
menyatakan segala syarat yang dahulu daripada mengambil air sembahyang dan
segala fardhunya dan segala yang membinasakan dia serta segala syaratnya.
f) Pada
menyatakan segala syarat yang dahulu daripada sembahyang dan rukunnya dan
segala yang membinasakan dia serta segala syarat yang pada rukunnya.
g) Pada
menyatakan segala syarat yang memfardhukan puasa dan segala fardhunya dan segala
sunatnya dan segala yang membinasakan dia.
Kitab ini masih dicetak dan tersebar di kalangan masyarakat
Islam di Malaysia, Thailand dan Indonesia dan menjadi rujukan di pondok-pondok, khususnya di
dayah-dayah di Aceh, Indonesia.
Kitab
ini boleh dimuat turun di pautan
https://nihayatulmuhtaj.files.wordpress.com/2012/03/risalah-masailal-penyesuaian-halaman-02.pdf (Dalam tulisan Rumi dengan sedikit
pengubahsuaian)
Semoga bermanfaat.
[1] Baca biodata ringkas beliau di pautan Baba Daud Ar-Rumi Al-Jawi murid Sheikh Abdul Rauf Al-Fansuri dan Ulama Turki di Aceh: Baba Daud.
[2] Kitab yang dianggap kitab tafsir
pertama dalam bahasa Melayu ini, sebenarnya tidak sempat diselesaikan oleh
Syaikh Abdul Rauf al-Singkili. Ia kemudiannya telah diselesaikan dengan beberapa
tambahan oleh murid beliau Syeikh Baba Daud Rumi ini.
No comments:
Post a Comment