Sunday, February 28, 2016

AL-'UBAB (العباب)


Kitab al-‘Ubab (العباب) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang kaya dengan pelbagai permasalahan fiqh. Kandungan karya al-Allamah al-Qadi Shafiyuddin Abu al-Surur Ahmad bin Umar al-Zabidi al-Yamani –terkenal dengan gelaran al-Muzajjad (847-930H) ini menukilkan sebahagian besar pendapat (نصوص) Imam al-Syafi’i dan para ulama besar  (الأصحاب) mazhab.

Secara umumnya kitab al-‘Ubab adalah ringkasan bagi kitab Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Di samping itu,  beberapa tambahan yang bermanfaat telah dilakukan oleh Imam al-Muzajjad dengan merujuk kepada beberapa kitab lain yang disusun oleh para tokoh mazhab Syafi’i terdahulu. Para ulama menganggap kitab ini agak istimewa kerana kaedah penyusunannya yang menggabungkan di antara ringkasan (التلخيص) dan himpunan (الجمع), di mana kandungan asalnya adalah ringkasan kitab al-Rawdhah, namun begitu beberapa tambahan dimasukkan dengan merujuk beberapa karya para ulama mazhab Syafi’i yang terdahulu.

Kitab al-‘Ubab telah diberikan huraian (syarah) dan komentar (hasyiah) oleh para ulama terkemudian. Di antara ulama menyusun kitab huraian bagi kitab al-‘Ubab ialah;

a)  al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (974H) melalui karyanya yang berjudul al-Iy’ab (الإيعاب). Malangnya kitab yang berharga ini tidak sempat disiapkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami kerana kewafatannya. Para ulama mazhab Syafi’i yang mutakhirin menganggap kandungan kitab ini sebagai pendapat yang muktamad di sisi Ibn Hajar al-Haytami kerana ia merupakan kitab terakhir yang disusun oleh Ibn Hajar al-Haytami.

    b)   al-Imam al-Ramli[1] juga ada menyusun sebuah kitab sebagai huraian bagi al-‘Ubab. Penyusunan kitab syarah ini dilakukan dengan sempurna, merangkumi keseluruhan kandungan kitab al-‘Ubab.

Kitab al-‘Ubab telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Dar al-Minhaj pada tahun 2015.  Ia dicetak dalam satu jilid dengan ketebalan 1120 halaman.     

Catatan ringkas ini dipetik dan diubahsuai dari  pautan  http://alminhaj.com/book.aspx?id=147.    Semoga bermanfaat.




[1] Saya tidak pasti mengenai Imam al-Ramli di sini,  kerana terdapat dua tokoh mazhab Syafi’i yang digelar al-Ramli. Dalam rujukan yang saya baca hanya menyebutkan al-Ramli sahaja. Kemungkinan beliau adalah Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H), yang dikenali sebagai al-Ramli al-Kabir.  Manakala al-Ramli yang kedua adalah anak kepada al-Ramli al-Kabir tersebut, iaitu Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli  (1004H), yang terkenal sebagai al-Ramli al-Shaghir. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment