Thursday, February 9, 2023

Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar

Kitab  Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar (), merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang disusun oleh al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Sayuthi (911H). Dalam kitab ini al-Sayuthi memberikan beberapa catatan ringkas mengenai sebahagian hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar al-Nawawiyyah (الأذكار النووية), karya al-Imam al-Nawawi (676H).

Catatan-catatan tersebut diambil oleh al-Sayuthi dari kitab Amali al-Azkar, iaitu sebuah karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H). Oleh itu kitab Tuhfah al-Abrar ini boleh dianggap sebagai ringkasan kitab al-Amali tersebut. 

Kitab Tuhfah al-Abrar ini boleh dimuat  di pautan berikut:  Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar  

Saturday, January 21, 2023

al-Syarh al-Shaghir ‘ala al-Wajiz

Kitab al-Syarh al-Shaghir ‘ala al-Wajiz (الشرح الصغير على الوجيز) adalah sebuah karya Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H).

Kitab al-Syarh al-Shaghir ini disusun oleh al-Imam Abu al-Qasim al-Rafi’i sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Di samping kitab al-Syarh al-Shaghir ini, Imam al-Rafi’i juga menyusun dua lagi kitab syarah yang lebih besar bagi kitab al-Wajiz, iaitu;

a)    al-‘Aziz fi Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز). 

b)    al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز) .

Sekadar pencarian penulis, kitab ini belum lagi ditemui dalam bentuk cetakan. Manakala dalam bentuk manuskrip boleh dimuat turun di pautan  الشرح الصغير على الوجيز

Semoga bermanfaat.

Friday, January 20, 2023

al-Lubab (اللباب)

Di antara kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i berjudul al-Lubab (اللباب);

a)     al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi'i (اللباب في الفقه الشافعي)karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ). ). Kitab al-Lubab karya Imam Abu Hasan al-Mahamili ini adalah kitab yang sangat terkenal di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Isi kandungan kitab ini telah disebutkan oleh beberapa ulama terkemudian dalam beberapa karya mereka ketika menghuraikan masalah fiqh. Oleh itu, jika disebut kitab al-Lubab dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i, maka ia biasanya merujuk kepada kitab al-Lubab susunan Imam al-Mahamili. Baca lagi http://abusyahmin.blogspot.com/2013/01/al-lubab-fi-al-fiqh-al-syafii.html

b)   al-Lubab Fi al-Fiqh  (اللباب في الفقه), karya al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim bin Abdul Ghaffar al-Quzwaini al-Syafi’i (585-665H). Beliau terkenal sebagai penyusun kitab al-Hawi al-Shaghir  (صاحب الحاوي الصغير) , iaitu matan fiqh yang terkenal di kalangan para ulama mazhab Syafi’i. Kandungan kitab al-Lubab ini memuatkan pendapat-pendapat mengenai permasalahan fiqh yang pernah dikeluarkan oleh para Ashab al-Wujud dan al-Aqawil dalam mazhab al-Syafi’i. Imam Najmuddin al-Quzwaini kemudiaannya telah menyusun huraian (syarah) bagi kitab al-Lubab ini melalui karyanya yang berjudul al-‘Ujab Fi Syarh al-Lubab (العجاب في شرح اللباب) .

Sekadar ini sahaja maklumat yang dapat dipaparkan. Kemungkinan ada lagi kitab fiqh Syafi’i  berjudul al-Lubab?. Pembaca boleh kongsikan dalam bahagian komen. Semoga bermanfaat. 

Friday, January 6, 2023

al-Adhwa’ al-Lami’ Nazhm al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah

Kitab al-Adhwa’ al-Lami’ Nazhm al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah (الأضواء اللامعة نظم الرسالة الجامعة والتذكرة النافعة  ) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam.

Kitab ini disusun oleh al-Sayyid al-‘Allamah Abdullah bin Husain bin Thahir al-‘Alawi al-Husaini (1272H) berdasarkan kitab al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah ( الرسالة الجامعة والتذكرة النافعة ) karya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H), seorang tokoh ulama terkenal mazhab Syafi’i dari Hadhramaut, Yaman.

Kitab  Kitab al-Adhwa’ al-Lami’  ini boleh dimuat turun di pautan https://ebook.univeyes.com/115186#.

Semoga bermanfaat. 

Sunday, January 1, 2023

Tahsin al-Khadim

Kitab Tahsin al-Khadim adalah sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi (849-911H). Kitab ini disusun sebagai  ringkasan bagi kitab al-Khadim Li al-Rawdhah atau judul lengkapnya Khadim al-Rafi’i wa al-Rawdhah fi al-Furu’ ( خادم الرافعي والروضة في الفروع), iaitu sebuah kitab susunan al-Imam Syaikh al-Islam Badruddin Abu  Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Bahadur al-Zarkasyi  (745-794H/1344-1392M).

Menurut Haji Khalifah, al-Suyuthi menyusun kitab Tahsin al-Khadim ini bermula bab zakat hingga akhir bab Haji, namun ia tidak sempat menyelesaikannya. Sekadar ini sahaja maklumat yang saya perolehi mengenai kitab ini.

Semoga bermanfaat.