Monday, August 27, 2012

Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib


 
Kitab Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, juga dikenali sebagai  al-Qawl al-Mukhtar  Fi Syarh Ghayah al-Ikhtishar  dan  Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib adalah karya Abu Abdullah Syamsuddin Muhammad bin Qasim bin Muhammad al-Ghazzi al-Syafi’i  (918H). Ia merupakan kitab yang menghuraikan kandungan kitab Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’ al-Ashbahani (500H). Huraiannya agak ringkas dan di antara kitab syarah fiqh al-Syafi’i yang paling mudah difahami.

Kitab Fath al-Qarb al-Mujib  ini sangat terkenal di kalangan ulama Syafi’i. Ia menjadi rujukan dan kitab yang di pelajari di institut-institut pengajian Islam di dunia Islam. Ia kemudiannnya telah diberi komentar (hasyiah) oleh beberapa ulama yang terkenal. Antara kitab hasyiah tersebut ialah:

1.      Hasyiah al-Birmawi; karya Burhanuddin al-Birmawi (1160H),

2.      Hasyiah al-Qalyubi; karya Syihabuddin al-Qalyubi (1069H),

3.      Hasyiah al-Ajhuri ; karya Abdul Bar bin Abdullah al-Ajhuri al-Syafi’iy (1070H)

4.      Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ; karya ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi (1070H),

5.      Hasyiah al-Rahmani; karya Dawud bin Sulaiman al-Rahmaniy (1070H),

6.      Hasyiah al-Syubramillasi; karya Abu al-Dhiyak Nuruddin al-Syubramillasi (1087H),

7.      Hasyiah al-Shafawi; karya Mustafa bin Muhammad al-Shafawi al-Qal-’awi ( 1230H)

8.      Hasyiah al-Bayjuri ‘ala Syarh Ibn Qasim; karya Ibrahim al-Bayjuri (1277H),

9.     Qut al-Habib al-Gharib Tawsyih ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib; karya Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi Banteni (1316H)


Kitab Fath al-Qarib al-Mujib boleh didownload pada pautan ini : PDF

Tuesday, August 21, 2012

Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad


Kitab Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad ini adalah sebuah kitab fiqih syafi’iyyah [juga terdapat bab tauhid dan tasawuf] yang diterjemah dan disyarahkan oleh ulama besar alam Melayu itu Bahjah al-Din al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani dari sebuah nazam yang dikenali dengan Matan Zubad. Matan Zubad adalah salah sebuah karya bahasa Arab dalam bentuk puisi yang mengandungi lebih daripada 1,000 bait yang sangat terkenal di seluruh dunia Islam. Sejak dari dahulu sehingga kini penghafalan Matan Zubad diberi penekanan oleh institusi-institusi tradisional Islam seperti di pondok-pondok atau pesantren-pesantren.

Matan Zubad adalah hasil karya Abu al-Abbas Ahmad ibn Hussein ibn Hasan ibn ‘Ali ibn Yusuf ibn ‘Ali ibn Arsalan al-Ramli [753H -844H]. Dikenali dengan Ibn Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin dan wafat di Baitulmaqdis, Palestin. Matan Zubad ini banyak disyarahkan oleh para ulama seperti;

1. Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah Syamsuddin al-Ramli,
2. Mawahib al-Shomad fi Hal Alfaadz al-Zubad oleh Syaikh Ahmad al-Hijazi al-Fasyani,
3.Ifaadah al-Saadah al-Umad bi Taqrir Ma’ani Nazam al-Zubad oleh al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abd al-Baari al-Ahdal,
4.Faidh al-Manan Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-‘Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad al-Bathah al-Ahdal dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu ada dua buah syarah, syarah pertama diselenggarakan al-‘Allamah Syaikh Daud ‘Abdullah al-Fathani yang diberi nama Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad dan kedua, diselenggarakan oleh Tuan Guru ‘Abdul Qadir Ismail al-Sanawi al-Fathani. Syarah yang kedua tidak sempat diselesaikan, masih berupa manuskrip.

Fath al-Mannan, diselesaikan di Makkah pada hari Ahad, 16 Ramadan 1249H bersamaan 27 Januari 1834M. Dicetak hampir seratus tahun setelah selesai penulisan, tepatnya pada 10 Sya'aban 1330H oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Dicetak atas usaha Syeikh 'Abdullah Daud, Syeikh Muhammad Nur Daud kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Ismail Daudi al-Fathani. Beberapa halaman bahagian akhir kitab ini dicetak juga satu risalah berjudul Muzakarah al-Ikhwan, juga karangan al-‘Allamah Syaikh Daud al-Fathani yang diselesaikan pada malam Isnin, 20 Ramadan 1249H/31 Januari 1834M, iaitu beberapa hari setelah diselesaikan kitab Fath al-Mannan.

