Saturday, March 29, 2014

Bakurah al-Amani



Kitab Bakurah al-Amani atau nama lengkapnya Bakurah al-Amani li Irsyad ‘Awam Ahl al-Fathani (باكورة الأماني لإرشاد عوام أهل الفطاني) merupakan kitab yang membincangkan bidang akidah (ilmu tauhid) yang terkenal di ‘Alam Melayu, khususnya negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan di Selatan Thailand (baca: Patani) sehingga kini. Kitab ini disusun oleh al-Alim al-‘Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir bin Wan Musthafa, atau  dikenali juga dengan nama Pak Da ‘El al-Fathani ( 1300H/1882M – 1965M).

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas dan padat isinya, yang merangkumi lebih kurang 10 halaman sahaja. Kitab ini ditulis oleh Pak Da ‘El sewaktu menziarahi kenalan beliau Haji Muhammad Nur di Tobiak Kedah, atas permintaan murid-muridnya. Ia ditulis secara spontan, berdasarkan ingatan beliau sahaja. Tarikh kitab ini ditulis adalah pada tahun 1335H / 1917M, atau tepatnya pada hari Sabtu, 14 Rajab, 1335 bersamaan 15 Mei 1917. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba’ah al-Ikhwan, Singapura pada tahun 1918M.

Menurut ceritanya, sejarah penulisan kitab ini adalah dari permintaan muridnya yang bernama Haji Ahmad supaya Pak Da’El karangkan secara ringkas matan ilmu tauhid bagi memudahkan anaknya Mat Hasan yang masih memonduk agar membantunya dalam memahami ilmu tauhid. Maka permintaan itu diperkenankan oleh Pak Da ‘El dan terhasillah kitab yang terkenal ini.


Kandungan kitab Bakurah al-Amani

Antara intipati kandungan kitab ini termasuklah perbahasan tentang makna kalimah syahadah yang menggunakan konotasi “Allah jua Tuhan”; tentang wajib Syarak atau hukum taklifi pada istilah pantang, terjemahan seperti ma ya sa buh ‘ala tarqih wa yu ‘a qa bu ala tarqih; Perbahasan pergantungan hukum-hukum akal; perbahasan istihalah; perbahasan daur dan tasarsur; perbahasan mukhallafah secara spesifiknya perbahasan mengenai sifat wajib Allah bersalahan dengan sesuatu baharu; perbahasan tentang penciptaan makhluk (Nur Muhammad); perbahasan al-makulat al asyarah; perbahasan usaha ikhtiar; perbahasan sifat salbiyyah; perbahasan sifat ma’ani ; perbahasan hayat dan sifat idro’; perbahasan muta’ala’ ilmu, sabitah atau syuun; perbahasan qun fa ya kun; perbahasan dzan dan waham; pembahagian bagi makna sifat – sifat ma’ani; dan perbahasan al-nubuwwah.


Syarah Bakurah al-Amani

Oleh kerana kitab ini sangat ringkas dan padat isinya sehingga sesetengah orang gagal memahami ‘ibaratnya, maka Pak Da ‘El telah diminta pula agar menulis syarah (huraian) bagi kitab ini. Beliau kemudiannya menulis syarahnya, yang diberi judul “ Tabshirah al-Adani bi Alhan Bakurah al-Amani (تبصرة الأداني بألحان باكورة الأماني). Kitab ini selesai ditulis pada 25 Muharram 1358H / 16 Mac 1936, sebagaimana yang dijelaskan oleh beliau sendiri dalam kitab tersebut;

“Maka tatkala kelihatan atasnya oleh setengah-setengah tolabah, membahas-bahas ia daripada tuturannya datanglah atasnya i’ktirad pada menyalahinya akan tuturan kitab-kitab Melayu yang dahulu-dahulu pada beberapa tempat maka hamba hurai baginya demikian tuturan yang menyalahi itu dan menyatakan kehendaknya dan wajah ubahnya maka terpaksalah atasnya membenarkan ubahan-ubahan yang tersebut dan jikalau menyalahikan mafhum kitab-kitab yang lain sekali pun maka kemudian daripada lalu bertahun –tahun memintak pulak bahawa hamba syarahkan risalah itu suatu menyatakan wajah tujuan tuturan yang tersebut maka memikir hamba beberapa lama maka nyata bagi hamba elok pintakan itu maka merebut-rebut hamba akan peluangan dengan menatahkan ‘ibarat risalah itu dengan macam-macam tafsir yng ditetapkan dia dengan sudahan yang jilah yang menjelaskan hati-hati yang empunya paham atas qadar pendapat hamba supaya panjang diambil guna dengan risalah itu dan merataimya dan hamba namakan ia “Tabshirah al-Adani bil Alhani Bakurah al-Amani” artinya menperlatas bagi ornag-orang ligat mendapati akan tengak tengakan dan siringan-siringan cakapan Bakurah al-Amani

Kitab Syarah Bakurah al-Amani ini masih dicetak dan dijual pasaran kitab Jawi dan sehingga kini masih diajar di masjid-masjid dan pondok-pondok sebagai teks pengajian utama dalam ilmu  akidah. Manakala matan asal Bakurah al-Amani, sekadar dari pengamatan saya, sudah tiada yang dicetak secara berasingan dari syarahnya.

Kini, kitab Syarah Bakurah al-Amani ini sudah ada yang dicetakkan dan diterbitkan dengan tulisan Rumi tanpa sebarang pindaan daripada teks asal, agar kebanyakan generasi. sekarang ini yang kurang mahir dalam tulisan jawi mudah bagi mereka mengikuti setiap patah perkataaan yang terdapat di dalam teks asalnya. Usaha  ini telah dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu dan diterbitkan oleh Al-Hidayah House Publishers Sdn Bhd.  Isi kandungan buku ini merangkumi 50 halaman. Semoga bermanfaat.

Rujukan;


http://puskam.uitm.edu.my/v1/conference/seminar-manuskrip-melayu-a-kearifan-tempatan-2013/e-prosiding.html?task=download&cid%5B0%5D=12

Saturday, March 22, 2014

Seni Lagu al-Quran Di Malaysia


Buku yang berjudul “ Seni Lagu al-Quran Di Malaysia ” merupakan antara karya dalam bidang tarannum al-Quran dalam bahasa Melayu yang julung[1] kali yang dicetak dan diterbitkan di Malaysia. Kenyataan ini tidak menafikan kewujudan karya-karya lain, sama ada sebelum, atau selepasnya[2].

Karya ini merupakan hasil penulisan Mohd Ali Abu Bakar[3] yang diterbitkan oleh Darul Fikir Sdn. Bhd, dengan cetakan awalnya pada tahun 1990. Manakala edisi barunya dengan beberapa tambahan dan pembaikan dari segi bahasa dan susunannya telah dicetak dan diterbitkan pada tahun 1997. Edisi baru ini, ada dalam koleksi saya – yang mempunyai 192 halaman bercetak, tidak termasuk halaman Kata Pengantar Penyusun (3 halaman), Kata-kata Aluan (2 halaman), Pengantar Penerbit (1 halaman), Isi Kandungan (4 halaman) dan Muqaddimah (6 halaman). 

Karya penulisan ini merupakan karya berkaitan dengan seni bacaan al-Quran atau tarannum yang lengkap di mana kandungannya itu memfokuskan kepada disiplin ilmu tarannum, sejarah perkembangan dan tokoh-tokohnya. Berikut adalah ringkasan tajuk yang dibincangkan dalam buku ini;

                 a)    Seni Lagu al-Quran 
           b)     Seni suara lagu al-Quran, 
           c)      Syarat-syarat seni lagu al-Quran
           d)     Pembahagian seni lagu al-Quran
           e)      Perkembangan seni lagu al-Quran, 
           f)       Tokoh-tokoh lagu al-Quran mengikut negeri di Malaysia,
           g)      Peranan lagu terhadap pembacaan al-Quran
           h)     Sejarah Majlis Tilawah al-Quran di Malaysia.

Di bahagian akhir buku ini, ditambahkan dengan beberapa lampiran, iaitu;

a)     Peraturan Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
b)     Peraturan Majlis menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1410/1990.
c)      Kaedah Menghafaz al-Quran.
d)     Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan (1960-1995) dan Antarabangsa (1961-1995)
e)      Contoh-contoh Ayat al-Quran untuk Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Dalam perbincangan seni lagu al-Quran, Mohd Ali Abu Bakar cuba mengenengahkan beberapa teori yang berkaitan dengan seni lagu al-Quran yang dinukil daripada beberapa tokoh yang terkenal. Manakala dari sudut seni suara pula beliau mengemukakan beberapa cara atau kaedah untuk meperelokkan suara, penjagaan dan latihan pengawalan nafas, tingkatan suara serta peranannya disampingkan memberi beberapa tip atau petua berkaitan denga suara ketika membaca al-Quran.

Tulisan yang berkaitan dengan buku ini;

a)  Nur Azilah Azib (2010) The Writing Methodology of the Book “Seni Lagu Al-Quran di Malaysia”. Academic Project Report, USIM:Faculty of Quranic and Sunnah Studies.

b) Penulisan Karya Seni Lagu al-Quran Di Nusantara: Satu Tinjauan. Boleh dibaca  melalui pautan    http://umexpert.um.edu.my/file/publication/00010772_72919.pdf



Semoga bermanfaat.


[1]Perkara ini sebenarnya saya nukil daripada kata-kata aluan buku ini oleh Datuk Hj. Zainal Abidin bin Abdul Kadir, iaitu bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
          
[2] Terdapat karya-karya lain yang menjadikan rujukan masyarakat seperti kitab Siraj al-Qari karya Syeikh Muhammad Salleh Zainal Abidin al-Fatani - yang mula diterbitkan pada tahun 1938 oleh Syarikat al-Nahdi Wa Awladuhu yang berpusat di Thailand. Kesinambungan daripada karya penulisan ini munculah beberapa penulisan yang berikutnya yang berkaitan dengan disiplin ilmu ini seperti karya penulisan Haji Abdullah al-Qari bin Haji Salleh yang berjudul Kursus Qari dan Qariah pada tahun 1972 melalui percetakan Aman Press Sdn. Bhd,   karya penulisan Mohd Ali Abu Bakar yang berjudul Seni Lagu al-Quran Di Malaysia pada tahun 1990 yang diterbitkan Darul Fikir dan karya Haji Nik Ja’far Nik Ismail yang berjudul Qawaid Tarannum yang diterbit oleh pada tahun 1998 oleh syarikat yang sama. Ini hanyalah sekadar contoh sahaja, banyak lagi karya-karya lain yang telah diterbitkan sebagai mengisi perkembangan penulisan bidang tarannum al-Quran.

[3] Tiada maklumat lengkap mengenai biodata penulis. Berdasarkan kepada kata pengantar dalam karya ini, beliau hanya meletakan Maktab Perguruan Islam Bangi sebagai tempat penulisannya. kemungkinan besar, ketika menulis buku ini, beliau merupakan seorang pensyarah di Maktab Perguruan Islam Bangi.

Monday, March 17, 2014

Kitab Bab al-Nikah (باب النكاح)


Kitab Bab al-Nikah (باب النكاح) merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh yang menerangkan mengenai urusan perkahwinan dalam bahasa Melayu. Kitab ini selesai disusun oleh pengarangnya pada hari Isnin, 13 Safar 1289H.

Kitab ini masih beredar di pasaran kitab-kitab agama bertulisan Jawi. Sekadar pengetahuan saya kitab ini diterbitkan oleh Penerbit al-Haramain, Indonesia. Berdasarkan naskhah ini, di bahagian depan kulit (cover) tertulis “ Inilah kitab yang bernama Bab al-Nikah ”. Di bawah judulnya diterangkan secara ringkas kandungan kitab ini;  “ Membahas tentang hukum perkahwinan dan perkara yang berhubungan dengan dia daripada syarat, rukun, talak dan lainnya ”.

Di bahagian bawahnya dicatatkan nama penerbitnya “ al-Haramain – Sanqafurah – Jeddah, Indonesia ”. Tiada nama pengarang yang disebutkan dalam naskhah cetakan ini.

Mengenai pengarang kitab ini, sebenarnya tidak dapat dipastikan nama ulama yang menghasilkan karya ini. Saya cuba mencari maklumat mengenai kitab ini, namun setakat ini saya belum menemui tulisan para pengkaji kitab Jawi yang menyentuh secara khusus mengenainya.

Saya ada membaca artikel al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah mengenai Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari[1]. Di mana beliau ada menyebutkan di antara karya Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah kitab yang berjudul “ Bab al-Nikah ”. Namun begitu, saya tidak dapat kepastian mengenai kitab ini, adakah kitab yang disebut oleh beliau itu adalah kitab Bab al-Nikah yang dicetak dan dibincangkan dalam catatan ini, atau kitab lain yang mempunyai persamaan judulnya.

Saya ada juga terbaca dalam satu artikel yang lain yang menyebutkan Syaikh Nuruddin al-Raniri juga ada menghasil karya berjudul “ Bab al-Nikah[2].  Wallahu a’lam.

Berikut dilampirkan petikan awal kitab ini[3];

Ini kitab pada menyatakan hukum nikah, bermula nikah itu sunat barang siapa yang ingin kepada nikah itupun dengan syarat jika diperolehnya belanja nikah seperti mahar dan pakaian dan nafkah dan jika tiada diperolehnya belanja nikah maka terutama baginya meninggalkan nikah dan hendaklah dipecahkannya akan inginnya itu dengan melazimi puasa (adapun) orang yang tiada ingin ia kepada nikah maka makruh baginya nikah itupun dengan syarat jika tiada diperolehnya belanja nikah atau diperolehnya akan dia tetapi ada padanya penyakit seperti lemah zakarnya,  dah tua dan jika ada pada orang yang tiada inginnya itu belanja nikah dan ada padanya penyakit maka masghul dengan mengerjakan ibadah itu maka terafdhal baginya daripada nikah dan jika tiada masghul ia mengerjakan ibadah maka nikah itu afdhal baginya daripada meninggalkan dia ”.

Kitab ini diakhiri dengan petikan berikut;

Tamat al-Kitabah fi Hukmi Nikah pada hari Isnin yang ketiga belas haribulan safar pada tahun hijrah seribu dua ratus delapan puluh sembilan tahun ketiga itulah siap menyurat kitab ini ”.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan dalam catatan ringkas ini. Diharap ada mereka yang berminat membuat kajian yang mendalam terhadap karya ini. Semoga catatan ini bermanfaat.






[2] Dalam artikel yang berjudul “ Pertapakan dan Penyebaran Islam di Negeri Kedah ”, karya Dato' Wan Shamsudin Mohd. Yusof itu ada diterangkan bahawa dalam Hikayat Merong Mahawangsa  ada dikisahkan “ bahawa setelah Kedah menerima Islam, Sultan Acheh mengirim dua buah kitab karya ulama Acheh, Syeikh Nuruddin Al-Raniri iaitu “Siratul-Mustaqim” dan "Babun-Nikah” untuk dikaji dan dipelajari ”. Baca artikel ini di pautan; http://www.mykedah2.com/10heritage/102_5_p2.htm

[3] Petikan ini saya nukil dari pautan http://kuliahcinta.blogspot.com/2008/07/pengenalan-kitab-babul-nikah.html . Sila layarinya untuk membaca kandungan kitab ini yang telah disalin kembali dengan tulisan rumi.

Tuesday, March 4, 2014

TAFSIR SURAH YASIN AL-MARBAWI


Syaikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi (1896-1989) merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di negara ini. Bagi mengiktiraf keilmuan dan jasa beliau, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan beliau sebagai tokoh Ma’al Hijrah yang pertama pada tahun 1987.  

Keilmuan al-Marbawi begitu terserlah melalui karya-karya beliau yang menjadi rujukan para ulama, khusus dalam bidang ilmu hadis melalui beberapa karya beliau seperti Bahr al-Mazi, terjemahan Bulugh al-Maram  dan lainnya. Di samping itu beliau juga mencurahkan usaha beliau menghasilkan beberapa karya dalam bidang tafsir. 

Antara karya beliau dalam bidang tafsir ialah; 

1. Tafsir Quran al-Marbawi Juzuk Alif Lam Min, 
2. Tafsir Quran al-Marbawi Surah Yasin 
2. Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu, 3. Tafsir Nur al-Yaqin, 
4. Tafsir Fath al-Qadir,
5. Tafsir Surah al-Fatihah, 
6. Quran Bergantung Makna 
7. Quran 30 Juzuk 


Tafsir Surah Yasin

Kitab Tafsir Surah Yasin disusun oleh al-Marbawi sebagai rentetan terhadap usaha beliau untuk mentafsirkan keseluruhan al-Quran. Namun demikian, beliau tidak berkesampaian untuk mentafsirkan keseluruhan ayat al-Quran, melainkan tafsiran dan terjemahan kepada beberapa surah dan ayat sahaja seperti yang disebutkan di atas.

Terdapat dua judul kitab tafsir Surah Yasin yang disusun oleh al-Marbawi yang pernah dicetak dan diterbitkan, iaitu;


1. Kitab Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu

Mengenai kitab Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu ini, al-Marhum Haji Wan Muhd Shaghir Abdullah menyebut bahawa kitab tafsir ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi  berdasarkan tafsir surah Yasin yang terdapat dalam kitab Tafsir Fath al-Qadir al-Jami’ Bayn Fanny al-Riyawat wa al-Dirawat min ‘Ilm al-Tafsir karya Imam Muhammad bin Ali al-Syawkani, iaitu  atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935M. Perkara ini ada dinyatakan sendiri oleh al-Marbawi dalam mukadimah kitab tafsirnya;

Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahawa hamba terjemahkan Tafsir Yasin karangan al-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Asalnya kitab ini memang disusun oleh al-Marbawi sebagai terjemahan bagi Tafsir Surah Yasin yang terdapat kitab Tafsir Fath al-Qadir al-Jami’  Bayn Fanny al-Riyawat wa al-Dirawat min ‘Ilm al-Tafsir karya Imam al-Shawkani. Namun begitu, ia bukan semata-mata terjemahan, kerana dalam penyusunan kitab ini al-Marbawi juga telah membuat beberapa penambahan dengan membuat rujukan terhadap beberapa kitab tafsir yang lain dalam mengemukakan tafsiran dan permasalahan terhadap ayat-ayat al-Quran dalam surah tersebut. Kenyataan ini jelas disebutkan oleh al-Marbawi pada awal pengenalan kitab ini. al-Marbawi menyebutkan;

“ Syeikh yang sangat alim lagi masyhur tinggi dan dalam ilmunya di dalam dunia ini yang dipanggil orang dengan nama Imam Fakhr al-Din al-Razi, juga Tafsir al-Qurtubi, sudah cukup perkenan di hati saya hendak dibahasakan ke bahasa Melayu, dengan tafsir yang teratur cara baru, yang mudah faham dan senang mengambil ingat...

Pada perenggan yang terakhir, al-Marbawi menyebutkan lagi bahawa beliau sama sekali tidak hanya bergantung kepada dua tafsiran yang disebutkan itu sahaja, melainkan terdapat tambahan dan rujukan dari tafsir lain dan tambahan oleh beliau sendiri. Katanya:

Tidaklah saya memindahkan ke sini apa-apa isi tafsir itu sahaja, bahkan saya datangkan apa-apa masalah dari tafsir lain yang ada disebutkan nama-namanya di awal atau di akhir apa masalahnya.

Melalui penelitian para pengkaji, selain kitab Tafsir al-Qurtubi iaitu al-Jami„ li Ahkam al-Qur’an karya Imam al-Qurtubi dan Mafatih al-Ghaib min al-Qur’an al-Karim karya Fakhr al-Din al-Razi, antara kitab-kitab tafsir lain yang menjadi rujukan beliau adalah kitab Tasir al-Tabari atau Tafsir Jami’ al-Bayan fi Tawil Ay al-Quran karya Imam al-Tabari, Tafsir al-Khazin iaitu Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani al-Tanzil karya al-Khazin, Tafsir al-Kabir dan beberapa tafsir yang lain. Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu telah sempurna diterjemahkan pada akhir bulan Rejab 1353H dan telah dicetak dan diterbitkan oleh al-Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh pada tahun 1935M.


2. Kitab Tafsir Surah Yasin

Kitab tafsir ini merupakan kesinambungan kepada kitab tafsir yang disusun sebelumnya, iaitu kitab Tafsir Quran Marbawi Juz Alif Lam Mim. Oleh itu kitab tafsir ini juga dikenali sebagai Tafsir Quran Marbawi Surah Yasin.

Kitab Tafsir Quran Marbawi Surah Yasin telah diselesaikan tafsirannya pada malam Sabtu, 12 Ramadhan 1386H bersamaan dengan 24 Disember 1966M ketika al-Marbawi berusia 73 tahun.  Namun begitu, kitab tafsir ini telah diterbitkan dahulu sebelum al-Marbawi menyelesaikan keseluruhan tafsirannya dalam surah Yasin. Karya ini telah diterbitkan oleh al-Matba‘ah al-Anwar, Kaherah, dengan cetakan pertama pada bulan Sya‘ban 1383H bersamaan dengan Januari 1964M, iaitu dua tahun sebelum al-Marbawi menyelesaikan keseluruhan tafsirannya pada surah tersebut. Di bahagian kulit depan (cover) kitab tafsir ini tercatat “ Tafsir Surah Yasin”. 

Rujukan;

Artikel di atas, disusun semula berdasarkan beberapa artikel dari pautan berikut. Sila baca artikel berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab tafsir ini. Semoga bermanfaat.