Thursday, February 25, 2016

al-Iqna’ fi al-fiqh al-Syafi’i


Kitab al-Iqna’ fi al-fiqh al-Syafi’i (الإقناع في الفقه الشافعي) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri al-Baghdadi (364-450H).

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas dan padat dengan beberapa permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’i. Walaupun ringkas, kandungannya merangkumi hampir keseluruhan bab fiqh yang biasa dibincangkan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab mereka. Dikatakan kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Mawardi dari kitab beliau yang berjudul al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i ( - الحاوي الكبير في فقه مذهب الإمام الشافعي) .

Menurut Haji Khalifah, kitab ini  memaparkan beberapa permasalahan hukum syarak, tanpa mendatangkan sokongan atau dalil dari al-Quran atau al-Sunnah. Namun begitu,  pendapat-pendapat yang disebutkan oleh al-Mawardi dalam kitab ini adalah berdasarkan pendapat para fuqaha yang terpercaya.

Imam al-Nawawi banyak menukil pendapat al-Mawardi yang terdapat dalam kitab al-Iqna’ dan menyebutkan dalam beberapa karya beliau. Kandungan kitab iqna’ juga ada dinukilkan oleh Imam al-Ramli  sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Fatawanya.

al-Yaqut al-Hamawi ada menyebutkan dalam kitab al-Mu’jam al-Udaba’ bahawa penyusunan  kitab al-Iqna’ oleh al-Mawardi ini berdasarkan perintah oleh Khalifah al-Qadir Billah, iaitu Khalifah ‘Abbasiyyah ketika itu. Di mana khalifah memerintahkan  para ulama dari mazhab yang empat, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali agar menyusun sebuah kitab yang ringkas dan padat dengan permasalahan fiqh mengikut pendapat mazhab masing-masing. 

Lalu perintah itu disambut oleh beberapa orang ulama terkenal mewakili mazhab masing-masing,  iaitu; Imam al-Mawardi telah menyusun kitab al-Iqna’ berdasarkan mazhab Syafi’i, Imam Abu al-Husain al-Qadduri menyusun kitab al-Mukhtashar (Mukhtashar al-Qadduri) berdasarkan mazhab Hanafi,  al-Qadhi Abu Muhammad Abdul Wahhab bin Nashr al-Maliki menyusun kitab Mukhtashar-nya berdasarkan mazhab Maliki, dan seorang ulama di kalangan mazhab Hanbali yang tidak dipastikan namanya telah menyusun kitab al-Mukhtashar berdasarkan mazhabnya.  

al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H) telah menyusun sebuah kitab huraian bagi kitab al-Iqna’ melalui karyanya Syarh al-Iqna’.

Catatan ringkas ini disusun berdasarkan pengenalan ringkas yang disebutkan di awal kitab al-Iqna’ fi al-Fiqh al-Syafi’i, yang dterbitkan dalam satu jilid oleh Dar Ehsan, Iran  dengan cetakan pertamanya pada tahun 1420H /2000M.

Kitab ini boleh dibaca dan di “download” di pautan

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment