Saturday, September 30, 2017

al-Lum'ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu'ah


Kitab yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah kitab yang agak nipis yang berjudul al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (اللمعة في خصائص يوم الجمعة ). Ada juga dicetak dengan judul Nur al-Lum'ah fi Khasha-ish al-Jumu'ah ( نور اللمعة في خصائص الجمعة ). Kitab ini disusun oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H).

Dalam kitab ini, Imam al-Suyuthi telah menghimpunkan sebanyak 100 keistimewaan  malam dan hari Jumaat. Kata Imam al-Suyuthi dalam pendahuluan kitab ini;

Sesungguhnya al-Ustaz Syamsuddin Ibn al-Qayyim[1] telah menyebut di dalam kitabnya al-Huda[2] bahawa hari Jumaat mempunyai lebih daripada dua puluh keistimewaan. Namun begitu terdapat banyak lagi keistimewaan yang tidak disebut oleh beliau. Oleh itu, saya merasa perlu menyebutkan beberapa keistimewaannya lagi di dalam buku kecil ini berserta dengan dalil-dalilnya secara ringkas. Saya telah berhasil menghimpunkannya sebanyak 100 keistimewaan. Allah sahaja yang memberi tawfiq

Antara lain buku ini menjelaskan bahawa Jumaat adalah Hari Raya mingguan bagi umat Islam, Neraka Jahannam tidak menggelegak dan pelupusan dosa pada hari Jumaat, orang yang mati pada malam atau siang hari Jumaat selamat daripada seksa kubur, segala roh berkumpul pada hari Jumaat, ia adalah hari pengampunan, hari pembebasan dan juga mempunyai ketika yang mustajab. 

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah keistimewaan-keistimewaan lain dalam buku ini yang mencapai sehingga 100 kelebihan, teruskan membaca dan meraih ilmu melaluinya agar kita dapat meningkatkan amal ibadat kita setiap masa lebih-lebih lagi pada malam dan siang hari Jumaat


Terjemahan kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah;

Sebagai perkongsian maklumat, kitab ini ada diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul “ 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat ”. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor dengan kebenaran penerbit asalnya, iaitu Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Berdasarkan kata penerbit dan pengantarnya, buku ini diterjemahkan oleh Dr. Haji Muhammad Nur Lubis bin Abdul Razak Nur, Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Karya asalnya dalam bahasa Arab berjudul “ Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah ” karya Imam Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi. Naskhah asal terjemahan ini diterbitkan oleh Percetakan al-‘Ilm, Damsyik pada tahun 1386-1387H (cet. 2) bersama huraian dan ulasan oleh al-Ustaz Muhammad Riyadh al-Malih.

Oleh itu isi kandungan kitab terjemahan ini merangkumi dua karya ulama, iaitu terjemahan kitab Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah karya Imam al-Suyuthi dan terjemahan ulasannya karya Ust Muhammad Riyadh al-Malih. Terjemahan karya pertama diletakkan di bahagian hadapan, manakala terjemahan karya kedua diletakkan di bahagian akhirnya dalam bentuk nota hujung[3].

Kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah ( edisi Arab) boleh dibaca dan dimuat turun di al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah atau  Nur al-Lum'ah fi Khasha-ish al-Jumu'ahBoleh dbaca secara online juga di al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah

Semoga bermanfaat




[1] Beliau ialah Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub al-Zar’i al-Dimasyqi (751H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn Qayyim al-Jawziyyah.
[2] Judul lengkapnya ialah Zad al-Ma’ad fi Huda Khayr al-‘Ibad.
[3] Buku ini boleh dibeli secara online di pautan 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat.

Wednesday, September 27, 2017

SYARH AL-SHUDUR (شرح الصدور)


Kitab Syarh al-Shudur (شرح الصدور) atau judul lengkapnya Syarh al-Shudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur ( شرح الصدور بشرح حال الموتى و القبور ) adalah sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi al-Syafi’i (849-911H).

Dalam buku ini, Imam Jalaluddin al-Sayuti mengajak pembaca menziarahi alam barzakh – sebuah alam penantian yang penuh misteri pasca-kematian yang diyakini akan menentukan nasib setiap manusia dalam menuju terminal akhir kehidupan akhiratnya: syurga atau neraka. Isi kandungan buku ini berbicara tentang seluruh realiti yang mungkin ditemui di alam barzakh. 

Di dalamnya dihuraikan pelbagai hal: masalah kematian, keutamaan dan metodenya, sifat malaikat maut dan bala tenteranya, perkara yang dapat memalingkan manusia menjelang sakaratulmaut, keadaan roh setelah meninggalkan jasad, keadaan di alam kubur, fitnah, seksaan dan sebagainya. Semua itu disajikan dalam pembahasan yang cukup menarik dan sarat dengan muatan sufistik. Oleh itu, buku ini sangat penting di baca sebagai bahan kontemplasi bagi siapa sahaja yang ingin mengharungi kehidupan ini dengan lebih bermakna.


Terjemahan kitab Syarh al-Shudur ( شرح الصدور);

Sekadar perkongsian maklumat, terdapat sebuah buku terjemahan kitab Syarh al-Shudur dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Inteam Publishing dengan judul “Ziarah Ke Alam Barzakh”

Kitab Syarh al-Shudur dalam edisi Arabnya boleh dibaca secara online di SINI. Bagi memuat turun kitab ini dalam bentuk file PDF, sila tekan pautan شرح الصدور atau di pautan  شرح الصدور. Boleh juga dimuat turun di SINI.


Semoga bermanfaat.

Wednesday, September 13, 2017

Fath al-‘Allam Syarh Mursyid al-Anam (فتح العلام شرح مرشد الأنام)


Kitab Fath al-‘Allam Syarh Mursyid al-Anam ila ma Yajib Ma’rifatuh min al-‘Aqa-‘id wa al-Ahkam (فتح العلام شرح مرشد الأنام إلى ما يجب معرفته من العقائد والأحكام) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syaikh  Muhammad bin Abdullah bin Abdul Lathif al-Jardani al-Husaini al-Diyamthi (1331H) yang menerangkan mengenai bidang akidah dan bidang fiqh berdasarkan mazhab al-Syafi’i. 

Syaikh Muhammad al-Jardani telah menyusun kitab Fath al-‘Allam ini sebagai kitab huraian (syarah) bagi sebuah karya beliau sendiri yang berjudul Mursyid al-Anam ila ma Yajib Ma’rifatuh min al-‘Aqa-‘id wa al-Ahkam (مرشد الأنام إلى ما يجب معرفته من العقائد والأحكام).

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;


Semoga bermanfaat.