Tuesday, February 12, 2019

100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat


Buku “100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat” merupakan sebuah buku terjemahan dari sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H) yang berjudul al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (اللمعة في خصائص يوم الجمعة ).

Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor dengan kebenaran penerbit asalnya, iaitu Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Berdasarkan kata penerbit dan pengantarnya, buku ini diterjemahkan oleh Dr. Haji Muhammad Nur Lubis bin Abdul Razak Nur, Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Buku ini telah diterbitkan beberapa kali oleh penerbit asalnya, Jabatan Mufti, Kerajaan, Negara Brunei. Di mana cetakan pertama (2002), kedua (2006), ketiga (2007), keempat (2008), kelima (2009). Buku ini diterbitkan di Malaysia dengan cetakan keenam pada tahun 2013 oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor. Isi kandungan buku ini merangkumi 228 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar penerbit (6 halaman) dan biografi Imam al-Suyuthi (12 halaman).

Naskhah asal kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah yang diterjemahkan ini diterbitkan oleh Percetakan al-‘Ilm, Damsyik pada tahun 1386-1387H (cet. 2) bersama huraian dan ulasan oleh al-Ustaz Muhammad Riyadh al-Malih.

Oleh itu isi kandungan kitab terjemahan ini merangkumi dua karya ulama, iaitu terjemahan kitab Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah karya Imam al-Suyuthi dan terjemahan ulasannya karya Ust Muhammad Riyadh al-Malih. Terjemahan karya pertama diletakkan di bahagian hadapan, manakala terjemahan karya kedua diletakkan di bahagian akhirnya dalam bentuk nota hujung.

Dalam buku ini, Imam al-Suyuthi telah menghimpunkan sebanyak 100 keistimewaan  malam dan hari Jumaat. Kata Imam al-Suyuthi dalam pendahuluan buku ini;

Sesungguhnya al-Ustaz Syamsuddin Ibn al-Qayyim[1] telah menyebut di dalam kitabnya al-Huda[2] bahawa hari Jumaat mempunyai lebih daripada dua puluh keistimewaan. Namun begitu terdapat banyak lagi keistimewaan yang tidak disebut oleh beliau. Oleh itu, saya merasa perlu menyebutkan beberapa keistimewaannya lagi di dalam buku kecil ini berserta dengan dalil-dalilnya secara ringkas. Saya telah berhasil menghimpunkannya sebanyak 100 keistimewaan. Allah sahaja yang memberi tawfiq

Antara lain buku ini menjelaskan bahawa Jumaat adalah Hari Raya mingguan bagi umat Islam, Neraka Jahannam tidak menggelegak dan pelupusan dosa pada hari Jumaat, orang yang mati pada malam atau siang hari Jumaat selamat daripada seksa kubur, segala roh berkumpul pada hari Jumaat, ia adalah hari pengampunan, hari pembebasan dan juga mempunyai ketika yang mustajab.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah keistimewaan-keistimewaan lain dalam buku ini yang mencapai sehingga 100 kelebihan, teruskan membaca dan meraih ilmu melaluinya agar kita dapat meningkatkan amal ibadat kita setiap masa lebih-lebih lagi pada malam dan siang hari Jumaat. Buku ini boleh dibeli sacara atas talian di pautan 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat.

Kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (edisi Arab) boleh dibaca dan dimuat turun di pautan al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah. Boleh juga dibaca secara online di pautan  al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah.

Semoga bermanfaat



[1] Beliau ialah Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub al-Zar’i al-Dimasyqi (751H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn Qayyim al-Jawziyyah.
[2]  Judul lengkapnya ialah Zad al-Ma’ad fi Huda Khayr al-‘Ibad

No comments:

Post a Comment