Kandungan kitab Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad ini meliputi ilmu tauhid, fiqih dan tasawuf. Sebuah kitab yang indah gaya bahasa lagi padat isinya.


sumber:   http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com/2008/12/kitab-fath-al-mannan-tarjamah-li.html

Tuesday, August 14, 2012

SULLAM AL-MUBTADI (سلم المبتدي)



Kitab Sullam al-Mubtadi (سلم المبتدي) merupakan sebuah kitab kecil yang berbentuk matan fiqh mazhab al-Syafi’i karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani seorang ulama dunia Melayu yang terkenal pada abad ke 19 Masihi.

Mengenai judul penuh bagi kitab ini, dari pengamatan saya terdapat dua judul yang biasa disebut dan dicatat oleh para pengkajinya. Judul yang pertama ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Ma’rifah Thariqah al-Muhtadi (Tangga Bagi Orang Yang Memulai Belajar), ia menjadi judul bagi kebanyakan kitab Sullam al-Mubtadi yang dicetak dan judul ini disebut oleh Haji Mohd Shaghir Abdullah ketika beliau menyenaraikan karya-karya Syeikh Daud al-Fathani dalam beberapa artikel.

Judul yang kedua ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Bayan Thariq al-Muhtadi. Ia ada disebutkan oleh Syeikh Daud al-Fathani di akhir Kitab Sullam al-Mubtadi ini. Ada saya lampirkan kata-kata beliau itu dalam artikel ini. Saya juga ada melihat judul ini bagi sebuah manuskrip tulisan tangan. Manuskrip ini boleh dibaca di pautan  سلم المبتدي.

Kitab ini amat terkenal dipelajari di pusat pengajian sama ada di pondok dan masjid di nusantara. Ia telah diulas dan dihuraikan oleh para ulama semasa kuliyah pengajian mereka sejak dahulu sehingga kini.

Kitab ini membicarakan tentang ilmu usuluddin mengikut fahaman Ahli Sunnah wa Jama’ah dan juga berkenaan hukum fiqh. Secara umumnya kitab ini boleh dikatakan kitab fiqh kerana sebahagian besar kitab ini dipenuhi dengan perbincangan bidang fiqh. Hanya pada awal kitab sahaja dibicarakan mengenai ilmu aqidah iaitu dalam Bab Fi al-‘Aqidah ( Ini Suatu Kitab Pada Menyatakan I’tiqad). Manakala perbincangan seterusnya dimulai dengan Kitab al-Shalah (Ini Suatu Kitab Pada Menyatakan Sembahyang)  dan diakhiri dengan Kitab al-‘Itq ( Ini Suatu Kitab Pada membicarakan Hukum Merdeka).


Susunan Kandungan Kitab Sullam al-Mubtadi

Kitab Sullam al-Mubtadi ini dimulai dengan satu muqaddimah oleh Syeikh Daud al-Fathani dan disusuli dengan Bab Fi al-‘Aqidah yang dipecahkan kepada beberapa fasal. Kemudian ia membincangkan sebahagian besar bidang fiqh dengan membahagikan perbicaraannya kepada 16 buah Kitab, dan setiap kitab dipecahkan kepada beberapa Fasal. Kitab Sullam al-Mubtadi ditutup dengan satu al-Khatimah.

Berikut adalah kitab-kitab yang dibincangkan oleh Syeikh Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi;

1.  Kitab al-Shalah
2.  Kitab al-Zakah
3.  Kitab al-Shiyam
4.  Kitab al-Nusuk
5.  Kitab al-Adhhiyah wa al-‘Aqiqah wa al-Zaba-ih
6.  Kitab al-Bay’
7.  Kitab Ahkam al-Fara-id wa al-Washaya
8.   Kitab al-Nikah
9.   Kitab al-‘Iddah
10   Kitab al-Janayat
11.  Kitab al-Hudud
12.  Kitab al-Jihad
13.  Kitab al-Sabq wa al-Ram-y
14.  Kitab al-Aiman wa al-Nazr
15.  Kitab al-Qadha wa al-Syahadat
16.  Kitab al-‘Itq

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, Syeikh Daud al-Fathani telah menutup kitabnya ini dengan satu penutup (Khatimah) yang dipecahkan pula kepada beberapa fasal yang membicarakan mengenai tasawwuf dan adab.

Di akhir Khatimahnya, Syeikh Daud al-Fathani telah mengakhiri Kitab Sullam al-Mubtadi dengan katanya;

“ Telah sempurnalah maksud al-faqir ilaLlah Ta’ala Daud bin ‘Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah yang bernama Sullam al-Mubtadi Fi Bayan Thariq al-Muhtadi ……….pada hari Isnin 13 hari bulan Rejab al-Asham pada Hijrah Nabi  1252.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab Sullam al-Mubtadi selepas petikan di atas, Syeikh Daud al-Fathani sudahi kata-katanya dengan sebuah doa.


