Saturday, February 23, 2019

al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja


Buku al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja (المجتبى في شرح سفينة النجا) merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i. Buku yang ditulis dalam bahasa Melayu ini, disusun oleh Sahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.

Buku ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja, iaitu sebuah karya Syaikh Salim bin Sumair al-Hadhrami (1271H).  

Menurut penyusun, sebelumnya beliau juga telah menyusun sebuah buku lain sebagai huraian (syarahan) bagi kitab Safinah al-Naja, iaitu melalui buku beliau yang berjudul Ghayah al-Murtaja (غاية المرتجى).  Oleh itu penyusunan buku al-Mujtaba ini, sebagai sebagai edisi baru dengan melakukan beberapa semakan dan pengemaskinian serta pentashihan kesilapan yang terdapat dalam buku edisi terdahulu, agar ia lebih baik dan lebih bertambah ketelitian dan nilai ilmunya.

Dalam penyusunan buku ini, penyusun telah membuat huraian isi kandungan kitab Safinah al-Naja dengan meletakkannya di bahagian nota kaki. Bagi memantapkan lagi huraian dan penjelasan terhadap matan (teks) kitab Safinah al-Naja, penyusun telah melampirkan soal jawab yang berkaitan dengan permasalahan yang dibincangkan. Soal jawab ini dipetik oleh penyusunnya dari karya beliau yang berjudul Al Kafi Li al-Fatawi[1] yang disiarkan secara bersiri di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Kandungan buku ini mencakupi panduan mengenai asas akidah dan beberapa perbahasan fiqh ibadat. Sebagaimana kitab asalnya, perbincangan dalam buku ini hanya merangkumi beberapa tajuk asas yang dibahagikan kepada 5 bahagian, iaitu Akidah, Taharah, Solat, Pengurusan Jenazah dan Zakat.

Buku setebal 222 halaman ini, telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada awal tahun 2019 oleh Pustaka Cahaya Kasturi, Bandar Nilai, Negeri sembilan.

Semoga bermanfaat.


[1]  Ia merupakan kupasan dan jawapan ringkas persoalan-persoalan agama yang di media sosial oleh netizen.

Sunday, February 17, 2019

Taqrib al-Tahzib fi Asma’ al-Rijal


Kitab Taqrib al-Tahzib fi Asma’ al-Rijal ( في أسماء الرجالالتهذيب تقريب ) merupakan karya dalam bidang ilmu hadis yang yang khusus mengenai ilmu al-jarh wa al-ta’dil (الجرح والتعديل). Kitab ini disusun oleh al-Hafizh Ahmad Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) sebagai ringkasan bagi karya beliau yang lain, yang berjudul Tahzib al-Tahzib  Fi Asma’ al-Rijal (في أسماء الرجال تهذيب التهذيب).

Manakala kitab Tahzib al-Tahzib disusun oleh al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani berdasarkan kitab Tahzib al-Kamal fi Asma’ ar-Rijal)  الكمال في أسماء الرجال), iaitu sebuah karya al-Hafizh Jamaluddin Yusuf ibn Abdurrahman al-Mizzi al-Dimasyqi (654-742H). Dalam penyusunan kitab ini beliau telah meringkas kandungan kitab Tahzib al-Kamal dan memasukkan pula beberapa tambahan penting.

Sedangkan kitab Tahzib al-Kamal pula, disusun oleh al-Hafizh al-Mizzi berdasarkan kitab al-Kamal fi Asma’ al-Rijal (الكمال في أسماء الرجال), karya al-Hafizh Abu Muhammad Abdul Ghani bin Abdul Wahid al-Maqdisiy (541-600H). Dalam penyusunan kitab ini beliau telah meringkas kandungan kitab al-Kamal dan memasukkan pula beberapa tambahan lain.

Maklumat lanjut mengenai kitab Taqrib al-Tahzib ini boleh baca pautan ar.wikipedia dan Metodologi kitab Taqrib al-Tahzib.

Kitab Taqrib al-Tahzib boleh dimuat turuin di pautan   تقريب التهذيب.  

Semoga bermanfaat.


Friday, February 15, 2019

Taqrib al-Nawawi (تقريب النووي)



Kitab al-Taqrib  (التقريب) atau judul lengkapnya  al-Taqrib wa al-Taysir li Ma'rifat Sunan al-Basyir wa al- Nazir (التقريب والتيسير لمعرفة سنن البشير النذير), merupakan sebuah karya dalam bidang ilmu hadis yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Imam al-Nawawi menyusun kitab al-Taqrib ini sebagai ringkasan bagi sebuah karya beliau sendiri yang berjudul Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq (إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق). Manakala kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Irsyad (الإرشاد) ini pula merupakan ringkasan bagi kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح), iaitu karya al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H).

