Monday, July 28, 2014

Qawa'id al-'Aqaid


Kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid  (قواعد العقائد فى التوحيد) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H) yang membincangkan mengenai akidah. Imam al-Ghazali telah menyusun kitab ini sebagai sebuah kitab yang khusus menghuraikan konsep akidah menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini agak nipis jika berbanding dengan karya-karya Imam al-Ghazali yang lain. Berdasarkan kitab yang telah diterbitkan, sama ada secara berasingan dari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin atau yang terdapat dalam kitab al-Ihya’ – kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini - hanya merangkumi 6 halaman sahaja.

Apabila Imam al-Ghazali menyusunkan kitab induk dan karya agungnya yang berjudul Ihya’  Ulumiddin (إحياء علوم الدين), beliau telah memasukkan kitab Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid yang telah disusunkan sebelumnya ke dalam kitab al-Ihya’ sebagai fasal pertama bagi Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, iaitu judul yang diberikan oleh Imam al-Ghazali bagi kitab yang kedua dalam Rubu’ al-‘Ibadat (الكتاب الثاني من ربع العبادات). Dalam al-Ihya’, Imam al-Ghazali meletakkan judul fasal pertama ini dengan ungkapan[1];

فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام
(Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam)

Kitab ini terkenal di kalangan para ulama’ selepas al-Ghazali sebagai teks rujukan bagi konsep Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini telah mendapat perhatian yang besar di kalangan para ulama Ahli Sunnah, di mana beberapa ulama telah menyusun kitab khusus bagi menghuraikan (syarah) isi kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ini. Antara ulama yang menghasilkan karya khusus bagi menghuraikan kandungan kitab Qawa’id al-‘Aqaid ialah;

a)     al-Sayyid Ruknuddin al-Istirabadi
b)     al-‘Allamah Muhammad ‘Amin bin Shadruddin al-Syarwani
c)      al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Zabidi
d)     Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali[2]

Terdapat beberapa edisi kitab Qawa’id al-‘Aqa’id ini yang telah dicetak dan diterbitkan secara berasingan[3] dari kitab al-Ihya’. Manakala edisi yang menjadi rujukan saya bagi menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi yang telah diedit dan dihuraikan oleh Dr al-Sayyid Muhammad ‘Uqail bin ‘Ali al-Mahdali. Edisi ini diterbitkan Darul Hadis, Kaherah dengan ketebalan 79 halaman termasuk halaman kata pengantar pentahkik, pengenalan kitab, dan halaman rujukan dan isi kandungannya.

Kitab ini juga ada diterbitkan bersama karya-karya Imam al-Ghazali yang lain dalam sebuah buku yang diusahakan oleh beberapa ulama antara;

a)   Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali[4]. Kitab Qawa’id al-‘Aqaid merupakan risalah yang ke empat daripada 26 buah karya Imam al-Ghazali yang dihimpunkan dalam buku ini. Kitab ini disemak dan diedit oleh Ibrahim Amin Muhammad.

b)     al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali[5].


Isi Kandungan Kitab Qawa’id al-‘Aqaid ( dalam Ihya ‘Ulumiddin)…..

Kitab Qawa'id al-'Aqaid yang terdapat dalam Ihya ‘Ulumiddin telah diterbitkan secara berasingan dari kitab induknya (al-Ihya') oleh beberapa penerbitan dalam bahasa Arab. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazali telah membahagikan perbincangan mengenai konsep akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah kepada empat fasal, iaitu;

a)  Menghuraikan akidah (iktikad) Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengenai dua kalimah syahadah, iaitu salah satu dari dasar-dasar Islam ( فى ترجمة عقيدة أهل السنة فى كلمتى الشهادة التى هى أحد مبانى الإسلام )[6]

b)     Mengenai cara beransur-ansur memberi petunjuk dan susunan tingkatan iktiqad.    (    في وجه التدريج إلى الإرشاد وترتيب درجات الاعتقاد اعلم أن ما ذكرناه في ترجمة العقيدة)   

c)      Mengenai dalil-dalil yang terang bagi akidah  ( في لوامع الأدلة للعقيدة التي ترجمناها بالقدس)[7]

d)   Mengenai Iman dan Islam, serta hubungan antara keduanya dan berkaitan dengan bertambah dan berkurang nya iman.
)في الإيمان والإسلام وما بينهما من الاتصال وما يتطرق إليه من الزيادة والنقصان ووجه استثناء السلف فيه               (

Dalam kitab ini, al-Ghazali menerangkan mengenai pegangan sebenar golongan Ahli Sunnah wal Jamaah,  yang terdiri dari kalangan salaf dan khalaf. Imam al-Ghazali menerangkan cara yang telah diteladani golongan salaf dalam berakidah yang tepat sebagaimana yang diterima daripada Rasulullah saw.

Satu kitab yang patut dibaca dan dipelajari isi kandungannya. Sekadar pengamatan saya yang terhadnya ini, kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid yang lengkap sebagaimana dalam kitab al-Ihya’ ini belum lagi diterbitkan dalam bahasa Melayu / Indonesia secara berasingan dari kitab al-Ihya’. Wallahu a’lam.

Saya berpendapat terjemahan kitab ini yang merangkumi semua fasal yang dibincangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali perlu diterbitkan segera secara berasingan dari kitab induknya, bagi memudahkan umat Islam mendapat manfaatnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila baca kitab Qawa’id al-‘Aqaid, terbitan Darul Hadis, Kaherah yang boleh dimuat turun di pautan

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Ihya’ ‘Ulumiddin.Kaherah: Maktabah Mishr,1998,  hal. 120-125.
[2] Beliau telah membuat kajian dan tahqiq terhadap teks (nas) kitab Qawa’id al-‘Aqaid serta membuat huraian isi kandungannya. Lihat Kitab Qawa’id al-‘Aqaid, yang diterbitkan oleh Darul Hadis, Kaherah.
[3] Namun begitu setelah diteliti kandungan beberapa kitab yang diterbitkan ia merupakan Kitab al-Qawa’id al-‘Aqaid lengkap merangkumi 4 fasal yang terdapat dalam Ihya’ ‘Ulumiddin.
[4] Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali. Beyrut: Darul Fikr, cetakan 1 - 1996, hal. 160-164, Juga cetakan al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir: hal. 174-177.
[5]  al-Qushur al-‘Awali min Rasail al-Imam al-Ghazali. Kaherah: Maktabah al-Jundi.
[6] Iaitu asalnya merupakan kitab Qawa’id al-‘Aqaid yang disusun oleh Imam al-Ghazali sebelum penyusunan kitab al-Ihya’ sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
[7] Kandungan fasal ke tiga ini juga asalnya merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Ghazali secara berasingan sebelum penyusunan kitab al-Ihya’. Imam al-Ghazali menyebut judul kitab beliau ini nama al-Risalah al-Qudsiyyah fi Qawa’id al-‘Aqaid. Namun apabila beliau menyusun kitab al-Ihya’, kitab ini juga telah digabungkan ke dalam kitab ini. 

Tuesday, July 22, 2014

AL-YAQUT AL-NAFIS ( الياقوت النفيس)


Kitab al-Yaqut al-Nafis (الياقوت النفيس) atau judul panjangnya al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris fi Fiqh al-Sadat al-Syafi’iyyah merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya yang disusun oleh al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H), seorang ulama mazhab al-Syafi’i yang terkenal pada zamannya.

Kandungan kitab ini membicarakan hampir keseluruhan perbincangan bab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i, namun perbincangan secara ringkas. Kitab ini, dianggap sebagai kitab matan fiqh dalam mazhab al-Syafi’i, yang mudah ibaratnya. Untuk memudahkan para pembacanya memahami kitab ini, Sayyid Ahmad al-Syathiri telah menyediakan beberapa penerangan ringkas yang berbentuk hawasyi dan takliq bagi beberapa perkataan dan permasalahan yang dibincangkan dalam kitabnya.

