Saturday, March 22, 2014

Seni Lagu al-Quran Di Malaysia


Buku yang berjudul “ Seni Lagu al-Quran Di Malaysia ” merupakan antara karya dalam bidang tarannum al-Quran dalam bahasa Melayu yang julung[1] kali yang dicetak dan diterbitkan di Malaysia. Kenyataan ini tidak menafikan kewujudan karya-karya lain, sama ada sebelum, atau selepasnya[2].

Karya ini merupakan hasil penulisan Mohd Ali Abu Bakar[3] yang diterbitkan oleh Darul Fikir Sdn. Bhd, dengan cetakan awalnya pada tahun 1990. Manakala edisi barunya dengan beberapa tambahan dan pembaikan dari segi bahasa dan susunannya telah dicetak dan diterbitkan pada tahun 1997. Edisi baru ini, ada dalam koleksi saya – yang mempunyai 192 halaman bercetak, tidak termasuk halaman Kata Pengantar Penyusun (3 halaman), Kata-kata Aluan (2 halaman), Pengantar Penerbit (1 halaman), Isi Kandungan (4 halaman) dan Muqaddimah (6 halaman). 

Karya penulisan ini merupakan karya berkaitan dengan seni bacaan al-Quran atau tarannum yang lengkap di mana kandungannya itu memfokuskan kepada disiplin ilmu tarannum, sejarah perkembangan dan tokoh-tokohnya. Berikut adalah ringkasan tajuk yang dibincangkan dalam buku ini;

                 a)    Seni Lagu al-Quran 
           b)     Seni suara lagu al-Quran, 
           c)      Syarat-syarat seni lagu al-Quran
           d)     Pembahagian seni lagu al-Quran
           e)      Perkembangan seni lagu al-Quran, 
           f)       Tokoh-tokoh lagu al-Quran mengikut negeri di Malaysia,
           g)      Peranan lagu terhadap pembacaan al-Quran
           h)     Sejarah Majlis Tilawah al-Quran di Malaysia.

Di bahagian akhir buku ini, ditambahkan dengan beberapa lampiran, iaitu;

a)     Peraturan Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
b)     Peraturan Majlis menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1410/1990.
c)      Kaedah Menghafaz al-Quran.
d)     Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan (1960-1995) dan Antarabangsa (1961-1995)
e)      Contoh-contoh Ayat al-Quran untuk Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Dalam perbincangan seni lagu al-Quran, Mohd Ali Abu Bakar cuba mengenengahkan beberapa teori yang berkaitan dengan seni lagu al-Quran yang dinukil daripada beberapa tokoh yang terkenal. Manakala dari sudut seni suara pula beliau mengemukakan beberapa cara atau kaedah untuk meperelokkan suara, penjagaan dan latihan pengawalan nafas, tingkatan suara serta peranannya disampingkan memberi beberapa tip atau petua berkaitan denga suara ketika membaca al-Quran.

Tulisan yang berkaitan dengan buku ini;

a)  Nur Azilah Azib (2010) The Writing Methodology of the Book “Seni Lagu Al-Quran di Malaysia”. Academic Project Report, USIM:Faculty of Quranic and Sunnah Studies.

b) Penulisan Karya Seni Lagu al-Quran Di Nusantara: Satu Tinjauan. Boleh dibaca  melalui pautan    http://umexpert.um.edu.my/file/publication/00010772_72919.pdf



Semoga bermanfaat.


[1]Perkara ini sebenarnya saya nukil daripada kata-kata aluan buku ini oleh Datuk Hj. Zainal Abidin bin Abdul Kadir, iaitu bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
          
[2] Terdapat karya-karya lain yang menjadikan rujukan masyarakat seperti kitab Siraj al-Qari karya Syeikh Muhammad Salleh Zainal Abidin al-Fatani - yang mula diterbitkan pada tahun 1938 oleh Syarikat al-Nahdi Wa Awladuhu yang berpusat di Thailand. Kesinambungan daripada karya penulisan ini munculah beberapa penulisan yang berikutnya yang berkaitan dengan disiplin ilmu ini seperti karya penulisan Haji Abdullah al-Qari bin Haji Salleh yang berjudul Kursus Qari dan Qariah pada tahun 1972 melalui percetakan Aman Press Sdn. Bhd,   karya penulisan Mohd Ali Abu Bakar yang berjudul Seni Lagu al-Quran Di Malaysia pada tahun 1990 yang diterbitkan Darul Fikir dan karya Haji Nik Ja’far Nik Ismail yang berjudul Qawaid Tarannum yang diterbit oleh pada tahun 1998 oleh syarikat yang sama. Ini hanyalah sekadar contoh sahaja, banyak lagi karya-karya lain yang telah diterbitkan sebagai mengisi perkembangan penulisan bidang tarannum al-Quran.

[3] Tiada maklumat lengkap mengenai biodata penulis. Berdasarkan kepada kata pengantar dalam karya ini, beliau hanya meletakan Maktab Perguruan Islam Bangi sebagai tempat penulisannya. kemungkinan besar, ketika menulis buku ini, beliau merupakan seorang pensyarah di Maktab Perguruan Islam Bangi.

No comments:

Post a Comment