Saturday, February 23, 2019

al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja


Buku al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja (المجتبى في شرح سفينة النجا) merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i. Buku yang ditulis dalam bahasa Melayu ini, disusun oleh Sahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.

Buku ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja, iaitu sebuah karya Syaikh Salim bin Sumair al-Hadhrami (1271H).  

Menurut penyusun, sebelumnya beliau juga telah menyusun sebuah buku lain sebagai huraian (syarahan) bagi kitab Safinah al-Naja, iaitu melalui buku beliau yang berjudul Ghayah al-Murtaja (غاية المرتجى).  Oleh itu penyusunan buku al-Mujtaba ini, sebagai sebagai edisi baru dengan melakukan beberapa semakan dan pengemaskinian serta pentashihan kesilapan yang terdapat dalam buku edisi terdahulu, agar ia lebih baik dan lebih bertambah ketelitian dan nilai ilmunya.

Dalam penyusunan buku ini, penyusun telah membuat huraian isi kandungan kitab Safinah al-Naja dengan meletakkannya di bahagian nota kaki. Bagi memantapkan lagi huraian dan penjelasan terhadap matan (teks) kitab Safinah al-Naja, penyusun telah melampirkan soal jawab yang berkaitan dengan permasalahan yang dibincangkan. Soal jawab ini dipetik oleh penyusunnya dari karya beliau yang berjudul Al Kafi Li al-Fatawi[1] yang disiarkan secara bersiri di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Kandungan buku ini mencakupi panduan mengenai asas akidah dan beberapa perbahasan fiqh ibadat. Sebagaimana kitab asalnya, perbincangan dalam buku ini hanya merangkumi beberapa tajuk asas yang dibahagikan kepada 5 bahagian, iaitu Akidah, Taharah, Solat, Pengurusan Jenazah dan Zakat.

Buku setebal 222 halaman ini, telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada awal tahun 2019 oleh Pustaka Cahaya Kasturi, Bandar Nilai, Negeri sembilan.

Semoga bermanfaat.


[1]  Ia merupakan kupasan dan jawapan ringkas persoalan-persoalan agama yang di media sosial oleh netizen.

No comments:

Post a Comment