Monday, March 30, 2020

al-Masa-il al-Muhimmat li al-Mu’minat


Kitab al-Masa-il al-Muhimmat li al-Mu’minat (المسائل المهمات للمؤمنات) adalah sebuah karya dalam fiqh ibadah yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu Musa Ahmad bin Musa bin Khafajah al-Shafadi (750H/1349M). Kandungan kitab ini disusun khusus mengenai beberapa permasalahan fiqh yang penting berkaitan dengan golongan wanita.

Menurut penyusun, kitab ini disusun khusus sebagai jawapan kepada beberapa persoalan yang dikemukakan oleh golongan wanita pada zamannya. Kandungan kitab ini disusun dalam bentuk soal jawab, yang menjelaskan 40 permasalahan fiqh yang penting diketahui oleh golongan wanita dan umat Islam umumnya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Basya-ir al-Islamiyyah, kandungannya merangkumi 79 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan المسائل المهمات للمؤمنات. Semoga bermanfaat.

Sunday, March 29, 2020

Rahsia 99 Nama Allah


Buku Rahsia 99 Nama Allah: Mengenal Allah Dari Seluruh Aspeknya adalah sebuah buku yang disusun oleh al-Marhum Ust. Abdullah al-Qari bin Hj Salleh (1936 - 2020). Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1982, oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu. Berdasarkan cetakan ke-7  (1993), ketebalan buku ini merangkumi 128 halaman.

Menurut penyusun / penterjemah (Ust Abdullah al-Qari), kandungan buku ini sebahagian besarnya adalah daripada terjemahan kitab Mukhtasar Fi Ma’ani Asmaa illah al-Husna (مختصر في معاني أسماء الله الحسنى), iaitu sebuah karya al-Ustaz Mahmud Saami Bik – yang penyusunannya berdasarkan antara lain ialah daripada kitab al-Maqshid al-Asna fi Syarh Asmaa-illah al-Husna (المقصد الاسنى في شرح اسماءالله الحسنى), karya Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali (505H) dan kitab Lawaami’ al-Bayaanat fi Syarh Asmaa-illah  Ta’ala  wa al-Shifaat, karya al-Imam Syaikh al-Islam Fakhruddin al-Razi (1209M).

Di samping kandungan terjemahan dari kitab asalnya, penterjemah juga telah menambah maklumat tambahan bagi melengkapkan lagi huraian  nama-nama Allah yang terkandung dalam buku ini di beberapa tempat yang perlu, yang dipisahkan dengan tanda  .     .     . .

Di akhir buku ini, penterjemah telah melampirkan beberapa judul tambahan, iaitu; 
    a)      Cara memohon melalui nama-nama Allah.
    b)      Nama-nama Allah al-Husna untuk dihafal
    c)      Seruan menggunakan Asma-ullah.

Semoga bermanfaat.

Thursday, March 26, 2020

Praktikal Solat Sempurna


Buku Praktikal Solat Sempurna merupakan sebuah karya fiqh yang disusun khusus mengenai tatacara solat yang sempurna berdasarkan penelitian para ulama mazhab Syafi’i terhadap nas-nas syarak. Buku ini disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd, dengan cetakan pertamanya pada tahun 2016.

Menurut penyusun Ust Muhadir Haji Joll, buku ini disusun sebagai ringkasan dan tambahan kepada buku beliau terdahulu yang berjudul Solat Nabi Menurut Mazhab Syafi’e yang telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pihak pembaca.

Menurut beliau, buku ini lebih ringkas dan disusun mengikut tertib, sebelum dan ketika solat, satu persatu  atau langkah demi langkah untuk memudahkan pembaca memahami praktikal solat dengan sempurna – dari mula sebelum mendirikan solat sehingga selesai. Semua cara pergerakan dan bacaan dalam solat adalah berpandukan kepada hadits dan pendapat para ulama muktabar dalam mazhab Syafi’i.

Kitab rujukan utama bagi penyusunan buku ini adalah kitab Zain al-Thalib (Perhiasan Penuntut), iaitu karya Syaikh Haji Muhammad Zain bin Haji Serudin (1936 -). Beliau adalah bekas Menteri Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darus Salam). Di samping itu, juga dirujuk kepada beberapa buah kitab feqah mazhab Syafi’i  yang masyhur dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Secara umumnya, kandungan buku ini dibahagikan kepada dua bahagian;

a)  Bahagian 1: Umum – menerangkan pengertian solat, bilangan dan pengertian rukun serta kedudukan rukun, sunat ab’adh dan sunat hai’ah dalam solat.

b)   Bahagian 2: Praktikal Solat; - Perkara perlu ada sebelum memulakan solat, seperti syarat sah solat, menghadap sutrah dan bacaan doa sebelum solat. - Perkara yang perlu dilakukan ketika hendak memulakan solat. - Perkara yang perlu dilakukan ketika solat (huraian rukun-rukun solat );- cara perlaksanaan solat dihuraikan langkah demi langkah dengan dinyatakan dalilnya daripada hadits dan sumber rujukan muktabar disebutkan. Disertakan juga foto setiap pergerakan solat sebagai penerangan tambahan.

Dilampirkan juga pencerahan terhadap beberapa perkara khilafiah tentang solat yang menjadi perbahasan di kalangan orang awam. Manakala di akhir buku ini, disertakan bacaan bonus mengenai tip mendapat khusyuk dan menghilangkan was-was dalam solat.

Semoga bermanfaat.

Sunday, March 22, 2020

al-Siraj al-Wahhaj (السراج الوهاج)


Kitab al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj (السراج الوهاج على متن المنهاج) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i  yang disusun  oleh Syaikh Muhammad al-Zuhri al-Ghamrawi.

Kitab al-Siraj al-Wahhaj ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Thalibin (منهاج الطالبين), iaitu kitab yang disusun oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi ().

Dalam muqaddimah kitab ini, Syaikh Muhammad al-Zuhri al-Ghamrawi ada menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitab ini. Menurut beliau, awal mula dituliskannya syarah ini adalah atas permintaan Mushthafa al-Babiy al-Halabiy untuk diterbitkan. al-Ghamrawi menuliskan kecamuk hatinya saat itu, “untuk membuat syarah terhadap kitab sehebat “Minhaj al-Thalibin” yang boleh memenuhi haknya, ada dua kemungkinannya, syarah panjang lebar berjilid-jilid, yang berat ditelaah secara sempurna atau syarah ringkas, yang malah menjadi susah difahami. Dua kemungkinan tersebut untuk zaman sekarang benar-benar akan menjadi pilihan yang sulit mengingat lemahnya “himmah” (semangat) orang yang belajar mazhab al-Syafi’i. Oleh kerana itu, al-Ghamrawi berniat memenuhi permintaan Mushthafa al-Babiy al-Halabiy dengan menulis sebuah kitab syarah yang posisinya berada di tengah-tengah dua pilihan tadi.  al-Ghamrawi merancang syarahnya bersingkat ringkas, tapi bahasanya dibuat mudah sehingga disebut beliau sebagai “syarhun lathif”. Penulisan al-Siraj al-Wahhaj selesai pada tanggal 23 Rabi’ul Akhir  tahun 1337 H.

Kitab al-Siraj al-Wahhab boleh dimuat turun di pautan السراج الوهاج على متن المنهاج . Semoga bermanfaat.

Anwar al-Masalik (أنوار المسالك)


Kitab Anwar al-Masalik Syarh ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (أنوار المسالك شرح عمدة السالك وعدة الناسك) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i.

Kitab Anwar al-Masalik ini disusun oleh Syaikh Muhammad al-Zuhri al-Ghamrawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (عمدة السالك وعدة الناسك), iaitu sebuah  karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Naqib al-Mishri (702-769H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibnu al-Naqib al-Mishri.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan أنوار المسالك شرح عمدة السالك وعدة الناسك. Semoga bermanfaat.

Saturday, March 21, 2020

Qut al-Habib al-Gharib


Kitab Qut al-Habib al-Gharib Tawsyih ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib (قوت الحبيب الغريب توشيح على فتح القريب المجيب) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar al-Jawi (1316H/1898M).

Kitab Qut al-Habib al-Gharib ini disusun sebagai tawsyih (huraian) bagi kitab Fath al-Qarib al-Mujib (فتح القريب المجيب), iaitu sebuah karya al-Imam Muhammad bin al-Qasim  al-Ghazzi (918H). Manakala kitab Fath al-Qarib al-Mujib pula merupakan huraian bagi matan fiqh yang terkenal dengan judul Ghayah al-Taqrib (غاية التقريب), iaitu sebuah karya al-Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Ashbahani (433-593H).