Kitab yang bermanfaat ini telah dicetak berulang kali dan menjadi teks pengajian fiqh al-Syafi’i di kebanyakan negara Islam.

Kitab al-Yaqut al-Nafis ini kemudiannya telah dibuat huraiannya (syarah) oleh Syaikh al-Habib Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri (1422H) dengan judul “ Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris (شرح الياقوت النفيس في مذهب ابن إدريس) ”. Beliau merupakan anak kepada pengarang asal kitab al-Yaqut al-Nafis, iaitu al-Sayyid Ahmad al-Syathiri. Berdasarkan terbitan Dar al-Minhaj pada tahun 2007, kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis ini dicetak dalam satu jilid yang kandungannya  merangkumi 976 halaman.

Kitab al-Yaqut al-Nafis juga telah disusun kembali oleh Syaikh Abdullah Muhammad bin Salim Baraja’ dalam bentuk nazam melalui karyanya yang berjudul al-Syafi al-Anis fi Nazm al-Yaqut al-Nafis (الشافي الأنيس في نظم الياقوت النفيس).

Ketiga-tiga kitab di atas boleh di pautan berikut;

1. الياقوت النفيس        

Semoga bermanfaat.

Sunday, July 6, 2014

al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib

 
Kitab al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib merupakan salah satu kitab rujukan dalam mempelajari fiqh dalam mazhab Syafi'i, yang disusun oleh seorang tokoh ulama Syafi’iyyah masakini dari Syria, iaitu ‘al-‘Allamah Dr. Mustafa Dib al-Bugha (1933-). Kitab ini adalah huraian bagi kitab Matn al-Ghayah wa Taqrib  atau Matn Abi Syuja' fi al-Fiqh al-Syafi'i karya al-Imam Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashfahani (533-593H).  
Bagi mengetahui secara ringkas mengenai kitab ini, berikut dilampirkan petikan kata pengantar penyusunnya;
 
Kitab Matn al- Ghayah  wa al-Taqrib termasuk kitab fiqh mazhab Syafi’i yang terbaik, baik dalam format maupun isinya. Meskipun kecil, tetapi lengkap sebab mencangkupi semua bab fiqh, sebahagian besar hukum-hukum dan permasalahan yang berkaitan dengan ibadah, muamalat dan lainnya dengan ungkapan yang mudah, kata yang baik dan susunan yang indah, di samping pembahagian masalahnya yang jelas, memudahkan setiap orang mendalami agama dalam memahaminya.
 
Kitab ini memiliki keistimewaan dan kelebihan dibandingkan dengan kitab-kitab lainnya, kerana dengan ketentuan Allah SWT kitab ini banyak mendapat perhatian dari para pelajar dan ulama dulu maupun sekarang. Mereka begitu tekun sekali dalam mempelajarinya, memahami, menghafal dan mensyarahinya. Mengingatkan kitab yang ringkas ini hanya menjelaskan hukum-hukum fiqh tanpa disertakan dalil-dalilnya, sedangkan para pelajar sekarang ingin sekali dapat mengetahui hukum agama yang didukung dengan dalil-dalilnya, maka saya ingin mengabdikan diri kepada Allah dengan mempersembahkan kepada para intelektual muslim dan kepada para ahli fiqh serta orang-orang yang mendalaminya, kitab yang disukai oleh banyak orang dengan dalil-dalil yang membuat mereka arif tentang agama mereka, yakni terhadap hukum syariat mereka dan meneguhkan akidah mereka, khusyu’ dalam ibadah dan lurus dalam muamalah……..
 
Usaha yang saya lakukan ini bukan sekadar menyebutkan dalil-dalil naqliyah dari al-Qur’an, hadis dan atsar (ucapan para sahabat), tetapi kadang-kadang saya paparkan juga sebab-sebab rasional dan penggunaan qiyas. Umumnya dalil-dalil yang saya tetapkan di sini saya ambilkan dari kitab-kitab mazhab Syafi’i, kecuali jika saya temukan suatu dalil yang lebih kuat dan jelas, maka saya beralih padanya. Saya berusaha sekuat mungkin mengembalikan dalil-dalil yang saya gunakan dalam kitab ini ke sumber aslinya, selama hal itu memungkinkan, khususnya kitab-kitab hadis untuk mendapatkan nash darinya. Saya sebutkan nombor hadis jika ada, halaman dan jilid.
 
Dalam mentakhrij hadis, saya jarang sekali menggunakan sumber lain. Adapun ayat-ayat yang saya sebutkan, juga saya sertakan nombor ayat dan surah tempat ayat disebutkan, kemudian saya sebutkan nash yang digunakan sebagai dalil, dengan menerangkan lafazh-lafazhnya yang asing, yang sekiranya mudah dimengerti dan menjadi jelas sisi pemakaian dalilnya. Kadang-kadang saya jelaskan sebahagian lafazh-lafazh matan dan menyebutkan sebahagian definisi jika diperlukan. Tetapi dalam hal ini saya bataskan, sebab saya tidak bermaksud membuat syarah (huraian) bagi kitab ini, mengingatkan syarah-syarah kitab ini sudah cukup banyak.
 
Apabila saya temukan suatu qaul (pendapat) yang lemah dalam kitab matan, maka saya jelaskan qaul yang sebenarnya lebih sahih dan kuat berdasarkan kitab-kitab standard mazhab Syafi’i, kadang-kadang saya sebutkan rujukannya  dan kadang-kadang tidak. Selain itu ada kala saya tambahkan sebahagian hukum atau sebahagian hikmah dan faedah, semata-mata ingin melengkapi manfaat dan berharap mendapat tambahan pahala dari sisi Allah SWT.
 
Saya menempatkan kitab asal apa adanya di bahagian atas setiap halaman dan karya saya, saya jadikan sebagai catatan kaki dengan nombor-nombor di bahagian bawah. Karya saya ini saya beri nama al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah  wa al-Taqrib, untuk menunjukkan bahawa dalil-dalil itu merupakan benang-benang emas yang menerangi hukum-hukum agama ”.
 
Kitab ini sangat sesuai menjadi rujukan orang awam yang ingin mempelajari ilmu fiqh aliran mazhab Syafi’i, kerana kandungannya mencakupi sebahagian besar permasalahan fiqh yang dibincangkan oleh para ulama, diantaranya;

·         Kitab Thaharah
·         Kitab Shalat
·         Kitab Zakat
·         Kitab Puasa
·         Kitab Haji
·         Kitab Jual Beli dan Mu'amalat Lainnya
·         Kitab Faraidh dan Wasiat
·         Kitab Nikah
·         Kitab Jinayat
·         Kitab Hudud
·         Kitab Perburuan dan Penyembelihan
·         Kitab Perlumbaan dan memanah
·         Kitab Sumpah dan Nazar
·         Kitab Pengadilan dan Persaksian


Terjemahannya;

Berikut dicatatkan beberapa buah buku terjemahan kitab al-Tahzhib dalam dalam bahasa Melayu/Indonesia, yang telah diterbitkan;
 
  
1)      Buku yang diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, Selangor Darul Ehsan -  dengan judul “ Fiqh Sunnah Imam Syafie. Isi kandungan buku ini merangkumi 448 halaman.
 
 
  
2)     Buku yang diterbitkan oleh Media Zikir, Indonesia – dengan judul “ Fikih Islam Lengkap, Penjelasan Hukum-Hukum Islam Madzhab Syafi’i ”. Isi kandungannya merangkumi 578 halaman.

Semoga bermanfaat.