Syarah dan Huraian Kitab Sullam al-Mubtadi

Setakat pengetahuan saya, hanya terdapat satu kitab syarah atau huraian Kitab Sullam al-Mubtadi yang telah disusun dan diterbitkan. Iaitu kitab Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadikarya al-‘Allamah Muhammad Nur bin Muhammad bin Isma’il al-Fathani. 

Manakala syarah atau huraian dalam bentuk audio (ceramah/kuliah) banyak dilakukan oleh para ulama masa kini semasa sesi pengajaran mereka. Syarah-syarah berbentuk audio boleh diperolehi di laman-laman yang mengumpukan kuliah-kuliah para ulama/ustaz. 


Edisi Baru Kitab Sullam al-Mubatadi

Baru-baru ini saya ada membeli sebuah Kitab Sullam al-Mubtadi edisi Rumi yang dterbitkan oleh ALHIDAYAH HOUSE, cetakan 1, 2012. Kitab ini telah dialih tulisannya dari Jawi ke Rumi oleh panel yang diketuai oleh Ustazah Noraine Abu tanpa sebarang pindaan daripada teks asalnya bagi memudahkan pembaca mengikuti setiap patah perkataan yang terdapat dalam teks asalnya. Gambar di atas merupakan kulit (cover) bagi kitab ini.

Kitab edisi Jawinya boleh dimuat turun di pautan 
https://ia801609.us.archive.org/25/items/SulamAlMubtadi/Sulam%20al-Mubtadi.pdf

Semoga bermanfaat.

Monday, August 13, 2012

IRSYAD AL-'IBAD ILA SABIL AL-RASYAD


Kitab Irsyad al-'Ibad ila Sabil al-Rasyad (إرشاد العباد إلى سبيل الرشاد) adalah karya Syaikh Zaynuddin Ahmad bin Abdul Aziz bin Zaynuddin bin ‘Ali al-Ma’bari al-Malibari al-Fanani (938-1028H).

Kitab ini mengandungi kumpulan hadits tentang berbagai macam perkara keagamaan. Bahagian awal perbahasan berupa masalah iman dan sebab yang membuat seseorang menjadi murtad. Dilanjutkan dengan huraian hadits-hadits yang menjelaskan tentang bersuci (taharah) beserta ragam tata caranya, mulai dari wuduk, mandi wajib, mandi biasa, hingga tayammum. Kemudian dihuraikan pula tentang fadilat (keutamaan) zikir dan berbagai macam ibadah shalat. Dari shalat fardu sampai shalat sunat, beserta bacaan-bacaannya.

Sebagaimana judulnya, buku ini boleh dijadikan pegangan dalam beribadah. Membimbing setiap orang untuk beribadah sesuai tuntunan Rasulullah saw. yang tercantum dalam kitab-kitab hadits.

Terdapat dua buah kitab yang menjadi rujukan utama Syaikh Zaynuddin ketika menyusun kitab  Irsyad al-‘Ibad in, iaitu;

a) Kitab al-Zawajir (الزواجر), iaitu karya guru beliau al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami (909-974H).
b)  Kitab Mursyid al-Thullab[1] ( مرشد الطلاب), iaitu karya datuk beliau Syaikh al-‘Allamah Zaynuddin bin ‘Ali bin Ahmad al-Ma’bari al-Malibari (873-928H)

Kitab Irsyad al-‘Ibad ini menjadi kitab kajian di pesantren-pesantren/pondok-pondok tradisional dan modern. Ia juga telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa. Terjemahan dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterjemahkan dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab Irsyad al-‘Ibad ini mempunyai sebuah kitab huraiannya (syarah) yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Ihsan bin Muhammad Dahlan al-Jampasi al-Kadiri al-Jawi () melalui karya beliau beliau yang berjudul Manahij al-Imdad Syarh Irsyad al-‘Ibab (مناهج الإمداد شرح إرشاد العباد).

Kitab Irsyad al-‘Ibad boleh dimuat turun di pautan http://www.almeshkat.net/books/archive/books/Tarbyah00181.pdf

Semoga bermanfaat.



[1] Sebuah kitab mengenai nasihat (الوعظ) dan petunjuk (الإرشاد) bagi pengabdian diri kepada Allah.

Sunday, August 12, 2012

Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani Alfaz al-Minhaj



Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj (مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج) merupakan salah satu karya fiqh al-Shaykh Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syarbini (977H) yang terkenal. Kitab Mughni al-Muhtaj ini adalah huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Thalibin (منهاج الطالبين) karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab Mughni al-Muhtaj ini mendapat sambutan yang mengalakkan untuk dipelajari dan dirujuk kerana pengarang menggunakan bahasa yang mudah serta membahaskan satu-satu topik itu dengan menarik. Pandangan-pandangan  fiqh beliau adalah antara yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Namun begitu, pandangan-pandangan beliau ini dikira muktamad untuk difatwakan jika sekiranya sesuatu masalah itu tidak disentuh dalam karya-karya al-Imam Ibn Hajar al-Haytami, al-Imam Syams al-Din al-Ramli dan al-Shaykh Zakariyya al-Ansari.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab Mughni al-Muhtaj ini mempunyai dua kitab hasyiahnya, iaitu;
a) Hasyiah ‘ala Mughni al-Muhtaj (حاشية على مغني المحتاج), karya Imam Syamsuddin  Muhammad al-Syarbini al-Khathib sendiri.
b) Hasyiah ‘ala Mughni al-Muhtaj (حاشية على مغني المحتاج), karya Syaikh ‘Umar Bajanid, Mufti Mazhab Syafi’i di Makkah pada zamannya.

Kitab ini boleh didownload di pautan berikut:  http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1134

Semoga bermanfaat.


MANHAJ AL-THULLAB


Kitab Manhaj al-Thullab  adalah karya Syaikh al-Islam al-Imam Abu Yahya, Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariyya al-Anshari al-Sunayki al-Mishri (826-926H). Manhaj al-Thullab merupakan ringkasan kepada kitab Minhaj al-Thalibin karya al-Imam Muhyiddin Abu Yahya Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi.

Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari  telah melakukan proses permurnian pada kitab tersebut dengan membuang beberapa permasalahan khilaf yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi dan hanya mengekalkan pendapat-pendapat yang muktamad sahaja. Di samping itu juga, beliau turut mempermudahkan bahasa yang terkandung di dalamnya. Hasilnya, kitab ini mendapat sambutan yang amat baik oleh para alim ulama. Seterusnya pengarang sendiri telah melakukan huraian (syarh) terhadap kitab Manhaj al-Thullab itu dan diberi judul Fath al-Wahhab Bi Syarh Manhaj al-Thullab.

Manakala ‘al-‘Allamah Zainuddin al-Malibari (987H) pula telah meringkaskan kitab Manhaj al-Thullab ini dengan karyanya Qurrah al-‘Ayn bi Muhimmah al-Din bagi memudahkan para pelajar menghafaznya. Kemudian  beliau menyusun sebuah kitab khusus bagi menghuraikan kembali karya beliau tersebut melalui kitab yang berjudul Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ayn bi Muhimmah al-Din.

Download kitab Manhaj al-Thullab di pautan:
http://www.feqhup.com/uploads/13284728093.pdf

Mir-at al-Thullab kitab fiqh karya al-Fanshuri


Kitab Mir-atul Thullab, atau judul lengkapnya ialah Mir-atul Thullab fi Tas-hil al-Ma’rifat al-Ahkam wal Syari’ah lil Malik al-Wahhab (Cermin segala mereka yang menuntut ilmu fiqh untuk memudahkan mengenal segala syariat Allah) adalah karya Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Jawi al-Singkili (1592-1693M).

Syeikh Abdul Rauf lahir di Barus atau Singkel, diperkirakan awal abad 17. Pada tahun 1641/1642 M, ia berangkat menuntut ilmu ke Yaman dan Haramain (Mekkah-Madinah) pada awal tahun Sultanah Tajul Alam Safiyatuddin (1641M). Jadi dipastikan ia mengetahui pertikaian yang terjadi di kesultanan antara pengikut Syamsuddin al-Sumatrani dan Nuruddin al-Raniri, kerana Syeikh Abdurrauf masih di Aceh pada period Nuruddin al-Raniri atau Sultan Iskandar Tsani. Selama 19 tahun di Arab (1642-1661 M), ia kembali ke Aceh. Pada tahun 1662 M dan menjadi Shayhkul Islam, jawatan di Kesultanan Aceh yang pernah disandang oleh syaikh Syamsuddin al-Sumatrani (w. 1630) dan syaikh Nuruddin al-Raniri (1637-1644 M).

Kitab Mir-at al-Thullab ini disusun atas permintaan Sultanah Tajul Alam Safiatudin Syah, dimulai sekitar tahum 1663, atau diawal bergabungnya dalam lingkungan Kesultanan (1663 M). Ini dapat ditunjukkan dengan alasan Syaikh Abdurrauf pada mukaddimah kitabnya menyebutkan bahwa awalnya ia enggan menerima tugas tersebut, karena ia belum fasih dalam menulis bahasa Jawi (Melayu), sebab lama di negeri Yaman, Mekkah dan Madinah, dan baru-baru kembali ke Nusantara. Tetapi dengan bantuan dua orang saudaranya, (saya belum mendapatkan nama kedua saudaranya, mungkin bisa diperoleh dalam teks Miratul Tullab bpk Tarmizi), maka iapun mengarang kitab ini untuk orang (lembaga pemerintahan) di lingkungan Qadhi, kehakiman, kejaksaan, ataupun lembaga penegakan hukum dan syariat Islam lainnya.

Kitab Mir-atul Thullab terdiri atas 3 bab/pembahasan:

a). Hukum Fiqih, baik persoalan muamalah, nikah dan segala permasalahan keluarga, termasuk didalamnya permasalahan warisan (faraidh: pembagian harta pusaka), termasuk hukum warisan tanah negara, dan segala hasil bumi di dalamnya .

b). Hukum Ba’i (persoalan jual beli dan segala perkara yang terkandung di dalamnya, hukum laba dan bunga).

c). Hukum Jinayah (penegakan hukum syariat, termasuk di dalamnya hukum perdata dan kriminal atau permasalahan kontemporer).

Permintaan Sultanah Safiyatuddin sangat beralasan, karena segala permasalah masyarakat yang kompleks dan beraneka ragam belum terdapat satu pun karya dalam bahasa Melayu. Bahkan, belum ada pedoman (sekarang : Qanun/Undang2) sebagai pedoman Kesultanan/ Pemerintahan. Karena yang menjadi landasan sebelumnya di bidang Fiqh kitab Siratul Mustaqim karya Nuruddin ar-Raniry, meliputi bidang Taharah (bersuci), Shalat, Zakat, Puasa dan Haji. Karenanya, Abdurrauf dikenal sebagai ulama pertama yang menulis mengenai fiqh mu’amalat, sehingga kitab Mir’atul Tullab sebagai solusi di Kesultanan dan masyakarat saat itu.

Maka kemudian dikenal dengan “Adat bak Poteu Meuruhoem, Hukom bak Syiah Kuala Kanun bak Putroe Phang, Reusam bak Laksamana”, karena aplikasi dan penerapan langsung hukum-hukum syariat dan fiqh di masyarakat diprakarsai oleh Abdurrauf Syiah Kuala.

Oleh sebab itu, sumber utama kitab ini adalah:

1.      Kitab Fath al-Wahhab, syarah kitab Minhaj Tullab yang disusun oleh Abu Yahya Zakariyya al-Anshari. Kitab Minhaj Thullab adalah ringkasan dari kitab Minhaj al-Thalibin karangan imam Nawawi (w. 676 H/1277 M).

2.      Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Fath al-Jawwab karya Ibn Hajar al-Haytsami (w. 973/1565 M),

3.      Kitab Imam al-Ghazali (w. 505 H/1112 M) yang masing-masing berjudul al-Wasith dan al-Basith.

Pengaruh kitab Mir-atul Thullab bukan hanya sebagai pedoman di Kesultanan Aceh. Akan tetapi, menurut MB Hooker (1984) mengemukakan, Lumaran, kumpulan hukum Islam yang digunakan kaum Muslim Miquidanao, Filipina, sejak pertengahan abad ke-19, menjadikan kitab Mir-atul Thullab sebagai salah satu acuan utamanya. Demikian juga bab Faraidh di dalam Mir-atul Thullab menjadi pedoman dan digunakan di wilayah Melayu-Nusantara; yaitu termasuk wilayah Nusantara (terutama Sumatera, Jawa dan Sulawesi), Malaysia, Patani (Thailand Selatan) dan Brunai Darussalam. Ini terbukti ditemukan kitab-kitab cetakan Ilmu Faraidh karya Abdurrauf Singkili di Singapura, Jeddah (Haramayn) dan Malaysia.


Sumber:

http://alifbraja.wordpress.com/2012/07/10/karya-emas-ulama-legendaris-aceh-mirat-al-thullab/

Saturday, August 11, 2012

Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj Thullab


Kitab Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Thullab adalah karya Shaykh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (826-926H). Ia merupakan syarah (huraian) Shaykh Abu Yahya Zakariyya al-Anshari terhadap kitab Manhaj Thullab, iaitu hasil karyanya sendiri. Kitab Manhaj al-Thullab tersebut pula merupakan hasil ringkasannya tehadap kitab Minhaj al-Thullab karya al-Imam Muhyiddin al-Nawawi.

Kitab Fath al-Wahhab ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama terkemudiannya, antaranya;

    i.      al-Shaykh Sulayman bin ‘Umar bin Muhammad al-Bujayrimi telah  melakukan komentar (hasyiah) ke atas kitab ini dengan judul komentarnya al-Tajrid Li Naf‘ al-‘Abid.

     ii.     al-Shaykh Sulayman b. ‘Umar bin. Mansur al-‘Ujayli al-Misri al-Syafi‘i (1204H) dengan komentarnya berjudul Futuhaat al-Wahhab bi Tawdhih Syarh Minhaj al-Thullab atau dikenali dengan Hasyiah al-Jamal ‘Ala Syarh al-Manhaj.

 Kitab  Fath al-Wahhab ini juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam mazhab Syafi‘i kerana pandangan-pandangan fiqh yang dikemukakan di dalamnya antara yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Menurut kebanyakan ulama-ulama mazhab Syafi‘i yang muta'akhhirin (mereka yang hidup dalam lingkungan tahun 1004H hingga 1335H), pandangan-pandangan beliau ini dianggap rajih dalam mazhab dan muktamad untuk difatwakan jika sesuatu masalah itu tidak disentuh dalam karangan-karangan Shaykh Ibn Hajar al-Haytami dan Shaykh Syams al-Din al-Ramli.

Kitab ini boleh didownload di pautan berikut:  http://www.waqfeya.com/book.php?bid=7137

Friday, August 10, 2012

Minhaj al-Thalibin wa 'Umdah al-Muftin


Kitab Minhaj al-Thalibin Wa ‘Umdah al-Muftin ini dihasilkan oleh al-Imam Muhyiddin Abu zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Ia merupakan ringkasan kitab al-Muharrar karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim al-Rafi‘i (624H). Walaupun ia merupakan ringkasan kitab al-Muharrar, namun keistimewaan kitabnya dianggap melebihi kitab al-Muharrar kerana Imam al-Nawawi telah memilih dan menambah pendapat  yang muktamad pada pandangan beliau. Minhaj al-Thalibin merupakan kitab yang sering digunapakai untuk merujuk pendapat-pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i selepas berlakunya proses pemurnian (al-tanqih) yang kali pertama dilakukan dalam sejarah perkembangan mazhab Syafi‘i.

Oleh kerana itu, kitab ini telah mendapat perhatian yang tinggi di kalangan ulama-ulama mazhab Syafi‘i untuk diperkembangkan sama ada diberikan huraian (syarh), komentar (hasyiah), dilakukan ringkasan, disusun dalam bentuk nazam dan lain-lain lagi sehingga jumlah keseluruhannya yang dapat dikesan hingga kini mencecah 230 buah kesemuanya. Antara yang paling terkenal ialah dalam bentuk huraian (syarh) seperti Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haytami, Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj oleh Syams al-Din al-Ramli dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah Alfaz al-Minhaj oleh al-Khatib al-Syarbini.

Selain menjadi tumpuan ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘i untuk dijadikan bahan kajian dan hafalan, kitab ini juga mendapat perhatian orientalis apabila ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh L. W. C. Van Den Berg. Kemudian E. C. Howard telah mengalihbahasa pula ke dalam bahasa Inggeris berdasarkan terjemahan yang dilakukan oleh L. W. C. Van Den Berg ini. Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman pula telah menterjemahkan kitab ini ke dalam bahasa Melayu hingga Kitab al-Jana'iz sahaja.

Insya Allah, artikel ini akan diperluaskan lagi pada masa akan datang…..

Kitab Minhaj al-Thalibin ini boleh didowload di pautan berikut:



Wednesday, August 8, 2012

al-Muhalla karya fiqh Imam Ibn Hazm al-Andalusi

Kitab al-Muhalla ( المحلى ) atau judul sebenarnya al-Muhalla fi Syarh al-Mujalla bi al-Hujaj wa al-Atsar  merupakan karya Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahullah (456H), yang juga dikenali sebagai imam dalam mazhab Zhahiri. al-Muhalla merupakan sebuah karya besar dalam bidang fiqh yang terbilang masyhur namun jarang sekali dikenali masyarakat hari ini. Ibnu Hazm menghimpunkan dan menghuraikan pelbagai permasalahan dalam bidang fiqh melalui kitabnya yang cukup unik ini. Ibnu Hazm memulakan perbahasannya dengan perbahasan Tauhid kemudian barulah dimulakan dengan memasuki perbahasan fiqh.
 
Imam Izzuddin bin 'Abdul Salam berkata, "Ibnu Hazm termasuk ulama mujtahid, aku tidak pernah melihat kitab yang membicarakan hal-ehwal fiqh Islam seperti kitab al-Muhalla karya Ibnu Hazm dan kitab al-Mughni karya Ibnu Qudamah al-Maqdisi." 
 
Imam al-Dzahabi rahimahullah berkata, "Apa yang dikatakan oleh Imam ‘Izzudin bin 'Abdusl Salam adalah benar, dan kitab ketiga setelah kedua kitab tersebut adalah Sunan al-Kubra karya al-Baihaqi rahimahullah, manakala yang ke-empat adalah al-Tamhid karya Imam Ibnu 'Abdil Barr rahimahullah. Sesiapa yang mampu mendapatkan kitab-kitab ini dan dia termasuk mufti yang bijaksana lagi faqih. Jika dia segera mempelajarinya, maka dia akan menjadi orang yang benar-benar faqih."
 
Terjemahan Kitab al-Muhalla;
 
Kitab al-Muhalla ini telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan telah diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Indonesia. Kitab yang diterjemahkan ini berdasarkan Kitab al-Muhalla yang telah ditahqiq oleh Syeikh Ahmad Muhammad Syakir r.h.
 
