Sunday, January 27, 2019

Lautan Maha Kasih Dalam Kisah



Buku Lautan Maha Kasih Dalam Kisah merupakan sebuah karya yang terjemahan yang disadur dari sebuah kitab tafsir terkenal masa kini, iaitu Tafsir al-Sya’rawi. Dalam buku ini, mengandungi himpunan tafsir atau huraian yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi (1911-1998) terhadap beberapa ayat al-Quran yang mengandungi kisah-kisah sebagai pengajaran bagi manusia. Buku ini disusun dan diolah kembali dari kitab tafsir induknya oleh H. Zainal Ariffin MA dan H. Abu Ezzat Al-Mubarak MA.

Buku Lautan Maha Kasih Dalam Kisah ini merupakan kelanjutan dari buku Pesan Maha Kasih Dalam Kisah yang telah diterbitkan sebelumnya. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Jiwa Sdn. Bhd, Kuala Lumpur dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008. Ketebalan buku ini merangkumi 686 halaman.

Buku Lautan Maha Kasih Dalam Kisah ini sangat menarik untuk dibaca, kerana ia mengandungi kisah-kisah yang bermanfaat sebagai pengajaran dan teladan bagi manusia yang disampai secara langsung oleh Allah dalam al-Quran. Dalam kisah-kisah ini tercermin kasih sayang Allah SWT yang tiada tara terhadap para hamba-Nya.


Kandungan buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian;

1)      Lautan Maha Kasih Dalam Kisah Surah al-Anfal (4 Kisah).
2)     Pesan Maha Kasih Dalam Kisah Surah al-Taubah (11 Kisah).
3)     Pesan Maha Kasih Dalam Kisah Surah Yunus dan Yusuf (8 kisah).
4)     Pesan Maha Kasih Dalam Kisah Surah Ar-Ra’d, Ibrahim dan al-Hijr (6 kisah).
5)     Lautan Maha Kasih Dalam Kisah Surah al-Nahl, al-Isra’, al-Kahfi dan Maryam (12 kisah).

Semoga bermanfaat.

Saturday, January 26, 2019

Bagaimana Mencari Malam Al-Qadar



Buku Bagaimana Mencari Malam Al-Qadar adalah sebuah buku yang khsusus membicarakan Lailatulqadar (Malam al-Qadar) serta hal-hal yang berkaitan dengannya. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan bagi kitab yang berjudul Lailatul Qadr: Ma’naha, Waqtuha, al-Du’a Fiha  (ليلة القدر معناها وقتها الدعاء فيها), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafizh Waliyuddin Ahmad bin Abdul Rahim bin al-Hasan al-‘Iraqi (762-826H). 

Manakala terjemahannya diusahakan oleh Ust. Akmal Haji Mhd. Zain. Buku ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Terdapat dua naskhah buku ini dalam koleksi saya;
1)      Edisi cetakan 2001 (110 halaman).
2)     Edisi cetakan 2008 (94 halaman).

Kandungan buku ini..

Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada 8 bab, yang dimulai dengan kata penerbit, kata pengantar (penterjemah), prakata penerbit (edisi bahasa Arab) dan pendahuluan (penulis – Waliyuddin al-‘Iraqi). Berikut adalah isi kandungan buku ini;

1)   Perbezaan Pendapat Tentang Sebab Malam Itu Dinamakan Malam al-Qadr.
2)     Sebab Malam Itu Dinamakan Malam al-Qadr.
3)     Malam al-Qadr Keistimewaan Bagi Umat Muhammad saw.
4)     Malam al-Qadr Tetap Ada Hingga Hari Kiamat.
5)     Beberapa Pendapat Ulama Menentukan Malam al-Qadr.
6)     Tanda-Tanda Malam al-Qadr[1].
7)     Hikmat Merahsiakan Malam al-Qadr[2].
8)    Sifat Doa Pada Malam al-Qadr[3].

Kitab edisi bahasa Arabnya boleh dimuat turun di pautan ليلة القدر معناها وقتها الدعاء فيها. Kitab dalam bentuk file pdf ini merupakan salinan dari kitab yang diterbitkan oleh Maktabah al-Turath al-Islamiy, Kaherah-Mesir.

Semoga bermanfaat.



[1] Berdasarkan kitab edisi arabnya, bab 6 ini merupakan kandungan terakhir bagi kitab Lailatul Qadr, karya al-Hafizh Waliyuddin al-‘Iraqi (lihat Lailatul Qadr, hal.56). Manakala bab 7 dan bab 8 merupakan lampiran yang dicantumkan oleh pentahkik (Lihat Lailatul Qadr, hal. 57-60). Wallahu a’lam.
[2] Dipetik dari kitab Zadul Masir, karya Imam al-Jawzi (Jilid 9, hal. 189-190).
[3] Dipetik dari kitab Latha-if al-Ma’arif, karya Ibn Rajab al-Hanbali (hal. 219-220).

Thursday, January 24, 2019

Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq



Kitab Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq  (إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق) merupakan sebuah karya dalam bidang ilmu hadis yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Imam al-Nawawi menyusun kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Irsyad (الإرشاد) ini sebagai ringkasan bagi kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح), iaitu karya al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H).

Kitab al-Irsyad kemudiannya telah diringkaskan lagi oleh Imam al-Nawawi melalui karya beliau yang berjudul al-Taqrib wa al-Taysir li Ma'rifat Sunan al-Basyir wa al- Nazir (التقريب والتيسير لمعرفة سنن البشير النذير), yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Taqrib (التقريب).

Manakala kitab al-Taqrib pula telah diberikan huraian (syarah) oleh Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H) melalui karya beliau yang berjudul Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi (تَدْرِيبُ الرَّاوِي فِي شَرْحِ تَقْرِيب النَّوَوِي).

Kitab al-Irsyad boleh dimuat turun melalui pautan  إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق.

Semoga bermanfaat.

Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi



Kitab Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi (تَدْرِيبُ الرَّاوِي فِي شَرْحِ تَقْرِيب النَّوَوِي) merupakan sebuah karya dalam bidang ilmu hadis yang disusun oleh al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H). Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Taqrib (التقريب)[1], karya al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Manakala kitab al-Taqrib pula, disusun oleh Imam al-Nawawi sebagai ringkasan bagi karya beliau yang lain, yang bejudul al-Irsyad (الإرشاد)[2]. Sedangkan kitab al-Irsyad pula merupakan ringkasan bagi al-Muqaddimah (المقدمة), karya al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H), yang terkenal dengam gelaran Ibn al-Shalah.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan تدريب الراوي في شرح تقريب النواوي. Kitab dalam bentuk file PDF ini adalah salinan dari kitab yang diterbitkan oleh Maktabah al-Kawtsar (cet.2/1415H).


[1] Judul lengkapnya ialah al-Taqrib wa al-Taysir li Ma'rifat Sunan al-Basyir wa al- Nazir (التقريب والتيسير لمعرفة سنن البشير النذير)

[2] Judul lengkapnya ialah Irsyad Thullab al-Haqa-iq ila Ma'rifat Sunan Khayr al-Khala-iq  (إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق).

Tuesday, January 22, 2019

Rahmat Allah Disebalik Perbezaan Mazhab



Buku Rahmat Allah Disebalik Perbezaan Mazhab merupakan sebuah karya terjemahan dari sebuah kitab berjudul Jazilah al-Mawahib Fi Ikhtilaf al-Mazahib (جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi al-Syafi’i (847-911H). Manakala terjemahannya dalam Bahasa Malaysia diusahakan oleh Ustaz Muhammad Fadli Ismail dan diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996. Isi kandungan buku ini merangkumi 71 halaman.

Dalam buku ini Imam al-Suyuthi menerangkan kewujudan rahmat Allah SWT disebalik perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam, khususnya di kalangan para Sahabat, para Imam Mujtahid dan mazhab-mazhab umat Islam.

Perbezaan pendapat yang berlaku dalam persoalan yang membabitkan ilmu fiqh sememangnya merupakan perkara biasa di kalangan umat Islam. Walaupun tidak dinafikan terdapat imbasan atau kesan negatif disebabkan perbezaan pendapat para fuqaha itu, tetapi kesan atau impak positifnya ke atas umat Islam sejagat adalah lebih meluas. Keadaan yang demikian pada hakikatnya lebih mendorong dan membawa pertumbuhan dan perkembangan ketamadunan ilmu sehingga ke seluruh dunia.

Buku ini dimulai dengan Prakata Penterjemah (ha. 1-5) dan Biografi Ringkas al-Imam al-Suyuthi (hal. 6-9).Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini;

A. Terjemahan kitab Jazilah al-Mawahib ini dimulai dengan Muqaddimah Penyusun (Imam al-Suyuthi) (hal. 10-14). Perbincangan isi kitab ini kemudian dibahagikan kepada 6 bab (hal. 15-51), iaitu;

1.       Rahmat Di Sebalik Perbezaan.
2.      Perselisihan Di Kalangan Para Sahabat.
3.      Setiap Mujtahid Adalah Benar.
4.      Hukum Berpindah Dari Satu Mazhab Ke Mazhab Lain.
5.      Kelebihan Mazhab Syafie[1].
6.      Senarai Para Ulama Yang Pernah Menukar Mazhab.

B.   Lampiran (Tambahan Penterjemah);

1.       Sebab Berlakunya perbezaan Mazhab (hal. 53-59).
2.      Mengapa Bermazhab (hal.60-71).

Buku edisi arabnya,  boleh dimuat turun di pautan جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب / 

Semoga bermanfaat.



[1] Berdasarkan  versi arabnya,  bab ini masih kandungan dari bab sebelumnya. Penterjemah telah membuat bab tambahan  yang berasingan dari bab asalnya. Lihat جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب, terbitan Daral-I’tisham (hal. 45-52)

Sunday, January 20, 2019

Pesan Maha Kasih Dalam Kisah



Buku Pesan Maha Kasih Dalam Kisah merupakan sebuah karya yang diterjemah dan disadur dari sebuah kitab tafsir terkenal masa kini, iaitu Tafsir al-Sya’rawi. Dalam buku ini, mengandungi himpunan tafsir atau huraian yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi (1911-) terhadap beberapa ayat al-Quran yang mengandungi kisah-kisah sebagai pengajaran bagi manusia. Buku ini disusun dan diolah kembali dari kitab tafsir induknya oleh H. Zainal Ariffin MA dan H. Abu Ezzat Al-Mubarak MA. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Jiwa Sdn. Bhd, Kuala Lumpur dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008. Ketebalan buku ini merangkumi 693 halaman.

Buku Pesan Maha Kasih Dalam Kisah ini sangat menarik untuk dibaca, kerana ia mengandungi kisah-kisah yang bermanfaat sebagai pengajaran dan teladan bagi manusia yang disampai secara langsung oleh Allah dalam al-Quran. Dalam kisah-kisah ini tercermin kasih sayang Allah SWT yang tiada tara terhadap para hamba-Nya.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian;

1)      Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-Baqarah (9 Kisah)
2)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah Ali ‘Imran (7 Kisah)
3)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-Nisa’ al-Maidah dan al-An’am (6 kisah)
4)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-A’raf (15 ksah).

Semoga bermanfaat.


Kursus Qari dan Qariah



Buku Kursus Qari dan Qariah merupakan sebuah karya dalam bidang tajwid dan pembacaan al-Quran yang disusun oleh al-Fadhil Tuan Haji Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (1937-), seseorang karyawan dan ilmuan agama yang terkenal di negeri Kelantan. Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Pustaka Aman Press pada tahun 1982. Ketebalan buku ini merangkumi 236 halaman. Buku ini kerap diulang cetak oleh penerbit yang sama beberapa kali, namun saya tidak pasti cetakan terakhirnya. Dalam koleksi saya ada senaskhah buku ini yang diterbitkan pada tahun 2002 ( cetakan ke 26 ).

Kandungan buku ini dibahagikan kepada dua topik utama iaitu:

1. Membicara hal berkaitan dengan Tajwid al-Quran.

2. Membicara hal berkaitan teknik bacaan al-Quran.

Perbincangan mengenai seni bacaan al-Quran atau tarannum secara khusus dalam buku ini dapat dilihat pada topik yang kedua sahaja yang bermula daripada halaman 161 hingga 178 di mana terdapat dua sub-topik berkaitan dengannya iaitu:

1.       Membaca Quran dengan berlagu.

Dalam sub-topik ini penulis banyak membawakan hadith-hadith berkaitan dengan keharusan membaca al-Quran dengan berlagu dari pelbagai sumber rujukan disamping petikan beberapa ayat al-Quran yang bersesuaian dengan perkara yang diperbahaskan. Selain itu pandangan para ulama juga turut dimuatkan yang merangkumi pandangan fuqaha, muhadithin dan mufassirin dalam membicarakan hukum membaca al-Quran secara berlagu dari perspektif Islam. Selain itu Tuan Haji Abdullah al-Qari turut menyatakan kesan dan pengaruh lagu dalam pembacaan alQuran.

2.      Disekitar lagu-lagu Quran.

Sub-topik ini merupakan yang keenam dalam topik yang kedua di mana Tuan Haji Abdullah al-Qari memuatkan beberapa aliran lagu yang masyhur dalam pembacaan al-Quran seperti aliran Hijazi dan aliran Misri. Karya ini juga turut menjelaskan tingkatan suara yang bersesuaian dengan setiap lagu yang hendak dibaca supaya dapat menggambarkan pengertian atau maksud kandungan ayat-ayat al-Quran menjadi matlamat pengibadatan kepada Allah S.W.T.

Bagi melengkapkan lagi karya beliau ini, Tuan Haji Abdullah al-Qari telah menyusun karya yang lain yang berjudul Lanjutan Kursus Qari' dan Qariah. Buku ini telah diterbitkan sendiri oleh beliau melalui syarikatnya Pustaka ASA pada tahun 1988. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 16, 2019

Panduan Shalat Lengkap



Buku Panduan Shalat Lengkap : Tata Cara Shalat Sesuai Tuntunan Rasulullah merupakan sebuah karya terjemahan dalam bahasa Melayu (Indonesia) bagi Kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu satu bahagian yang khusus membicarakan tatacara ibadat solat dari karya agung al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang berjudul al-Umm (الأم). Buku ini diterjemahkan oleh Abdul Rosyad Shiddiq dan diterbitkan oleh Khatulistiwa Press, Jakarta. Ketebalan buku ini merangkumi 349 halaman (tidak termasuk halaman daftar isi, pengantar penerbit dan biografi singkat Imam Syafi’i).

Sebagaimana karya-karya para ulama silam yang lainnya, isi kitab al-Umm merupakan kumpulan tulisan dan pendapat Imam al-Syafi’i mengenai bidang fiqh yang telah diriwayatkan, ditulis atau dicatat oleh para murid beliau. Oleh itu, dalam kitab asalnya terdapat banyak dipermulaan ayatnya perkataan ‘al-Syafi’i berkata (قال الشافعي), ‘al-Rabi’ berkata (قال الربيع)’ dan sebagainya. Namun begitu, dalam penyusunan kembali buku ini, penterjemah telah membuat beberapa pengubahsuaian bagi memudahkan para pembaca, di mana perkataan-perkataan dipermulaan ayat tersebut telah dibuangkan dari teks terjemahan ini, tanpa merubahkan isi kandungan kitab asalnya. Oleh itu, penyusunan buku ini, seolah-olah ditulis secara langsung oleh Imam Syafi'i sebagaimana penyusunan buku-buku yang diterbitkan pada masa kini.

Buku ini menuntun kita untuk dapat solat secara sempurna, dengan mengikuti aturan-aturan yang telah ditetapkan secara rinci oleh Allah dan Rasul-Nya. Di mana  Rasulullah saw. secara tegas memerintahkan kepada umatnya untuk mengerjakan solat seperti yang baginda lakukan. Solat yang berbeza dengan yang baginda lakukan adalah tertolak.

Berbeza dengan buku panduan solat lainnya yang banyak beredar dalam masyarakat, buku ini ditulis oleh Imam al-Syafi’i, iaitu salah seorang imam mazhab dan seorang tabi'it tabi'in, yang masa hidupnya tidak terlalu jauh dari masa hidup Rasulullah saw. sendiri. Beliau mengamati langsung para ulama dan warga Makkah dan Madinah solat pada masa itu, juga hadits-hadits tentang solat yang banyak beredar di kalangan ulama dua kota suci tersebut.

Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini, yang dibahagikan kepada 22 bab;

Bab 1: Dasar Rakaat Shalat Fardu
Bab 2: Orang Yang Shalat
Bab 3: Waktu Shalat
Bab 4: Menjamak Shalat
Bab 5: Shalah Orang Sakit
Bab 6: Azan dan Iqamat
Bab 7: Pakaian Orang Yang Shalat
Bab 8: Tempat yang Boleh dan Tidak Boleh digunakan untuk Shalat.
Bab 9: Menghadap Kiblat
Bab 10: Gerakan dan Bacaan Shalat, Dari niat sampai Salam
Bab 11: Sujud Sahwi
Bab 12: Sujud Tilawah dan Sujud Syukur
Bab 13: Shalat Witir Minimal satu Rakaat
Bab 14: Waktu-waktu Yang Dimakruhkan Untuk Shalat
Bab 15: Shalat Jamaah
Bab 16: Shalat Orang Musafir
Bab 17: Shalat Jumaat
Bab 18: Shalat Khauf
Bab 19: Shalat Idul Fitri dan Idul Adha
Bab 20: Shalat Gerhana Matahari
Bab 21: Shalat Minta Hujan
Bab 22: Shalat Jenazah.

Semoga bermanfaat.

Monday, January 14, 2019

Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia


Buku Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia ini adalah sebuah karya terjemahan (pengubahsuaian) dari bahasa Melayu Klasik (Patani) ke dalam Bahasa Malaysia bagi kitab Munyatul Musolli (منية المصلي) karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, seorang ulama terkenal di Nusantara. Usaha penyusunan kembali kitab ini dilakukan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ramzi bin Omar. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ilmuan, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2015.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan petikan “Kata Penterjemah”nya;

Kitab berjudul Munyatul Musolli yang Melengkapi Masail al-Durar waa al-La'ali (Dambaan Orang yang Solat yang Melengkapi Masalah-Masalah Bak Batu-Batu Permata dan Mutiara) merupakan kitab yang terkenal dalam kalangan masyarakat Islam di Nusantara. Walaupun ia merupakan kitab yang kecil saiznya berbanding sekian banyak kitab-kitab lain yan dikarang oleh Syeikh Daud al-Fatani, namun manfaatnya tersebar luas merentasi tempat dan masa. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Daud al-Fatani merupakan salah seorang ulama yang membentuk hala tuju masyarakat Islam Malaysia dan Nusantara dalam menghayati amalan keagamaan mereka.

Kitab ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Melayu Klasik sesuai dengan bahasa penulisan pada zaman Syeikh Daud. Justeru, ia agak sukar difahami oleh kebanyakan pembaca melainkan mereka yang terbabit secara langsung dalam pengajian kitab-kitab jawi klasik. Penterjemah (penyusun) merupakan di antara sekian ramai umat Islam di Malaysia yang mengambil manfaat daripada kitab terbabit, sama ada melalui pembelajaran mahu pun pengajaran. Pengalaman mengajar kitab tersebut kepada masyarakat mencetuskan inspirasi untuk membuat beberapa catatan kepada sesetengah isi kandungannya sebagai membantu menambahkan lagi kefahaman terhadap kitab  tersebut.

Catatan-catatan yang dibuat dimasukkan dalam bentuk nota kaki merangkumi ulasan sesetengah hukum-hukum feqah yang berkaitan, pengenalan kepada beberapa orang tokoh ulama yang disebutkan dalam kitab ini, serta sumber rujukan terhadap beberapa isi kandungan yang dirasakan perlu seperti sumber-sumber hadith dan rujukan kitab-kitab  yang berkaitan.

Dalam usaha mencatatkan beberapa fakta sebagai pencerahan kepada kitab ini, maka penyusun merasakan kitab ini perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia demi memudahkan lagi kefahamannya di kalangan pembaca. Justeru, apa yang ada pada tatapan pembaca merupakan naskah Munyatul Musolli yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, di samping beberapa pencerahan melalui nota-nota kaki yang dimasukkan.

Selain daripada itu, demi mengekalkan keaslian kitab terbabit maka kami sertakan versi asal kitab tersebut dalam tulisan jawi yang dimuatkan dibahagian belakang buku ini. Walaupun begitu, sistem tulisan jawinya ditukarkan kepada sistem ejaan jawi moden, namun lenggok bahasa atau uslubnya tetap kekal seperti bahasa asalnya.

Selain kitab Munyatul Musolli, dalam buku ini juga dilampirkan bersama sebuah karya Syeikh Daud al-Fatani yang lain yang berjudul Bahjatul Mardhiah. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya.

Buku ini perlu dimiliki dan menjadi bahan bacaan rujukan umat Islam, khususnya mereka yang sedang mentela’ah dan mempelajari isi kandungan kitab Munyatul Musolli. Buku ini boleh menjadi panduan yang berguna untuk memahami isi kandungan kitab Munyatul Musolli dengan lebih jelas dan tepat. 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 9, 2019

Ensiklopedia Hukum Wanita dan Kekeluargaan


Buku Ensiklopedia Hukum Wanita dan Kekeluargaan: Kajian Mendalam Masalah Wanita & Keluarga Dalam Perspektif Syariah Islam merupakan sebuah buku terjemahan bagi  kitab al-Mufashshal Ahkam al-Mar-ah wa al-Bayt al-Muslim Fi Syari’ah al-Islamiyyah (المفصل في أحكام المرأة و البيت المسلم في الشريعة الإسلامية). Kitab ini  merupakan sebuah kitab fiqh semasa yang disusun oleh seorang tokoh ulama fiqh dan pemikir Islam terkenal yang berasal dari negara Iraq, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan (1917-2014).

Sebagaimana judulnya, kitab fiqh ini membincangkan permasalahan hukum yang khusus tentang fiqh wanita. Kalau kita telurusi lebih mendalam, sebenarnya kitab ini merupakan karya ilmu fiqh yang cukup lengkap, mulai dari urusan thaharah (bersuci) sampai urusan yang paling luas seperti pentadbiran negara, jihad dan seterusnya.

Terjemahan asal buku ini diterbitkan oleh Rabbani Press, Jakarta, Indonesia dengan judul Ensiklopedi Hukum Wanita dan Keluarga: Studi Terperinci Masalah Kewanitaan dan Keluarga Dalam Perspektif Hukum Islam. Manakala bagi edisi terbitan di Malaysia, ia diterbitkan oleh Pustaka Dini, Selangor (2007). Sebagaimana edisi Indonesia, edisi terbitan Pustaka Dini ini diterbitkan dalam 3 jilid.

Sebenarnya edisi terjemahan ini hanyalah terjemahan bagi bahagian (kitab) pertama kitab al-Mufashshal, iaitu kitab Ibadat. Sedangkan kitab asalnya ia dibahagikan kepada 9 bahagian (kitab) dan diterbitkan dalam 11 jilid.

Berikut adalah pembahagian kandungan buku terjemahan ini;

a)     Jilid 1:  Mengandungi bab 1: Solat (442 halaman).
b)  Jilid 2: Mengandungi 2 bahagian; iaitu Bab 2: Zakat,  dan Bab 3: Puasa (322 halaman).
c)      Jilid 3: Mengandungi bab 4: Haji (299 Halaman).

Sekadar pencarian saya, sama ada di kedai-kedai buku atau laman sesawang saya belum menjumpai maklumat atau buku terjemahan lengkap bagi kitab al-Mufashshal karya Syaikh Dr Abdul Karim Zaidan ini.

Semoga bermanfaat.