Kitab Qut al-Habib al-Gharib ini boleh dimuat turun di pautan قوت الحبيب الغريب توشيح على فتح القريب المجيب .

Semoga bermanfaat.

Thursday, March 19, 2020

Masalah Imam dan Makmum


Buku Masalah Imam dan Makmum merupakan sebuah karya fiqh berkaitan dengan solat yang disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob (1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam edisi rumi dan jawi.

Secara umumnya, kandungan buku ini menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i, khususnya mengenai peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Buku ini disusun berdasarkan kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى), iaitu sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) dalam bidang fiqh.

Mengenai penyusunan buku ini, Dato’ Yusuf Zaki menjelaskan;

 “ Buku ini disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca ”[1].

Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di pasaran buku-buku agama.

Semoga bermanfaat.



[1] Masalah Makmum dan Imam  (edisi Jawi) – hal. 2.


Sunday, March 15, 2020

Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib


Kitab Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib (نهج الطالب لاشرف المطالب ) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Abu Hadiy Muhammad bin Ahmad bin Hasan bin Abdul Karim al-Khalidi al-Jawhari (1215H). 

Kitab ini disusun sebagai ringkasan (mukhtashar)[1] bagi kitab Manhaj al-Thullab (منهج الطلاب), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (926H)[2].

Kitab Nahaj al-Thalib kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) sendiri oleh Syaikh Muhammad al-Jawhari melalui karya beliau yang berjudul  Ittihaf al-Raghib  Ila Nahaj al-Thalib li Asyraf al-Mathalib  (اتحاف الراغب الي نهج الطالب لاشرف المطالب).

Kitab Ittihaf al-Raghib pula telah diberikan hasyiah (komentar/catatan pinggir) oleh beberapa ulama, iaitu;
a)      Syaikh Abdullah Suwaidan bin Ali al-Damliji al-Dharir al-Mishri (1234H).
b)      Syaikh Muhammad Abdul Hayy al-Syubaini ( abad ke13 H).

Manuskrip kitab Ittihaf al-Raghib boleh dimuat turun melalui pautan اتحاف الراغب الي نهج الطالب لاشرف المطالب.

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab Nahaj al-Thalib karya Syaikh Muhammad al-Jawhari ini, terdapat juga para ulama yang lain yang menyusun kitab ringkasan Manhaj al-Thullab, antaranya;
a)  Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Ghazi (983H), melalui karya beliau yang berjudul al-Nahaj Mukhtashar al-Manhaj.
b)   Syaikh Ali bin Syibli al-Syubaini (1189H).
c)  Syaikh Zaynuddin Ahmad bin Abdul Aziz bin Zaynuddin al-Malibari al-Fannani (987H), melalui karya beliau yang berjudul Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (قرة العين بمهمات الدين).    
[2] Kitab Manhaj al-Thullab pula merupakan ringkasan bagi kitab Minhaj al-Thalibin (منهاج الطالبين), iaitu karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Sedangkan kitab Minhaj al-Thalibin pula merupakan ringkasan bagi kitab al-Muharrar (المحرر), karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwini (555-624H). Manakala kitab al-Muharrar sendiri merupakan ringkasan bagi kitab  al-Wajiz karya Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali (505H). 

Sunday, March 8, 2020

al-I’ab Syarh al-‘Ubab ( الإيعاب شرح العباب )


Kitab al-I’ab Syarh al-‘Ubab  الإيعاب شرح العباب ) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (974H).

Kitab al-I’ab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-‘Ubad (العباب) iaitu sebuah karya fiah mazhab Syafi'i yang disusun oleh al-Allamah al-Qadi Shafiyuddin Abu al-Surur Ahmad bin Umar al-Zabidi al-Yamani –terkenal dengan gelaran al-Muzajjad (847-930H). Malangnya kitab yang berharga ini tidak sempat disiapkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami kerana kewafatannya. Para ulama mazhab Syafi’i yang mutakhirin menganggap kandungan kitab ini sebagai pendapat yang muktamad di sisi Ibn Hajar al-Haytami kerana ia merupakan kitab terakhir yang disusun oleh Ibn Hajar al-Haytami.

Manuskrip kitab al-I'ab boleh dimuat turun di pautan الإيعاب شرح العبابSemoga bermanfaat.