Kitab al-Muhalla boleh didownload di pautan berikut:

TAFSIR AL-JALA LAYN IN


Tafsir Jalalain (تفسيرالجلالين) merupakan kitab tafsir karya Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli (791-864 H) dan Abu al- Fadhl Abdur Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad Jalaluddin al-Suyuthi (849-911 H). Ia disebut Jalalain yang bererti dua (ulama tafsir bernama) Jalal. 

Kitab ini terdiri daripada dua jilid (kitab asal berbahasa Arab). Jilid pertama yang memuatkan mukadimah dan tafsir surah al-Baqarah hingga akhir surah al-Isra’ merupakan karya al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi.

Jilid kedua memuatkan tafsir surah al-Kahfi hingga akhir surah al-Nas, surah al-Fatihah yang diletakkan sesudah surah al-Nas, dan tatimmah (penutup). Kecuali bahagian penutup, jilid kedua merupakan karya Jalaluddin al-Mahalli. Bahagian penutup merupakan karya Jalaluddin al-Suyuthi.

Jika bukan kerana ada keterangan bahawa kitab tafsir itu disusun oleh dua mufassir, orang-orang pasti akan menyangka penyusun Tafsir Jalalain hanya satu orang saja. Bahkan, untuk menyamakan metodologi tafsirnya dengan Syeikh Jalaluddin al-Mahalli, Imam al-Suyuthi juga meletakkan surah al-Fatihah yang ditafsirnya di akhir kitab menurut susunan mashaf.

Meski Tafsir al-Jalalain dikira sebagai tafsir yang ringkas, namun kerana maklumat-maklumat penting dalam Tafsir Jalalain membuat kitab ini terus menjadi rujukan ulama sehingga kini. Keringkasannya juga mengundang minat ramai ulama sesudahnya untuk menyusun komentar (hasyiah) atas kitab tafsir tersebut. Sebut saja Majma’ al-Bahrain Wa Mathla’al-Badrain (مجمع البحرين ومطلع البدرين) karya Syaikh Muhammad bin Muhammad al-Karkhi (1007H), al-Futuhat al-Ilahiyyah atau Hasyiyah al-Jamal dan Hasyiyah al-Shawi karya Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Shawi al-Mishri al-Maliki al-Khalwati.

Tafsir Jalalain telah dikenal di Alam Melayu sejak abad ke-17, bahkan ada kemungkinan tafsir itu telah popular pada abad itu. Hal ini terbukti dari banyaknya manuskrip tafsir tersebut di Muzium Nasional Jakarta.

Kemasyhuran Tafsir al-Jalalain di Alam Melayu secara tidak langsung ditambahkan lagi dengan kemunculan kitab tafsir Murah Lubaid li Kasyf Ma’na al-Quran al-Majid (Kitab yang Tebal Isinya untuk Mengungkap Makna al-Quran al-Majid), yang merupakan karya Imam Muhammad Nawawi al-Bantani atau dikenal juga dengan Syeikh Nawawi al-Jawi (1813-1897).


Link berkaitan;
2. Tafsir al-Jalalayn in English - Al Tafsir.com and To download Tafsir Al-Jalalayn (PDF) Click here


Semoga bermanfaat

Tuesday, August 7, 2012

Fath al-Jawad bi Syarh al-Irsyad


Kitab Fath al-Jawad bi Syarh al-Irsyad (فتح الجواد بشرح الإرشاد) merupakan salah satu kitab-kitab fiqh karya al-Shaykh Ibn Hajar al-Haytami yang terkenal. Fath al-Jawad adalah ringkasan kitab al-Imdad bi Syarh al-Irsyad yang juga merupakan karya beliau. Kedua-dua kitab ini adalah huraian (syarh) kepada kitab al-Irsyad karya al-Imam Isma‘il bin Abi Bakr Ibn al-Muqri al-Yamani (837H). Fath al-Jawad 'ala Syarh al-Irshad merupakan sebuah penulisan fiqh yang dikarang dengan susunan-susunan topik yang menarik dan mendapat sambutan yang baik terutamanya di Yaman.


Terdapat dua hasyiah bagi kitab ini, iaitu hasyiah yang dilakukan oleh Ibn Hajar al-Haytami sendiri dan Hasyiah al-‘Allamah al-‘Uqaybi al-Yamani. al-Imam ‘Abd Allah Ba Qushayr (1076H) telah mencuba melakukan ringkasan terhadap kitab ini tetapi beliau tidak dapat menyelesaikan usahanya itu. Fath al-Jawad 'ala Syarh al-Irshad ini berada di tangga yang kedua selepas Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj untuk dimuktamadkan pandangan-pandangan di dalamnya jika berlaku percanggahan pandangan beliau dalam karangan-karangan fiqhnya.

Namun kitab ini termasuk kitab yang jarang ditemui di pasaran maupun di tangan para pelajar fiqh Syafi'i sendiri bahkan di pesantren-pesantren/pondok-pondok juga sangat jarang ditemui kitab ini, padahal dalam Kitab Hasyiah I`anah al-Thalibin isi kitab Fath al-Jawad sangat sering dinukilkan oleh Sayydi Bakri Syatha. Al-hamdulillah sekarang kitab ini telah diterbitkan kembali oleh penerbit Dar Kutub Ilmiyah dalam tiga jilid.