Kitab al-Taqrib pula telah telah diberikan huraian (syarah) oleh Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H) melalui karya beliau yang berjudul Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi (تَدْرِيبُ الرَّاوِي فِي شَرْحِ تَقْرِيب النَّوَوِي).

Kitab-kitab yang disebutkan di atas boleh dimuat turun melalui pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Tuesday, February 12, 2019

100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat


Buku “100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat” merupakan sebuah buku terjemahan dari sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H) yang berjudul al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (اللمعة في خصائص يوم الجمعة ).

Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor dengan kebenaran penerbit asalnya, iaitu Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Berdasarkan kata penerbit dan pengantarnya, buku ini diterjemahkan oleh Dr. Haji Muhammad Nur Lubis bin Abdul Razak Nur, Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Buku ini telah diterbitkan beberapa kali oleh penerbit asalnya, Jabatan Mufti, Kerajaan, Negara Brunei. Di mana cetakan pertama (2002), kedua (2006), ketiga (2007), keempat (2008), kelima (2009). Buku ini diterbitkan di Malaysia dengan cetakan keenam pada tahun 2013 oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor. Isi kandungan buku ini merangkumi 228 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar penerbit (6 halaman) dan biografi Imam al-Suyuthi (12 halaman).

Naskhah asal kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah yang diterjemahkan ini diterbitkan oleh Percetakan al-‘Ilm, Damsyik pada tahun 1386-1387H (cet. 2) bersama huraian dan ulasan oleh al-Ustaz Muhammad Riyadh al-Malih.

Oleh itu isi kandungan kitab terjemahan ini merangkumi dua karya ulama, iaitu terjemahan kitab Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah karya Imam al-Suyuthi dan terjemahan ulasannya karya Ust Muhammad Riyadh al-Malih. Terjemahan karya pertama diletakkan di bahagian hadapan, manakala terjemahan karya kedua diletakkan di bahagian akhirnya dalam bentuk nota hujung.

Dalam buku ini, Imam al-Suyuthi telah menghimpunkan sebanyak 100 keistimewaan  malam dan hari Jumaat. Kata Imam al-Suyuthi dalam pendahuluan buku ini;

Sesungguhnya al-Ustaz Syamsuddin Ibn al-Qayyim[1] telah menyebut di dalam kitabnya al-Huda[2] bahawa hari Jumaat mempunyai lebih daripada dua puluh keistimewaan. Namun begitu terdapat banyak lagi keistimewaan yang tidak disebut oleh beliau. Oleh itu, saya merasa perlu menyebutkan beberapa keistimewaannya lagi di dalam buku kecil ini berserta dengan dalil-dalilnya secara ringkas. Saya telah berhasil menghimpunkannya sebanyak 100 keistimewaan. Allah sahaja yang memberi tawfiq

Antara lain buku ini menjelaskan bahawa Jumaat adalah Hari Raya mingguan bagi umat Islam, Neraka Jahannam tidak menggelegak dan pelupusan dosa pada hari Jumaat, orang yang mati pada malam atau siang hari Jumaat selamat daripada seksa kubur, segala roh berkumpul pada hari Jumaat, ia adalah hari pengampunan, hari pembebasan dan juga mempunyai ketika yang mustajab.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah keistimewaan-keistimewaan lain dalam buku ini yang mencapai sehingga 100 kelebihan, teruskan membaca dan meraih ilmu melaluinya agar kita dapat meningkatkan amal ibadat kita setiap masa lebih-lebih lagi pada malam dan siang hari Jumaat. Buku ini boleh dibeli sacara atas talian di pautan 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat.

Kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (edisi Arab) boleh dibaca dan dimuat turun di pautan al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah. Boleh juga dibaca secara online di pautan  al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah.

Semoga bermanfaat



[1] Beliau ialah Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub al-Zar’i al-Dimasyqi (751H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn Qayyim al-Jawziyyah.
[2]  Judul lengkapnya ialah Zad al-Ma’ad fi Huda Khayr al-‘Ibad

Friday, February 8, 2019

101 Nama Nabi Muhammad


Buku 101 Nama Nabi Muhammad adalah sebuah karya Ust. Ahmad Adnan Fadzil yang menghimpunkan nama, gelaran dan sifat Rasulullah saw....... maaf catatan belum siap...