Kitab ini boleh dimuat turun di sini atau di pautan berikut:  jilid 1, jilid 2, jilid 3
Semoga bermanfaat.

Bughyah al-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi al-Shawab

Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah

Syeikh Daud Abdullah al-Fathani ialah ulama dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan karya kitab dalam pelbagai disiplin ilmu. Pada kesempatan ini diperkenalkan karya beliau yang berjudul Bughyah al-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi al-Shawab (بغية الطلاب لمريد معرفة الأحكام بالصواب).

Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."

Masih dalam mukadimah, Syeikh Daud memperkenalkan pelbagai hadis mengenai ilmu pengetahuan. Selepas itu, memperkenalkan riwayat ringkas Imam al-Syafie. Kandungan keseluruhan Bughyah al-Thullab adalah membicarakan fiqh bahagian ibadat dalam mazhab Syafie.
Pada kitab ini pengarang menggunakan nama lengkap Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani. Beliau menulis: "Bahawa menghimpunkan beberapa masalah yang sedikit daripada Abwab al-Fiqh, daripada Kitab at-Thaharah hingga akhir Kitab al-Ummuhat, daripada kitab yang muktamad yang difatwakan."
Disebutkan pula kitab yang dirujuk adalah Minhaj dan sekalian syarahnya seperti Tuhfah oleh Syeikh Ahmad bin Hajar, Nihayah oleh asy-Syamsu ar-Ramli, Mughni ( Khathib Syarbaini, Syarh Damiri, Fath al-Wahhab dan syarahnya) dan Syarh Tahrir ( Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari ).
Antara kitab Melayu / Jawi yang dirujuk adalah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1310 Hijrah. Dicatat pada halaman depan bahawa kitab ini dijual oleh Syeikh 'Abdullah Baz dan Syeikh Ahmad Baz, Babus Salam, Makkah. Dicetak di bahagian tepi “ Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin ”, juga karya Syeikh Daud.
Ada juga cetakan Rabiulakhir 1321 Hijrah oleh percetakan yang sama. Keterangan pada halaman depan sama cetakan yang pertama. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1328 Hijrah dinyatakan sebagai cetakan yang ketiga.
Keterangan pada halaman depan diubah, dinyatakan bahawa ditashihkan dengan amat cermat dengan merujuk kepada naskhah tulisan pengarangnya sendiri. Dinyatakan bahawa barang siapa berkehendak kepada karangan Syeikh Daud boleh membeli di kedai Syeikh Muhammad Nur Daud al-Fathani di Qasyasyiah.
Pada cetakan ini juga didaftar hak mencetak adalah milik ahli waris. Tercatat pada halaman depan bahawa hak mencetak milik ahli waris dengan daftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, tarikh 15 Mac 1326 nombor 8. Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh Muhammad Daud al-Fathani. Cetakan ini atas usaha Syeikh Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani). Dipercayai ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, ada kalimat tashhih daripada beliau, tetapi namanya tidak termaktub pada cetakan.
Bughyah ath-Thullab termasuk kitab besar, tebal 538 halaman dengan ukuran 27 x 18.6 sentimeter. Kemungkinan Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin, jilid 1, yang dicetak pada bahagian tepi itu adalah lanjutan Bughyah ath-Thullab.
Dalam manuskrip dicatat bahawa mulai menulis Nahju ar-Raghibin tahun 1226 Hijrah (jilid 1) dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234.
Catatan tarikh ini dan Nahju ar-Raghibin jilid 2 tidak ada dalam semua cetakan. Kandungan membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.
Selain Bughyah ath-Thullab, ada sebuah lagi kitab karya Syeikh Daud berjudul “ Perhubungan Bughyah ath-Thullab ”. Nama judul diberikan berdasarkan pada halaman terakhir. Satu setengah halaman sebelum memasuki kitab ini ada risalah mengenai zakat yang dinyatakan sebagai petikan daripada kitab Syeikh Daud juga.
Kitab ini tidak pernah dicetak, hanya ditemui dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.
Antara salinan yang ditemui, lengkap dan baik adalah salinan Mahmud Muhammad Yusuf Terengganu dan Syeikh Abdul Mubin al-Fathani di Beserah, Kuantan, Pahang. Salinan oleh Mahmud Muhammad Yusuf, Terengganu diselesaikan pada Ahad, 5 Rabiulakhir 1277, tempat melakukan penyalinan di Makkah al-Musyarrafah.
Tambahan;
Kitab Bugyah al-Thullab jilid 2 dalam fail PDF boleh dimuat turun di pautan https://ia902909.us.archive.org/4/items/bughyahalthullab1/bughyahlalthullab%202.pdf.
Semoga bermanfaat.